Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Zikrullah..Terapi Jiwa..


IBADAT yang sangat dianjurkan Islam kepada umatnya dalam kehidupan seharian ialah berzikir kepada Allah. Jika ditinjau secara halus, zikir adalah amalan paling mudah dan tidak membebankan bagi Muslim untuk melaksanakannya berbanding ibadat solat, zakat serta puasa.

Amalan berzikir hanya menuntut ingatan penuh tulus kepada Allah. Berzikir tidak menuntut kerahan tenaga atau sumbangan kewangan sebaliknya hanya menuntut supaya digerakkan lidah, hati dan akal mengingati Allah pada bila-bila masa dan di mana juga.

Fadilat dan keistimewaan amalan berzikir:



Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! (untuk bersyukur kepada Allah) ingat serta sebut nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Bertasbih kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab, ayat 41-42)

Zikir mempunyai pengertian cukup luas dan bukan sekadar bertasbih, bertahmid atau bertakbir seperti fahaman kebanyakan umat. Membaca al-Quran dan menghayati isi kandungannya juga adalah zikir.

Zikir maknanya ingat kepada Allah dengan apa juga cara. Oleh itu, apabila kita melihat pokok rimbun, lautan tiada bertepi, gunung-ganang dan alam keseluruhan, mencetuskan kesedaran hati akan kekuasaan Allah hingga kita ingat kepada-Nya juga dinamakan zikir.

Zikir adalah amalan tradisi orang salih dan bertakwa kepada Allah. Bagi mereka, berzikir menjalinkan hubungan jiwa yang erat dengan Allah pada setiap waktu dan ketika dalam kesusahan atau ketenangan, waktu berdiri, duduk atau berbaring.

Zikir yang menghiasi detik kehidupan menjadikan mereka sentiasa cergas, sihat dan bersemangat waja dalam menjunjung perintah Ilahi juga menjauhi larangan-Nya. Lebih penting, mereka mengecapi ketenangan hingga jiwanya sentiasa hidup dalam beribadat kepada Allah.

Semua ini manifestasi daripada zikir kepada Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah, tenang tenteram hati manusia. Orang beriman dan beramal salih, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ra’d , ayat 28-29)

Rasulullah SAW tidak ketinggalan menggalakkan setiap Muslim supaya merebut kesempatan hidup di dunia dengan memperbanyakkan zikir sebagai tiket untuk memasuki taman syurga yang penuh kenikmatan.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Apabila kamu melewati taman syurga, hendak kamu ikut sama menikmatinya. Sahabat bertanya: Apakah itu taman syurga, wahai Rasulullah? Ujar Baginda SAW: Ialah perhimpunan zikir.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad)

Berdasarkan nas itu, dapat disimpulkan amalan berzikir amat digalakkan. Selain itu, amalan zikir menyerlahkan kesempurnaan identiti Muslim bertakwa dan menjadi ciri Ibadur Rahman yang sentiasa membasahkan lidah mereka dengan zikir dan doa tidak putus kepada Allah.

Pendek kata, zikir kepada Allah adalah petanda bertakhta iman di sudut hati dan juga bebas daripada belenggu sifat munafik yang tercela.

pesanan utk diri ini juga..wallahu'alam=)





0 comments:

Related Posts with Thumbnails