Berubah: Bukan Hanya Di Awal Tahun
Selagi mentari masih lagi memancarkan cahayanya,
peluang untuk kita berubah masih terbuka luas.
Tinggal kita saja yang mahu atau tidak.
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt kepada sahabat yang dirahmati Allah swt.
Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah swt kerana masih lagi memberi kita peluang untuk menikmati nikmat iman dan islam. Selawat dan salam kepada Nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad SAW yang telah bersusah payah dengan kudrat baginda memperjuangkan agama islam, tidak lupa juga kepada para sahabat baginda dan para pengikut baginda yang memperjuangkan agama islam sehingga saat ini.
Apa khabar iman hari ini? Adakah menaik atau menurun? Jika menaik, alhamdulillah. Jika menurun,marilah kita meningkatkan dengan amalan kebaikan. InsyaAllah iman kita akan menaik kembali.
Alhamdulillah, kita telah memasuki bulan Muharram iaitu permulaan dalam kalendar Hijrah. Bulan ini telah dimuliakan oleh Allah swt dalam firman Nya iaitu:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (QS. At-Taubah:36)
Allah SWT telah menyebutkan empat bulan yang haram. Ayat ini dikukuhkan dengan hadis Nabi SAW:
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah (ra), Rasululah (saw) telah bersabda yang maksudnya;
“(Ketahuilah) Sesungguhnya, zaman beredar sebagaimana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan haram, iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab diapit oleh Jamadilakhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari & Muslim)
Dan dalam hadis ini menyebut empat bulan haram yang dimaksudkan ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.
Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah.
Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalendar umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.
Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:
Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orang ramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama.
(al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).
Berdasarkan maklumat diatas, kita sedia maklum bahawa permulaan kalendar Hijrah dimulai pada zaman Saidina Umar Al-Khattab ra dan bukan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Ini bagi memudahkan sistem pengiraan hari dan bulan bagi umat islam.
Dan jika kita teliti pada hari ini, bulan Muharram adalah sinonim dengan menyambut kedatangan tahun baru oleh masyarakat Malaysia. Malah ada juga mengatakan sebagai permulaan hijrah atau meletakkan azam bagi suatu tahun.
Sepatutnya bagi seorang muslim, setiap waktu dan setiap masa adalah peluang bagi dirinya berubah daripada keadaan yang buruk kepada yang lebih baik. Tidak perlu menunggu bulan muharram atau tahun baru untuk memulakan langkah memperbaiki diri.
Saiyidina Ali radhiyAllahu 'anhu pernah berkata yang lebih kurang berikut:
"Beruntunglah mereka yang hari ini lebih baik daripada hari semalam, terpedayalah mereka yang hari ini sama seperti hari semalam, celakalah mereka yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam."
Sebuah lagi kata mutiara yang membawa maksud yang serupa:
"Hendaklah hari ini lebih baik daripada hari semalam, dan hendaklah hari esok lebih baik daripada hari ini."
Maka kita perlu menghisab diri kita sebelum dihisab oleh Allah swt di akhirat kelak.
Sejauh mana kita memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa. malah sebagai seorang muslim, muhasabah diri adalah suatu yang wajib dilakukan. Hendaklah kita manfaat masa yang ada untuk kepentingan islam dan bukannya untuk kepentingan nafsu kita yang menyebabkan kita lengah dan malas melakukan kebaikan.
Dalam kita memperbaiki diri, dimana kita meletakkan diri kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW? Tahukah kita bahawa Nabi kita telah menghadapi pelbagai kesusahan dan tentangan untuk menegakkan agama islam ini. Dan kita..bagaimana menerimanya..ingin melakukan amalan sunnah pun masih sukar malah apabila diseru berjuang menegakkan islam pelbagai alasan masih kedengaran. Adakah kita ini layak diberi syafaat oleh Nabi Muhammad SAW dan digelar umat Nabi Muhammad SAW?
Maka, saya menyeru diri saya sendiri terutamanya serta sahabat semua, sama-samalah kita bermuhasabah diri sedalam-dalamnya dan sekecil-kecil perkara dalam rangka MENILAI kedudukan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Apakah nilai cinta kita pada baginda SAW? Apakah amal ibadah kita berdasarkan ittiba' us-Sunnah (mencontohi sunnah Nabi SAW)?
Moga-moga, pada awal Muharram ini, kita membuat satu anjakan paradigma dalam diri kita dan displin yang tinggi untuk berusaha semaksimum mungkin mempertingkatkan amalan kita dari sehari ke sehari bagi mencapai darjat yang tinggi yang telah Allah swt janjikan. InsyaAllah.
Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment