Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Seindah Hiasan Dunia


Jauh melangkah merentas benua
Pulang kembali menabur budi
Jadilah seindah hiasan dunia
Wanita solehah seanggun srikandi

Berjalan-jalan ditepi muara
Sambil melihat kanak-kanak mandi
Akhlak indah terus dipelihara
Sahsiah terpuji unggul peribadi

Detik indah menjadi kenangan
Saat bertemu dengan keluarga
Pertahan maruah satu perjuangan
Kerana dirimu begitu berharga

Hati sedih bertambah pilu
Mengenang nasib diri sendiri
Andai hilang sifat malu
Runtuhlah segala harga diri

Viva, Myvi dan juga saga
Buatan Malaysia pastinya jimat
Tidaklah rugi aurat dijaga
Malah itulah jalan selamat

Dari dulu berutus surat
Baru kini hendak berjumpa
Dalam menjaga batasan aurat
Sempadan pergaulan jangan dilupa

Waktu petang berjalan-jalan
Dari rumah hingga ke taman
Sedarlah wahai muslimah sekalian
Dirimu fitnah di akhir zaman


Wanita, muslimah, saudari atau apa saja gelaranmu..
Jadilah seindah hiasan dunia
Ibadah dijaga
Akhlak dipelihara
Aurat ditutup sempurna
Pergaulan dipagari
Sifat malu pengikat diri

"Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah WANITA SOLEHAH"


0 comments:

Program Datang Lagi~!!!

Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah "cermin" dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?
Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu... setiap wanita berhak untuk cantik!
Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.
Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, 'beauty in the eye of beholder'.
Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.
Nak tahu perbincangan lebih mendalam tentang akhlak wanita???
Let's join this talk show, "Semerah Gincu Dibibir"~

HARI: Khamis
TARIKH: 20 Oktober 2011
TEMPAT: UMP Pekan ( Antara Blok A,B dan C)
MASA: 6.30 Ptg-11.00 Mlm
PANEL: Catriona Ros, Ustazah Safiyyah, Ustazah Husna (Moderator)      
*Merit disediakan bagi yang hadir~
*Iftar percuma buat warga Pekan, 100 org pertama yg mendaftarkan diri~
*Bas disediakan bg mahasiswa dari Gambang dan UMP@City (Bertolak jam 7.30Mlm)
3 bas dari gambang (Naik di Bus Stop UMP)
1 bas dari UMP@City (Naik di tempat biasa bas UMP ambil pljar)

Jom pakat2 dengaq forum nih!!! semua d jmput hadir...xkire lah SISWA dan SISWI serta MASYARAKAT SEKITAR PAHANG (^__^)

"Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah"
~Together With SAHAM~

0 comments:

Seputar Kem Bina IMEJ 2011

Kem Bina IMEJ
Pulau Poh, Tasik Kenyir
7-9 Oktober 2011

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan atas segala nikmat yang dikurniakanNya kepada kita semua.

Kem Bina IMEJ merupakan aktiviti perkhemahan saban semester yang dianjurkan oleh Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Sahabat Masjid (SAHAM) UMP. Pada kali ini, ia diadakan di tapak perkhemahan Pulau Poh, Tasik Kenyir.

Kem Bina IMEJ (Iman-Mental-Emosi-Jasmani) melibatkan beberapa orang staf PIMPIN, ahli Sahabat Masjid dan terbuka kepada seluruh warga UMP. Alhamdulillah, kerana kali ini kem ini juga disertai oleh International Students.

Antara objektif kem ini adalah:
1) Menguji kekuatan mental dan fizikal para peserta
2) Membina dan merapatkan ukhwah sesama peserta dan hubungan antara mahasiswa dan staf UMP.
3) Menyemai sifat cinta terhadap makhluk ciptaan Tuhan

Peserta muslimin bergambar kenangan


Peserta muslimat tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama

Antara aktiviti untuk kem kali ini ialah berkayak. Aktiviti berkayak ini bermula dari tapak perkhemahan Pulau Poh sehingga ke Pulau Herba yang mengambil masa lebih daripada dua jam. Tahniah diucapkan kepada peserta yang dapat menamatkan sehingga ke destinasi. Aktiviti berkayak ini benar-benar menguji ketahanan fizikal, mental serta emosi para peserta.

Berkayak...menguji ketahanan mental dan kekuatan fizikal

Bersantai dan merehatkan minda setelah penat berkayak
lokasi: air terjun Saok



Mendahulukan solat walau apa jua keadaan

Malam kebudayaan mempamerkan bakat terpendam para peserta


Lawatan ke UniSZA

Antara komen dan feedback yang diterima dari peserta tentang kem ini ialah:

"Alhamdulillah, dengan izin Allah dapat habiskan dengan jayanya..satu program yang tenang, santai tapi berisi. dapat menghayati keindahan ciptaan Allah dan dapat berkongsi ilmu serta mengeratkan hubungan silaturrahim.."

"My Comments for this camping::Learning; Sacrifice, team work & self reflation..
Conclusion: Islam Do not forbade for fun and enjoyment, but these must be under uncertain limits mentioned by our religion. Those limits are simple and easily applicable on any activity. Alot of Thanks to Allah, that, by the platform of SAHAM, we did it perfectly. Ya Allah, We tried our best to follow ur limits durin...
g this camping, Ya Allah, please accept the hard work of organizers and participants to manage this event, please forgive us, if we fail at any instant..
Thanks to Allah and i on the behalf of international students, pay thanks to SAHAM to organize such memorable activity. Hope to c u guys in next event.."

Akhir sekali, terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang terlibat. Terima kasih juga atas kerjasama yang diberikan. Kami dipihak urusetia memohon maaf andai ada kekurangan serta kelemahan disepanjang perjalanan kem ini.

Semoga Allah merahmati dan memberkati segala usaha ini. InsyaAllah, kita jumpa lagi untuk program yang akan datang. Barakallahulakum.

0 comments:

Nak ikut tak?

Muhasabah adalah perilaku bagi mengitung dan memperelokkan diri yang terbentuk di dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan yang boleh menjadi pengalang untuk mandapat keredhaan dari Allah Taala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).
[Riwayat al-Tarmizi].

Sesiapa yang bermuhasabah dirinya maka dia tidak akan meninggalkan ruang dan masa untuk dirinya melakukan perkara-perkara yang batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah s.w.t. kerana takutnya diri ini kepada kekuasaanNya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan?

Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie:

Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah Taala.
[Kitab: al-Burhan al-Muayyad].

Muraqabah ertinya merasa selalu diawasi oleh Allah SWT sehingga dengan kesedaran ini mendorong manusia sentiasa rajin melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Secara tegasnya muhasabah pasti akan menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah Taala dan rasulNya serta makhluk-makhlukNya. Melalui muhasabah juga manusia merasa diri mereka tidak diciptakan oleh Allah Taala dengan sia-sia. Setiap manusia pasti akan kembali semula kepada Allah Taala apabila telah sampai waktunya.

Firman Allah Taala bermaksud:

Setiap yang berjiwa (yang bernyawa) akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia telah beruntung. Kehidupan dunai itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah ali-Imran: Ayat 185).

Di dalam kesibukkan kita mengejar kekayaan dunia ini maka janganlah lupa juga untuk kita menyibukkan diri dengan mengingati Allah Taala. Perkara seperti inilah yang selalu dituntut oleh agama Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu. (Surah adz-Dzaariyaat: Ayat 50).

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang yang benar. (Surah at-Taubah: Ayat 119).

Adapun golongan sufi sentiasa menyibukkan diri dengan penghambaan dan pengabdian diri kepada Allah Taala. Mereka beriman di dalam perjalanan musafir ini menuju Allah Taala dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati bahawa mereka akan kembali kepada Allah Taala pada setiap masa.

Firman Allah Taala bermaksud:

Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi tuhan (Allah Taala) Maha Kuasa. (surah al-Qamar: Ayat 55).

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:

Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat redha nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimilah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang sahih tanpa bertolak-ansur terhadap perkara yang telah nyata salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas. (Kitab: Qawaid al-Tasawuf).

Demikianlah pentingnya muhasabah di dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas maka seseorang itu akan sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabahlah diri dengan hati yang terbuka agar kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelamahan diri sebelum diri kita menemui ajal.

Berkata Saidina Umar al-Khattab:

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang. (Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin).

Jom ikut! Sama2 menuju redha Ilahi~
 

Sumber: http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2037

0 comments:

Qanaah Merehatkan Jiwamu

Qanaah..merasa cukup dengan apa yang Allah berikan

Kelelahan Jiwa
"Baju dia jenama Adidas. Baju aku jenama Asadi saja."
"Dia ada motor. Senang pecut ke kelas bila terlambat. Aku pula terpaksa jalan kaki awal-awal pagi."
"Wah, dia pakai pencuci muka Gamat Healin. Mahal tu. Aku pakai Safi je."
"Cantiknya jam tangan dia. Aku tak pernah ada jam tangan secanggih tu."

Anda suka membanding-bandingkan apa yang anda ada dengan orang lain? Jika ya, berhentilah! Ia hanya melelahkan jiwamu.

Berkasut, Berselipar, Berkaki Ayam
Dalam urusan dunia, jika kita berkasut, pandanglah orang yang berselipar. Jika kita berselipar, pandanglah orang yang berkaki ayam. Ia akan menjadikan kita sentiasa bersyukur atas apa yang kita miliki. Jika diberi kelebihan harta, kita rajin memberi. Jika diuji dengan kesempitan, kita tidak suka meminta-minta. Begitulah lazatnya jiwa yang qanaah. Sentiasa puas.

Sementara dalam urusan akhirat, sentiasalah memandang kepada golongan ulama'. Biar kita tidak mengenal puas berusaha meningkatkan diri menjadi lebih baik. Begitu juga dalam perihal menuntut ilmu. Jika kita berkaki ayam, pandanglah orang yang berselipar. Jika kita berselipar, pandanglah orang yang berkasut. Menuntut ilmu tidak pernah berhenti selagi jasad belum ditelan bumi. Urusan akhirat dan ilmu, semakin diteguk, semakin lazat dijiwa.

Disingkap Hikmah
Orang yang tidak pernah cukup dengan apa yang ada sentiasa sulit memikirkan nasib dirinya. Merintih dan menyesali. Membandingkan dan merendah diri. Hilang keyakinan dan mungkin menjadi pendengki. Orang qanaah pula biasanya dianugerahi sifat 'Arif' iaitu dapat memandang apa yang tersirat pada sesuatu kejadian, peristiwa, keadaan atau masalah. Mengetahui hikmah bererti mengenal kebijaksanaan Tuhannya. Maka hubungan dengan Allah bertambah kukuh dan semakin lazat dijiwa.

Ibarat pengembala yang berhati-hati melindungi gembalaannya dari mara bahaya, maka Allah jauh lebih hebat melindungi hamba-hambaNya yang qanaah daripada pesona dunia. Lalu, qanaah itu berhias zuhud.

Pujilah Dia
Memiliki jiwa yang qanaah perlukan mujahadah. Perlukan proses menekuni dan meneliti segala dialog hati. Pujilah Allah pada setiap apa yang sudi diberikan biarpun hati merasa berat. Puji-pujian ini akan meleburkan rasa ego dan sombong. Memuji Allah juga menyedarkan bahawa kita semua milikNya termasuklah diri kita. Menyedari diri cuma hamba.

Wahai Jiwa Yang Tenang
Moga-moga, kelazatan dan kerehatan memiliki jiwa yang qanaah itu akan menyumbangkan kepada jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang sentiasa diseur mulia oleh Al-Khaliq saat kita bertemu denganNya.

"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, masuklah ke dalam syurgaKu" [Al-Fajr: 27-30]


*Catatan
Tulisan: Fatimah Syarha Mohd Noordin
Petikan: Haluan Edisi 3 2011



0 comments:

Related Posts with Thumbnails