Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.
Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts



Hujung minggu yang tenang. Hafiz melangkahkan kaki ke ke kamar Rasyid, seorang ikhwah yang sama-sama ditarbiyah bersamanya. Pintu bilik diketuk. Salam diberi. Tiada jawapan. Sekali lagi diketuk dan salam diberi. Juga tiada jawapan.

'Mana dia ni? Tidur ke?'

Hafiz menguak pintu bilik. Lalu terlihat Rasyid sedang asyik menghadap desktop. Telinganya ditutupi headphone. Tangan kanannya yang memegang tetikus digerak-gerakkan. Jemari kirinya pula menekan-nekat papan kekunci. Matanya difokuskan ke arah skrin. Sedikitpun tidak beralih. Skrin menunjukkan gambaran sepasang tangan yang sedang memegang senapang jenis rifle. Sesekali muncung senapang itu mengeluarkan cahaya ketika butang tetikus ditekan.

Hafiz menggeleng-gelengkan kepala. Rasyid dihampiri. Salam diberikan sekali lagi betul-betul di sebelah telinga Rasyid. Kekhusyukkan Rasyid yang tiada taranya itu menyebabkan dia langsung tidak menyedari kehadiran Hafiz di sebelahnya. Hafiz semakin geram. Diangkatnya sedikit headphone yang menutupi telinga kanan Rasyid lalu memekik,

"Woi! Khusyuknya!!!"

Rasyid sedikit terlompat. Terkejut. Segera menoleh ke arah Hafiz.

"Hisyh! Mung nih! Masuk bilik orang berilah salam!" Loghat Terengganunya masih memekat.

"Salam apekebendanya lagi. Aku bagi salam sebelah telinga kau pun kau tak dengar! Khusyuk mengalahkan orang solat!"

Rasyid hanya mendengus. Kembali menatap dekstop. Permainan Counter Strike diteruskan. Hafiz semakin berang dengan tindakan Rasyid. Namanya sahaja ikhwah yang ditarbiyah. Tapi main game tak pernah lekang. Asal hujung minggu sahaja mesti main game. Bukan hanya hujung minggu, malam-malam biasa pun kadang-kadang Rasyid tidur lewat dengan alasan yang sama. Movie, anime dan game. Hafiz tidak boleh menerima.

'Aku pun dulu gila game, komik dan movie juga. Tapi dah lama aku tinggalkan. Dia ni bukannya tak faham. Tiap-tiap minggu pergi halaqoh, apa yang didengarnya?' Getus hatinya.

5 minit kemudian, Rasyid masih di hadapan dekstopnya. Bilangan musuh yang 'dibunuh' semakin tinggi. Hafiz semakin hilang sabar.

"Rasyid! Sudah-sudahlah tu! Kau nak main game sampai bila? Kau bukan tak tahu apa yang kau buat ni membuang masa! Sia-sia! Ini bukan ciri-ciri orang beriman!" Suaranya ditinggikan.

Rasyid tetap seperti tadinya. Tidak ada tanda-tanda untuk merespon kata-kata Hafiz.

"Rasyid! Kau dengar tak ni? Cukup-cukuplah tu! Inikah sikap orang-orang yang ditarbiyah? Orang yang kononnya nak membela agama Allah. Nak memartabatkan kalimah Allah di muka bumi. Macam inikah sikapnya orang yang beriman? Buang masa depan dekstop sambil main game?"

"Aku tengah berlatih nak berjihad lawan musuh Islamlah ni. Ni belajar strategi lawan musuh. Nanti kalau pergi Palestin, boleh aku rancang strategi perang!" Rasyid menjawab dengan bersahaja.

Hafiz semakin pitam. Nasihat yang diberinya sepenuh hati dibalas dengan loyar buruk yang baginya cukup bodoh untuk diutarakan. Darah mudanya semakin membuak. Hendak sahaja Rasyid ditempelengnya atas jawapan bodohnya itu.

"Woi! Kau jangan buat lawak bodoh boleh tak!? Orang bagi nasihat betul-betul, kau balas mengarut-ngarut macam ni! Nak berjihad di Palestin konon. Takde mahunya tentera israel tu kau kalahkan dengan berlatih main Counter Strike macam ni. Setakat gerakkan 2-3 batang jari kau ingat kau larat kalahkan mereka? Nak lari keliling padang sekali pun tak larat. Nak berjihad konon. Sedarlah diri sikit!"

Sengaja disebutkannya tentang lari keliling padang. Ketika fitness test minggu lepas Rasyid hanya mampu menghabiskan larian satu pusingan padang, itu pun 10 minit lebih lambat daripada ikhwah-ikhwah yang lain.

"Yelah! Aku berhentilah! Bising betullah kau ni!" Sambil mendengus-dengus dia menutup tetingkap Counter Strike. Namun dibukanya pula tetingkap lain. Muncullah animasi jepun yang agak popular, Eye Shield 21.

"Pulak! Kau ni memang tak ada kerja lain ke? Tilawah quran kau dah selesai untuk hari ni?" Hafiz kembali bersuara.

"Dah, tadi sebelum main Counter Strike. Aku baca satu muka."

"Satu muka je? Itu tak sampai pun 5 minit. Kalau main game tadi berapa jam dah? Tak seimbanglah macam tu."

"Eh, Hafiz. Hari ni hari Sabtulah. Rehat-rehatlah dulu. Nanti aku buatlah benda lain. Sibuk betul kau ni. Dah, aku nak pergi tandas sekejap. Sakit pula perut ni."

'Rehat-rehat konon. Tiap-tiap hari macam ni. Kalau sibuk study tak apa juga. Ini buang masa.'

Hafiz termenung memandang skrin desktop ikhwahnya itu. Lalu muncullah sebuah idea yang menurutnya bergeliga.

'Lepas ni kau tak akan main game lagi!'

Lalu desktop Rasyid didekati dan tetikusnya digerakkan membuka berapa folder. Setelah menemui apa yang dicarinya, jejarinya menekan suatu butang di papan kekunci. Hafiz tersenyum lalu meninggalkan bilik tersebut.

Tidak lama kemudian Rasyid pulang ke bilik. Hajat di hati hendak menyambung menonton animasi Eye Shield 21. Namun dilihatnya tetingkap pemain videonya telah ditutup.

'Ini mesti kerja Hafiz.'

Lalu dia membuka folder yang menyimpan file-file animasinya. Namun, tidak berjumpa.

'Eh, mana folder tu? Takkan hilang? Tadi ada lagi.' Rasyid semakin tidak keruan.

Dicarinya pula folder-folder menyimpan game-game kesayangannya. Juga tiada! Semua sekali telah diuninstall tanpa kesan. Rasyid tidak dapat menyembunyikan resahnya lagi.

"Hafiiz!!!!"



Seminggu kemudian...



"Assalamu'alaikum Warahmatullah!"

"Wa'alaikumussalam Warahmatullah! Akh Adib, jemputlah masuk."

"Apa khabar iman? Sihat?"

"Alhamdulillah, sihatlah juga. Naik turun. Tapi insya-Allah akan sentiasa lebih banyak naiknya daripada turun."

"Insya-Allah, amiin. Akh, tau tak ada ikhwah batch antum dah keluar halaqoh?"

"Hah? Siapa?"

"Rasyid. Dia kata dia tak tahan dengan dakwah ni. Dia nak bebas."

Hafiz terkesima. Perlakuannya Sabtu lepas kembali bertamu di fikirannya.

"Ya-Allah...apa aku dah buat.." Tiba-tiba Hafiz bermonolog.

"Kenapa akh? Tiba-tiba muka bersalah semacam ni?"

Dengan suara yang lemah, Hafiz menceritakan apa yang telah berlaku antara dirinya dan Rasyid tempoh hari. Adib mendengar dengan saksama.

"Akhi, niat antum untuk menegur tu memang baik. Tetapi caranya kurang berhikmah dan maafkan ana, ianya tidak tepat."



"Ana fikirkan yang ana boleh tinggalkan semua jahiliyah-jahiliyah tu, kenapa dia tak boleh? Itu yang ana tegur dia habis-habisan, buang semua game dan movie dia. Biar dia tak sentuh lagi benda-benda tu semua."

"Kita tak boleh menganggap semua orang sama dengan diri kita. Setiap orang penerimaannya berbeza. Kita kena bijak mengadaptasi suasana. Kesilapannya memang perlu ditegur, tetapi perlulah dengan cara yang lebih tepat."

"Ana pun rasa macam tu. Silap ana tegur terlampau keras."

"Dan sebenarnya, antum tidak perlu menyusahkan diri mengubah dia sekeras itu. Cukup tugas antum dengan melaporkannya kepada ana, murobbinya. Di dalam halaqoh ana akan berikan pemahaman yang sesuai kepadanya. Di dalam halaqoh, itu saat yang terbaik untuk menegur, kerana di saat itu seseorang memang bersedia untuk mendengar dan membuka mindanya. Kalau antum paksakan dia mendengar ketika dia sedang seronok main game, tentu dia tidak akan mengambil pengajaran sama sekali."

"Afwan akh, ana khilaf. Ana tak tahu berdakwah dengan berhikmah."

"Tidak mengapa. Ini pengajaran untuk kita bersama. Tarbiyah langsung daripada Allah, buat kita jadikan pedoman dalam mengharungi jalan dakwah yang penuh liku ini. Semoga dakwah kita semakin berhikmah."

"Insya-Allah..."
Angin bertiup lembut, selembut sutera2 yang di bentangkan di atas satu kawasan yang lapang, dilapik pula dengan jutaan kapas2 yang kering dan berbau harum, lalu dia berbaring-baring di atasnya.

Begitulah perumpamaan yang dapat di buat oleh Muslim dengan keadaan angin pada petang itu.

Sungguh mempesonakan. Dapat dia rasakan perasaan itu sungguhpun cuaca pada petang itu agak sedikit membahang. Membakar sel2 kulit yang terdedah. Mungkin di sebabkan faktor geografi, agak hatinya sendirian.

Muslim baru sahaja menghabiskan bacaan Ma’thurat di masjid, beberapa minit yang lalu. Cadangnya pada petang itu untuk keluar bersiar-siar di sekitar kawasan tasik. Hanya sekadar untuk melempiaskan sedikit kepenatan yang ditanggung selepas seharian berkuliah dan mentelaah pelajaran.

Dengan jarak yang tidak terlalu jauh daripada kawasan kediaman bloknya, Muslim hanya mengambil masa kurang dari 10 minit untuk sampai ke tempat yang ingin di tujunya.

Dengan berpakaian baju t-shirt berkolar dan berseluar track putih, Muslim mengatur langkahnya berseorangan menuju ke kawasan tasik. Memang dia mahu berseorangan pada petang itu, di samping dapat menikmati keindahan panorama tasik, di lengkapi pula dengan ikan2 yang berenang riang di dalamnya. Sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan yang ada di dalam benaknya.


“Hai Muslim. Nak kemana sorang2 tu ?”

Tanya Saleha, rakan sekelasnya.

Kelihatan Saleha baru sahaja keluar berjogging bersama rakan-rakannya yang lain. Masing2 mengikut style masing2. Ada yang memakai seluar 3 suku, ada yang memakai baju yang sedikit ketat dan sendat. “Mungkin nak memudahkan pergerakan time berjogging kot” , fikir Muslim sendirian sehingga terlupa dengan sapaan yang diberikan oleh Saleha sebentar tadi.

Sebaik teringat akan sapaan rakannya tadi, Muslim hanya membalas dengan satu senyuman, lalu menunduk untuk tidak terus menatap wajah itu lama2. Satu senyuman kambing yang sengaja dilemparkan. Senyuman yang penuh dengan kepura-puraan. Boleh juga dikatakan terlalu tawar senyumannya itu. Sedikit pun tidak dapat membahagiakan sesiapa yang melihatnya. Dengan tujuan terpaksa.

“Huh, dasar budak sombong !”

Balas Saleha dengan nada yang geram. Ketawa kecil beberapa orang rakannya yang berada di sebelahnya. Lalu mereka pergi meninggalkan Muslim yang berjalan seorang diri.

Muslim hanya memerhatikan gelagat Saleha dari pandangan yang jauh, sejurus selepas menyapa dirinya. Dia hanya mampu untuk menggelengkan kepalanya yang serabut itu beberapa kali. Kadang kala, dia sendiri berasa bingung dengan keadaan beberapa orang pelajar perempuan yang berperangai seperti Saleha. Jika dibilang secara rawak, anggarannya mungkin lebih kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar perempuan yang menuntut di situ yang berperangai seperti Saleha.

Bagi Muslim, ini bukan pertama kali dirinya diusik sebegitu rupa. Malahan ada yang jauh lebih dasyat lagi. Tapi bagi dirinya, hanya kekuatan iman seseorang itu yang mampu dijadikan benteng pertahanan terhadap godaan2 yang menimpa. Pernah juga terdetik di hatinya, apakah mereka tidak tahu akan kesan yang bakal berlaku sekiranya perangai tersebut tidak diubah ? Ataupun kerana mereka mengalami kejutan budaya ? Ataupun juga pengaruh rakan sebaya ?

Muslim kembali terkenang pada peristiwa yang berlaku pada bulan lepas, iaitu semasa jamuan hari raya aidilfitri yang diadakan di dewan besar kolej. Majlis itu diadakan seminggu selepas kembali daripada cuti berhari raya di kampung halaman masing2. Semua pelajar diminta untuk memakai baju raya yang bersesuaian. Ada yang memilih untuk bersampin. Ada yang ingin memakai songket.

********

Muslim hanya memilih untuk memakai Baju Melayu berwarna merah hati yang dibelinya sebelum pulang beraya di kampung pada hari itu.

“Lem, ang nak pinjam songkok aku tak ?”

tanya Amirul, kawan sebiliknya sebaik melihat Muslim mengenakan kopiah putih di atas kepalanya.

“Tak pa kot Mirul. Aku nak pakai kopiah ja hari ni. Bagi nampak pelik sikit daripada orang lain. Hehe.”

balasnya bersahaja. Sebenarnya dia lebih selesa memakai kopiah daripada memakai songkok. Mungkin sedah terbiasa, fikirnya sendirian.

“Huh, pakai baju tu dah smart dah. Tengok2 kopiah yang ang pakai. Pakai la songkok aku ni, baru la nampak matching ngan baju yang ang pakai tu..”

“Ala, tak yah matching2 pun tak pa. Yang penting keselesaan dan tak lari daripada cara pemakaian yang Islam anjurkan. Kalau pakai matching2 pun, tapi aurat terbuka sana sini, berdosa juga kan ?”

Muslim cuba membetulkan pemikiran Amirul mengenai cara pemakaian.

“Yala2. Memang betul pun pa yang ang kata tu. Aku sokong ja.”

balas Amirul ringkas. Sengaja tidak mahu dipanjangkan cerita kerana masa jamuan akan bermula tidak lama lagi.

********
Mereka berjalan bersama menuju ke pintu masuk dewan. Kelihatan begitu ramai orang yan menghadiri majlis pada hari itu. Semuanya berpakaian serba baru. Bagi pelajar lelaki, lagaknya saling tak tumpah gaya seorang pahlawan melayu zaman dahulu kala. Bagi yang perempuannya pula, mekap tebal di muka menjadi kebiasaan. Pintu masuk ke tandas perempuan pasti sukar dilihat statik. Pasti ada sahaja yang keluar masuk untuk membetulkan mekap dan sebagainya. Ada yang berbaju kurung. Ada yang berbaju kebaya. Tak kurang juga ada yang berpakaian muslimah masa kini, berbaju jubah dan bertudung labuh. Tapi itu hanya gambaran kasar yang dibuat Muslim di dalam benaknya. Sekadar mahu berbicara sendirian.

“Mak ai.. Ramainya orang kat sini. Selalu tak ramai macam ni pun. Betol tak Lem ?”

sapa Amirul kepada Muslim kerana melihat sahabatnya itu kelihatan tercengang-cengan di muka pintu.

“A’a la.. Aku pun rasa camtu jugak. Takpa2. Abaikan ja orang2 tu. Yang penting aku nak rasa semua makanan yang sedap2 hari ni. Hehe.”

Mereka melangkah ke tempat2 hidangan makanan. Sambil memilih2 juadah yang disediakan, kedengaran seperti ada suara yang sedang memanggil-manggil Amirul.


“Amirul..! Amirul..! Sini jap..”

“Mirul, ada orang panggil ang tu. Ada hal penting yang dia nak bgtau kot”

“ Ea ? Mana2 ?”

“Mirul’ sini jap”

suara itu terus memanggil Amirul. Seperti hendak mengkhabarkan sesuatu yang penting kepada dirinya.

“Laa. Ang ka yang panggil aku tadi. Ada pa ?”

Amirul kenal benar dengan wajah yang memanggil namanya tadi. Saleha namanya.

“I nak tangkap gambar dengan U sekali, untuk buat kenangan bole ?”

Saleha bertutur dalam nada sedikit manja.

“Oo, nak ambil gambarsekali ngan aku rupanya. Bole ja. Tak dak masalah.. “

Muslim hanya memerhatikan gelagat sahabatnya itu. Dalam dirinya timbul satu perasaan. Perasaan benci. Bukan benci kepada sahabatnya itu kerana dipelawa untuk bergambar. Akan tetapi benci dengan kemungkaran yang sedang berlaku dan bakal berlaku lebih hebat di hadapan matanya pada waktu itu. Sungguhpun Amirul itu adalah sahabatnya, namun dia berasa tidak mampu untuk menegur perlakuannya.

“Mirul, jauhnye U berdiri. Rapat la sikit dengan I. Nanti gambar badan U jadi separuh je tau.”

Amirul bergerak menghampiri tubuh Saleha. Dirapatkan sedikit selepas Saleha berkata demikian.

“Yala2. Aku dah rapat ni. Cepat la ambil gambar.”

“Ok. Dah. Sekarang kita tukar posing pulak.. U duduk kat kerusi ni, I berdiri kat belakang U..”

“Ish2 ang ni. Macam2 gaya la pulak. Tapi tak pa. Yang penting aku nak ang cuci gambar2 tu nanti. Aku nak simpan buat kenangan.. Hehe, bukan senang nak tangkap gambar dengan orang yang paling ‘hot’ kat kolej kita ni kan ??”

“Haha.. U ni.. I x de lah hot sangat.. Biasa2 ja..”

tersipu malu Saleha apabila menerima pujian Amirul.

“Lagi, nak posing camna lagi ?”

“Kita posing sambil salam nak ? Baru la nampak macam hari raya sket. Ni tak.. Asyik posing style berdiri ngan duduk ja”

“Orait. Aku no hal la. Gambar raya punya pasal, aku on ja. Cepat la kita buat2 salam”

“K2.. Ready2..”

Mereka bersalaman antara satu sama lain. Tanpa ada rasa malu. Tanpa ada rasa berdosa. Dengan tujuan, sekadar mengambil gambar untuk kenang-kenangan.

“Ok, dah siap..!”

“Ok2.. Nanti dah cuci, bagi kat aku sekali tau”

“Ok, no hal la. Thank you Mirul”

“Haha. Sama2”

**********

Amirul mencari-cari kelibat Muslim di bahagian mengambil makanan. Tidak kelihatan jasadnya di situ. “Mungkin sudah pergi ke tempat lain gamaknya,” gumamnya sendirian. Tiba2 Saleha sekali lagi memanggil namanya.

“Mirul, I nak ambil gambar ngan kawan U tu bole tak?”

“Ala, ang tanya ja sendiri kat dia. Rasanya dia tak dak masalah kot.”

“Oo.. K2.. Apa nama kawan U ?”

“Muslim..”

balas Amirul ringkas.

Saleha bergerak di dalam kelompok manusia yang sesak itu. Sekali sekala dia menegangkan lehernya agar dapat melihat kelibat Muslim dari kelompok manusia yang ramai itu. Akhirnya, berjaya juga dia menemui Muslim yang kelihat sedang melangkah keluar dari dewan untuk pulang ke asrama.

“Muslim.. U free tak sekarang ni? I nak ambil gambar dengan U ni. Untuk kenangan sepanjang kita kat matrik ni.. Bole ?”

Muslim tersentak di saat Saleha memanggil namanya. Belum pernah lagi seorang perempuan memanggil dirinya sebelum ini. Yang ada pun atas dasar tugasan yang harus dilaksanakan dalam satu kumpulan. Mungkin kerana dia kurang bergaul dengan golongan Hawa, fikirnya.

“Maafkan saya ye. Kalau tak jadi keberatan, bole saya tahu apa tujuan untuk kita bergambar ye ? Lagipun saya tak kenal dengan awak..”

“Oo.. tujuan ea.. Tak da pa tujuan pun. Just ambil gambar untuk buat kenangan.. Bole ?”

“Hmm.. Maafkan saya ye. Saya tak pernah lagi dan tak nak ambil gambar dengan perempuan yang tak halal bagi saya.. Lagipun tak elok bila orang tengok kita bergambar dan bole mengundang dosa bila buat macam tu nanti.. Fitnah pun bole timbul nanti”

Muslim memberi seribu alasan bagi menolak pelawaan Saleha. Di keluarkan pendapatnya itu sehikmah mungkin, agar Saleha tidak berasa hati dan dapat menerima pendiriannya.

“Ala.. Bukan nak buat apa pun. Just nak ambil gambar je”

nada Saleha menjadi lebih manja dan menggoda.

“Tak pa.. Saya hargai niat baik kamu tu. Tapi bukan dengan saya untuk awak laksanakan tujuan hati awak.. Lagipun saya ada prinsip saya sendiri. Dan tidak mengambil gambar dengan mana2 perempuan yang bukan muhrim bagi saya, termasuk dalam list prinsip hidup yang telah saya pegang selama ini.. Saya harap kamu faham..”

Saleha berasa sedikit tercabar dengan kata2 yang dikeluarkan daripada mulut Muslim. Ternyata pelawaannya itu ditolak mentah2 oleh Muslim. Belum pernah ada seorang pun yang menolak permintaannya selama ini.

“Cis, dasar budak kampung.. ! Weh, ingat hensem sangat ke ha..?! Aku pun tak hingin la nak bergambar dengan kau.. Budak kolot !!

Saleha memaki hamun Muslim tanpa menghiraukan tetamu2 yang berada disekitar kawasan mereka berbicara. Tetamu yang terdengar suara Saleha, hanya termanggu kehairanan. Hairan dengan apa yang sedang berlaku sebentar tadi..

Muslim segera beredar dari kawasan itu tanpa meminta maaf daripada Saleha dengan tujuan tidak mahu terjadi perkara2 yang tak di ingini berlaku. Baginya, tidak perlu dia meminta maaf kerana bukan dirinya yang bersalah. Dan dia tidak mahu nanti diantara tetamu2 yang berada di situ, berfikir yang bukan2 tentang mereka. Dalam hatinya, dia memanjatkan kesyukuran kepada Illahi kerana berjaya menolak daripada terjerumus ke lembah fitnah manusia, godaan syaitan dan godaan dunia yang semakin hari semakin hebat dan semakin dashyat.

Tapi, di sebalik kesyukuran itu, timbul di hatinya kekecewaan. Kecewa dengan perangai umat pada zaman kini yang semakin hari, semakin jauh daripda pegangan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.AW.. Jika mengikut syari’at Tuhan pun di anggap kolot dan kekampungan, ajaran mana lagi yang mahu diikuti sebagai panduan hidup ? Itu baru segelintir yang dapat dilihat di hadapan matanya. Belum lagi yang masih hanyut dalam tipuan dunia yang senantiasa menipu golongan manusia sehingga ke hari kiamat.

Di kuatkan azam di dalam hatinya. Dia menganggap semua yang berlaku itu, tentu ada hikmahnya. Dan setiap hikmah itu, pasti berguna bagi kehidupannya pada masa akan datang, dengan tujuan dapat memantapkan lagi kehidupannya di dunia ini sebagai seorang hamba kepada Tuannya.. dan seorang hamba itu, tidak lain dan tidak bukan, hanyalah mengikut apa yang telah disuruh, dan meninggalkan apa yang telah dilarang..

**********

Musim merehatkan mindanya di tasik pada petang itu. Segala kekusutan yang bermain di mindanya, di harap dapat di bungkus dan di lemparkan ke arah tasik. Dihirupnya udara di situ sedalam-dalamnya. Begitu segar sekali udara pada petang itu. Dihayati setiap kehidupan yang berada di sekitar tasik itu sambil memuji-muji kebesaran Illahi yang terlalu besar nikmat yang diberikan olehNya kepada hamba2Nya yang beriman..

Ilalliqa'..
sumber: blog islam itu indah



Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi. Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi
pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga, lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik.

Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar, tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini.

Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat
kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud,adik sujud.

Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi.

Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata.
Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik.

Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku. "Waliiiiiiiiiiiiiii i iiiiiiiiiiiiiiii d!!!!!!!"

Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis. Abang dah
besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid.

Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk." Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya.

Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek. Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya
bola seperti yang disangka adik. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk.

Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menanggis, orang lelaki kena kuat dan tabah.

Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali.

Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang. "Abang nak pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh. "Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi.Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang.

Lepas abang pergi ummi cerita macam-macamperkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi. Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil. " terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil.
Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak.

Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di
kepala adik peristiwa yang menimpa walid.

Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu. Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi.

Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya
dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.

"Ummi, Kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik. "Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan. "Cantik macam syurga ke ummi?" adik tanya lagi. Ummi senyum. "Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi.

Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran. "Bismillahirrahmani r rahim.." Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik.

Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya
harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Quran hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran.

Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar. "Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul Mak Cik Fatima di depan rumah. "Anakmu,anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda. Tindakannya
menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil.Bukan. .Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang.

Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana . Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan.Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri orang munafik ialah mungkir apabila berjanji. Adik tidak mahu jadi
munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid, kemudian abang dan akhirnya Jamal.

Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah.

Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu kalimah keramat..Ahad. .Ahad.

Mata adik merah. Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar diwajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba... ..

"Muhammad!!! ! !!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuhnya untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa. Ummi peluk adik. Ummi menangis
semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit. "Ummi.adik rasa mengantuk, adik nak tidur. Adik nak jadi mujahid,adik nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk, berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.

Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.


“Mana la abang kamu ni Zubaidah? Dah nak masuk Asar masih tak balik-balik lagi” rungut Makcik Habibah.

“Entahlah mak. Biasanya sebelum sampai Zohor abang dah ada di rumah” jawab Zubaidah.

“Eh! Mak. Tengok sana tu. Ada van masuk ke rumah kita” kata Zubaidah.

Makcik Habibah kaget. Dia tergamam melihat sebuah van menghala ke rumahnya. Dia kenal benar dengan van itu. Van jenazah hospital. Zubaidah hanya memerhatikan van itu sehingga berhenti di hadapan pintu rumahnya tanpa mengerti seperti ibunya. Keluar dua orang lelaki dari van tersebut menuju ke depan pintu rumah mereka.
“Assalamualaikum!” salah seorang dari mereka memberi salam.

“Waalaikumussalam” jawab mereka berdua.

“Makcik ni ibu Fakhruddin ya?” tanya lelaki yang seorang lagi.

“Ya” jawab Makcik Habibah.


“Kami harap makcik banyak-banyak bersabar. Anak makcik Fakhruddin kemalangan. Dia dah meninggal. Ni kami datang hantar jenazahnya” jelasnya.

“Tauke Ah Seng yang tunjukkan kami jalan ke mari” ujar lelaki yang memberi salam tadi.

Zubaidah terus mendakap ibunya serta menangis sebaik sahaja mendengar kata-kata lelaki itu. Mereka dua beranak berpelukan menangisi pemergian Kudin.

Jenazah Kudin dibawa masuk ke dalam rumah kecil mereka. Jenazahnya diletakkan ditepi pembaringan ibunya. Ibu lumpuh itu memeluk erat anaknya yang tidak lagi bernyawa. Dikucupnya kedua-dua belah pipi dan dahi jenazah anaknya itu. Kemudian diikuti oleh Zubaidah melakukan seperti apa yang dilakukan oleh ibunya. Lama dia mendakap. Dia tidak mahu melepaskan pelukannya. Makcik Habibah menenangkan anak perempuannya itu. Zubaidah mengalah dengan kata-kata ibunya. Dia terusan menangis dipangkuan ibunya.

“Nyonya! Ini kain lu kasi bungkus lu punya anak. Tadi sebelum kena langgar dia ada bili dekat gua punya kedai” kata tauke Ah Seng sambil menghulurkan kain putih yang dibeli oleh Kudin di kedainya. Makcik Habibah menyambut kain putih itu. Dia kemudian mengucup kain itu beberapa kali. Kain yang ingin Kudin jadikan baju melayu itu akan digunakan sebagai kain kapan jenazahnya. Kain putih yang ingin dijadikan bukti cintanya kepada ibu, bapa dan adiknya kini menjadi pembalut tubuhnya bertemu Allah cinta yang hakiki...

-->TAMAT


Sejak hari itu Kudin bekerja dari pagi hingga lewat petang. Berbagai-bagai kerja yang dilakukannya. Menebas, mengutip kelapa, membersih kolam ikan dan banyak lagi. Tujuannya hanya satu. Baju seragam sekolah agama. Dia mesti berusaha dengan sekuat tenaganya kerana Allah sentiasa bersikap adil terhadap hamba-hambaNya. Kurnia Allah setimpal dengan usaha hambaNya. Sekiranya kuat kita berusaha maka banyaklah yang akan kita perolehi hasilnya dan begitulah sebaliknya. Bak kata pepatah, dimana ada kemahuan di situ ada jalan.

Tiga minggu Kudin memerah keringat untuk mencapai cita-citanya. Hari ini dia akan ke kedai Ah Seng di pekan untuk menempah baju yang diingininya. Dia merasakan wangnya telah mencukupi. Sengaja dia tidak bertanya terlebih dahulu tentang harga di kedai Ah Seng seperti yang disarankan oleh Ustaz Taufiq. Upah selama tiga minggu kerja bermati-matian dirasakannya cukup untuk menempah baju seragam tersebut. Sebelum ke pekan dia bertemu dahulu dengan ibu dan adiknya Zubaidah untuk memberitahu hajatnya ini. Mereka berdua gembira mendengarnya.

“Zubaidah! Abang janji. Kalau abang dah masuk sekolah agama nanti, abang akan ajar adik apa yang abang belajar” ujar Kudin kepada Zubaidah.

“Terima kasih abang. Eh! Silap. Ustaz Abang” jawab Zubaidah sambil berseloroh mengusik abangnya.

“Ini janji abang, Zubaidah. Abang nak kita berdua jadi anak yang soleh” ujar Kudin bersemangat. Zubaidah mengangguk-angguk tanda faham dengan maksud abangnya.

“Adik jaga mak ya” pesan Kudin pada Zubaidah.

“Mak! Baju itu nanti akan menjadi bukti cinta dan kasih sayang abang pada mak, ayah dan adik. Mak doakan abang ya” kata Kudin pada ibunya.

“Mak sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anak mak” jawab ibunya dengan linangan air mata kebanggaan.

Kudin pun meniggalkan ibu dan adiknya menuju ke pekan. Dalam perjalanan dia membayangkan betapa segaknya dia dengan pakaian seragam itu nanti. Dia semestinya puas. Pakaian seragam itulah tanda cintanya terhadap keluarganya. Dan yang paling membanggakan ialah dia mendapatkannya dengan wang hasil usahanya sendiri


“Tauke! Saya mahu tempah baju untuk sekolah agama. Berapa dia punya harga?” tanya Kudin kepada tauke Ah Seng.

“Oh! Lu budak. Gua ada kenai sama lu. Bapak lu punya nama Mansur kan?” tanya tauke Ah Seng.

“Ya la tauke. Macam mana tauke boleh kenal saya punya bapak?” tanya Kudin kehairanan.

“Gua ha. Sama lu punya bapak banyak baik dulu-dulu. Lu tadi mau tempah sekolah agama punya baju bukan. Dia punya halga RM35. Tapi itu mahal punya kain la. Kalau mulah punya kain gua kasi lu RM20. Tapi itu kain Melayu bikin bungkus olang mati la” jelas tauke Ah Seng.

“Itu songkok berapa harga dia tauke?” tanya Kudin sambil menunjuk ke arah songkok hitam di dalam almari kaca.

“Itu RM25 satu. Lu mau ka?”

“Mahal la tauke. Saya ada RM30 saja”

“Ini macam la budak. Gua punya anak ala ini songkok. Dulu dia ala masuk sekolah punya pancalagam. Sikalang tatak ala pakai lagi. Gua kasi lu angkat. Hadiah gua sama lu. Dia punya kepala sama lu punya kepala ala sama”

“Terima kasih tauke. Saya mau angkat kain yang murah punya. Lebih duit ni saya bikin belanja”

“Banyak bagus la itu macam. Sini mali. Gua kasi ukur lu punya badan dulu” minta tauke Ah Seng. Sambil mengukur dia rancak bercerita itu dan ini tentang bapa Kudin. Ternyata mereka terlalu akrab suatu masa dulu.

“Lagi satu minggu lu latang sini kasi angkat lu punya baju. Itu jam juga lu boleh masuk sekolah agama” beritahu tauke Ah Seng.

“Terima kasih tauke. Ini baju tanda cinta saya pada saya punya mak, ayah dan adik saya”

“Banyak baik lu punya hati. Saya banyak suka dapat jumpa lu ini hali”

“Terima kasih tauke. Saya balik dulu”

Kudin terus berlari pulang ke rumahnya kerana terlalu gembira. Dia perlu segera sampai ke rumah untuk berjumpa ibu dan adiknya. Mereka juga harus merasai sama berita gembira ini.

“Hoi! Budak. Jangan lali. Jalan pun lu boleh sampai rumah” jerit tauke Ah Seng kepada Kudin dari dalam kedainya. Kudin berpaling sambil melambai-lambai tangannya kepada tauke Ah Seng.

“BANG!!!”

Dengan tidak semena-mena muncul sebuah kereta yang bergerak laju menghala ke arah Kudin serta melanggar tubuh kecil itu. Hentakkan yang kuat menyebabkan Kudin tercampak 30 meter ke hadapan. Tauke Ah Seng yang melihat kejadian itu di depan matanya menjerit sekuat hati. Dia kemudian berlari ke arah Kudin. Kudin yang ketika itu tercungap-cungap tanpa sebarang suara. Tauke Ah Seng memangku kepala Kudin yang diselubungi darah di atas pahanya. Dia berteriak kepada orang ramai supaya menahan mana-mana kereta untuk membawa Kudin ke hospital berdekatan.

Darah yang mengalir deras terus-menerus keluar dari mulut, hidung dan mata selain melalui bahagian kepala Kudin yang luka parah. Kaki dan tangannya terkulai. Kudin berdengkur. Dari perlahan bertukar kuat. Kemudian keluar darah berbuih dari mulutnya. Selepas itu tiada lagi sebarang tindak balas dari tubuh kecil itu. Kudin tidak bergerak. Nafas yang tadinya tercungap-cungap kini telah terhenti. Terhenti untuk selamanya. Orang ramai yang mengerumuninya menggeleng-gelengken kepala. Kudin telah pergi menemui Tuhannya.

bersambung...


Peluh mengalir deras membasahi seluruh tubuh kecil yang sedang asyik membanting tulang empat kerat. Setiap kali titisan peluh itu mengalir meluruti dahi menuju ke kelopak mata, pantas dikesat dengan lengan bajunya. Rasa letih mula menjalar perlahan-lahan menyerap ke seluruh tubuh. Namun, tubuh kecil itu tetap menggagahkan diri untuk menghabiskan bakian kerjanya. Jika dituruti rasa letih dan penat itu mungkin akan mengakibatkan seisi rumahnya kelaparan.

“Pak Majid! Lidi yang telah diraut ni Kudin letakkan di atas para bawah rumah. Buah kelapa yang Kudin kutip tadi, semuanya Kudin kumpulkan di tepi tangga di belakang rumah sana” ujar Kudin sebaik sahaja usai kerjanya meraut lidi serta memungut buah-buah kelapa kepunyaan Pak Majid.

“Kudin! Ini duit upah untuk hari ini. Besok boleh tak Kudin tolong Pak Majid bersihkan kebun?” kata Pak Majid sambil menghulurkan sejumlah wang kepada Kudin.

“Insya Allah. Kalau mak Kudin tak sakit, Kudin datang bantu Pak Majid besok” balas Kudin. Setelah berjabat tangan, Kudin meminta izin pada Pak Majid untuk pulang ke rumahnya. Dengan secangkir senyuman ikhlas, Pak Majid membenarkan Kudin pulang. Selepas terungkap lafaz salam Kudin pun meninggalkan Pak Majid.


Kudin mendongak ke langit. Sang mentari yang garang membakar, betul-betul tegak di atas kepalanya. Suatu petanda menandakan bahawa waktu Zohor hampir tiba. Seolah-olah ia adalah satu suruhan tanpa suara kepada semua manusia yang beriman agar bersiap-sedia untuk menunaikan tiang agama. Langkah kaki yang disusun semakin pantas diatur. Menyusuri denai dan semak menuju ke pondok usang tinggalan Allahyarham bapanya. Sekalipun pantas, kewaspadaan terhadap rintangan yang sedia tersaji menjadi satu signifikan dalam dirinya. Kecelakaan mungkin boleh berlaku. Paku, duri dan kaca bakal tertusuk menembusi telapak kakinya andai dia tidak berwaspada dan berhati-hati. Rutin hariannya akan tergendala sekiranya hal sedemikian menimpa dirinya.
“Assalamualaikum, Mak! Abang balik ni” laung Kudin memanggil ibunya.
“Waalaikumussalam. Anak mak dah balik. Masuk nak” jawab makcik Habibah, ibu Kudin. Dia hanya mampu menyambut kepulangan anaknya itu sehari-hari dengan kata-kata manis. Dia mengharapkan agar kata-kata itu menjadi pemangkin serta penawar keletihan anaknya. Kalau diikutkan hati dia tidak mahu mengizinkan anak sulungnya itu bekerja. Dia amat menginginkan Kudin mendapat pelajaran seperti anak-anak orang lain yang seusianya. Tapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Dia kini lumpuh kedua-dua belah kaki akibat dari kemalangan yang dialaminya ketika Kudin masih berusia dua tahun dan Zubaidah anak keduanya berumur setahun. Kemalangan itu telah meragut nyawa suaminya yang merupakan ketua keluarga mereka. Tetapi dia yakin bahawa Allah s.w.t tidak bersifat kejam. Allah s.w.t tidak menzalimi keluarganya. Ujian yang dialaminya kini adalah tarbiah dari Allah. Ujian ini bukanlah satu penganiayaan tetapi satu penilaian dari Allah terhadap dirinya. Dia juga telah menitipkan keyakinan ini terhadap kedua-dua anaknya. Mereka anak-beranak redha dengan ketentuan Allah ini.

“Mak dah makan?” tanya Kudin sebaik sahaja kakinya melangkah masuk.
“Belum. Mak tunggu abang. Kita makan sama-sama ya”

“Baik. Em! Adik mana mak?”

“Ke belakang katanya tadi. Ambil batang lambok buat ulam” ujar Makcik Habibah.

Kudin melangkah keluar meninggalkan ibunya menuju ke belakang rumah mereka.

“Zubaidah! Awak buat apa tu?” tegur Kudin. Sejak dia pandai menyebut nama adiknya itu, belum pernah dia meringkaskan nama Zubaidah. Dia sangat menyayangi adiknya. Zubaidah juga senasib dengannya. Tidak mendapat pendidikan kerana kemiskinan keluarga mereka.

“Ambil lambok ni. Abangkan suka makan ulam lambok cicah dengan sambal tempoyak. Adik goreng ikan je hari ni. Tak sempat nak masak gulai. Tadi, asyik sangat berkebun sampai terlewat masak. Abang tak marahkan?” ujar Zubaidah sayu. Dia bimbang akan dimarahi abangnya.

Kudin menghampiri Zubaidah lantas mendakapnya dengan penuh manja. Diusapnya rambut halus Zubaidah perlahan-lahan. Dahi si adik dikucup. Ditatapnya wajah Zubaidah beberapa ketika. Kemudian diukirnya sekuntum senyuman untuk Zubaidah.

“Tak marah. Adik abang tak pernah buat abang marah. Tak ada gulai pun kita tetap makan jugak kan. Bukankah mak selalu pesan pada kita yang makan ni untuk hidup dan bukan hidup untuk makan. Adik abang ingat lagikan” tutur Kudin menyantun lembut.

“Adik ingat abang” balas Zubaidah.

“Em! Zubaidah tanam apa hari ini?” tanya Kudin.

“Kacang panjang dengan timun. Sedap ni kalau cicah dengan tempoyak” jawab Zubaidah sambil tersenyum bangga.

Kedua-dua beradik itu berjalan dalam pelukan melangkah masuk ke dalam rumah. Mereka kemudian makan bersama-sama. Tengahari itu mereka sekeluarga makan dengan penuh kemesraan. Kudin dan Zubaidah bergilir-gilir menyuap nasi ke mulut ibu mereka. Ibu lumpuh itu seakan terlupa akan kesempitan hidup mereka bila melihat telatah kedua-dua anaknya.


“Siapa tahu apa maksud anak soleh?” tanya Ustaz Taufiq menguji kefahaman murid-muridnya. Semua muridnya terlopong sambil berpandangan sesama mereka. Tidak kurang juga segelintir dari mereka yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Nurul Husna! Boleh terangkan pada kawan-kawan apa yang Nurul Husna tahu tentang anak soleh?” soal Ustaz Taufiq kepada salah seorang muridnya yang sedang asyik membelek-belek kotak pensel. Dalam keadaan terpinga-pinga Nurul Husna senyum tersengih. Giginya yang rongak bahagian depan mengurangkan sedikit seri wajahnya. Ustaz Taufiq tersenyum. Dia faham benar dengan kerenah semua muridnya. Diajunya soalan yang sama kepada Abdul Rafiq pula. Abdul Rafiq merupakan murid yang paling nakal dalam kelas itu tetapi amat luas pengetahuannya. Ibunya juga seorang guru agama. Dia mengajar di kampung sebelah.

“Saya, kalau anak soleh tu tak tau la Ustaz. Tapi kalau anak Salleh tu saya kenal sangat” jawab Abdul Rafiq sambil tangnnya menunjuk ke arah Nur Shahirah. Nur Shahirah ialah anak Pakcik Salleh tukang gunting rambut kampung mereka. Dia terkejut. Kemudian terus menangis kerana kelas mentertawakannya.

“Tap! Tap! Tap!” bunyi rotan diketuk ke meja. Ustaz Taufiq mententeramkan kelasnya. Abdul Rafiq didendanya. Kemudian dia menjelaskan kepada murid-muridnya maksud anak soleh.

“Anak soleh ialah anak yag sentiasa patuh dan taat kepada perintah kedua ibu bapanya selagi mana mereka tidak menyuruh kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan perintah Allah dan nabi kita Muhammad s.a.w” jelasnya.

“Kita tidak boleh melawan kata-kata ibu dan bapa kita. Nabi s.a.w bersabda : Keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah itu terletak pada kemurkaan kedua ibu bapa” jelasnya lagi.

“Dan yang paling utama ialah anak yang soleh ini sentiasa mendoakan kebahagian kedua ibu bapanya di dunia dan akhirat” sambungnya lagi. Semua muridnya terdiam. Bermacam-macam reaksi dari mereka apabila mendengar penjelasan itu. Ustaz Taufiq mengerti keluh-kesah murid-muridnya.

“Kelas! Semua sekali tengok Ustaz?” pintanya.

Semua murid memandangnya. Dia membiarkan mereka terdiam sebentar. Sambil menarik nafas dia bertanyakan satu soalan kepada mereka.

“Awak semua sayang tak pada mak dan ayah awak?” soalnya.

“SAYANG” jawab mereka serentak.

“Awak semua nak tak mereka masuk syurga?” soalnya lagi.

“NAK”

“Jadi, kalau awak semua nak mereka masuk syurga, awak semua kena rajin-rajin belajar tentang Islam. Sebab anak yang sayangkan ibu dan bapanya mesti pandai tentang agama Islam. Agama Islam mengajar kita cara berdoa untuk kebahagiaan ibu bapa kita. Kalau awak semua nak pandai berdoa untuk mak dan ayah awak, mesti kena datang sekolah agama hari-hari. Inilah bukti kita cintakan mak dan ayah kita” jelasnya berjela.

“Apa bukti cinta kita pada mak dan ayah kita?” tanya Ustaz Taufiq pada murid-muridnya.

“KITA KENA DATANG SEKOLAH AGAMA TIAP-TIAP HARI SUPAYA KITA PANDAI BACA DOA UNTUK KEBAHAGIAN MAK DAN AYAH KITA, USTAZ” serentak dijawab oleh semua muridnya.

Kudin yang sedari tadi duduk di luar kelas menitiskan air matanya. Dia hanya mendengar pengajian itu dari luar kelas kerana tidak mampu untuk membayar yuran. Begitulah rutin hariannya hampir setahun. Selama itu juga tidak seorang pun menyedari kehadirannya. Dia juga tidak ingin kehadirannya diketahui. Bimbang mengganggu ketenteraman orang lain. Memang itulah hakikatnya. Kanak-kanak kampung itu tidak berapa suka berkawan dengannya. Malah mereka menggelarnya dengan gelaran Kudin Kurap. Dia sendiri sehingga kini masih memikirkan kenapa dia digelar “kurap” walhal setompok kurap pun tidak pernah bertunas di tubuhnya. Barangkali kerana pakaiannya yang lusuh menyebabkan dia dihina sedemikian.

Kudin mengesat air matanya. Otaknya berputar memikirkan kata-kata Ustaz Taufiq sebentar tadi. Bukti cinta seorang anak kepada ibu bapanya ialah hadir ke sekolah agama setiap hari. Kenapa? Supaya faham tentang agama Islam. Untuk apa? Untuk mengetahui cara mendoakan kesejahteraan mereka. Sekali lagi air matanya berderai ke pipi. Bagaimana mungkin untuk dia hadir ke sekolah setiap hari. Hendak membayar yuran pun dia tidak mampu. Hidupnya sekeluarga sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau setakat mendengar dari luar kelas sebegini bagaimana untuk dia lekas pandai berdoa. Belajar perlu diuji. Ujian untuk mengetahui tahap kefahaman seseorang. Itulah antara butiran permata bicara yang didengarinya dalam khutbah jumaat yang lepas. Dia tidak bisa diuji kalau tidak hadir ke sekolah seperti kanak-kanak seusianya.
Kudin terus menangis sambil meratapi takdir dirinya. Bukan menyesali. Tapi dia seorang kanak-kanak. Dia tidak setabah ibunya. Air matanya mencurah-curah. Tangisannya menyerap masuk ke dalam kelas tanpa ia sedari. Suara tangisannya telah menarik semua murid berlari meluru ke arah jendela.

“KUDIN KURAP!” jerit mereka serentak. Kudin terkejut dan cuba lari beredar. Akan tetapi langkah kakinya terhalang oleh suara Ustaz Taufiq yang memanggilnya. Ustaz Taufiq bergegas ke luar kelas mendapatkan Kudin.

“Siapa nama awak?” tanyanya pada Kudin.

“Fakhruddin bin Mansur”

“Tapi orang panggil saya Kudin” jelas Kudin.

“Tak mengapa. Kalau orang panggil awak Kudin biar Ustaz panggil awak Fakhruddin. Nama kita adalah doa” jelasnya.

“Kenapa Fakhruddin tak masuk kelas belajar bersama kawan-kawan lain” tanyanya pula.

“Saya tak ada duit untuk bayar yuran dan beli baju, Ustaz” jawab Kudin.

Ustaz Taufiq berfikir seketika. Dahinya berkerut. Dipejamkan matanya mengharapkan pertolongan daripada Allah s.w.t agar bisa dirungkaikannya masalah ini. Hati dan fikirannya berbicara rancak mencari jalan penyelesaian.

“Macam ni la Fakhruddin. Soal yuran tu awak tak perlu fikirkan. Taulah Ustaz nak uruskannya. Cuma tentang baju tu masalah sikit. Sekolah ni sentiasa dipantau oleh pegawai dari majlis agama. Mereka mahu semua murid di sini datang sekolah dengan pakaian seragam. Baju melayu putih sepasang serta sampin hijau dan bersongkok hitam. Ustaz tak mampu nak bantu awak beli baju tu” terangnya memberi jalan.

“Berapa harga baju tu Ustaz?” tanya Kudin.

“Ustaz tak pasti sebab ustaz tak ada anak lelaki. Setahu Ustaz kita kena tempah baju tu. Cuba awak tanya pada kedai Ah Seng di pekan” sarannya.

“Untuk pengetahuan Ustaz, saya bekerja mengambil upah membantu orang-orang kampung. Beginilah, mulai esok saya akan bekerja dengan lebih kuat. Walau apa cara sekalipun saya mesti dapatkan baju itu. Baju itu nanti akan menjadi bukti cinta saya pada mak dan ayah saya” ujar Kudin penuh bersemangat. Ustaz Taufiq sungguh terharu. Dia berdoa didalam hati memohon kejayaan Kudin.

bersambung...




“ Woi…bisinglah. Tutup radio tu. Buka pintu ni”, jerit Badrul dari luar. Dahlan terkejut dan bergegas menutup radio. Dia membuka pintu bilik perlahan-lahan.

“ Minta maaf abang”, kata Dahlan dengan wajah yang sedikit cemas.

Tanpa membalas sapaan Dahlan, Badrul terus mengumpulkan kaset-kaset yang bersepah di atas meja dan mencapai gitar di tangan Dahlan. Kaset-kaset itu dibuangnya di dalam tong sampah. Gitar kesayangan Dahlan juga dilemparnya ke dalam bilik stor. Dahlan memandang tanpa mampu berkata apa-apa.

“ Selama kami duduk kat sini, tak pernah buat bising macam ni tau. Buat malu jiran sebelah saja”, marah Badrul sambil memandang tajam ke arah Dahlan. Dahlan hanya tunduk. Hatinya terguris dengan kata-kata Badrul. Cuma air mata sahaja yang tidak mampu dikeluarkannya.Tapi…ternyata Dahlan sudah terasa hati.

Rumah sunyi sepi. Aku kehairanan. Kenapa sunyi sepi saja ni? Ke mana pula perginya Dahlan. Biasanya kalau dia nak keluar dia akan maklumkan pada aku dulu?”, bisik hati kecilku. Aku membuka pintu bilik. Kemas dan rapi. Tapi semua barang-barang Dahlan sudah tidak ada. Hanya sekeping nota ditinggalkan di atas mejaku. Aku semakin tidak sedap duduk. Apa yang sudah berlaku? Aku mengetuk pintu bilik Badrul.

“ Masuklah…Aku tengah pakai baju ni”, kata Badrul. Aku masuk dan memandang seketika ke arah Badrul.

“ Kau tahu ke mana Lan pergi. Apa yang telah berlaku sebenarnya”.Aku cuba ingin tahu. Badrul hanya diam.

“ Badrul, aku tanya kau ni. Apa yang dah berlaku”. Kali ini suaraku lebih tegas.

“ Aku marah dia sebab memekak kat dalam rumah ni. Menyanyi,buka radio kuat-kuat, main gitar. Bising kau tau. Malu kat jiran-jiran. Aku buanglah gitar dan kaset-kaset dia tu. Dia marah yang tulah rasanya”.cerita Badrul.

“ Kau ni, cuba kau buang keegoaan kau tu. Kekasaran kau tu. Budak tu baru lagi. Bukan boleh buat macam tu.Sapapun marah kalau barang kesayangannya dibuang macam tu je. Nak didik dia ke arah yang lebih baik, proses pertama kena lembut dulu. Bila kita kasar, orang tu akan lari daripada kita. Dalam al Quran jelas menceritakan pada kita. Itulah masalahnya kau tak nak faham betul-betul apa yang telah Quran jelaskan. Main sedap mulut kau je kalau nak bercakap. Ikut perasaan je kalau nak marah. Sekarang…budak tu dah lari. Apa yang nak cakap dengan akhi Haris”, marahku kali ini pada Badrul tidak mampu aku tahan. Badrul masih lagi mendiamkan diri tanpa menjawab kata-kataku.

“ Kita kena beri peluang untuk dia berubah. Bukan boleh marah-marah. Lan tupun dalam proses nak berubah. Tapi kita jangan terlalu mendesak dia. Tarbiyah ni panjang Badrul. Bukan satu dua hari tapi bertahun-tahun. Inilah ujian yang kita perlu hadapi dalam proses nak kembalikan dia ke arah yang labih baik. Kita juga manusia lemah. Sebab tulah kita perlu sama-sama perbaiki diri, nasihat menasihati. Kau faham”, kali ini nada suaraku lebih lembut.

“ Aku tahu aku silap. Sekarang tindakan kita, kita perlu cari di mana Lan pergi”.balas Badrul dengan wajah yang agak sugul. Mungkin dia sudah tahu kesilapannya.

“ Baguslah kalau kau dah sedar. Sekarang ni kita perlu sama bantu-membantu untuk bawa Dahlan ke jalan yang lebih baik. Ok….sekarang apa tindakan kita?”, tanyaku sekadar menguji.

“ Kita pergi cari Lan dan bawa balik semula ke rumah kita”,jawab Badrul.

“ Nak cari kat mana? Buat kata dia balik kampung, macam mana”, tanyaku lagi ingin menguji.

“ Kita pergi cari dia sampai kat kampung la. Aku nak minta maaf di atas kesilapanku tu pada dia. Puas hati kau”, balas Badrul.

“ Buat ikhlas kerana Allah, bukan atas sebab aku atau sesiapa sahaja. Baguslah kalau kau sungguh-sungguh macam tu sekali. Mudah-mudahan semuanya akan baik”, balasku lagi.

“ Tapi sebenarnya kita nak cari dia kat mana?”, tanya Badrul dengan suara sayu. Aku tersenyum seketika. Nampaknya Badrul memang serius.

“ Jangan kau risau, dia ada kat rumah Akhi Haris. Lepas solat Isya’, kita pergi ambil dia. Aku harap lepas ni semuanya kembali baik. Sama-sama kita Bantu Lan. Doa pada Allah itu pasti agar Allah sentiasa memberi pertolongan dan bantuan untuk kita”. Balasku sambil menepuk bahu Badrul. Badrul mengangguk tanda setuju.

Aku sedar. Pentarbiyahan ini bukan suatu yang mudah, bukan suatu yang cepat. Tapi apa yang pasti kesediaan, kesanggupan dan kesabaran itu perlu ada dalam diri kita jika kita mahu terus ditarbiyah dan mentarbiyah. Ingatlah pertolongan Allah itu pasti buat hambaNya yang sentiasa membantu agama Allah.




Aku termenung seketika di jendela rumah sewaku. Memandang keriuhan kanak-kanak yang sedang leka berlari-lari di padang permainan. Ada yang bermain buaian dan ada yang berbasikal memenuhi padang permainan itu. Teringat zaman kanak-kanakku dulu. Bermain galah panjang, guli dan congkak. Indahnya zaman kanak-kanak. Tiba-tiba…

“ Assalamualaikum…”suara dari luar.

“ Waalaikumussalam”, jawabku lalu membuka pintu.Aku tergamam seketika. Akhi Haris bersama seorang budak lelaki yang tidak aku kenali. Bajunya gelap dan penuh dengan gambar-gambar tengkorak, seluarnya pula sedikit terkoyak di bahagian lutut. Rambutnya sukar nak diceritakan, panjang melepasi bahu dan di bahunya digalas sebuah gitar yang masih baik dijaga. Aku menjemput Akhi Haris dan budak itu tanpa banyak bertanya.

Akhi Haris menceritakan serba sedikit latar belakang budak lelaki itu. Aku mendengar penuh teliti. Budak lelaki itu juga banyak mendiamkan diri dan hanya tunduk ke lantai membuatkan rambutnya menutupi wajah. Sesekali aku memandang budak lelaki itu penuh harapan. Satu lagi tanggungjawab yang telah datang untukku. Ya Allah berilah kekuatan untukku. Aku tahu, segala ujian dan cubaan yang Kau berikan bukan untuk membebankan hambaMu, tapi untuk meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan. Aku menerima Dahlan dengan hati terbuka. Dia sekarang menjadi amanahku.

Riuh rendah kedengaran di luar bilikku. Aku membuka pintu bilik dan mengajak Dahlan mengikutku dari belakang. Ya Allah berilah kekuatan untukku. Semua sahabat-sahabatku memandang aku dengan pandangan yang luar biasa. Mereka memandang pula Dahlan yang cuma tunduk ke lantai. Sesekali Kamal menaikkan bahunya ingin tahu. Mereka semua terkejut.

“ Sahabat-sahabat, pertama sekali minta maaf sebab tak maklumkan awal-awal kedatangan Dahlan ke rumah kita. InsyaAllah dia akan menjadi ahli baru dalam rumah kita ni. Dia sekarang kerja di Cyber Café dengan kawan dia”, Aku bersuara dan perkenalkan Dahlan kepada tiga orang sahabatku. Mereka sekadar menghulurkan tangan berjabat salam dengan Dahlan. Tiba-tiba Badrul menarikku masuk ke biliknya. Dahlan memandang sahaja. Dia seolah-olah berasa kekok ketika berhadapan dengan sahabat-sahabtaku yang lain.

“ Fendi, kau ni mudah saja bawa orang luar masuk dalam rumah kita ni. Entah dari mana datangnya budak tu. Silap-silap habis harta benda kita hilang. Kau tengoklah penampilannya macam mana. Macam budak black metal “, leter Badrul dengan garang.

“ Astaqfirullah…mengucap banyak-banyak Badrul. Kau tak sedar ke apa kau cakap ni. Cakap macam orang yang tak ada ilmu. Dahlan tu akhi Haris yang bawa datang. Dia saudara dengan sahabat baik akhi Haris. Mereka minta kita Bantu Dahlan perbaiki semula peribadi dia. Kau tengok je dia macam tu, tapi dia adalah unsur - unsur yang baik. Cuma banyak benda lagi yang perlu kita perbetulkan dia. Ni amanah kita Badrul. Muhibbin untuk kita semua dalam rumah ni”, jelasku agar Badrul tidak salah sangka. Namun, keangkuhan dan keegoaan Badrul semakin memuncak.

“ Senanglah diaorang. Yang pelik-pelik, yang bermasalah semua letak atas bahu kita. Kalau jadi apa-apa semua nak salah kita. Tak Faham betullah diaorang ni. Kadang-kadang aku rasa marah, kalau lepas seseorang tu kat kita jarang sekali nak follow up balik. Akhirnya kita juga yang terbeban”. Marah Badrul lagi.

“ Kau ni cakap macam tak pernah dapat tarbiyah. Macam kerja kita ni banyak sangat sampai rasa Dahlan tu akan membebankan kita. Apa yang penting sekarang kita laksanakan amanah yang telah diberikan. Ingat…syurga Allah menanti kita. Banyak pahalanya kalau kita buat baik pada orang. Kau tak nak ke semua tu”, pancingku untuk menguji Badrul. Akhirnya dia terdiam dan terus keluar dari dalam bilik.

Azan Subuh baru sahaja selesai berkumandang. Aku dan sahabat-sahabat yang lain mengerjakan solat sunat sebelum menunaikan solat Subuh. Dahlan masih lagi di tempat tidurnya. Sudah berapa kali aku kejutkan dia, tapi akhirnya dia terus tidur dengan nyenyak.

“ Fendi…takkan nak biarkan dia macam tu je. Cepatlah pergi kejut. Kau nak kita tanggung dosa membiarkan dia tidur dan tak solat Subuh. Ni yang aku malas nak berhadapan dengan orang yang macam ni”, leter Sazali.

“ Sabar…Kita nak tarbiyah orang bukan boleh paksa-paksa. Kena berlembut tapi tegas. Aku akan cuba sekali lagi kejutkan dia. Doakan agar dia mudah bangun kali ini”, balasku lalu menghampiri Dahlan yang masih nyenyak tidur. Aku beristighfar berkali-kali dan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad. Akhirnya…. Dahlan bangun dan sempat tunaikan solat Subuh berjemaah bersama-sama kami. Satu permulaan yang baik.

Dahlan tersenyum memandang aku yang sudah kemas berpakaian untuk ke tempat kerja. Sesekali dia memandang pada diri dia.

“ Kenapa ni Lan, tersenyum sorang-sorang”, tanyaku ingin tahu.

“ Saja. Handsome ya abang pagi ni. Tengok saya ni. Masih kusut masai. Dah mandipun masih nampak comot”, rungut Dahlan sambil menepuk-nepuk pipi kanan dan kirinya.

Aku memegang bahunya.

“ Lan…nak tak petang ni abang bawa Lan pergi potong rambut. Lan nak nampak handsome kan. Nanti abang jadikan Lan ni handsome lebih handsome pada abang. Ok”.

Dahlan diam seketika. Mulutnya muncung bak burung belatuk yang sedang kelaparan.

“ Tapi Lan sayang rambut ni. Dah lima tahun Lan jaga. Takkan senang-senang Lan nak potong. Sayanglah”, balasnya.

“ Lan…dalam Islam mengajar kita agar menjaga kebersihan,menjaga penampilan diri agar lebih baik.Tak pa, kalau Lan rasa dah bersedia nak potong rambut, Lan bagitau abang. Masa tu juga abang akan bawa Lan pergi”, kataku agar Lan lebih mengerti. Dahlan sekadar mengangguk dan tersenyum memandangku.

Dahlan tidak bekerja hari ini. Dia banyak menghabiskan masanya di rumah. Tiba-tiba rumah kami menjadi gamat dengan bunyi bising lagu-lagu metal dan bunyi gitar yang dipetik oleh Dahlan. Sesekali kedengaran suara Dahlan yang memekik-mekik dari dalam bilik.

Akan bersambung...





Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini.

"Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya. Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya.

Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train

"Ah, di mana aku sekarang ini?" gerutu hati Datuk Dr.Johar. "Hoi budak, Aku di mana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum....Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman. Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali." Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut.

Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ? " Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? " tanyanya angkuh. "Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

"Oh, oh .... Maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu?Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai itu pula. Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula -Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. "

"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Dimana aku sebenarnya ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.

"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah,namanya. Saya Haji Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini."

"Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni?" Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr.Johar.

"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa. "Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya dihukum di Akhirat!" rayu lelaki itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Dia lari sekuat-kuat hati. Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas....Lega...

Dahaga dan lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum.Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan : "Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al-Abrar, hartawan besar berada di Jalan Uwais Al Qarni merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!"

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah. Matanya tak betah lagi melihat semua itu. Tapi kerana lapar ia masuk juga.

"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki."

"Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan." Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya.

"Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!" Lelaki itu tersenyum. "Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan," terangnya. Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba putih.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..."

"Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah...." Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya. Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk.

"Nasi beriani sepinggan!" ujarnya kepada pelayan. "Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan. "Ya ! Apa peliknya?"

"Baik,tuan. Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?" tanya pelayan berkulit hitam itu.

Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu keempat orang yang sedang menikmati makanan. Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.

"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

" Ya Allah,apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, "ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja.

"Anta tak cuba tampung dengan amal makruf yang lain ?" tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja.

"Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit ....Malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana" Keluhnya.

"Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita. Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita, keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.

"Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya.... Saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan-lahan. Datuk Dr.Johar makin pelik.

"Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada pelayan restoran. "Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan....Berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ....," kata pelayan itu lagi. "Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknya. Marah campur geram.

"Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!"

"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?" leternya perlahan-lahan. "Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya....."

"Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang ...Di mana boleh saya boleh dapatkan hiburan?" tanyanya. "Di sana,tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya?

Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar- KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA.

Seram sejuk tubuhnya.

"Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. Aku belum nak mati lagi," protes hati Datuk Dr.Johar. Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: 'RAJA'. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI..

Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. "Apa nak jadi ni?Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.

"Nanti ya pakcik. Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni. Top-hit anak-anak muda sekarang..."
"Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu.

"Eh ...Ni suara orang mengaji."
"Nanti dulu pakcik, selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema....

Cintaku berlabuh di persada rahmat
Mumendamba kasih yang tidak berhujung
Mengutip sayang di hamparan cinta suci
Inilah getaran hatiku memburu cinta.......
Stanza hati merindu Ilahi!

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.

"Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah ..." Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata, "saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.

"Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini tidak boleh kami terima, kami halalkan sajalah."
"Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri."
" Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka."
"Ah, aku tak nak dengar semuanya. makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu.

Di luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi. Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan 'MAKRUFAT AIRTRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah. Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa?

Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus. "Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !" kata pembantunya.

Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.

"Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? "tanya Datuk Dr.Johar.

"Maaf Datuk. Begitulah keutusannya" jawab pembntu itu.

Datuk Dr. Johar seakan tidak percaya. Digosok-gosok lagi matanya.



“Cik Ramlee, huruf apakah huruf ini? Dia atas tanah, ada ekor, dan ada satu mata di tengah-tengah.”
“Matanya ada satu saja ya, cikgu? Ada ekor? Atas tanah? Huruf mambang tanah!”
“Mambang tanah!? Hahhahhahhahahha.....”
“Yang ini bukan mambang tanah Cik Ramlee, ini huruf Jim!”
“Jin? Eh... jin dengan mambang kan tak jauh...”
“Jin dengan mambang!? Hahhahhahhahahha....”
“Dah! Aaa... Cik Ajis, huruf apakah huruf ini, huruf ini sama dengan huruf jim, tapi tak ada matanya saja.”
“Oooo.... dia tak ada mata? Sama-sama jin? Ooo... jin mata buta la cikgu.”
“Mata buta!? Hahhahhahhahahha....”
“Yang ini bukan jin mata buta Cik Ajis... Yang ini huruf Ha!

Aa... sekarang Cik Sudin pulak...”
“Saya, cikgu.”
“Aa... kenal tak dengan huruf ini?”
“Saya kenal, cikgu...”
“Huruf ini sama dengan huruf Jim, huruf Jim matanya di tengah-tengah tetapi huruf ini matanya di atas.”
“Aa... Jim ini matanya di tengah-tengah, Jim ini mata di atas cikgu... Jin pakai tonceng!”
“Tonceng?! Hahhahhahhahahha.....”

“Pak Abu tu ketawa terlalu banyak sangat.”
“Cikgu...”
“Aa.. cepat, sekarang Pak Abu pulak.”
“Yang mana?”
“Yang ini...”
“Oh, ni saya kenal, saya tahu ni... huruf ini kan huruf – M!”
“Itulah, jangan suka ketawakan orang. Yang ini bukan huruf M, yang ini huruf Kha!”
“Huruf Khaaa.....?”


“Hahhahhahhahahha.... Hahahahhahahaha.....”

~~*~~*~~*~~*~~*~~*~~*~~*~~*~~*~~*~~*~~

Be happy with what you have while working for what you want
Remember, a happy and successful life begins with Allah and end with Allah

“ Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah nak merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut – lembut, cakap baik – baik….hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi – menjadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi.”

“ Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad ? Siapa yang buat hal kali ni ?”


Staf saya si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu.”


“ Entah – entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion.”

“ Alaaah….orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok ? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti takut patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah.”

“ Jangan cakap macam tu Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu.” “ Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan ? Apa yang tak kena pulak, Naim?”

“ Maksud saya begini. Menafsirkan Hadis itu seolah –olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang “ disadvantaged “ atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah – olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertakwa. Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara – perkara yang tidak baik.

“ Buktinya apabila Rasulullah s.a.w, datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap “ golongan yang tak berguna “ kepada “ sayap kiri “ kepada masyarakat. Baginda ada memberikan tugas – tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan.

“ Tapi memang orang perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak melayan dia.”

“ Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan sahaja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk dan cara “ protes ” tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman yang lemah, bukan sebab jantina.

“ Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan lemah lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah – marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah – entah waktu itu
kita lebih ‘ bengkok ‘ daripada mereka !”

“ Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje.”

“ Aku bukannya nak bela sesiapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu.”

“ Apa maksud sebenar Hadis itu.”

“ Orang perempuan yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adlaah satu “ penyempurnaan .”
Sepertimana juga usus manusia yang berlipat – lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat ‘ pelindung .’ Ia melindungi organ – organ penting di
dalam tubuh manusia seperti jantung, paru – paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu.”

“ Oh begitu. Jadi bila Nabi katakana yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?”

“ Begitulah. Selain itu, maksud ‘ tulang rusuk yang bengkok ‘ itu ialah sifat ‘ rahmah .’ Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat – sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak – anaknya dengan berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja – kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan.

“ Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu, jangan cuba
buang sifat “ bengkok “ ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas – tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ –organ yang penting tadi tidak akan selamat.

“ Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkan betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar.”

“ Hmm, betul tu Naim.”

“ Sebenarnya tiada siapa yang ‘ bengkok ‘ mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada
iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat - sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan menjadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya.”

“ Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah -marah dan tidak sabar.

“ Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih ‘ bengkok ‘ daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah lebih ‘ bengkok ‘ daripada semua orang lain.

Kisah ini dipetik dari risalah Menyingkap Rahsia Insan
DIRIKU YANG KUKASIHI

Kutahu dalam perjuangan hidupmu
Mengharungi arus keremajaan ini
Terkadang jiwa mudamu diulit kealpaan
Hanyut dalam buaian perasaan
Yang tidak berkesudahan
Itulah fitrah orang muda

Dalam kesibukan menghadapi pelajaran
Tanggungjawab kepada agama, keluarga dan masyarakat
Dirimu tetap tidak dapat lari
Dari belenggu dan hambatan naluri mudamu
Benarlah usia muda banyak pancaroba
Kehidupan yang terlalu padat dengan emosi
Serta ilusi cinta dan cita2

Namun, jangan biarkan dirimu
Hanyut dek pergaulan yang tidak syara’
Kerana percampuran tanpa batasan itu
Hanyalah keseronokan palsu
Berusahalah muhasabah diri
Dalam mengatasi kegawatan akhlak
Serta jadilah seorang puteri
Yang tinggi nilainya di sisi Allah

Kekalutanmu menepis semua itu
Pastinya dianggap satu mujahadah
Yang begitu mahal harganya
Anggaplah itu sekadar seekor rama2
Yang singgah untuk mewarnai duniamu

Wahai diriku
Jangan diikutkan kata hati
Kerana hati yang beku dari mengingati Allah
Tidak mungkin menunjukkan jalan yang benar
Kembalilah semula pada asuhan dan didikan Allah
Serahkan sepenuh hatimu
Kerana disitulah tempatmu yang sebenarnya
Semoga disitu kaukan dapat membebaskan dirimu
Dari kemelut perasaan yang berpanjangan



Hampir 2 bulan selepas perceraian kami aku tidak pernah bertemu dengan Harriz. Dia menghilangkan diri begitu sahaja. Aku tidak tahu ke mana Harriz membawa diri. Sudah puas aku mencari tapi Harriz tidak juga aku temui. Aku sudah bernekad bahawa aku mesti mencari Harriz. Aku ingin mengikat semula tali perhubungan kami yang terputus. Aku telah bersumpah bahawa tiada lelaki lain selain Harriz yang boleh menjadi suamiku.

Aku ingin bina semula istana cinta kami yang telah aku runtuhkan dahulu disebabkan kebodohan aku. Tapi, di mana aku nak mencari Harriz? Sudah merata tempat aku pergi. Telah pelbagai cara aku lakukan namun gagal. Adakah sengaja Harriz tidak mahu berjumpa dengan aku? Terlalu besarkah dosa aku padanya? Ibu dan ayah sudah tahu mengenai perceraian aku dan Hariz. Mereka benar-benar terkejut dengan tindakan kami pada mulanya. Ayah marahkan aku, begitu juga ibu. Aku tahu aku yang bersalah. Namun marah mereka tidak lama kerana mereka tahu takdir sudah tertulis bahawa aku dan Harriz tidak boleh kekal bersama cuma
mereka kesal dengan sikap dan perangai aku yang tidak pernah berubah. Aku terlalu degil dan sukar untuk dibentuk.

Tapi itu dulu, sebelum kehadiran Harriz. Sekarang, aku bukan seperti aku yang dulu. Harriz telah mengubah pendirian aku. Dialah punca segala-galanya. Dia jugalah yang telah membuka pintu hati ini untuk mengenal apa itu erti cinta, kasih, sayang dan rindu. Aku terlalu rindukan kehadiran Harriz di sisi. Cinta, kasih dan sayang pada Harriz semakin hari semakin bertambah.

Nama Izham terus hilang dari ingatan aku. Dia bukanlah lelaki yang boleh dipercayai. Segala kegiatan jahatnya terbongkar apabila satu hari aku terbaca diari Harriz yang tertinggal di rumahku selepas Harriz menghilangkan diri pada pagi yang keramat itu. Setiap detik dan hari sudah pasti ada kisah aku dan Izham di London tertulis di dalam diarinya. Dari situlah aku tahu, Izham bukanlah seorang lelaki yang jujur. Dia banyak memainkan perasaan wanita seperti aku. Sampai sekarang Harriz tidak tahu bahawa aku telah membaca diarinya. Segala isi hatinya dan perasaannya pada aku ditulis dalam diari itu. Barulah aku tahu
memang Harriz lebih mengenali aku daripada aku mengenali diriku sendiri. Dia begitu hebat di hati aku kini. Harriz.....Di mana kau sekarang...

di saat ini aku sentiasa mendoakan agar dirimu selamat dan dijauhkan dari segala kesulitan hidup. Akhirnya malam keramat itu telah merubah takdir hidupku sekali lagi. Tidak dapat aku lupakan, bagaimana sayunya suara ibu menyampaikan berita yang paling takut untuk aku dengar. Mungkin ini adalah balasan Tuhan di atas keangkuhan aku memainkan undang-undang ciptaan Tuhan selama ini. Harriz...Nama itu kini hanya tinggal bayangan masa silam. Dia benar-benar telah meninggalkan aku bersama kenangannya. Harriz tidak lagi akan aku temui sampai bila-bila...

"Maafkan ibu, Ain. Ibu tak dapat hubungi Ain dua hari yang lalu. Harriz sudah tiada lagi di dunia ini. Dia dah tinggalkan kita semua buat selama-lamanya. Maafkan ibu, ibu lambat beritahu Ain. Kanser hatinya dah semakin merebak dalam tubuh Harriz. Dia terlalu rindukan Ain tapi dia tak mampu untuk bertahan lama. Ibu benar-benar minta maaf Ain....."

Kata-kata ibu tidak berupaya lagi untuk aku dengar. Aku terasa berada diawangan. Semuanya bagaikan halilintar yang membelah bumi. Aku terduduk. Air mata mengalir tanpa henti. Aku menangis dan terus menangis tanpa henti. Tidak sempat untuk aku sujud di kakinya, memohon ampun dan maaf. Dosa aku terlalu banyak pada Harriz.

"Maafkan Ain, Harriz. Ain bersalah pada Harriz dan Ain tidak sempat untuk sujud di kaki Harriz. Maafkan Ain, maafkan Ain..." Aku menjerit sekuat hati tapi siapalah yang mampu untuk menenangkan aku di saat itu. Aku keseorangan. Ibu dan ayah tiada di sisi. Hanya semangat Harriz yang wujud dalam diri ini tapi kini Harriz meninggalkan aku secara tiba-tiba. Aku hilang arah tuju. Dunia dapat aku rasakan gelap. Harriz tidak pernah menceritakan pada aku tentang penyakitnya. Patutlah kata-kata Harriz malam itu aku rasakan lain. Dia benar-benar maksudkannya. Kalaulah aku tahu begini jadinya tidak akan aku bertindak bodoh untuk berpisah dengan orang yang ikhlas mencintai aku. Akan aku jaga Hariz sehingga dia mengucapkan lafaz kematian di hadapan mata aku sendiri.

Tapi, itu semua telah terlambat untuk dijadikan realiti dalam hidup aku. Hariz meninggalkan aku di saat-saat cinta ini telah berputik. Kepulangan aku ke bumi Malaysia tidak membawa apa-apa makna pada aku kerana orang yang ingin sangat aku jumpa selama ini sudah pergi. Hanya pusara yang tinggal untuk aku lawati. Setitis demi setitis air mata ini jatuh mengalir tatkala aku sampai di pusara Harriz. Aku dapat merasakan Harriz seakan berada di sebelah aku melihat aku mengalirkan air mata kerana meratapi kematiannya. Harriz, jika dapat kau dengar luahan hati ini, ingin sekali aku bermohon ampun dan maaf padamu yang tidak pernah sempat terucap di bibir ini biarpun ketika kita bersama.

Baru kini aku dapat menilai erti cintamu yang mendalam terhadap diri ini. Aku terlalu angkuh dan keegoan ini telah memakan diri aku sendiri. Sepucuk surat yang terakhir kau tujukan untukku baru kini dapatku baca. Meruntun hati ini tatkala aku membaca bait-bait puisi yang engkau karangi hanya semata-mata untukku. Aku tahu aku benar-benar bersalah !!!..
Ikhlasnya cintamu itu tidak setanding dengan apa yang ada di dalam hati ini untuk aku beri. Rendahnya martabat diri ini jika kita dapat bersama. Selafaz doa aku bacakan untukmu, begitu jua jutaan kemaafan aku pohon padamu Harriz... Sajak yang ditujukan khas buat diri ini tidak puas aku membacanya. Sekali lagi aku menatap agar ia dapat menenangkan aku kerana tidak dapat melihat di saat-saat pemergianmu yang tidak dirancang tapi telah ditentukan Tuhan.
Sesungguhnya...syurga seorang suami adalah ketika bersama isterinya dalam susah dan senang...

Permata hati buat isteri yang disayangi
Nurul Ain Bt Hamdi...
Dunia saya sewaktu bersama awak dirasakan amat luas.... Awak adalah anugerah Tuhan yang tak ternilai buat saya... Biarpun cinta ini tidak pernah wujud dalam diri awak... Namun, harapan itu tetap ada dalam impian saya Saya sayang awak lebih dari segalanya Saya mencintai awak dengan setulus hati Tatkala lafaz nikah terucap di bibir ini Memiliki awak adalah amanat yang harus saya jaga sebagaimana Tuhan menciptakan Adam untuk Hawa... Namun, pemergian saya tak dirancang... Bila-bila masa sahaja nyawa ini akan menghentikan nafasnya. Biarpun saya tiada di sisi awak lagi Saya harap awak tidak pernah lupa akan diri ini yang sentiasa mencintai awak...
-HARRIZ BIN HASHIM-
01 JANUARI 2003

Related Posts with Thumbnails