Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

[Tinta Presiden]Biah Solehah: Perlu dihidupkan, diamalkan dan diperkasakan!


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam mahabbah buat teman-teman mahasiswa.

Bismillah walhamdulillah, bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas segala limpah kurnia yang tidak kunjung malap buat hamba-hambaNya. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Doa dihulurkan buat para pejuang Islam, serta seluruh umat Islam, semoga berada di bawah rahmat dan inayahNya.


Pesanan buat aktivis dakwah

Hari ini genap 192 hari Saff Kepimpinan Sahabat Masjid (SAHAM) UMP sesi 2011/2012 memegang amanah dakwah di lapangan masyarakat khususnya di bumi UMP. Bermottokan “Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah” buat sesi kali ini, harapan menggunung tinggi memperlihatkan satu suasana yang kondusif(biah solehah) subur di bumi UMP. Tugas menyeru dan mengajak ke arah Islam tidak pernah berhenti. Dari semasa ke semasa usaha dakwah perlu diperhebatkan supaya dakwah membumi kepada seluruh masyarakat kampus.

Dakwah yang dipikul bukan suatu yang ringan dan mudah. Tidak pula dihamparkan dengan satu perjalanan yang tidak berduri dan berliku. Dengan ketulusan ikhlas dan pengharapan kepada Allah Ta’ala yang tinggi dalam setiap gerak geri, memperlihatkan satu kemudahan dan kesenangan buat sang pemikul. Natijah pengharapan yang tinggi kepada Allah ditunjukkan dalam penceritaan sirah hijrah Baginda Muhammad SAW dan sahabat seperjuangan, Saidina Abu Bakar As-Siddiq sewaktu bersembunyi di dalam Gua Thur.
Firman Allah Ta’ala

"Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita"
(At-Taubah:40)

Seterusnya, optimis terhadap kemenangan memang merupakan modal besar perjuangan yang tidak boleh dilupakan dan ia mestilah tertanam kuat dalam sanubari aktivis dakwah kerana kemenangan adalah tradisi dakwah yang diwarisi, selama mana syarat-syaratnya dipenuhi iaitu kebersamaan kita dengan Allah Ta’ala.

Tidak ada perkataan kalah dalam kamus aktivis dakwah selama mana kita bersama barisan kebenaran dan selama mana kebenaran tetap ada dalam hati-hati kita. Mehnah dan tribulasi yang hebat di awal perjuangan sering mengusik hati terhadap sebuah sikap optimis.

Dikisahkan seorang sahabat Nabi, Khabab Al Araat ketika menerima tekanan yang dirasakannya dahsyat. Jangankan untuk membela diri, malah menghindarkan dari kesulitanpun sukar dilakukan. Tidak tahan melihat kenyataan yang dihadapi maka beliau mengadu kepada Rasulullah saw :

"Ya Rasulullah tidakkah engkau mampu berdoa kepada Allah agar Allah membinasakan orang kafir yang melampaui batas?"

Namun Rasulullah SAW menjawab dengan nasihat dan sikap optimis :

"Wahai Khabab, sesungguhnya orang-orang sebelum kita ada yang dikubur hidup-hidup, disikat dengan sikat besi dan dibelah menjadi dua, akan tetapi engkau tidak sabar. Ketahuilah bahwa Allah akan memenangkan agama ini hingga orang akan merasa aman ketika berjalan dari Sanaa ke Madinah dan tidak ada yang ditakuti kecuali haiwan buas."

Dalam medan sesukar manapun, sikap optimis terhadap kemenangan tidak boleh hilang. Hilangnya sikap optimis bererti hilanglah kemenangan. Putus asa dan tidak berdaya dalam menghadapi kesukaran yang dahsyat adalah ditolak sama sekali. Kebenaran yang dibawa adalah modal membangun sikap optimis. Selagi kita berada dalam kebenaran, sikap optimis terhadap kemenangan sentiasa ada.

Ingatlah, keikhlasan niat, pergantungan yang tinggi kepada Allah serta optimis terhadap kemenangan adalah kunci kejayaan dakwah kita.


Perkasa Biah Solehah (Persekitaran yang kondusif)

Pembentukan syaksiah masyarakat khususnya masyarakat kampus sedikit mendukacitakan. Dengan kewujudan masalah pergaulan bebas, berpacaran sesama yang bukan mahram, pendedahan aurat serta budaya hiburan yang tidak dikawal dijuarai oleh golongan muda kini.

Mahasiswa yang menuntut ilmu di universiti sepatutnya lebih peka akan tanggungjawab mereka yang sebenar. Kita berperanan menghidupkan suasana soleh yang dianjurkan Islam. Adalah sangat menghairankan apabila medan yang menjadi pusat ilmu ini dicemari dengan perlakuan yang sosial, bahkan lebih menghairankan lagi gejala sosial ini semakin berleluasa di medan ilmu.

Biah solehah atau persekitaran yang kondusif yang dianjurkan Islam sewajarnya dihidupkan, diamalkan dan diperkasa sepenuhnya oleh kita sekaligus memenuhi tuntutan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar. Dr Yusuf Al-Qardawi pernah menyatakan dalam kitabnya, Kewajipan Remaja Muslim Pada Hari Ini, “Remaja adalah waktu yang menunjukkan tempoh kekuatan seseorang dan semangat yang kuat kerana ia adalah pertengahan umur dan setiap perkara pertengahan adalah yang terbaik. Ketika mana matahari berada di langit pada waktu tengah hari,cahayanya lebih kuat dan bahangnya yang panas. Jadi waktu remaja ini adalah tempoh kekuatan dan semangat di dalam umur manusia. Dan dari sinilah pentingnya untuk mengambil berat terhadap tempoh tersebut. Tempoh ini merupakan satu tempoh atau marhalah untuk memberi, berusaha, dan mampu untuk menanggung ujian-ujian. Justeru, para pendakwah dan pelindung-pelindung risalah Allah adalah remaja.”

Tuntutan biah solehah mesti diteruskan. Maka, Sahabat Masjid (SAHAM) pada sesi ini berbesar hati meneruskan lagi agenda dakwah buat masyarakat kampus khususnya. Sahabat Masjid (SAHAM) melalui Biro Dakwah dan Biro Latihan & Kepimpinan berperanan penuh dalam melahirkan insan-insan yang benar-benar takutkan PenciptaNya dengan melakukan amalan soleh dan menjauhi segala maksiat yang terlarang.

Akhirnya, semoga segala gerak kerja Sahabat Masjid (SAHAM) dipermudahkan. Kerjasama dan bantuan dari semua pihak termasuklah dari Pihak Pentadbiran, Pihak Keselamatan, Institusi Felo, Majlis Perwakilan Pelajar dan seluruh staf dan mahasiswa amat diharapkan. Seperti yang digariskan oleh Dr Yusuf Al-Qardawi, kewajipan beramal dan berdakwah dalam Islam perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Mudah-mudahan amalan kita diterima disisi Allah Ta`ala.

“Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah”
~Together With SAHAM~

Abdul Basith Abdul Halim
Presiden,
Sahabat Masjid (SAHAM) UMP 2011/2012.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails