Qanaah Merehatkan Jiwamu
Qanaah..merasa cukup dengan apa yang Allah berikan
Kelelahan Jiwa
"Baju dia jenama Adidas. Baju aku jenama Asadi saja."
"Dia ada motor. Senang pecut ke kelas bila terlambat. Aku pula terpaksa jalan kaki awal-awal pagi."
"Wah, dia pakai pencuci muka Gamat Healin. Mahal tu. Aku pakai Safi je."
"Cantiknya jam tangan dia. Aku tak pernah ada jam tangan secanggih tu."
Anda suka membanding-bandingkan apa yang anda ada dengan orang lain? Jika ya, berhentilah! Ia hanya melelahkan jiwamu.
Berkasut, Berselipar, Berkaki Ayam
Dalam urusan dunia, jika kita berkasut, pandanglah orang yang berselipar. Jika kita berselipar, pandanglah orang yang berkaki ayam. Ia akan menjadikan kita sentiasa bersyukur atas apa yang kita miliki. Jika diberi kelebihan harta, kita rajin memberi. Jika diuji dengan kesempitan, kita tidak suka meminta-minta. Begitulah lazatnya jiwa yang qanaah. Sentiasa puas.
Sementara dalam urusan akhirat, sentiasalah memandang kepada golongan ulama'. Biar kita tidak mengenal puas berusaha meningkatkan diri menjadi lebih baik. Begitu juga dalam perihal menuntut ilmu. Jika kita berkaki ayam, pandanglah orang yang berselipar. Jika kita berselipar, pandanglah orang yang berkasut. Menuntut ilmu tidak pernah berhenti selagi jasad belum ditelan bumi. Urusan akhirat dan ilmu, semakin diteguk, semakin lazat dijiwa.
Disingkap Hikmah
Orang yang tidak pernah cukup dengan apa yang ada sentiasa sulit memikirkan nasib dirinya. Merintih dan menyesali. Membandingkan dan merendah diri. Hilang keyakinan dan mungkin menjadi pendengki. Orang qanaah pula biasanya dianugerahi sifat 'Arif' iaitu dapat memandang apa yang tersirat pada sesuatu kejadian, peristiwa, keadaan atau masalah. Mengetahui hikmah bererti mengenal kebijaksanaan Tuhannya. Maka hubungan dengan Allah bertambah kukuh dan semakin lazat dijiwa.
Ibarat pengembala yang berhati-hati melindungi gembalaannya dari mara bahaya, maka Allah jauh lebih hebat melindungi hamba-hambaNya yang qanaah daripada pesona dunia. Lalu, qanaah itu berhias zuhud.
Pujilah Dia
Memiliki jiwa yang qanaah perlukan mujahadah. Perlukan proses menekuni dan meneliti segala dialog hati. Pujilah Allah pada setiap apa yang sudi diberikan biarpun hati merasa berat. Puji-pujian ini akan meleburkan rasa ego dan sombong. Memuji Allah juga menyedarkan bahawa kita semua milikNya termasuklah diri kita. Menyedari diri cuma hamba.
Wahai Jiwa Yang Tenang
Moga-moga, kelazatan dan kerehatan memiliki jiwa yang qanaah itu akan menyumbangkan kepada jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang sentiasa diseur mulia oleh Al-Khaliq saat kita bertemu denganNya.
"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, masuklah ke dalam syurgaKu" [Al-Fajr: 27-30]
*Catatan
Tulisan: Fatimah Syarha Mohd Noordin
Petikan: Haluan Edisi 3 2011
0 comments:
Post a Comment