Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Cerpen : Hikmah




Hujung minggu yang tenang. Hafiz melangkahkan kaki ke ke kamar Rasyid, seorang ikhwah yang sama-sama ditarbiyah bersamanya. Pintu bilik diketuk. Salam diberi. Tiada jawapan. Sekali lagi diketuk dan salam diberi. Juga tiada jawapan.

'Mana dia ni? Tidur ke?'

Hafiz menguak pintu bilik. Lalu terlihat Rasyid sedang asyik menghadap desktop. Telinganya ditutupi headphone. Tangan kanannya yang memegang tetikus digerak-gerakkan. Jemari kirinya pula menekan-nekat papan kekunci. Matanya difokuskan ke arah skrin. Sedikitpun tidak beralih. Skrin menunjukkan gambaran sepasang tangan yang sedang memegang senapang jenis rifle. Sesekali muncung senapang itu mengeluarkan cahaya ketika butang tetikus ditekan.

Hafiz menggeleng-gelengkan kepala. Rasyid dihampiri. Salam diberikan sekali lagi betul-betul di sebelah telinga Rasyid. Kekhusyukkan Rasyid yang tiada taranya itu menyebabkan dia langsung tidak menyedari kehadiran Hafiz di sebelahnya. Hafiz semakin geram. Diangkatnya sedikit headphone yang menutupi telinga kanan Rasyid lalu memekik,

"Woi! Khusyuknya!!!"

Rasyid sedikit terlompat. Terkejut. Segera menoleh ke arah Hafiz.

"Hisyh! Mung nih! Masuk bilik orang berilah salam!" Loghat Terengganunya masih memekat.

"Salam apekebendanya lagi. Aku bagi salam sebelah telinga kau pun kau tak dengar! Khusyuk mengalahkan orang solat!"

Rasyid hanya mendengus. Kembali menatap dekstop. Permainan Counter Strike diteruskan. Hafiz semakin berang dengan tindakan Rasyid. Namanya sahaja ikhwah yang ditarbiyah. Tapi main game tak pernah lekang. Asal hujung minggu sahaja mesti main game. Bukan hanya hujung minggu, malam-malam biasa pun kadang-kadang Rasyid tidur lewat dengan alasan yang sama. Movie, anime dan game. Hafiz tidak boleh menerima.

'Aku pun dulu gila game, komik dan movie juga. Tapi dah lama aku tinggalkan. Dia ni bukannya tak faham. Tiap-tiap minggu pergi halaqoh, apa yang didengarnya?' Getus hatinya.

5 minit kemudian, Rasyid masih di hadapan dekstopnya. Bilangan musuh yang 'dibunuh' semakin tinggi. Hafiz semakin hilang sabar.

"Rasyid! Sudah-sudahlah tu! Kau nak main game sampai bila? Kau bukan tak tahu apa yang kau buat ni membuang masa! Sia-sia! Ini bukan ciri-ciri orang beriman!" Suaranya ditinggikan.

Rasyid tetap seperti tadinya. Tidak ada tanda-tanda untuk merespon kata-kata Hafiz.

"Rasyid! Kau dengar tak ni? Cukup-cukuplah tu! Inikah sikap orang-orang yang ditarbiyah? Orang yang kononnya nak membela agama Allah. Nak memartabatkan kalimah Allah di muka bumi. Macam inikah sikapnya orang yang beriman? Buang masa depan dekstop sambil main game?"

"Aku tengah berlatih nak berjihad lawan musuh Islamlah ni. Ni belajar strategi lawan musuh. Nanti kalau pergi Palestin, boleh aku rancang strategi perang!" Rasyid menjawab dengan bersahaja.

Hafiz semakin pitam. Nasihat yang diberinya sepenuh hati dibalas dengan loyar buruk yang baginya cukup bodoh untuk diutarakan. Darah mudanya semakin membuak. Hendak sahaja Rasyid ditempelengnya atas jawapan bodohnya itu.

"Woi! Kau jangan buat lawak bodoh boleh tak!? Orang bagi nasihat betul-betul, kau balas mengarut-ngarut macam ni! Nak berjihad di Palestin konon. Takde mahunya tentera israel tu kau kalahkan dengan berlatih main Counter Strike macam ni. Setakat gerakkan 2-3 batang jari kau ingat kau larat kalahkan mereka? Nak lari keliling padang sekali pun tak larat. Nak berjihad konon. Sedarlah diri sikit!"

Sengaja disebutkannya tentang lari keliling padang. Ketika fitness test minggu lepas Rasyid hanya mampu menghabiskan larian satu pusingan padang, itu pun 10 minit lebih lambat daripada ikhwah-ikhwah yang lain.

"Yelah! Aku berhentilah! Bising betullah kau ni!" Sambil mendengus-dengus dia menutup tetingkap Counter Strike. Namun dibukanya pula tetingkap lain. Muncullah animasi jepun yang agak popular, Eye Shield 21.

"Pulak! Kau ni memang tak ada kerja lain ke? Tilawah quran kau dah selesai untuk hari ni?" Hafiz kembali bersuara.

"Dah, tadi sebelum main Counter Strike. Aku baca satu muka."

"Satu muka je? Itu tak sampai pun 5 minit. Kalau main game tadi berapa jam dah? Tak seimbanglah macam tu."

"Eh, Hafiz. Hari ni hari Sabtulah. Rehat-rehatlah dulu. Nanti aku buatlah benda lain. Sibuk betul kau ni. Dah, aku nak pergi tandas sekejap. Sakit pula perut ni."

'Rehat-rehat konon. Tiap-tiap hari macam ni. Kalau sibuk study tak apa juga. Ini buang masa.'

Hafiz termenung memandang skrin desktop ikhwahnya itu. Lalu muncullah sebuah idea yang menurutnya bergeliga.

'Lepas ni kau tak akan main game lagi!'

Lalu desktop Rasyid didekati dan tetikusnya digerakkan membuka berapa folder. Setelah menemui apa yang dicarinya, jejarinya menekan suatu butang di papan kekunci. Hafiz tersenyum lalu meninggalkan bilik tersebut.

Tidak lama kemudian Rasyid pulang ke bilik. Hajat di hati hendak menyambung menonton animasi Eye Shield 21. Namun dilihatnya tetingkap pemain videonya telah ditutup.

'Ini mesti kerja Hafiz.'

Lalu dia membuka folder yang menyimpan file-file animasinya. Namun, tidak berjumpa.

'Eh, mana folder tu? Takkan hilang? Tadi ada lagi.' Rasyid semakin tidak keruan.

Dicarinya pula folder-folder menyimpan game-game kesayangannya. Juga tiada! Semua sekali telah diuninstall tanpa kesan. Rasyid tidak dapat menyembunyikan resahnya lagi.

"Hafiiz!!!!"



Seminggu kemudian...



"Assalamu'alaikum Warahmatullah!"

"Wa'alaikumussalam Warahmatullah! Akh Adib, jemputlah masuk."

"Apa khabar iman? Sihat?"

"Alhamdulillah, sihatlah juga. Naik turun. Tapi insya-Allah akan sentiasa lebih banyak naiknya daripada turun."

"Insya-Allah, amiin. Akh, tau tak ada ikhwah batch antum dah keluar halaqoh?"

"Hah? Siapa?"

"Rasyid. Dia kata dia tak tahan dengan dakwah ni. Dia nak bebas."

Hafiz terkesima. Perlakuannya Sabtu lepas kembali bertamu di fikirannya.

"Ya-Allah...apa aku dah buat.." Tiba-tiba Hafiz bermonolog.

"Kenapa akh? Tiba-tiba muka bersalah semacam ni?"

Dengan suara yang lemah, Hafiz menceritakan apa yang telah berlaku antara dirinya dan Rasyid tempoh hari. Adib mendengar dengan saksama.

"Akhi, niat antum untuk menegur tu memang baik. Tetapi caranya kurang berhikmah dan maafkan ana, ianya tidak tepat."



"Ana fikirkan yang ana boleh tinggalkan semua jahiliyah-jahiliyah tu, kenapa dia tak boleh? Itu yang ana tegur dia habis-habisan, buang semua game dan movie dia. Biar dia tak sentuh lagi benda-benda tu semua."

"Kita tak boleh menganggap semua orang sama dengan diri kita. Setiap orang penerimaannya berbeza. Kita kena bijak mengadaptasi suasana. Kesilapannya memang perlu ditegur, tetapi perlulah dengan cara yang lebih tepat."

"Ana pun rasa macam tu. Silap ana tegur terlampau keras."

"Dan sebenarnya, antum tidak perlu menyusahkan diri mengubah dia sekeras itu. Cukup tugas antum dengan melaporkannya kepada ana, murobbinya. Di dalam halaqoh ana akan berikan pemahaman yang sesuai kepadanya. Di dalam halaqoh, itu saat yang terbaik untuk menegur, kerana di saat itu seseorang memang bersedia untuk mendengar dan membuka mindanya. Kalau antum paksakan dia mendengar ketika dia sedang seronok main game, tentu dia tidak akan mengambil pengajaran sama sekali."

"Afwan akh, ana khilaf. Ana tak tahu berdakwah dengan berhikmah."

"Tidak mengapa. Ini pengajaran untuk kita bersama. Tarbiyah langsung daripada Allah, buat kita jadikan pedoman dalam mengharungi jalan dakwah yang penuh liku ini. Semoga dakwah kita semakin berhikmah."

"Insya-Allah..."

0 comments:

Perkongsian: Bagaimana Menyeimbangkan Dakwah Dan Akademik


Setiap mereka yang mengucapkan dua kalimah syahadah, maka dia merupakan seorang da’i ataupun pendakwah. Tiada pengecualian. Berdakwah bukanlah tanggungjawab golongan pelajar sekolah agama, ustaz, ulama’ serta mufti sahaja. Semua muslim sebenarnya dibebankan dengan tanggungjawab untuk berdakwah, mengajak umat manusia kepada Islam. Hanya dengan jalan ini sahajalah Umat Islam akan meraih kembali kemuliaan dan keagungan yang pernah digenggam suatu ketika dahulu. Bersesuaian dengan firman Allah S.W.T:

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
[Q.S. Ali ‘Imran, 3 : 110]


Study adalah subset kepada Dakwah


REALITI DA’I
Sebagai pelajar, kita juga tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk berdakwah. Bahkan, medan yang terbaik untuk berdakwah adalah dalam kalangan remaja yang rata-ratanya adalah pelajar. Para pelajar atau mahasiswa merupakan golongan yang mempunyai kelebihan dari segi masa, tenaga kerja dan sasaran dakwah yang paling efektif. Penyebaran dakwah yang dilakukan oleh golongan mahasiswa ini biasanya sangat cepat berkembang kerana mereka rata-ratanya adalah remaja yang sifatnya sangat bersemangat.

Namun kini timbul pula masalah. Ada mereka yang bersungguh-sungguh dalam berdakwah. Setiap malam berusrah. Hujung minggu tidak pernah lekat di kampus, ada sahaja program dakwah yang disertainya. Namun begitu, keputusan akademiknya tidak begitu memuaskan, malah ada yang tidak mencapai pointer minimal. Lalu mereka ini dijadikan buah mulut oleh ramai orang. Yang paling menyedihkan, masyarakat kampus mula memandang serong terhadap golongan-golongan da’i ini. Ada yang mengatakan,

“Itulah, nak berdakwah, tapi study tak jaga. Buat malu orang Islam saja,”

Ada juga yang mengatakan,

“Itulah kau, kenapa soleh sangat?”

Dan bermacam-macam kata-kata yang 'memanaskan' telinga yang boleh didengari.

Mengapa ini semua terjadi? Adakah benar apabila kita bergiat dalam dakwah, kita telah memandang enteng masalah akademik dan kuliah? Sudah pasti tidak. Malah kita amat yakin bahawa Allah memerintahkan kita agar menyeimbangkan ukhrawi dan duniawi, sebagaimana firman-Nya:

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.
[Q.S. Al-Qasas, 28 : 77]

Maka apakah masalah kita para da’i ini sebenarnya? Bagaimanakah kita boleh berdakwah dengan mantap dan pada masa yang sama juga dapat berjaya dengan cemerlang dalam akademik? Inilah yang akan kita bincangkan dalam artikel ini, Insya-Allah.

DAKWAH MAPAN AKADEMIK PERKASA
Slogan di atas kelihatan begitu ideal. Tetapi ia tidak mustahil. Para salafusoleh dan ilmuan-ilmuan Islam dahulu juga telah membuktikan yang mereka berjaya dalam semua aspek. Mereka pakar perubatan, sains falsafah. Tetapi pada masa yang sama tetap berdakwah dengan cemerlang sehinggga Islam tersebar ke seluruh dunia. Dan jika diperhatikan di sekeliling kita, ada juga mereka yang berdakwah namun akademik mereka tetap mantap. Semuanya adalah bergantung kepada individu. Bagaimana setiap individu itu menguruskan kehidupannya sebagai seorang da’i dan juga penuntut ilmu. Berikut adalah beberapa aspek yang perlu dijaga.


Pengurusan Masa
“Masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya maka ia akan memotongmu.” Kata-kata pujangga ini amat penting untuk dijadikan panduan. Sebagai pelajar dan pada masa yang sama seorang da’i, kita harus bijak dalam menguruskan masa yang ada. Masa kita tidak seperti kawan-kawan kita yang lain, yang masanya sangat-sangat banyak sehingga boleh dibazirkan. Antara virus-virus pengurusan masa adalah menangguh.

Menangguh Kerja
Sebagai da’i, kita akan sentiasa mempunyai program-program dakwah yang perlu diuruskan seperti usrah, seminar-seminar, ceramah-ceramah dan sebagainya. Dan biasanya masa hujung minggu bukan milik kita, tetapi milik dakwah kita. Kita terpaksa mengorbankannya untuk menyebarkan dakwah kepada umat. Oleh itu, setiap tugasan kuliah hendaklah diselesaikan secepat mungkin, tanpa perlu ditangguh-tangguh ke waktu yang lain, walaupun tarikh tamatnya masih lambat. Kadang-kadang kita boleh berbaring-baringan di atas katil, melayari laman-laman web yang tidak begitu penting dan berborak-borak mengenai perkara yang tidak perlu, sedangkan masih ada tugasan yang belum diselesaikan.

Ini merupakan sifat malas yang sentiasa menghalang kita untuk berjaya. Biasanya kita akan berfikir,“Nanti aku buatlah,” atau “Nantilah dulu, tunggu ada bila ada mood baru aku buat.” Kebiasaan berfikir seperti ini tidak boleh ada pada diri seorang da’i. Biasakan diri apabila dapat sahaja apa-apa tugasan, catatkan dalam buku nota atau di mana-mana yang senang dilihat (dalam dompet, di tapak tangan dan sebagainya) agar kita tidak lupa. Kemudian selesaikannya satu demi satu. Jangan senang duduk selagi masih ada kerja bertangguh. Apabila kita tidak menyelesaikan perkara-perkara kecil ini dengan segera, malah menangguh-nangguh kerja, maka apabila sampai masanya kita diarahkan oleh dakwah untuk melakukan tugasan-tugasan dakwah, kita akan memberi alasan. Menangguh-nangguh kerja ini adalah sifat buruk yang datang daripada syaitan.

Menangguh-nangguh ini juga sering berlaku dalam sesi kuliah, di mana kita tidak memahami apa yang disampaikan oleh pensyarah. Biasanya kebanyakan pelajar akan membiarkan sahaja dirinya tidak faham tanpa mengambil langkah segera untuk memahami pelajaran itu. Biasanya setiap topik akan berkait antara satu sama lain. Akibatnya, semakin banyak pelajaran yang tidak difahami. Dan pelajar biasanya akan berfikir untuk mengatasi masalah ini apabila ada masa lapang dan yang paling teruk, meletakkan semua beban belajar dalam ‘study week’. Ini juga adalah tabiat yang buruk dan sangat-sangat perlu dielakkan.

Penangguhan adalah 'pembunuh' masa lapang
Mulakan dengan dewan kuliah. Pastikan sebelum kita datang, kita sudah mempersiapkan minda kita untuk menerima semua yang disampaikan oleh pensyarah. Bawa buku nota khas bagi setiap subjek untuk mencatat apa yang disampaikan. Hadir ke kelas beberapa minit lebih awal untuk untuk mempersiapkan diri dan mengambil tempat duduk yang sesuai. Pastikan tumpuan kita adalah 100% terhadap kuliah yang disampaikan. Wajibkan diri kita untuk memahami setiap apa yang hendak disampaikan. Mengulangkaji pelajaran yang akan diajar sebelum kelas akan sangat-sangat membantu. Andai kata kita masih tidak dapat memahami apa yang hendak disampaikan, segera berjumpa dengan pensyarah dan bertanya. Selesaikan segala keraguan itu secepat mungkin, sebaik-baiknya sebelum sesi kuliah yang seterusnya. Jika tidak sempat berjumpa pensyarah, pastikan kita memahaminya dengan bantuan rakan-rakan lain ataupun melalui bacaan-bacaan serta latihan.

Memahami sahaja tidak mencukupi. Melalui kajian yang dilakukan berkenaan daya ingatan manusia, kita akan kehilangan 90% apa yang dipelajari dalam masa 24 jam tanpa pengulangan. Oleh itu Kita perlu mengulang subjek-subjek yang telah dipelajari itu secepat mungkin. Tidak perlu lama, mungkin 5-10 minit. Buka semula nota, baca sekali lalu sambil mengimbas kembali apa yang disampaikan oleh pensyarah. Lakukan pada hari itu juga. Jangan sesekali memberi alasan tidak ada masa, untuk makan sahaja kita selalu lebih daripada 30 minit.

Tidak Merancang Jadual Mengulangkaji
Dalam apa jua keadaan kita tidak boleh lari daripada merancang. Merancang merupakan sesuatu yang amat penting bagi kehidupan seorang pelajar, lebih-lebih lagi bagi seorang da’i. Kepentingan merancang ini disebut oleh Allah dalam kitab-Nya:

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
[Q.S. Al-Hasyr, 59 : 18]

Sesiapa yang tidak merancang, maka sesungguhnya dia merancang untuk gagal. Merancang bukanlah sesuatu yang susah sebenarnya. Ramai di antara kita yang menolak apabila dicadangkan membuat jadual mengulang kaji. Sebenarnya dengan adanya jadual, kita akan lebih teratur dalam membuat persediaan untuk ujian dan lebih mudah memahami pelajaran.

Mulakan dengan menyenaraikan semua subjek-subjek yang dipelajari dan sub-sub topiknya. Dengan adanya senarai ini, semua topik yang akan dipelajari akan lebih terarah. Mulai menguasai topik demi topik. Dengan ini tiada topik yang akan tertinggal. Kemudian, mula menetapkan hari untuk setiap topik itu untuk diulang. Dalam jadual itu pastikan ada masa untuk mengulangkaji sekurang-kurangnya sejam sehari. Tidak semestinya sejam itu berturut-turut. Boleh jadi 20 minit setiap sesi ataupun 30 minit. Jika berpeluang pastikan lebih masa diperuntukkan. 2-3 jam sehari adalah cukup baik. Jangan biarkan ada hari yang kita lalui tanpa mengulangkaji pelajaran. Rancang jadual dengan teliti, dan kemudian disiplinkan diri untuk mematuhinya.

Semangat Berusaha
Walaupun banyak perkara yang telah kita rancang, namun yang paling payah adalah untuk meneruskannya. Dalam erti kata lain untuk mengekalkan momentum belajar atau keistiqomahan dalam belajar. Sememangnya, keistiqomahan bukan perkara yang mudah. Rasulullah sahaja apabila diturunkan ayat untuk istiqomah ini, beruban rambutnya.

Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah tobat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
[Q.S. Hud, 11 : 112]

Tetapi untuk istiqomah bukanlah sesuatu yang mustahil. Banyak cara yang boleh kita gunakan untuk mengekalkan semangat untuk berusaha. Berikut beberapa cadangan.

Membayangkan Apa yang Akan Dicapai
Dalam sehari, dapatkan satu waktu khas untuk kita membayangkan masa depan kita dalam dakwah dan akademik. Biasanya sebelum subuh, selepas solat tahajjud. Bayangkan apa yang akan kita capai dalam dakwah. Bayangkan dengan keputusan akademik yang cemerlang itu, lebih ramai mad’u yang akan kita tarik ke dalam dakwah.

Bayangkan dengan teliti, di mana sahaja kita pergi semua orang mengamalkan Islam dengan syumul. Semua muslimah bertudung labuh menutup aurat. Semua muslim amat menjaga akhlaq dan berperibadi mulia. Bayangkan semuanya dengan terperinci. Lakukan dalam masa 2-3 minit. Kemudian untuk 2-3 minit seterusnya bayangkan bagaimana kita akan mencapai kesemua itu. Bayangkan bagaimana kita akan melalui sepanjang hari tersebut. Bayangkan setiap kuliah yang akan kita hadiri, wajah-wajah yang akan kita temui, buku-buku yang akan kita baca dan perasaan kita ketika melakukannya. Gambarkan. Ketika sedang membayangkan, bernafaslah dengan dalam, sambil bertekad dengan kuat di dalam hati untuk merealisasikan kesemuanya. Insya-Allah, kita akan merasai semangat itu sepanjang hari. Semakin terperinci apa yang kita bayangkan semakin bagus kesannya.

Menggunakan Ayat-Ayat Motivasi
Banyak kata-kata yang boleh digunakan untuk memotivasikan diri. Ayat-ayat Al-Quran sahaja sudah cukup untuk membuat kita bersemangat. Pilih ayat-ayat yang memberi kesan yang dalam kepada diri kita, tulis di atas kertas atau printkan daripada komputer lalu tampalkan di tempat belajar dan lain-lain tempat yang strategic seperti almari, cermin muka dan sebagainya.

Antara kata-kata yang disarankan ialah:

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan atau pun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
[Q.S. At-Taubah, 9 : 24]

Jika kita menghayati ayat ini nescaya dalam keadaan apapun kita akan tetap bersemangat melaksanakan jadual yang telah ditetapkan. Kita akan memahami, walaupun kita dalam keadaan letih, sakit, ataupun sibuk, kita akan tetap berusaha bersunguh-sungguh.

Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
[Q.S. Al-Baqarah, 2 : 233]

Mana mungkin kita akan malas apabila mengetahui setiap amal kita diperhatikan oleh Allah? Setiap usaha kita melawan kemalasan dan keinginan nafsu akan diberi ganjaran pahala berjihad di jalan Allah. Bersemangatlah!

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyuk dalam salatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,
[Q.S. Al-Mu’minun, 23 : 1-3]

Orang beriman akan sangat-sangat berjaya. Tetapi hanya mereka yang benar-benar beriman dan beramal dengan sifat-sifat sebenar orang beriman, iaitu menjauhi perbuatan dan perkataan yang sia-sia (lagho). “Campus life is all about dakwah and study. There’s no time to be wasted!” Manfaatkan setiap detik yang ada untuk dakwah atau belajar. Tiada yang ketiga.

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
[Q.S. Muhammad, 47 : 7]

Yakinlah dengan janji Allah ini. Da’i adalah mereka yang berusaha bersungguh-sungguh untuk membela agama-Nya. Insya-Allah, jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh dengan disertai keyakinan, keikhlasan serta keimanan maka pertolongan Allah pasti datang.

Kesimpulan : BERUSAHALAH WAHAI PARA DA’I
Kesimpulannya, untuk menyeimbangkan dakwah dan study, kehendak dan disiplin yang tinggi untuk berjaya perlu diterapkan. Yang penting adalah berusaha. Allah yang menentukan. Yakinlah, Allah pasti akan menunjukkan jalan bagi mereka yang bersungguh-sungguh mencari keredhaan-Nya.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29 : 69]

sumber: umairzulkefli.blogspot.com

3 comments:

SALAM MAAL HIJRAH 1432H



SALAM MAAL HIJRAH 1432H


Kami mengucapkan salam maal hijrah 1432H kepada semua pengunjung blog Sahabat Masjid Universiti Malaysia Pahang serta semua muslimin dan muslimat.

0 comments:

Mengejar Bangkai Kambing!



Kehidupan sebagai muslim tidak lekang dari ujian dan mehnah. Percayalah, tiada sesiapapun di dunia ini yang tidak diuji iman dan kesungguhannya mengimani Allah SWT dan apa yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Menariknya junjungan besar kita Rasulullah SAW telah awal-awal lagi memperingatkan kita akan ujian dan ancaman besar buat umat Islam yang mampu merongkai keimanan mereka.

Ada tiga perkara yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW kepada kita.
Dari Abu Hurairah ra. beliau berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Jika umatku sudah mengagungkan dunia, maka akan tercabut dari mereka kehebatan Islam; dan jika umatku sudah meninggalkan amar ma’aruf nahi munkar, diharamkan baginya keberkahan wahyu; dan jika umatku sudah saling mencaci, maka jatuhlah ia dari pandangan Allah" (HR. Hakim dan Tirmidzi)

Tidak tersentapkah hati kita tatkala membaca peringatan Rasulullah SAW ini seakan Baginda SAW telah mengetahui bahawa zaman fitnah besar yang baginda ungkapkan akan dan sedang melanda umat saat ini.

Dalam bicara kali ini, penulis sekadar mahu berbicara tentang peringatan Rasulullah SAW berkenaan ancaman penyakit mengagungkan dunia. Semoga dalam tulisan mendatang Allah SWT mengizinkan kita mentadabbur 2 lagi pesanan Rasulullah SAW yang amat besar kesannya kepada masa depan kita setelah mati kelak.

Arus Mengagungkan Dunia
Hairan, kita lahir di dunia ini, kita beramal juga atas dunia ini, tetapi Rasulullah SAW memperingatkan umatnya agar berhati-hati dengan dunia jangan sampai dunia beraja dan menguasai di hati kita. Apakah ini jawapannya mengapa umat Islam saat ini lesu, lemah dan berpecah belah? Sehinggakan sudah tercabut rasa kehebatan dan kemuliaan Islam pada mata dan pandangan masyarakat yang bukan Islam! Bahkan umat Islam sendiri tidak merasa izzah (mulia) dengan Islam! Cinta dunia telah menghakis kekuatan kita sebenarnya sehingga umat Islam dihimpit dan diasak dari segenap sudut oleh musuh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Nabi bersabda: “Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah al-wahn itu, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Cinta dunia dan takut mati” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Inilah asbab dan impak kepada permasalahan umat, umat tidak lagi secara serius benar-benar memperhambakan dirinya kepada Allah SWT, dunia telah mengganti Illah (sembahan) manusia dan umat ini, samada secara sedar atau tidak sedar.

Cinta Yang Menyempitkan
Cinta dunia juga akan menyempit kehidupan kita. Patutlah ramai kalangan umat Islam yang stress dan tertekan dengan kehidupan mereka sendiri, terkena virus mabuk dunia barangkali. Rasulullah SAW dalam hadis yang lain memperingatkan kita akan virus cinta dunia ini:

Dari Zaid bin Tsabit RA beliau berkata, “Kami mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapa yang (menjadikan) dunia tujuan utamanya, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinan / tidak pernah merasa cukup di hadapannya, padahal dia tidak akan mendapatkan (harta benda) duniawi melebihi dari apa yang Allah tetapkan baginya. Dan barangsiapa yang (menjadikan) akhirat niat (tujuan utama)nya, maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan sentiasa merasa cukup (ada) dalam hatinya, dan (harta benda) duniawi datang kepadanya dalam keadaan rendah (tidak bernilai di hadapannya).” (HR Ibnu Majah, Ahmad, ad-Daarimi, Ibnu Hibban dan lain-lain dengan sanad yang sahih.

Sudah jelas bukan, tatkala dunia menjadi matlamatnya, nescaya Allah SWT akan menyempitkan kehidupannya, jiwa menjadi tidak tenang dan sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang ia dapat.

Imam Ibnul Qayyim dalam kitab Igaatsatul Lahfaan menulis bahawa salah seorang ulama salaf ada berkata, “Barangsiapa yang mencintai dunia (secara berlebihan), maka hendaknya dia mempersiapkan dirinya untuk menanggung pelbagai macam musibah (penderitaan).”

Kata Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah lagi, “Orang yang mencintai dunia (secara berlebihan) tidak akan lepas dari tiga (macam penderitaan): Kekalutan (fikiran) yang selalu menyertainya, kepayahan yang tiada henti, dan penyesalan yang tiada berakhir. Hal ini disebabkan orang yang mencintai dunia (secara berlebihan) jika telah mendapatkan sebahagian dari (harta benda) duniawi maka nafsunya (tidak pernah puas dan) terus bercita-cita mengejar yang lebih dari pada itu.

Formula Merawat Cinta Dunia: Generasi Akhirat

Firman Allah SWT:

“Hidup di dunia, tidak lain hanya suatu kesenangan dan permainan. Sesungguhnya kampung akhiratlah kehidupan yang sebenarnya. Jika mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut ayat 64).

Lawan cinta dunia adalah cinta kepada akhirat. Inilah terapinya bagi kita melawan barah cinta dunia, cinta kepada Akhirat. Cinta Akhirat bukan bermakna kita mengabaikan kehidupan kita di dunia. Bukan begitu dan jangan salah faham! Allah SWT berfirman:

“Ya Allah berilah kami di dunia kebaikan dan di akhirat kebaikan, dan selamatkanlah kami dari siksa neraka.” (al-Baqarah: 201)

Kita mahukan kebaikan kepada keduanya sekali, namun akhirat memandu kita untuk mencintai dunia seadanya sehingga kita tidak tertipu dengan penyakit cinta dunia. Sesuai dengan firman Allah SWT:

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.” (al-Qashash : 77)

Firman Allah SWT lagi:

"Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat." (Asy-Syuro: 20)

Rasulullah SAW mengajarkan kepada para sahabat RA makna sebuah keuntungan pada kaca mata akhirat sebagai suri teladan buat kita. Antaranya sahabat mulia bernama Shuhaib Ar-Rumi. Ketika itu ia merelakan semua hartanya dirampas oleh orang-orang kafir agar dia boleh keluar berhijrah bersama Rasulullah SAW. Habis ditinggalkan hartanya. Apa keuntungan yang diperoleh oleh Shuhaib? Ternyata saat beliau tiba di Madinah, Nabi SAW sendiri yang menyambut kedatangannya seraya bersabda:

"…..perdagangan yang menguntungkan wahai Abu Yahya… perdagangan yang menguntungkan wahai Abu yahya!" {Hadis Riwayat Muslim}


Justeru Shuhaib termasuk orang yang beruntung kerana memilih cinta Akhirat mengatasi cinta dunia

Berapa Nilai Dunia Ini?
Mari kita muhasabah dan kemaskinikan matlamat kehidupan kita. Bersihkan dari sebarang kecintaan dunia yang menyiksakan diri kita kelak di Akhirat. Nilai dunia yang direbutkan terlalu kecil dibandingkan dengan nilai Akhirat. Rasulullah SAW bersabda :

“Perumpamaan dunia dengan akhirat adalah kalian mencelupkan jari kalian ke laut, kemudian diangkat, lihatlah dunia hanya air yang ada di jari tersebut.”
Sebenarnya Allah SWT telah menjelaskan nilai dunia di banding akhirat dan nilai akhirat di banding dunia baik dalam ayat –ayat al Qur’an mahupun hadis Nabi SAW.
Penulis akhirkan perkongsian kali ini dengan perumpamaan menarik yang digambarkan oleh Rasulullah SAW terhadap nilai sebuah dunia yang menjadi rebutan manusia saat ini.

Dari Jabir RA , bahawasanya Rasulullah SAW menjumpai seekor bangkai anak kambing lagi cacat telinganya lalu baginda mengangkat dengan memegang kedua telinga bangkai itu lantas bersabda:

“Siapakah diantara kalian yang ingin membeli bangkai ini seharga satu dirham? Kemudian para sahabat pun menjawab, “ Kami sama sekali tidak menginginkanya,apa yang dapat kami lakukan dengan bangkai itu ? Lantas Rasulullah SAW kembali bertanya, ”Apa kalian mahu bila bangkai ini menjadi milik kalian?” Para sahabat kembali menjawab ,”Demi Allah, seandainya bangkai ini hidup pun kami tidak berminat, sebab ia cacat apalagi sudah menjadi bangkai.” Kemudian Rasulullah SAW seraya berkata

“Demi Allah, sungguh dunia itu lebih hina di mata Allah daripada bangkai ini di mata kalian. (HR Muslim)

usrahkeluarga.blogspot

0 comments:

Related Posts with Thumbnails