Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Gerhana bulan penuh 10 Disember 2011

Gerhana bulan penuh dengan pemandangan seakan-akan bola raksasa kuning tembaga terapung di angkasa selama lebih 40 minit dijangka berlaku pada malam 10 Disember ini. Unit Falak Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam satu kenyataan hari ini berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena itu dan melakukan solat sunat gerhana.

proses berlaku
"Gerhana kali ini berlaku pada awal malam. Meriahkanlah fenomena ini dengan bacaan selawat dan tasbih serta solat sunat gerhana di masjid. "Kejadian itu amat besar hikmatnya supaya manusia melihat dengan jelas tanda-tanda kekuasaan Allah dan memanfaatkannya dari segi rohani dan kajian saintifik," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa melalui paparan takwim pada petang Sabtu (10 Disember), bulan terbit di ufuk timur Kuala Terengganu pada pukul 6.44 petang, kira-kira 12 minit sebelum matahari terbenam. Bulan yang beredar dengan had laju relatif 1,800 kilometer sejam akan mula memasuki zon bayang luar bumi pada kira-kira pukul 7.33 malam. Bayang bumi akan mula menyentuh sisi sebelah kanan bulan tepat pukul 8.46 malam menandakan permulaan fasa gerhana bulan dan masa yang diambil oleh bayang gelap itu untuk menyapu keseluruhan muka bulan hanya 75 minit.
gerhana bulan
"Selepas itu bulan akan mengalami gerhana penuh selama kira-kira 48 minit, kelihatan seperti sebiji bola raksasa berwarna kuning tembaga kerana kesan serakan cahaya dari kawasan bayang luar," jelas kenyataan itu lagi. Peringkat pertengahan gerhana penuh itu dihitung berlaku pada pukul 10.32 malam ketika ketiga-tiga jasad samawi iaitu bulan, bumi dan matahari berada dalam kedudukan satu garisan dan satu satah.

"Ia menandakan fasa purnama Muharam 1433 Hijrah yang sama dengan kemuncak gerhana penuh dan jangkamasa bulan melewati kawasan bayang dalam bumi ialah selama tiga jam 22 minit sehingga gerhana berakhir pukul 12.18 pagi," jelas kenyataan itu lagi. Menurut kenyataan itu, solat sunat gerhana bulan di negara ini boleh dilakukan sebaik sahaja bayang bumi mula kelihatan di permukaan bulan iaitu kira-kira pukul 8.46 malam.

Sumber : Utusan Malaysia & http://akid89.blogspot.com/

0 comments:

PANDUAN SOLAT SUNAT GERHANA BULAN/MATAHARI




HUKUM SOLAT GERHANA

Sunat Muakkad ( ( مؤكدة

CARA-CARA SOLAT

Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang
masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat
ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

CARA-CARA PELAKSANAANNYA

Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara :
Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; adapun bagi
gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan diangkat suara seperti mana-mana solat
malam.

Cara Pertama : Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua
rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua : Disebut dengan “ أدنى الكمال ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan
dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu
rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap
qiam itu.

Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas
takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana
surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam
kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua).
Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud
kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang
kedua.

Cara Ketiga : Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua
akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama
hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang
sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi
qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua
qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam
yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah.
Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan
kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga
70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Waktunya

Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana
sehinggalah selesai.

Tempat Solat

Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa
dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA
1. Disunatkan mandi sebelum solat.
2. Bilal Menyeru : " As- Solatu Jami'ah"
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.

(1) Lafaz niat untuk gerhana bulan
“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah
Ta’ala”.

(2) Lafaz niat untuk gerhana matahari
“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah
Ta’ala”.

5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti
khutbah Hari Raya).

INGATAN :
1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau
rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah
menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin
Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara
perlahan ( سر ) , manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya
dilakukan dengan suara yang nyaring ( .(جهر

Sumber : Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

0 comments:

[Tinta Presiden] Tazkirah: Puasa Hari ‘Asyura~


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Bismillah walhamdulillah, bersempena dengan kedatangan hari ke-9 (tasu’a) dan ke-10 (‘asyura) Muharram ini saya ingin mengingatkan teman-teman terutamanya mahasiswa/i UMP sekalian tentang kita semua disunatkan berpuasa pada hari-hari berkenaan. Sekurang-kurangnya berpuasalah pada 10 Muharram seperti yang disebutkan dalam hadith-hadith berikut: 

Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).

Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” (Riwayat. Muslim).

Daripada Ibnu Abbas r.a.:”Tidak aku melihat Nabi s.a.w berusaha berpuasa melebihi hari-hari lain selain hari ini, iaitu hari Asyura dan di bulan ini iaitu bulan Ramadan” (Riwayat Bukhari)

Semoga Allah merahmati kita semua dalam berlumba-lumba mendampingiNya.


Sekilas Hari ‘Asyura


'Asyura berasal dari kata ‘asyara, artinya bilangan sepuluh. Secara istilah Puasa ‘Asyura adalah puasa yang dikerjakan pada tanggal 10 Muharram pada Kalender Islam Hijriyah. Untuk tahun 1433 H maka hari ‘Asyura bertepatan dengan 6 Disember 2011 M, yang ertinya pada hari Selasa nanti.

Selain daripada saranan berpuasa sunat, banyak pandangan dan pendapat mengatakan digalakkan bersedekah, berziarah, mengembirakan anak-anak dan sebagainya. Bagi saya yang afdhal bertepatan dengan nas hadith adalah berpuasa sunat, akan tetapi ia tidak bermakna amalan yang lain tidak boleh dilakukan, selagi ia perbuatan mahmudah dan ada sandaran dari nas dan diyakini ada ganjaran tiada masalah untuk dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

Tambahan lagi, hadith berpuasa sunat yang dikongsikan diatas menunjukkan bahawa Hari 'Asyura merupakan hari yang paling afdhal untuk berpuasa selepas bulan Ramadan dan Hari Arafah. Biarpun sunat puasa pada 10 Muharam lebih elok jika berpuasa sama ada pada 9 dan 10 atau 10 dan 11 Muharam bagi mengelakkan menyamai puasa orang Yahudi.

Kesimpulan

Masyarakat hari ini perlu peka dan meraikan Hari 'Asyura dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kami warga Sahabat Masjid (SAHAM) UMP ingin menyeru sahabat-sahabat dan mahasiswa/i sekalian agar kita bersama-sama menghayati dan memanfaatkan sambutan Hari 'Asyura demi meningkatkan keimanan terhadap Allah swt. InsyaAllah.

Oleh: Abdul Basith Abdul Halim | Presiden Sahabat Masjid (SAHAM) UMP

“Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah”
~Together With SAHAM~

0 comments:

[Tinta Presiden]Biah Solehah: Perlu dihidupkan, diamalkan dan diperkasakan!


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam mahabbah buat teman-teman mahasiswa.

Bismillah walhamdulillah, bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas segala limpah kurnia yang tidak kunjung malap buat hamba-hambaNya. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Doa dihulurkan buat para pejuang Islam, serta seluruh umat Islam, semoga berada di bawah rahmat dan inayahNya.


Pesanan buat aktivis dakwah

Hari ini genap 192 hari Saff Kepimpinan Sahabat Masjid (SAHAM) UMP sesi 2011/2012 memegang amanah dakwah di lapangan masyarakat khususnya di bumi UMP. Bermottokan “Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah” buat sesi kali ini, harapan menggunung tinggi memperlihatkan satu suasana yang kondusif(biah solehah) subur di bumi UMP. Tugas menyeru dan mengajak ke arah Islam tidak pernah berhenti. Dari semasa ke semasa usaha dakwah perlu diperhebatkan supaya dakwah membumi kepada seluruh masyarakat kampus.

Dakwah yang dipikul bukan suatu yang ringan dan mudah. Tidak pula dihamparkan dengan satu perjalanan yang tidak berduri dan berliku. Dengan ketulusan ikhlas dan pengharapan kepada Allah Ta’ala yang tinggi dalam setiap gerak geri, memperlihatkan satu kemudahan dan kesenangan buat sang pemikul. Natijah pengharapan yang tinggi kepada Allah ditunjukkan dalam penceritaan sirah hijrah Baginda Muhammad SAW dan sahabat seperjuangan, Saidina Abu Bakar As-Siddiq sewaktu bersembunyi di dalam Gua Thur.
Firman Allah Ta’ala

"Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita"
(At-Taubah:40)

Seterusnya, optimis terhadap kemenangan memang merupakan modal besar perjuangan yang tidak boleh dilupakan dan ia mestilah tertanam kuat dalam sanubari aktivis dakwah kerana kemenangan adalah tradisi dakwah yang diwarisi, selama mana syarat-syaratnya dipenuhi iaitu kebersamaan kita dengan Allah Ta’ala.

Tidak ada perkataan kalah dalam kamus aktivis dakwah selama mana kita bersama barisan kebenaran dan selama mana kebenaran tetap ada dalam hati-hati kita. Mehnah dan tribulasi yang hebat di awal perjuangan sering mengusik hati terhadap sebuah sikap optimis.

Dikisahkan seorang sahabat Nabi, Khabab Al Araat ketika menerima tekanan yang dirasakannya dahsyat. Jangankan untuk membela diri, malah menghindarkan dari kesulitanpun sukar dilakukan. Tidak tahan melihat kenyataan yang dihadapi maka beliau mengadu kepada Rasulullah saw :

"Ya Rasulullah tidakkah engkau mampu berdoa kepada Allah agar Allah membinasakan orang kafir yang melampaui batas?"

Namun Rasulullah SAW menjawab dengan nasihat dan sikap optimis :

"Wahai Khabab, sesungguhnya orang-orang sebelum kita ada yang dikubur hidup-hidup, disikat dengan sikat besi dan dibelah menjadi dua, akan tetapi engkau tidak sabar. Ketahuilah bahwa Allah akan memenangkan agama ini hingga orang akan merasa aman ketika berjalan dari Sanaa ke Madinah dan tidak ada yang ditakuti kecuali haiwan buas."

Dalam medan sesukar manapun, sikap optimis terhadap kemenangan tidak boleh hilang. Hilangnya sikap optimis bererti hilanglah kemenangan. Putus asa dan tidak berdaya dalam menghadapi kesukaran yang dahsyat adalah ditolak sama sekali. Kebenaran yang dibawa adalah modal membangun sikap optimis. Selagi kita berada dalam kebenaran, sikap optimis terhadap kemenangan sentiasa ada.

Ingatlah, keikhlasan niat, pergantungan yang tinggi kepada Allah serta optimis terhadap kemenangan adalah kunci kejayaan dakwah kita.


Perkasa Biah Solehah (Persekitaran yang kondusif)

Pembentukan syaksiah masyarakat khususnya masyarakat kampus sedikit mendukacitakan. Dengan kewujudan masalah pergaulan bebas, berpacaran sesama yang bukan mahram, pendedahan aurat serta budaya hiburan yang tidak dikawal dijuarai oleh golongan muda kini.

Mahasiswa yang menuntut ilmu di universiti sepatutnya lebih peka akan tanggungjawab mereka yang sebenar. Kita berperanan menghidupkan suasana soleh yang dianjurkan Islam. Adalah sangat menghairankan apabila medan yang menjadi pusat ilmu ini dicemari dengan perlakuan yang sosial, bahkan lebih menghairankan lagi gejala sosial ini semakin berleluasa di medan ilmu.

Biah solehah atau persekitaran yang kondusif yang dianjurkan Islam sewajarnya dihidupkan, diamalkan dan diperkasa sepenuhnya oleh kita sekaligus memenuhi tuntutan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar. Dr Yusuf Al-Qardawi pernah menyatakan dalam kitabnya, Kewajipan Remaja Muslim Pada Hari Ini, “Remaja adalah waktu yang menunjukkan tempoh kekuatan seseorang dan semangat yang kuat kerana ia adalah pertengahan umur dan setiap perkara pertengahan adalah yang terbaik. Ketika mana matahari berada di langit pada waktu tengah hari,cahayanya lebih kuat dan bahangnya yang panas. Jadi waktu remaja ini adalah tempoh kekuatan dan semangat di dalam umur manusia. Dan dari sinilah pentingnya untuk mengambil berat terhadap tempoh tersebut. Tempoh ini merupakan satu tempoh atau marhalah untuk memberi, berusaha, dan mampu untuk menanggung ujian-ujian. Justeru, para pendakwah dan pelindung-pelindung risalah Allah adalah remaja.”

Tuntutan biah solehah mesti diteruskan. Maka, Sahabat Masjid (SAHAM) pada sesi ini berbesar hati meneruskan lagi agenda dakwah buat masyarakat kampus khususnya. Sahabat Masjid (SAHAM) melalui Biro Dakwah dan Biro Latihan & Kepimpinan berperanan penuh dalam melahirkan insan-insan yang benar-benar takutkan PenciptaNya dengan melakukan amalan soleh dan menjauhi segala maksiat yang terlarang.

Akhirnya, semoga segala gerak kerja Sahabat Masjid (SAHAM) dipermudahkan. Kerjasama dan bantuan dari semua pihak termasuklah dari Pihak Pentadbiran, Pihak Keselamatan, Institusi Felo, Majlis Perwakilan Pelajar dan seluruh staf dan mahasiswa amat diharapkan. Seperti yang digariskan oleh Dr Yusuf Al-Qardawi, kewajipan beramal dan berdakwah dalam Islam perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Mudah-mudahan amalan kita diterima disisi Allah Ta`ala.

“Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah”
~Together With SAHAM~

Abdul Basith Abdul Halim
Presiden,
Sahabat Masjid (SAHAM) UMP 2011/2012.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails