Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Bilakah Perbezaan Pendapat Mampu Memperkaya Ilmu?


Perbezaan pendapat di kalangan ulama dan ilmuan Islam adalah lumrah. Sejak dahulu lagi sehingga kini malah pada masa depan perbezaan akan terus berlaku. Berlaku perbezaan sudut pandangan dengan cara betul, adalah jalan bagi kebijaksanaan. Pendekatan feqah, ijmak di kalangan ulama, fatwa yang diputuskan dan ijtihad yang diambil pada prinsipnya tidak boleh menggugat faktor syarak yang terkanun dalam nas qat'ie.

Imam feqah yang utama sering berbeza pandangan dalam sesuatu perkara. Sifat zaman yang berubah dan banyak perkara baru muncul memerlukan jawapan dan pendekatan menanganinya. Imam Shafie umpamanya tidak ta'assub dengan pandangannya malah terbuka diikuti atau sebaliknya asal saja yang selari dengan maksud syarak. Beliau menganjurkan supaya yang terbaik dan benar yang harus diikuti. Kaedah ini memperkayakan khazanah ilmu dalam tradisi Islam dan perbezaan tidak menjadi isu yang mempertajamkan hubungan atau menuding jari dengan pandangan bahawa, "Aku saja yang betul dan orang lain semuanya cacat atau salah belaka".

Prof. Dr.Yusof al-Qaradawi dan Almarhum Sheikh Muhammad al-Ghazali sering memberikan pandangan dari sudut feqah dan syarak supaya masalah masa kini dapat diatasi tanpa perlanggaran batas syarak namun, adab berbeza pandangan tetap dipelihara.

Akhir-akhir ini sangat nyata perbezaan pendapat di kalangan ahli dalam hal agama atau di kalangan ulama yang mempunyai latar pendidikan berbeza atau di kalangan orang Islam yang tidak memiliki keahlian, cuba memberikan pandangan terhadap sesuatu isu yang menuntut keahlian dan kepakaran. Cara perbezaan itu berlaku boleh mengelirukan orang awam khususnya generasi muda.

Ulama adalah pewaris Para Nabi. Ulama adalah lambang keteguhan ilmu, prinsip dan hukum hakam Islam, namun apabila ada isu baru maka sering wujud perbezaan mendekatinya. Yang merisaukan ialah ada di kalangan mereka yang cuba mendekati isu kerana populariti. Ia pula diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang sentiasa ingin melagakan pandangan dengan maksud tertentu. Sepatutnya pandangan berbeza boleh diselesaikan di meja muzakarah (perbincangan). Sudah tentu dalam negara kita ada lembaga dan institusi bagaimana perbezaan pandangan itu dapat diselaraskan.

Pada prinsipnya, ulama faham nas mengenai isu berkaitan. Perbezaan kadang-kadang hanya bersifat teknikal bukan substantial, tetapi cara sesetengah pihak mempermainkan boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham hingga menyebabkan khalayak menjadi bercelaru. Malah, ada tokoh merelakan dirinya menjadi umpan mempertajamkan lagi masalah berbangkit dan ia menjadi popular dengan maksud tersendiri. Lebih mengelirukan ialah sudut pandangan tidak didekati secara kaedah Islam. Ia didekati secara barat atau mengambil pendekatan seperti dilakukan oleh orientalis.

Dalam hal membabitkan hukum atau pengkhususan, ia menuntut di kalangan ahli memperjelaskannya supaya ada kuasa dalam membuat keputusan. Seorang doktor pakar dan ahli dalam bidangnya memiliki kelayakan untuk berbicara mengenai penyakit. Orang awam yang bukan ahli dalam penyakit itu sudah tentu perlu merujuk kepada pakar terbabit. Rasulullah berpesan pentingnya sesuatu itu diletakkan pada tempatnya (berasaskan keahlian atau kepakaran). Kalau tidak kehancuran dan kerosakan akan menyusul.

Ia tidak bermakna ulama tidak perlu dinamik. Ulama dalam maksud yang sebenarnya mendukung imej Islam, berpegang kepada prinsip, memahami zaman dan realiti dan mengambil pendekatan bijaksana supaya umat dipandu ke arah jalan agama yang betul di tengah cabaran semakin rencam. Apabila timbul di kalangan ulama atau ilmuan atau di kalangan tokoh yang berlagak seperti ulama membuat kenyataan kontroversi, ia tidak menyumbang ke arah kesatuan fikiran yang amat dituntut oleh umat. Tidak dapat dinafikan, ada kerencaman dan kelainan orientasi bagaimana seseorang ulama dan ilmuan Islam itu lahir di sepanjang sejarah umat Islam. Tetapi titik persamaan yang boleh menyatukan fikrah dan ummah harus dijadikan keutamaan.

Tidak harus ada pihak yang ingin menjadi juara konon dia tahu segala-galanya dengan menafikan kebolehan orang lain. Lebih tidak wajar lagi apabila seseorang yang berlagak tokoh, tahu sedikit mengenai pemikiran dan falsafah lalu berlagak sebagai ahli fekah atau syariah dan menyebabkan khalayak menjadi keliru. Adab terhadap kelainan pendapat perlu ada. Adab al ikhtilaf yang boleh membawa kepada perbezaan pendapat harus tegak dengan prinsip dan nas yang sepakat.
Hikmah di sebalik kelainan pendapat yang didekati dengan adab yang tinggi melahirkan tradisi bijaksana untuk mencerahkan lagi isu yang berbangkit bukan menambahkelirukan keadaan akibat kegopohan.

Maslahah ummah dan imej Islam harus dipelihara supaya kelainan pendapat memperkaya cara pendekatan bagaimana isu yang berbangkit didekati secara ilmu dan keahlian. Asas ini penting supaya kelainan pendapat yang dilakukan secara berhemah mampu mendidik masyarakat dan memperjelaskan lagi arah dan maksud sesuatu isu berbangkit.

Intipati :

  • Imam Shafie menganjurkan yang terbaik dan benar harus diikuti.
  • Perbezaan pandangan ulama harus diselesaikan di meja muzakarah atau di gelanggang yang tidak membangkitkan fitnah.
  • Ulama dilarang mendekati isu kerana populariti kerana ia boleh mengelirukan ummah.
  • Persamaan yang boleh menyatukan fikrah dan ummah harus dijadikan keutamaan.
  • Maslahah ummah dan imej Islam harus dipelihara supaya kelainan pendapat memperkaya cara pendekatan bagaimana isu yang berbangkit didekati secara ilmu dan keahlian.

0 comments:

Jadi Selama Ini Saya Munafik?


Aduhai. Rupa-rupanya selama ini saya syok sendiri! Saya tak nampak hutan ketika saya di dalam hutan. Yang saya nampak cuma pokok-pokok. Saya betul-betul tak tahu saya dalam hutan. Bila saya keluar saja dari kawasan pokok-pokok itu, baru saya sedar… Lah, tadi saya dalam hutan rupanya!

Seperti itulah analoginya. Banyak perkara yang kita rasa bahawa kita telah buat yang terbaik, kita sudah betul-betul faham dan kita begitu baik dan sudah banyak melakukan kebaikan. Hingga terdetik suatu ketika, tak perlu buat baik dah, pahala aku dah banyak! Nauzubillah, mohon-mohon lintasan seperti ini tidak ‘merempit’ dalam jiwa-jiwa kita.

Apa yang anda faham tentang golongan munafik?

Definisi Munafik
Orang yang berwajah dua muka, suka berpura-pura, apa yang dikata tidak sama dengan apa yang dikerjakan dan apa yang dikerjakan tidak sama dengan hatinya. Mereka mengakui Islam pada zahirnya akan tetapi mereka kafir pada hakikatnya. Ulama mengkelaskan golongan munafik kepada dua keadaan.

Pertamanya, munafik I’tiqadi iaitu yang berkaitan dengan kepercayaan dalam hati. Mereka itu terdiri daripada golongan yang hanya beriman kepada Allah secara luaran saja. Namun hakikatnya, golongan itu sudah terkeluar daripada agama Allah kerana niat di hati memainkan peranan penting dalam soal akidah dan dikira sebagai penentu hakiki kepada keimanan seseorang di sisi Allah.

Keduanya, disebut munafik ‘Amali iaitu berkaitan perbuatan. Di sini saya mahu berkongsi satu hadis, yang saya pasti, anda mungkin pernah mendengarnya:

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya”
(Hadith Sahih Riwayat Muslim)

Tiga golongan munafik yang dapat di’highlightkan’ daripada hadis ini:
1. apabila bercakap dia berbohong
2. apabila berjanji dia memungkiri
3. apabila diberi amanah dia mengkhianatinya

Cuba muhasabah kembali, pernah tak kita berjanji, tapi kita mungkiri?
Pernah kita menipu kawan-kawan, ibu bapa?
Pernah kita diberi kerja, tapi kita lakukannya main-main dan sambil lewa?
Allahuakbar, banyaknya dosa kita.

“sesungguhnya orang munafiq itu, di tempat yang paling bawah sekali di dalam neraka”
(surah an-nisa’: 145)
Penutup
Seperti analogi hutan tadi, dalam kehidupan ini mungkin terlalu banyak yang kita terlepas pandang, atau pandang ringan. Kita mungkin anggap janji-janji terhadap rakan atau orang disekeliling kita ini perkara kecil. Kita fikir, tiada apa-apa jika janji tersebut kita ingkari saja. Sebenarnya tidak, kita harus sedar, perkara-perkara sebegini boleh menjerumuskan kita ke neraka jahannam. Berhati-hatilah apabila berjanji, lebih-lebih lagi apabila disertai ucapan ‘InsyaAllah’. Banyakkan berdoa agar sentiasa diberikan pentunjuk daripada Allah.

0 comments:

[INFO JUMAAT]


Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ia dilakukan secara berjemaah selepas mendengar Khutbah Jumaat. Solat Jumaat itu hukumnya Fardu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu.






Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]"
[Surah Al-Jumu’ah: 9]




HUKUM tinggalkan solat Jumaat :

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya adalah wajib, fardu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaanNya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah, pintu hatinya lama kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah dan menjadikan mereka semakin sesat dan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

Dari Abu Jakdi ad-Dhamri bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup hatinya daripada menerima petunjuk” (Hadis riwayat Abu Daud)

:: MAHASISWA SEKALIAN, SAHUTLAH SERUAN MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT, TOLONGLAH RASA BERDOSA KERANA TIDAK MENUNAIKAN KEWAJIPAN INI ::

0 comments:

Jangan Berkira Dengan Allah


Kita ni kalau orang kata “kau ni sembahyang sebab janji buat je ke? autopilot? ” 
 Aih. Marah. 

“biar Allah je yang judge, ok..” katanya.

Tapi, tipulah kalau tak pernah ada rasa macam, “asalkan settle yang wajib sudahlah. Sunat-sunat tu, lah..nama pun sunat..” 

Satunya, kenapalah itu pun nak berkira dengan Allah. Apa salahnya spend masa lebih sikit untuk buat yang sunat-sunat tu. Allah dah bagi macam-macam dah. Yang memang keperluan Dia dah penuhkan, yang kehendak pun Dia bagi juga. Tapi kita, ‘asalkan settle yang wajib sudah.’

Baiklah apakata kita cuba buat analogi; si ayah nya kata dia dah spend duit dah untuk anaknya. Ditanya, dia spend apa? Dia kata, dia bagi makan, pakaian, tempat tinggal dan hantar pergi sekolah.

La..itu dah memang wajib, memang tanggungjawab dia pun. Rela tak rela, memang kena! Tapi ada ke dia belikan si anak tu hadiah yang dia nak sangat-sangat, basikal ke, buku ke, pistol air ke.. Berapa kali si ayah tu belikan kek harijadi, atau bawa pergi bercuti tanpa diminta?
 
Ok analogi lagi: Bayangkan pihak kerajaan satu negara ni kata, dia dah bagi macam-macam pada rakyat. Jadi rakyat kena sokong dia. Kita tanya, bagi apa? Katanya, bekalan air, elektrik, sekolah, jalan raya segala. Hmm, again, itu dah memang wajib. Sesiapa pun kalau disokong menjadi kerajaan, dia akan kena sediakan semua tu.

Habis macam mana?
Ini lah jadinya kalau buat sesuatu ‘sebab syarat’ je. Maksudnya, buat supaya settle tugas je. Bukan sebab nak menghargai pihak sana.

Takkan sama seorang anak yang hantar duit setiap bulan kepada emak dia sebab dia tengok semua anak bila dah besar akan buat macam tu, dengan anak yang hantar duit sebab itu yang termampu dia buat untuk ringankan beban mak dia yang dah tua dan untuk senangkan hati mak dia lepas semua yang mak dia lakukan untuk dia. Erk, macam pusing-pusing sikit, tapi faham kan?

Takkan sama anak yang jenguk ayah dia di kampung hanya sebab dia KENA jenguk, dengan anak yang buat macam tu sebab memang dia NAK jenguk and ambik tahu apa kabar ayah dia tu. 

Pointnya, beribadah sebab memang WAJIB dan KENA itu menunjukkan patuh. Which is bagus, alhamdulillah, syabbbas! Anda cemerlang! 

 “Katakanlah: “Taatilah Allah dan Rasul-Nya; jika kamu berpaling, Maka Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir”. (Ali Imran:32) 

Namun, apalah salah nya kalau taat dan patuh itu diiringi dengan rasa syukur yang diekspresikan dalam bentuk perbuatan – dalam bentuk amal yang extra. 

Misalnya, kan elok di perpanjangkan solat (dengan munasabah) berbanding asyik nak habis cepat-cepat, bacaan pun laju-laju, ayat-ayat ringkas, balik-balik al-kauthar. Kan elok diperbanyakkan sujud (maksudnya kerjakan solat sunat, bukan pandai-pandai menambah bilangan rakaat) tanda tunduk dan syukur pada Allah dan kekuasaanNya. Kalau sudah terjaga di tengah malam tu kemudian tak dapat lelap semula, dan esok pula cuti, apalah salahnya bangun dan bertahajjud. 

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “Sembahyang Tahajjud” padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (al-Isra’: 79) 
 
Rata-rata kita ni nak cepat-cepat bangun dan pergi selepas dah habis solat. Padahal, bukan ada hal mustahak pun, lepas tu nak sambung tidur. Atau online. Atau jalan-jalan. Eh, takut pula saya cakap macam ni. Sebab saya pun tergolong dalam golongan ini. TT_TT

Baiklah, apapun, marilah kita perbanyakkan ibadah sunat. Kerap-kerap kan berjumpa Dia, biar terjalin hubungan yang rapat dengan Maha Pencipta yang agung itu. Buanglah pemikiran “ala dah nama pun sunat kan, sunat je la..” atau “janji settle yang wajib..” 

Jangan lah kita ni berkira sangat untuk spend masa dan tenaga beribadah kepada Allah, kan Dia dah berikan macam-macam.

Kita selalu dengar, “jagalah hak Allah dan Allah akan menjaga hak kamu”. ihfazillah, yahfazka. Kita nak Allah perkenankan permintaan-permintaan kita, kita nak Allah rezekikan kita, kita nak Allah pelihara dan jaga kita setiap saat. Tapi kita ‘kedekut’ untuk ‘bodek’ Allah lebih sikit. Tak segan ke? Aduh.

Sedangkan Nabi pun bertahajjud sampai bengkak kaki nya. Bukan nak suruh terhapus dosa, Nabi mana ada dosa. Bukan nak suruh murahkan rezeki, Nabi sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang baginda ada. Bukan nak suruh dapat pahala lebih sebab nak masuk syurga, Allah kan dah janjikan baginda memang tak ada dosa dan akan masuk syurga, siap boleh syafaatkan umat lagi.

Tapi bila ditanya oleh Aisyah, kenapa baginda rajin macam tu, Baginda menjawab;

“salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”  (muttafaq ‘alaih)

Marilah, cari dan adakan masa untuk melebihkan waktu bertemuNya. Pasti Dia mengalu-alukan. Tak perlu berkira sangat masa dan tenaga tu. Ekspresikan syukur dalam perbuatan. ‘Hadiahkan’ Allah dengan pertemuan yang tak disangka-sangka, pasti Dia akan hadiahkan kita dengan nikmat yang tak disangka-sangka. (:
 

1 comments:

Related Posts with Thumbnails