Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.
Showing posts with label Al-Quran/Hadis. Show all posts
Showing posts with label Al-Quran/Hadis. Show all posts

Surah ini dipanggil al-Fatihah maksudnya pembuka bagi al-Kitab dari sudut tulisannya. Begitu juga ia dijadikan pembukaan bagi bacaan dalam solat. Ia juga dinamakan Ummu al-Kitab (Induk al-Kitab) menurut pandangan majority ulama. Ia disebut oleh Anas. Sementara al-Hasan dan Ibn Sirin tidak suka ia dinamakan demikian kerana menurut mereka nama itu dirujuk kepada al-Lauh al-Mahfuz. Menurut al-Hasan pula ayat-ayat Muhkamat adalah Ummu al-Kitab. Kerana itu mereka tidak suka surah ini dipanggil dengan nama tersebut. Begitu juga dengan nama Ummu al-Qur’an.

Sabit dalam hadis sahih di sisi Tirmizi daripada Abi Hurairah katanya; Rasulullah saw bersabda:

الحمد لله رب العالمين أم القرآن وأم الكتاب و السبع المثاني والقرآن العظيمMaksudnya: “ (الحمد لله رب العالمين) adalah Ummu al-Qur’an (Induk al-Qur’an), Ummu al-Kitab (induk al-Kitab) dan al-Sab` al-Ma`ani dan al-Qur’an al-`Azim (al-Qur’an yang hebat). Surah al-Fatihah juga dipanggil al-Hamd. Begitu juga dipanggil al-Solah berdasarkan hadis qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhannya:قسمت الصلاة بيني وبين عبدي نصفين فإذا قال العبد الحمد لله رب العالمين قال الله حمدني عبدي Maksudnya: “Daku bahagikan al-Solah itu antaraKu dan hambaKu dua bahagian”. Justeru, (kata baginda) apabila hamba itu membaca () Allah berfirman: HambaKu telah memujiku (bersyukur kepadaKu). Jadi, al-Fatihah dinamakan solat kerana ia menjadi syarat dalam solat. Al-Fatihah juga dipanggil al-Syifa (penawar) berdasarkan hadis riwayat al-Darimi daripada Abi Sa`id yang diangkat kepada baginda (hadis marfu`): فاتحة الكتاب شفاء من كل سمMaksudnya: “Fatihah al-Kitab adalah penawar bagi segala racun.” Ia dinamakan juga al-Ruqyah (jampi) berdasarkan hadis riwayat Abi Sa`id dalam kitab hadis sahih ketika mana beliau menjampikan seorang lelaki yang dipatuk ular dengan menggunakan al-fatihah. Lantaran itu baginda bersabda kepada beliau: وما يدريك أنها رقيةMaksudnya: “Apa yang memberikan kamu ilmu ianya adalah jampi” Al-Sya`bi meriwayatkan daripada Ibn `Abbas bahawa beliau menamakannyan Asas al-Qur’an (tonngak al-Qur’an). Beliau berkata: Dan tonggak al-Fatihah ialah basmalah. Sufyan bin `Uyainah menamakannya al-Waqiyah (penjaga/benteng). Yahya bin Abi Kathir pula menamakannya al-Kafiyah (yang memadai) kerana ia telah memadai tanpa diperlukan yang lain.

Yang lain pula tidak boleh berpada tanpanya sebagaimana disebut dalam beberapa hadis mursal:أم القرآن عوض من غيرها وليس من غيرها عوض منهاMaksudnya: “Ummu al-Qur’an pengganti bagi yang lainnya,bukannya yang lain pengganti baginya. HADIS LAIN:Imam Bukhari berkata bab Fadha’il al-Qur’an; Bercerita kepada kami Muhammad bin al-Muthanna, bercerita kepada kami Wahab bercerita kepada kami Hisyam menerusi Muhammad bin Sa`id menerusi Abi Sa`id katanya: كُنَّا فِيْ مَسِيْرٍ لَنَا فَنَزَلْنَا فَجَاءَتْ جَارِيَةٌ فَقَالَتْ إِنَّ سَيِّدَ الْحَيِّ سَلِيْمٌ وَإِنَّ نَفَرَنَا غُيَّبٌ فَهَلْ مِنْكُمْ رَاقٍ؟ فَقَامَ مَعَهَا رَجُلٌ مَا كُنَّا نَأْبَهُهُ بِرُقْيَةٍ فَرَقَاهُ فَبَرَأَ فَأُمِرَ لَهُ بِثَلاَثِيْنَ شَاةٍ وَسَقَانَا لَبَنًا Kami dalam satu perjalanan. Lalu kami singgah. Seterusnya datang seorang Jariyah lalu berkata: Sesungguhnya penghulu perkampungan ini terkena patukan ular sedangkan orang-orang kami tiada bersama. Adakah terdapat di kalangan kamu penjampi. Lantas bangkit bersama jariyah tersebut seorang lelaki, kami tidak pernah mengenalinya boleh berjampi. Kemudian beliau menjampi penghulu kampung tersebut lalu sembuh. Beliau lalu diberikan tiga puluh ekor kambing dan memberi minum kepada kami susu. فَلَمَّا رَجَعَ قُلْنَا لَهُ أَكُنْتَ تُحْسِنُ رُقْيَةً أَوْ كُنْتَ تَرْقِيْ؟ قَالَ لاَ مَا رَقَيْتُ إِلاَّ بِأُمِّ الْكِتَابِ قُلْنَا لاَ تُحَدِّثُوْا شَيْئًا حَتَّى نَأْتِيْ وَنَسْأَلُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَلَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِيْنَةَ ذَكَرْنَاهُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ

Tatkala dia pulang, kami bertanya kepadanya: Adakah kamu pandai berjampi atau adakah kamu sebelumnya selalu menjampi? Kata beliau: Tidak. Saya hanya menjampinya dengan Ummu al-Kitab. Kami berkata: jangan bercerita apa-apa lagi hingga kita bertemu Rasulullah saw. Sebaik tiba di Madinahkami menyebut perkara itu kepada baginda. Baginda bertanya:

وَمَا كَانَ يُدْرِيْهُ أَنَّهَا رُقْيَةٌ اِقْسِمُوْا وَاضْرِبُوْا لِيْ بِسَهْمٍ

Apakah yang menjadikan dirinya mengetahui bahawa surah itu adalah jampi?Bahagikan dan berilah kepadaku satu bahagian.

Berkata Abu Mu`ammar, bercerita kepada kami `Abd al-Warith, bercerita kepada kami Hisyam, bercerita kepada kami Muhammad bin Sirin, bercerita kepada kami Ma`bad bin Sirin menerusi Abi Sa`id al-Khudri dengan hadis ini. Demikianlah juga diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Dawud menerusi riwayat HIsyam iaitu Ibn Hassan menerusi Ibn Sirin dengan hadis ini. Dalam beberapa riwayat Muslim bagi hadis ini menjelaskan bahawa Abu Sa`id adalah orang yang berjampi lelaki yang dipatuk itu. Orang yang dipatuk dipanggil salim (yang baik) kerana bersikap objektif.

HADIS LAIN: Muslim dalam Sahihnya dan Nasa’i dalam SunanNya meriwayatkan daripada hadis Abi al-Ahwash Salam bin Sulaim daripada `Ammar bin Zuraiq daripada `Abdillah bin `Isa bin `Abd al-Rahman bin Abi Laila daripada Sa`id bin Jubair daripada Ibn `Abbas katanya: بَيْنَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَعِنْدَهُ جِبْرَائِيْلُ إِذْ سَمِعَ نَقِيْضًا فَوْقَهُ فَرَفَعَ جِبْرِيْلُ بَصَرَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ هَذَا بَابٌ قَدْ فُتِحَ مِنَ السَّمَاءِ مَا فُتِحَ قَطُّ “Tatkala baginda bersama dengan Malaikat Jibril, tiba-tiba terdengar satu runtuhan di atasnya. Lantas Jibril mendongak ke langit lalu berkata: Pintu ini telah di buka dari langit. Ia tidak pernah dibuka sebelumnya.”

قَالَ فَنَزَلَ مِنْهُ مَلَكٌ فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ أَبْشِرْ بِنُوْرَيْنِ قَدْ أُوْتِيْتَهُمَا لَمْ يُؤْتَهُمَا نَبِيٌّ قَبْلَكَ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ وَخَوَاتِيْمُ سُوْرَةِ الْبَقَرَةِ لَمْ تَقْرَأْ حَرْفًا مِنْهَا إْلاَّ أوْتِيْتَهُ

Kata Ibn `Abbas:

“Lalu turun seorang malaikat lantas mendatangi Nabi saw lalu berkata: “Bergembiralah kamu dengan dua cahaya yang telah dikurniakan kepada kamu. Ia tidak pernah diberikan kepada nabi sebelum kamu iaitu Fatihah al-Kitab dan penutup surah al-Baqarah. Kamu tidak membaca satu huruf pun melainkan kamu pasti dikurniakannya.”

Ini adalah lafaz Nasa’i. Muslim juga meriwayatkan hadis seumpamanya.

HADIS LAIN: Muslim berkata: bercerita kepada kami Ishaq bin Ibrahim al-Hanzdali iaitu Ibn Rahawaih: bercerita kepada kami Sufyan bin `Uyainah: daripada al-`Ala’ iaitu Ibn `Abd al-Rahman bin Ya`kub al-Kharqi daripada Abi Hurairah radiyallahu `anhu daripada Nabi saw, sabda baginda:

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيْهَا بِأُمِّ الْقُرْآنِ فَهْيَ خَدَاجٌ ثَلاَثًا غَيْرُ تَمَامٍ

Sesiapa yang mengerjakan solat tidak dibacanya Ummu al-Qur’an maka ia cacat. -baginda menyebutnya tiga kali –

Abu Hurairah seterusnya ditanya: Kami berada di belakang imam. Abu Hurairah menjawab: Bacalah ia dalam diri kamu kerana saya mendengar Rasulullah saw bersabda:

Allah Taala berfirman: قَسَّمْتُ الصَّلاَةَ بَيْنِيْ وَبَيْنَ عَبْدِيْ نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الحمد لله رب العالمين قال الله حَمِدَنِيْ عَبْدِيْ، وَإِذَا قَالَ الرحمن الرحيم قال الله أَثْنَىْ عَلَيَّ عَبْدِيْ ، فَإِذَا قَالَ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ قَالَ اللهُ مَجَّدَنِيْ عَبْدِيْ، وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِيْ فَإِذَا قَالَ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُ قَالَ هَذَا بَيْنِيْ وَبَيْنَ عَبْدِيْ وَ لِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ، فَإِذَا قَالَ اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمُ صراط الذين أنعمت عليهم غير مغضوب عليهم ولا الضالين قالَ اللهُ هَذَا لِعَبْدِيْ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ

Aku bahagikan al-Solat (surah al-Fatihah) antaraKu dan hambaKu dua bahagian. HambaKu pasti dapat apa yang dia minta. Apabila hamba berkata: (الحمد لله رب العالمين) Allah menjawab: HambaKu memuji syukur kepadaKu. Apabila hamba membaca (الرحمن الرحيم) Allah menjawab: HambaKu memujaku. Apabila hamba membaca (مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ) Allah menjawab: HambaKu mengagung-agungkan Daku. Sekali Allah berkata: HambaKu menyerah kepadaKu. Apabila hamba membaca (إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُ ) Allah menjawab: Ini antaraKu dan hambaKU. Hambaku pasti dapat apa yang dia minta. Apabila dia membaca (اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمُ صراط الذين أنعمت عليهم غير مغضوب عليهم ولا الضالين) Allah menjawab: Ini milik hambaKu. HambaKu pasti dapat apa yang dia minta.

Demikianlah diriwayatkan oleh Nasa’I daripada Ishaq bin Rahawaih. Kedua-duanya juga meriwayatkan daripada Qutaibah daripada Malik daripada al-`Ala’ daripada Abi al-Sa’ib maula Hisyam bin Zuhrah daripada Abi Hurairah. Dalam kontek ini ada riwayat:

فنصفها لي ونصفها لعبدي ولعبدي ما سأل

Maka separuhnya untukKu dan separuhnya untuk hambaKu. HambaKu pasti dapat apa yang diminta.

Demikianlah diriwayatkan oleh Ibn Ishaq daripada al-`Ala’. Muslim pula meriwayatkannya daripada hadis Ibn Juraij daripada al-`Ala’ daripada Abi al-Sa’ib. Demikianlah. Beliau meriwayatkan juga daripada hadis Ibn Abi Awa’is menerusi al-`Ala’ menerusi bapanya dan Abi al-Sa’ib, kedua-duanya menerusi Abi Hurairah. Tirmizi berkata: Ini adalah Hadis Hasan. Saya bertanya kepada Abu Zur`ah tentangnya lalu beliau menjawab: kedua-dua hadis adalah Sahih iaitu sesiapa yang meriwayatkannya menerusi al-`Ala’ menerusi bapanya dan meriwayatkan menerusi al-`Ala’ menerusi Abi al-Sa’ib. Hadis ini juga diriwayatkan oleh `Abdullah bin Imam Ahmad daripada hadis al-`Ala’ menerusi bapanya menerusi Abi Hurairah menerusi Ubay bin Ka`ab secara panjang lebar.

Ibn Jarir berkata: Bercerita kepada kami Solih bin Mismar al-Mirwazi; bercerita kepada kami Zaid bin al-Habab; bercerita kepada kami `Anbasah bin Sa`id menerusi Mitdraf bin Tdarif meneruis Sa`id bin Ishaq menerusi Ka`ab bin `Ajrah menerusi Jabir bin `Abdillah katanya: Rasulullah saw bersabda: Allah Taala berfirman:

قسمت الصلاة بيني وبين عبدي نصفين وله ما سال فإذا قال العبد {الحمد لله رب العالمين} قال: حمدني عبدي. وإذا قال {الرحمن الرحيم} قال: أثني علي عبدي، ثم قال هذا لي وله ما بقيAku bahagikan al-Solah (al-fatihah) antaraKu dan hambaKu dua bahagian. Dia mendapat apa yang diminta. Apabila hamba berkata: {الحمد لله رب العالمين}Dia berfirman: HambaKu memuji Daku. Apabila hamba berkata: {الرحمن الرحيم} Allah berfirman: Hamba memuja Daku. Kemudian Allah berfirman: Ini milikKu dan yang baki adalah miliknya.

Inilah adalah pelik menerusi wajah ini.

Tafsir Surah Al-An'am: 59

Firman Allah bermaksud, "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." (Surah Al-An'am: 59)

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.

"Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Penegtahuannya." (Surah Luqman: 34)

Ertinya dalam hadis ini Nabi s.a.w. menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.


Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat. Bukan sahaja Nabi s.a.w. dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.

Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.

Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.

Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.

Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Sementara itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah. Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat." (Surah Luqman: 34)."


Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Dan Dia Mengetahui apa yang ada di darat dan di laut." (Surah al-An'am: 59)

Yakni Maha Luas ilmu-Nya meliputi segala makhluk-Nya sama ada yang ada di darat dan di laut. Tidak ada apa pun yang boleh menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya walaupun sebesar zarah sekalipun sama ada ia berada di bumi atau di langit.

Seorang penyair menyebut: "Tidak tersembunyi dari-Nya meskipun sebesar zarah sama ada dapat dilihat oleh yang mempunyai penglihatan atau sebaliknya."


Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya." (Surah al-An'am: 59)

Ertinya, Dia mengetahui gugurnya daun dari pokok termasuk jumlah, masa dan seumpamanya. Bahkan Dia juga mengetahui pergerakan makhluk lain termasuk jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Allah Mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin: 19)

Dalam menjelaskan ayat 39, Surah al-An'am ini Ibnu Abbas katanya, "Tidak tumbuh sebatang pokok pun sama ada di daratan atau di lautan melainkan ada seorang malaikat yang menjaganya. Malaikat itu mencatat apa yang gugur daripadanya."
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani



Tentu kita akan rasa gembira, seronok dan paling penting rasa dihargai apabila kita tahu bahawa ada seseorang menyukai dan menyayangi kita.

Perasaan kita rasa berbunga-bunga.Dan timbul sedikit rasa bangga.

Bayangkan, kehadiran kita disenangi, dan orang lain merasai kehadiran kita. Kewujudan kita dihargai dan kita benar-benar rasa selesa dengan suasana sebegitu.

Itu fitrah dan naluri insan. Perasaan ini harus kita lorongkan ia pada suluhan syara’ yang sahih. InsyaAllah.

Apakah anda tidak berasa cemburu ada orang yang sentiasa disukai kawan dan lawan? Sedangkan anda sentiasa dijauhi kawan, apatah lagi lawan. Tiada siapa yang ingin menelefon atau mengantar SMS kepada anda.

Tiada yang sudi, meluahkan perasaan kepada kita
Tiada kiriman khabar menanyakan kita
Tiada pemberian hadiah di hari kegembiraan kita
Tiada teman berbicara di saat kelapangan
Tiada suasana ceria dan mengembirakan
Tiada insan yang selalu bertanya khabar
Tiada siapa,

Tiada dan tiada

Hidup tanpa kasih sayang

Hidup benar-benar sunyi, kesepian dan kita hidup bersendirian. Tiada teman berbicara dan bertukar-tukar perasaan. Dan, soal ini – saya ingin mengajak – untuk kita membina dan meluaskan empayar perkenalan, persaudaraan dan persahabatan.

Langkah yang paling utama untuk menjayakan – ialah kita perlu menyemai sifat untuk menyukai orang lain. Dan erti kata mudah kita perlu belajar untuk menyayangi semua orang disekitar kita.

Orang yang banyak memiliki sifat sayang dalam dirinya akan menarik orang agar sayang kepadanya. Semua orang – tidak kira muda, tua, lelaki, perempuan, orang besar, orang kecil- perlu disayangi dan dihargai, agar kita mudah dihormati.

Sifat kasih sayang adalah sifat yang sangat baik dan sangat-sangat dianjurkan dalam Islam. Islam adalah agama kasih sayang. Malah, Allah SWT mengiktiraf bahawa setiap orang mukmin itu bersaudara. Oleh itu, dahulukanlah pandangan kasih sayang dan berbaik sangka terhadap orang lain sebelum bersangka buruk dan membenci diri mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Mahukah kamu, aku beritahukan tentang sesuatu yang apabila kamu kerjakan kamu akan saling menyayangi? Sebarkanlah salam di antara kamu.”

(Riwayat Muslim)


Hati kita adalah milik Allah SWT. Yang memberikan kasih sayang ini adalah Allah SWT. Kita sama-sama berusaha untuk mewujudkan perasaan ini dikalangan kita. Dengan usaha, doa dan munajat kepadaNya, insyaAllah kita akan disukai, disayangi, dihargai, dihormati dan dicintai.

Bagaimana mahu menjadi orang yang sentiasa disukai?

(1)Apabila berbicara, lahirkan ia dengan tutur kata yang sopan, manis dan tiada sifat kepura-puraan.

(2)Sentiasa tersenyum, dan cuba menjadikan senyuman yang menyenangkan itu sebagai imej kita.

(3)Berusaha untu menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa mengharapkan pembalasan.

(4)Menghindari sifat mementingkan diri sendiri. Mengutamakan kepentingan khalayak ramai.

(5)Menjaga aib orang dengan merahsiakannya. Sekiranya kita menjaganya, Allah akan memelihara aib kita.

(6)Selalulah memberikan hadiah penghargaan kepada individu yang dikenali walaupun hadiah itu murah dan simple. Yang penting adalah nilai penghargaan kepada insan.

(7) Berikan pujian, galakan dan penghargaan kepada orang lain dengan keikhlasan dan kejujuran.

(8)Membalas hadiah yang diberikan oleh sahabat dengan hadiah yang lebih baik atau lebih tinggi nilainya.

(9) Selalu membelanja sahabat, kawan dan kenalan, jangan cuma selalu memakan belanja kawan.

(10) Sentiasa perbaharui niat persahabatan, perkenalan, dan persaudaraan kerana Allah SWT.

(11)Sentiasa bersihkan hati dengan amalan soleh seperti memelihara solat, membaca Al-Quran, dan sebagainya. Hati yang bersih, akan dicambak kasih sayang di dalam hati manusia lain untuk mengasihinya.

Bermula dengan suka, perasaan kasih dan sayang akan tersemai kukuh di hati. Dari sinilah, perasaan cinta sesama insan akan melebar di kalangan manusia di sekitar kita. Saya yakin, dengan perasaan inilah kita akan menjadi kuat dan terus hidup dengan suasana yang harmoni, aman dan tenteram di dunia ini.

Jom kita berkenalan, bersaudara, berukhuwah dan berkasih sayang kerana Allah.

Salam ukhuwah fillah daripada saya untuk kalian.

oleh:brohamzah



Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Sering kali kita jumpa manusia-manusia yang selalu memberi jawapan yang seakan menyalah kehendak dan ketentuan Allah.

Apabila kita mengajak mereka ini untuk turut serta memperbanyak ibadah, mempertingkat kualiti amalan, pelbagai alasan yang mereka gunakan sebagai alat penangkis kepada ajakan kebaikan tersebut.

Apabila kita menasihati mereka ini agar jangan melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah, kata mereka kubur lain-lain.

Kata mereka juga hidayah masih belum sampai. Kami tak sampai seru lagi untuk berubah.

Jadi sebelum hidayah dan petunjuk itu sampai kepada kami, baik kami gunakan peluang yang ada ini untuk bermaksiat kepada Allah. Nanti bila hidayah dah sampai, semua ini tidak lagi boleh dilakukan. Lagak gurauan.

Wah-wah. Pandai pula mereka berbicara. Seperti malaikat maut itu kawan sepermainan mereka pula. Boleh menangguh kematian bila-bila masa.

Hal inilah yang amat kita bimbang kepada saudara-mara seislam kita terutamanya remaja. Itu baru mengajak mereka yang mana mengaku mereka adalah islam. Yang mana mengaku Allah itu wujud. Yang mana mempercayai pengakhiran kehidupan adalah syurga dan neraka.

Belum lagi mengajak yang entah tahu atau tidak Allah itu wujud. Maksudnya mengajak yang bukan islam.

Oleh sebab itu, kita yang memahami dan menyedari kehidupan islam sebagai jalan penyelesaian sewajibnya kita bersyukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang terbesar ini. Moga Allah tidak menariknya daripada kita.


Kenapa kita tidak salahkan pihak universiti?

Saya tertarik dengan satu analogi yang dibawa oleh seorang ustaz dalam ceramahnya.

Katanya, setengah daripada kita acapkali menyalahkan Allah kerana tidak memberi hidayah kepadanya. Sebabnya seperti mana yang kita tahu bahawa hidayah milik Allah. Jadi, jahatnya mereka bukan sebab kehendak mereka tetapi adalah disebabkan hidayah Allah masih belum tiba.

Betulkah fahaman sebegini?

Maka, analogi terbaik dari ladang menyusul. (",)

Bayangkan kita mendapat tawaran untuk masuk ke salah satu universiti terkemuka di tanah air. Setelah mengisi borang dan menghadiri sesi pendaftaran, bergelarlah kita sebagai siswa dan siswi di universiti tersebut.

Rasa bangga dan seronok dengan status institut pengajian tinggi yang kita dapat masuki itu membuatkan kita rasa malas untuk pergi ke kuliyah.

Masa belajar sudah tidak disusun dengan baik. Usaha untuk menuntut ilmu sudah kabur arah pembelajarannya. Malas untuk berjumpa pensyarah. Assignment lintang-pukang. Peperiksaan seringkali hilang. Semangat belajar kering-kontang. Segala-galanya bukan lagi demi ilmu dan kejayaan.

Apabila tiba hari yang mendebarkan iaitu hari keluarnya keputusan, tercatat nama kita dalam senarai nama-nama pelajar yang gagal.

Ketika itu, adakah kita akan menyalahkan pihak universiti kerana memberikan keputusan gagal kepada kita?

Sudah pasti ' tidak ' adalah jawapannya. kerana gagal itu adalah disebabkan diri kita sendiri. Kita sendiri yang membuat keputusan samada mahu atau tidak untuk merangkul kejayaan. Keputusan di tangan kita. Kenapa pihak universiti yang perlu dipersalah?

Atau bagaimana? (",)


Mahukan hidayah perlulah barubah dan berusaha


Begitu jugalah dalam konsep mengharapkan hidayah Allah.

Ya. Kita semua mahukan hidayah. Hidayah dari Allah yang Maha Esa. Andaikata kemahuan kita kepada hidayah itu hanyalah seperti seekor lalat hinggap di batang hidung dengan kata lain acuh tak acuh, mustahil untuk kita merasai hidayah Allah itu hadir menyinari kegelapan hati yang telah ternoda.

Bukan nanti hidayah itu datang dengan sendirinya.

Bukan tunggu sambil tidur dalam masa yang sama bermimpi hidayah itu sampai.

Bukan asyik dengan keseronokan dan hiburan, tetapi dalam hati mengharapkan hidayah.

Tidak.

Menjadi kewajipan kepada kita untuk berusaha mendapatkannya walaupun dengan berdoa. Apatah lagi memperbanyak amalan-amalan kebaikan. Betul tak?

" Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati-hati kami setelah Engkau berikan hidayah kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi Kurnia. " ( Doa dari surah Ali-Imran - ayat 8)

Moga-moga dengan usaha kita itu, Allah mengasihani kita dengan memberi curahan hidayah yang melimpah-ruah.

Amin.

sumber:lautanrabbani

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan terus mempertingkatkan iltizam dan kepatuhan terhadap titah perintah Allah S.W.T., suruhan dan larangan-Nya.

Hendaklah kita sentiasa sedar bahawa jalan hidup kita ialah Islam, dan pegangan serta perlembagaan hidup kita ialah al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W.

Fahaman Islam yang kita bawa dalam hidup kita adalah berdasarkan fahaman Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. dan telah diikuti oleh para sahabat r.a. Bukan fahaman lain yang disogokkan oleh musuh-musuh Islam kedalam masyarakat Islam. Sebagai orang yang beriman kepada Allah S.W.T dan kepada semua prinsip-prinsip (rukun) keimanan, kita mestilah peka dan awas agar kita tidak terjebak ke dalam aliran-aliran fahaman yang berlawanan dan bercanggah dengan Islam.

Satu daripada fahaman yang sesat ialah fahaman Aliran Modenisasi iaitu pandangan hidup yang mempertuhankan kemodenan. Kita mungkin sentiasa diwar-warkan mengenai ajaran sesat berdasarkan agama tetapi kita jarang didedahkan bahawa fahaman sesat juga boleh berlaku berdasarkan idealogi dan kemodenan.

Sahabat yang dimuliakan,
Modenisasi sebenarnya mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat tersendiri.
Terdapat 5 sifat-sifat utamannya iaitu :

Pertama : Modenisasi bersifat anti agama, dan dari segi fikrah Islam, modenisasi menentang Deen (Islam), menentang syariat dan menentang sunah Nabi S.A.W. Bagi seorang modenis, agama dianggap lambang kekolotan, kemunduran, kebekuan (jumud) dan dianggap mengongkong, membelenggu dan membantutkan perkembangan manusia.

Kedua : Modenisasi juga bersifat 'sekular'. Menyingkirkan agama daripada kehidupan manusia atau daripada sebahagiannya. Agama dijadikan perkara (urusan) individu sahaja dan bukan untuk kehidupan umat dan negara. Pemisahan ini telah melahirkan manusia yang melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan dan perbuatan bukan kerana Allah, bukan lagi sebagai ibadah kepada Allah, tetapi semata-mata kerana kerja itu sendiri atau kerana tujuan-tujuan yang lain yang bersifat keduniaan.

Ketiga : Mosenisasi juga bersifat 'humanis'. Yakni manusia memiliki, merancang, melaksanakan sesuatu dan manusialah yang menerima faedah daripada kegiatan hidup manusia itu sendiri. Fokus utama kepada kegiatan hidup manusia di dunia ini sahaja. Akibatnya manusia tidak lagi memperhambakan diri kepada Allah S.W.T., Pencipta alam ini, tetapi manusia memperhambakan diri kepada sesama manusia atau sesama makhluk. Akibatnya manusia menafikan adanya alam ghaib dan perkara ghaib kerana semuanya tidak dapat dikesan atau dicapai oleh pancaindera. Manusia hanya berpegang pada logik akal semata-mata.

Keempat : Modenisasi juga bersifat kebendaan (materialisme). Ini merupakan suatu konsep yang mensifatkan bahawa perkara yang wujud ialah benda, tiada yang maujud melainkan benda. Pandangan hidup seorang 'materialis' (orang yang berfahaman kebendaan) itu hanya memberi keutamaan kepada kelazatan yang boleh dirasai dan dikecapi melalui pancaindera dan minda manusia sahaja. Akibatnya seorang materalis sentiasa menolak perkara-perkara rohaniah dan nilai-nilai rohani atau sekurang-kurangnya mengabaikan perkara-perkara rohaniah dan nilai-nilai rohani. Kejayaan di dalam bidang sains diagung-agungkan. Kuasa kehendak dan pentadbiran manusia dianggap sebagai kuasa yang dapat menaluki alam (dunia) ini.

Kelima : Modenisasi juga bersifat 'free thinking' yakni berfikiran bebas dan tidak mahu terikat kepada peraturan dan undang-undang Islam yang telah ditetapkan. Orang yang bersifat seperti ini dipanggil 'free thinker'. 'Free thinker' itu tidak semestinya dia menafikan wujudnya Allah S.W.T. tetapi dia tidak mahu terikat kepada penafsiran orang-orang yang berwibawa iaitu tafsiran ulama-ulama yang muktabar. Mereka berfikiran sendiri dan membuat tafsiran sendiri mengikut hawa nafsu. Akibatnya tafsiran dan fatwa ulama-ulama muktabar ditolak dan diperkecil-kecilkan dan tidak dihargai.

Contoh golongan ini adalah golongan liberal , golongan anti hadis dan golongan women's liberation (menolak poligami, mempertikaikan pembahagian harta pusaka cara Islam dan menuntut hak samarata di antara lelaki dan wanita)
Sahabat yang dikasihi,
Di dalam sejarah, telah terbukti bahawa proses modenisasi di negara-negara Islam telah bermula apabila jatuhnya pemerentahan Khalifah Uthamaniah di Turki pada tahun 1923 M.

Sejak itu proses modenisasi menular dan merebak dimulai dengan pembangunan dan permodenan yang dilakukan oleh pemerentah pertama bagi Turki moden iaitu Mustafa Kamal Attartuk dan beliau dianggap sebagai reformis modenis yang telah ternyata hasil usahanya bukan sahaja memisahkan agama daripada negara, bahkan lebih jauh daripada itu.

Apa yang dilakukan merupakan proses penghapusan Islam seluruhnya sebagai 'akidah dan syariat'. Pemakaian menutup aurat diharamkan , digalakkan pergaulan bebas lelaki dan wanita dan arak bebas dijual dan diminum dan undang-undang hudud dan qisas dihapuskan dan digantikan dengan undang-undang barat.

Akibat daripada penolakan Mustafa Kamal Attartuk terhadap hukum-hukum Allah S.W.T. dan menzalimi umat Islam diakhir kematiannya beliau menjerit-jerit kerana diserang kepanasan yang dahsyat segala usaha untuk mententeramkannya tidak berhasil hingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Ini adalah balasan daripada Allah S.W.T kerana menentangan beliau terhadap al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W.

Sahabat,
Marilah sama-sama kita memperteguhkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan terus beriltizam dan patuh titah perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan lima sifat aliran modenisasi yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud : " dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutlah dia; dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu di perintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa."

Akhirkata untuk selamat di dunia dan di akhirat, maka kita tidak ada pilihan lain melainkan tetap berpegang teguh dengan Deen Islam dan menghayatinya di dalam kehidupan kita mengikut cara-cara yang ditunjukkan oleh junjungan Rasulullah S.A.W.

-abubasyer-
Sahabat,

Mari kita berhenti sejenak, kerana daku sebagai sahabatmu, ingin bertanyakan sesuatu tentang dirimu.

Apakah matlamat hidupmu wahai sahabatku..

Adakah engkau tahu bahawa kehidupan di dunia ini hanya permainan semata-mata?

Maafkan diriku kerana daku bertanyakan hal-hal sedemikian.
Tetapi, aku risau jika sebuah kisah yang ada dihati ku ini tidak diketahui oleh dirimu, wahai sahabatku.

Aku takut jika di akhirat kelak, engkau memanggil ku sebagai penderhaka kepada sahabat kerana aku tidak pernah memberitahumu satu perintah dan kisah yang jelas aku ketahui ketika aku berada dikehidupan bumi.

Walau engkau selalu mengelarkanku dengan ungkapan yang baik, tetapi aku gusar jika tanggapan mu itu salah kerana diri ku ini juga selalu alpa.

Wahai sahabat, adakah engkau mahu mengetahui perintah dan kisah tersebut?

Izinkan diriku untuk memulakan jawapan dengan satu potongan ayat-ayat suci al-Quran,

"Dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu "[51:56]


Maafkan diriku lagi kerana sebelum ini, aku tidak pernah mengingatkan mu akan hal itu walaupun ketika itu aku melihat dirimu leka dengan permainan duniawi..

Aku takut wahai sahabatku, kerana semakin bertambah usia ku didunia ini, semakin bertambah dosa ku pada Nya. Ditambah pula dengan peringatan dan perintah Allah yang selalu aku lalaikan.. Ketahuilah sahabatku, Allah telah menurunkan ayat bahawa:

"Dan ingatlah tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yg jelas dan nyata" [36:12]

Sungguh, aku merasakan diriku terlalu kerdil dihadapanNya. Wahai sahabatku, bagaimana dengan dirimu?
Adakah dirimu juga merasai apa yang daku rasakan.
Gementarnya hati ini bila menyebut kalimah-kalimah suci Allah..

Sahabat, cuba engkau lihat apa yang ada ditangan ku ini. Adakah engkau mengerti apakah makna cawan kosong dan sebotol air mineral ini?



Sahabat, hati kita sebenarnya ibarat cawan yang kosong ini manakala air yang ada dibotol ini adalah iman kita. Jika kita tidak pernah cuba membuka hati kita, maka kosonglah hati kita kerana kita telah menterbalikkan pintu hati kita berpaling jauh dari Allah swt. Tetapi, ingatlah, hati itu boleh berubah kerana setiap hati yang dilahirkan itu semuanya adalah suci ibarat kain yang putih.



Sahabat, cubalah kita membuka cawan itu dan tuangkan air kedalamnya. Adakah kita dapat melihat air mengalir dan memenuhi ruang didalamnya?
Ia juga sama dengan ibarat kita membuka hati kita untuk mengenal Allah, Tuhan pencipta kita. Setiap saat kita cuba mengenal Nya, maka dengan setiap saat itulah iman kita bertambah dan terus bertambah sehingga sampai satu ketika, air mata kita pasti akan mengalir kerana melihatkan kebesaran yang Maha Esa.

Sahabat, cuba engkau perhatikan ayat yang daku ingin bacakan ini:

"kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)" [29:64]

Adakah kita mahu menjadi orang yang rugi kerana kita masih lagi tidak mengetahui hakikat yang berlaku di alam ini?

"kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia)"[23:114]

Sahabat,

"Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik untukmu dari dunia" [93:4]

Sahabat, setelah kubacakan semua kepadamu, bukan kerana daku ingin membunuh kehidupan dirimu sekarang, tetapi aku melakukan semua ini kerana aku ingin menjadi sahabatmu dunia dan akhirat.
Semoga persahabatan kita ini menjadi laluan untuk kita untuk mengenali agama kita..amin...

from: sharemotivasi



Hujung minggu yang tenang. Hafiz melangkahkan kaki ke ke kamar Rasyid, seorang ikhwah yang sama-sama ditarbiyah bersamanya. Pintu bilik diketuk. Salam diberi. Tiada jawapan. Sekali lagi diketuk dan salam diberi. Juga tiada jawapan.

'Mana dia ni? Tidur ke?'

Hafiz menguak pintu bilik. Lalu terlihat Rasyid sedang asyik menghadap desktop. Telinganya ditutupi headphone. Tangan kanannya yang memegang tetikus digerak-gerakkan. Jemari kirinya pula menekan-nekat papan kekunci. Matanya difokuskan ke arah skrin. Sedikitpun tidak beralih. Skrin menunjukkan gambaran sepasang tangan yang sedang memegang senapang jenis rifle. Sesekali muncung senapang itu mengeluarkan cahaya ketika butang tetikus ditekan.

Hafiz menggeleng-gelengkan kepala. Rasyid dihampiri. Salam diberikan sekali lagi betul-betul di sebelah telinga Rasyid. Kekhusyukkan Rasyid yang tiada taranya itu menyebabkan dia langsung tidak menyedari kehadiran Hafiz di sebelahnya. Hafiz semakin geram. Diangkatnya sedikit headphone yang menutupi telinga kanan Rasyid lalu memekik,

"Woi! Khusyuknya!!!"

Rasyid sedikit terlompat. Terkejut. Segera menoleh ke arah Hafiz.

"Hisyh! Mung nih! Masuk bilik orang berilah salam!" Loghat Terengganunya masih memekat.

"Salam apekebendanya lagi. Aku bagi salam sebelah telinga kau pun kau tak dengar! Khusyuk mengalahkan orang solat!"

Rasyid hanya mendengus. Kembali menatap dekstop. Permainan Counter Strike diteruskan. Hafiz semakin berang dengan tindakan Rasyid. Namanya sahaja ikhwah yang ditarbiyah. Tapi main game tak pernah lekang. Asal hujung minggu sahaja mesti main game. Bukan hanya hujung minggu, malam-malam biasa pun kadang-kadang Rasyid tidur lewat dengan alasan yang sama. Movie, anime dan game. Hafiz tidak boleh menerima.

'Aku pun dulu gila game, komik dan movie juga. Tapi dah lama aku tinggalkan. Dia ni bukannya tak faham. Tiap-tiap minggu pergi halaqoh, apa yang didengarnya?' Getus hatinya.

5 minit kemudian, Rasyid masih di hadapan dekstopnya. Bilangan musuh yang 'dibunuh' semakin tinggi. Hafiz semakin hilang sabar.

"Rasyid! Sudah-sudahlah tu! Kau nak main game sampai bila? Kau bukan tak tahu apa yang kau buat ni membuang masa! Sia-sia! Ini bukan ciri-ciri orang beriman!" Suaranya ditinggikan.

Rasyid tetap seperti tadinya. Tidak ada tanda-tanda untuk merespon kata-kata Hafiz.

"Rasyid! Kau dengar tak ni? Cukup-cukuplah tu! Inikah sikap orang-orang yang ditarbiyah? Orang yang kononnya nak membela agama Allah. Nak memartabatkan kalimah Allah di muka bumi. Macam inikah sikapnya orang yang beriman? Buang masa depan dekstop sambil main game?"

"Aku tengah berlatih nak berjihad lawan musuh Islamlah ni. Ni belajar strategi lawan musuh. Nanti kalau pergi Palestin, boleh aku rancang strategi perang!" Rasyid menjawab dengan bersahaja.

Hafiz semakin pitam. Nasihat yang diberinya sepenuh hati dibalas dengan loyar buruk yang baginya cukup bodoh untuk diutarakan. Darah mudanya semakin membuak. Hendak sahaja Rasyid ditempelengnya atas jawapan bodohnya itu.

"Woi! Kau jangan buat lawak bodoh boleh tak!? Orang bagi nasihat betul-betul, kau balas mengarut-ngarut macam ni! Nak berjihad di Palestin konon. Takde mahunya tentera israel tu kau kalahkan dengan berlatih main Counter Strike macam ni. Setakat gerakkan 2-3 batang jari kau ingat kau larat kalahkan mereka? Nak lari keliling padang sekali pun tak larat. Nak berjihad konon. Sedarlah diri sikit!"

Sengaja disebutkannya tentang lari keliling padang. Ketika fitness test minggu lepas Rasyid hanya mampu menghabiskan larian satu pusingan padang, itu pun 10 minit lebih lambat daripada ikhwah-ikhwah yang lain.

"Yelah! Aku berhentilah! Bising betullah kau ni!" Sambil mendengus-dengus dia menutup tetingkap Counter Strike. Namun dibukanya pula tetingkap lain. Muncullah animasi jepun yang agak popular, Eye Shield 21.

"Pulak! Kau ni memang tak ada kerja lain ke? Tilawah quran kau dah selesai untuk hari ni?" Hafiz kembali bersuara.

"Dah, tadi sebelum main Counter Strike. Aku baca satu muka."

"Satu muka je? Itu tak sampai pun 5 minit. Kalau main game tadi berapa jam dah? Tak seimbanglah macam tu."

"Eh, Hafiz. Hari ni hari Sabtulah. Rehat-rehatlah dulu. Nanti aku buatlah benda lain. Sibuk betul kau ni. Dah, aku nak pergi tandas sekejap. Sakit pula perut ni."

'Rehat-rehat konon. Tiap-tiap hari macam ni. Kalau sibuk study tak apa juga. Ini buang masa.'

Hafiz termenung memandang skrin desktop ikhwahnya itu. Lalu muncullah sebuah idea yang menurutnya bergeliga.

'Lepas ni kau tak akan main game lagi!'

Lalu desktop Rasyid didekati dan tetikusnya digerakkan membuka berapa folder. Setelah menemui apa yang dicarinya, jejarinya menekan suatu butang di papan kekunci. Hafiz tersenyum lalu meninggalkan bilik tersebut.

Tidak lama kemudian Rasyid pulang ke bilik. Hajat di hati hendak menyambung menonton animasi Eye Shield 21. Namun dilihatnya tetingkap pemain videonya telah ditutup.

'Ini mesti kerja Hafiz.'

Lalu dia membuka folder yang menyimpan file-file animasinya. Namun, tidak berjumpa.

'Eh, mana folder tu? Takkan hilang? Tadi ada lagi.' Rasyid semakin tidak keruan.

Dicarinya pula folder-folder menyimpan game-game kesayangannya. Juga tiada! Semua sekali telah diuninstall tanpa kesan. Rasyid tidak dapat menyembunyikan resahnya lagi.

"Hafiiz!!!!"



Seminggu kemudian...



"Assalamu'alaikum Warahmatullah!"

"Wa'alaikumussalam Warahmatullah! Akh Adib, jemputlah masuk."

"Apa khabar iman? Sihat?"

"Alhamdulillah, sihatlah juga. Naik turun. Tapi insya-Allah akan sentiasa lebih banyak naiknya daripada turun."

"Insya-Allah, amiin. Akh, tau tak ada ikhwah batch antum dah keluar halaqoh?"

"Hah? Siapa?"

"Rasyid. Dia kata dia tak tahan dengan dakwah ni. Dia nak bebas."

Hafiz terkesima. Perlakuannya Sabtu lepas kembali bertamu di fikirannya.

"Ya-Allah...apa aku dah buat.." Tiba-tiba Hafiz bermonolog.

"Kenapa akh? Tiba-tiba muka bersalah semacam ni?"

Dengan suara yang lemah, Hafiz menceritakan apa yang telah berlaku antara dirinya dan Rasyid tempoh hari. Adib mendengar dengan saksama.

"Akhi, niat antum untuk menegur tu memang baik. Tetapi caranya kurang berhikmah dan maafkan ana, ianya tidak tepat."



"Ana fikirkan yang ana boleh tinggalkan semua jahiliyah-jahiliyah tu, kenapa dia tak boleh? Itu yang ana tegur dia habis-habisan, buang semua game dan movie dia. Biar dia tak sentuh lagi benda-benda tu semua."

"Kita tak boleh menganggap semua orang sama dengan diri kita. Setiap orang penerimaannya berbeza. Kita kena bijak mengadaptasi suasana. Kesilapannya memang perlu ditegur, tetapi perlulah dengan cara yang lebih tepat."

"Ana pun rasa macam tu. Silap ana tegur terlampau keras."

"Dan sebenarnya, antum tidak perlu menyusahkan diri mengubah dia sekeras itu. Cukup tugas antum dengan melaporkannya kepada ana, murobbinya. Di dalam halaqoh ana akan berikan pemahaman yang sesuai kepadanya. Di dalam halaqoh, itu saat yang terbaik untuk menegur, kerana di saat itu seseorang memang bersedia untuk mendengar dan membuka mindanya. Kalau antum paksakan dia mendengar ketika dia sedang seronok main game, tentu dia tidak akan mengambil pengajaran sama sekali."

"Afwan akh, ana khilaf. Ana tak tahu berdakwah dengan berhikmah."

"Tidak mengapa. Ini pengajaran untuk kita bersama. Tarbiyah langsung daripada Allah, buat kita jadikan pedoman dalam mengharungi jalan dakwah yang penuh liku ini. Semoga dakwah kita semakin berhikmah."

"Insya-Allah..."

Setiap mereka yang mengucapkan dua kalimah syahadah, maka dia merupakan seorang da’i ataupun pendakwah. Tiada pengecualian. Berdakwah bukanlah tanggungjawab golongan pelajar sekolah agama, ustaz, ulama’ serta mufti sahaja. Semua muslim sebenarnya dibebankan dengan tanggungjawab untuk berdakwah, mengajak umat manusia kepada Islam. Hanya dengan jalan ini sahajalah Umat Islam akan meraih kembali kemuliaan dan keagungan yang pernah digenggam suatu ketika dahulu. Bersesuaian dengan firman Allah S.W.T:

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
[Q.S. Ali ‘Imran, 3 : 110]


Study adalah subset kepada Dakwah


REALITI DA’I
Sebagai pelajar, kita juga tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk berdakwah. Bahkan, medan yang terbaik untuk berdakwah adalah dalam kalangan remaja yang rata-ratanya adalah pelajar. Para pelajar atau mahasiswa merupakan golongan yang mempunyai kelebihan dari segi masa, tenaga kerja dan sasaran dakwah yang paling efektif. Penyebaran dakwah yang dilakukan oleh golongan mahasiswa ini biasanya sangat cepat berkembang kerana mereka rata-ratanya adalah remaja yang sifatnya sangat bersemangat.

Namun kini timbul pula masalah. Ada mereka yang bersungguh-sungguh dalam berdakwah. Setiap malam berusrah. Hujung minggu tidak pernah lekat di kampus, ada sahaja program dakwah yang disertainya. Namun begitu, keputusan akademiknya tidak begitu memuaskan, malah ada yang tidak mencapai pointer minimal. Lalu mereka ini dijadikan buah mulut oleh ramai orang. Yang paling menyedihkan, masyarakat kampus mula memandang serong terhadap golongan-golongan da’i ini. Ada yang mengatakan,

“Itulah, nak berdakwah, tapi study tak jaga. Buat malu orang Islam saja,”

Ada juga yang mengatakan,

“Itulah kau, kenapa soleh sangat?”

Dan bermacam-macam kata-kata yang 'memanaskan' telinga yang boleh didengari.

Mengapa ini semua terjadi? Adakah benar apabila kita bergiat dalam dakwah, kita telah memandang enteng masalah akademik dan kuliah? Sudah pasti tidak. Malah kita amat yakin bahawa Allah memerintahkan kita agar menyeimbangkan ukhrawi dan duniawi, sebagaimana firman-Nya:

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.
[Q.S. Al-Qasas, 28 : 77]

Maka apakah masalah kita para da’i ini sebenarnya? Bagaimanakah kita boleh berdakwah dengan mantap dan pada masa yang sama juga dapat berjaya dengan cemerlang dalam akademik? Inilah yang akan kita bincangkan dalam artikel ini, Insya-Allah.

DAKWAH MAPAN AKADEMIK PERKASA
Slogan di atas kelihatan begitu ideal. Tetapi ia tidak mustahil. Para salafusoleh dan ilmuan-ilmuan Islam dahulu juga telah membuktikan yang mereka berjaya dalam semua aspek. Mereka pakar perubatan, sains falsafah. Tetapi pada masa yang sama tetap berdakwah dengan cemerlang sehinggga Islam tersebar ke seluruh dunia. Dan jika diperhatikan di sekeliling kita, ada juga mereka yang berdakwah namun akademik mereka tetap mantap. Semuanya adalah bergantung kepada individu. Bagaimana setiap individu itu menguruskan kehidupannya sebagai seorang da’i dan juga penuntut ilmu. Berikut adalah beberapa aspek yang perlu dijaga.


Pengurusan Masa
“Masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya maka ia akan memotongmu.” Kata-kata pujangga ini amat penting untuk dijadikan panduan. Sebagai pelajar dan pada masa yang sama seorang da’i, kita harus bijak dalam menguruskan masa yang ada. Masa kita tidak seperti kawan-kawan kita yang lain, yang masanya sangat-sangat banyak sehingga boleh dibazirkan. Antara virus-virus pengurusan masa adalah menangguh.

Menangguh Kerja
Sebagai da’i, kita akan sentiasa mempunyai program-program dakwah yang perlu diuruskan seperti usrah, seminar-seminar, ceramah-ceramah dan sebagainya. Dan biasanya masa hujung minggu bukan milik kita, tetapi milik dakwah kita. Kita terpaksa mengorbankannya untuk menyebarkan dakwah kepada umat. Oleh itu, setiap tugasan kuliah hendaklah diselesaikan secepat mungkin, tanpa perlu ditangguh-tangguh ke waktu yang lain, walaupun tarikh tamatnya masih lambat. Kadang-kadang kita boleh berbaring-baringan di atas katil, melayari laman-laman web yang tidak begitu penting dan berborak-borak mengenai perkara yang tidak perlu, sedangkan masih ada tugasan yang belum diselesaikan.

Ini merupakan sifat malas yang sentiasa menghalang kita untuk berjaya. Biasanya kita akan berfikir,“Nanti aku buatlah,” atau “Nantilah dulu, tunggu ada bila ada mood baru aku buat.” Kebiasaan berfikir seperti ini tidak boleh ada pada diri seorang da’i. Biasakan diri apabila dapat sahaja apa-apa tugasan, catatkan dalam buku nota atau di mana-mana yang senang dilihat (dalam dompet, di tapak tangan dan sebagainya) agar kita tidak lupa. Kemudian selesaikannya satu demi satu. Jangan senang duduk selagi masih ada kerja bertangguh. Apabila kita tidak menyelesaikan perkara-perkara kecil ini dengan segera, malah menangguh-nangguh kerja, maka apabila sampai masanya kita diarahkan oleh dakwah untuk melakukan tugasan-tugasan dakwah, kita akan memberi alasan. Menangguh-nangguh kerja ini adalah sifat buruk yang datang daripada syaitan.

Menangguh-nangguh ini juga sering berlaku dalam sesi kuliah, di mana kita tidak memahami apa yang disampaikan oleh pensyarah. Biasanya kebanyakan pelajar akan membiarkan sahaja dirinya tidak faham tanpa mengambil langkah segera untuk memahami pelajaran itu. Biasanya setiap topik akan berkait antara satu sama lain. Akibatnya, semakin banyak pelajaran yang tidak difahami. Dan pelajar biasanya akan berfikir untuk mengatasi masalah ini apabila ada masa lapang dan yang paling teruk, meletakkan semua beban belajar dalam ‘study week’. Ini juga adalah tabiat yang buruk dan sangat-sangat perlu dielakkan.

Penangguhan adalah 'pembunuh' masa lapang
Mulakan dengan dewan kuliah. Pastikan sebelum kita datang, kita sudah mempersiapkan minda kita untuk menerima semua yang disampaikan oleh pensyarah. Bawa buku nota khas bagi setiap subjek untuk mencatat apa yang disampaikan. Hadir ke kelas beberapa minit lebih awal untuk untuk mempersiapkan diri dan mengambil tempat duduk yang sesuai. Pastikan tumpuan kita adalah 100% terhadap kuliah yang disampaikan. Wajibkan diri kita untuk memahami setiap apa yang hendak disampaikan. Mengulangkaji pelajaran yang akan diajar sebelum kelas akan sangat-sangat membantu. Andai kata kita masih tidak dapat memahami apa yang hendak disampaikan, segera berjumpa dengan pensyarah dan bertanya. Selesaikan segala keraguan itu secepat mungkin, sebaik-baiknya sebelum sesi kuliah yang seterusnya. Jika tidak sempat berjumpa pensyarah, pastikan kita memahaminya dengan bantuan rakan-rakan lain ataupun melalui bacaan-bacaan serta latihan.

Memahami sahaja tidak mencukupi. Melalui kajian yang dilakukan berkenaan daya ingatan manusia, kita akan kehilangan 90% apa yang dipelajari dalam masa 24 jam tanpa pengulangan. Oleh itu Kita perlu mengulang subjek-subjek yang telah dipelajari itu secepat mungkin. Tidak perlu lama, mungkin 5-10 minit. Buka semula nota, baca sekali lalu sambil mengimbas kembali apa yang disampaikan oleh pensyarah. Lakukan pada hari itu juga. Jangan sesekali memberi alasan tidak ada masa, untuk makan sahaja kita selalu lebih daripada 30 minit.

Tidak Merancang Jadual Mengulangkaji
Dalam apa jua keadaan kita tidak boleh lari daripada merancang. Merancang merupakan sesuatu yang amat penting bagi kehidupan seorang pelajar, lebih-lebih lagi bagi seorang da’i. Kepentingan merancang ini disebut oleh Allah dalam kitab-Nya:

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
[Q.S. Al-Hasyr, 59 : 18]

Sesiapa yang tidak merancang, maka sesungguhnya dia merancang untuk gagal. Merancang bukanlah sesuatu yang susah sebenarnya. Ramai di antara kita yang menolak apabila dicadangkan membuat jadual mengulang kaji. Sebenarnya dengan adanya jadual, kita akan lebih teratur dalam membuat persediaan untuk ujian dan lebih mudah memahami pelajaran.

Mulakan dengan menyenaraikan semua subjek-subjek yang dipelajari dan sub-sub topiknya. Dengan adanya senarai ini, semua topik yang akan dipelajari akan lebih terarah. Mulai menguasai topik demi topik. Dengan ini tiada topik yang akan tertinggal. Kemudian, mula menetapkan hari untuk setiap topik itu untuk diulang. Dalam jadual itu pastikan ada masa untuk mengulangkaji sekurang-kurangnya sejam sehari. Tidak semestinya sejam itu berturut-turut. Boleh jadi 20 minit setiap sesi ataupun 30 minit. Jika berpeluang pastikan lebih masa diperuntukkan. 2-3 jam sehari adalah cukup baik. Jangan biarkan ada hari yang kita lalui tanpa mengulangkaji pelajaran. Rancang jadual dengan teliti, dan kemudian disiplinkan diri untuk mematuhinya.

Semangat Berusaha
Walaupun banyak perkara yang telah kita rancang, namun yang paling payah adalah untuk meneruskannya. Dalam erti kata lain untuk mengekalkan momentum belajar atau keistiqomahan dalam belajar. Sememangnya, keistiqomahan bukan perkara yang mudah. Rasulullah sahaja apabila diturunkan ayat untuk istiqomah ini, beruban rambutnya.

Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah tobat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
[Q.S. Hud, 11 : 112]

Tetapi untuk istiqomah bukanlah sesuatu yang mustahil. Banyak cara yang boleh kita gunakan untuk mengekalkan semangat untuk berusaha. Berikut beberapa cadangan.

Membayangkan Apa yang Akan Dicapai
Dalam sehari, dapatkan satu waktu khas untuk kita membayangkan masa depan kita dalam dakwah dan akademik. Biasanya sebelum subuh, selepas solat tahajjud. Bayangkan apa yang akan kita capai dalam dakwah. Bayangkan dengan keputusan akademik yang cemerlang itu, lebih ramai mad’u yang akan kita tarik ke dalam dakwah.

Bayangkan dengan teliti, di mana sahaja kita pergi semua orang mengamalkan Islam dengan syumul. Semua muslimah bertudung labuh menutup aurat. Semua muslim amat menjaga akhlaq dan berperibadi mulia. Bayangkan semuanya dengan terperinci. Lakukan dalam masa 2-3 minit. Kemudian untuk 2-3 minit seterusnya bayangkan bagaimana kita akan mencapai kesemua itu. Bayangkan bagaimana kita akan melalui sepanjang hari tersebut. Bayangkan setiap kuliah yang akan kita hadiri, wajah-wajah yang akan kita temui, buku-buku yang akan kita baca dan perasaan kita ketika melakukannya. Gambarkan. Ketika sedang membayangkan, bernafaslah dengan dalam, sambil bertekad dengan kuat di dalam hati untuk merealisasikan kesemuanya. Insya-Allah, kita akan merasai semangat itu sepanjang hari. Semakin terperinci apa yang kita bayangkan semakin bagus kesannya.

Menggunakan Ayat-Ayat Motivasi
Banyak kata-kata yang boleh digunakan untuk memotivasikan diri. Ayat-ayat Al-Quran sahaja sudah cukup untuk membuat kita bersemangat. Pilih ayat-ayat yang memberi kesan yang dalam kepada diri kita, tulis di atas kertas atau printkan daripada komputer lalu tampalkan di tempat belajar dan lain-lain tempat yang strategic seperti almari, cermin muka dan sebagainya.

Antara kata-kata yang disarankan ialah:

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan atau pun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
[Q.S. At-Taubah, 9 : 24]

Jika kita menghayati ayat ini nescaya dalam keadaan apapun kita akan tetap bersemangat melaksanakan jadual yang telah ditetapkan. Kita akan memahami, walaupun kita dalam keadaan letih, sakit, ataupun sibuk, kita akan tetap berusaha bersunguh-sungguh.

Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
[Q.S. Al-Baqarah, 2 : 233]

Mana mungkin kita akan malas apabila mengetahui setiap amal kita diperhatikan oleh Allah? Setiap usaha kita melawan kemalasan dan keinginan nafsu akan diberi ganjaran pahala berjihad di jalan Allah. Bersemangatlah!

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyuk dalam salatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,
[Q.S. Al-Mu’minun, 23 : 1-3]

Orang beriman akan sangat-sangat berjaya. Tetapi hanya mereka yang benar-benar beriman dan beramal dengan sifat-sifat sebenar orang beriman, iaitu menjauhi perbuatan dan perkataan yang sia-sia (lagho). “Campus life is all about dakwah and study. There’s no time to be wasted!” Manfaatkan setiap detik yang ada untuk dakwah atau belajar. Tiada yang ketiga.

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
[Q.S. Muhammad, 47 : 7]

Yakinlah dengan janji Allah ini. Da’i adalah mereka yang berusaha bersungguh-sungguh untuk membela agama-Nya. Insya-Allah, jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh dengan disertai keyakinan, keikhlasan serta keimanan maka pertolongan Allah pasti datang.

Kesimpulan : BERUSAHALAH WAHAI PARA DA’I
Kesimpulannya, untuk menyeimbangkan dakwah dan study, kehendak dan disiplin yang tinggi untuk berjaya perlu diterapkan. Yang penting adalah berusaha. Allah yang menentukan. Yakinlah, Allah pasti akan menunjukkan jalan bagi mereka yang bersungguh-sungguh mencari keredhaan-Nya.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29 : 69]

sumber: umairzulkefli.blogspot.com


Kehidupan sebagai muslim tidak lekang dari ujian dan mehnah. Percayalah, tiada sesiapapun di dunia ini yang tidak diuji iman dan kesungguhannya mengimani Allah SWT dan apa yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Menariknya junjungan besar kita Rasulullah SAW telah awal-awal lagi memperingatkan kita akan ujian dan ancaman besar buat umat Islam yang mampu merongkai keimanan mereka.

Ada tiga perkara yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW kepada kita.
Dari Abu Hurairah ra. beliau berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Jika umatku sudah mengagungkan dunia, maka akan tercabut dari mereka kehebatan Islam; dan jika umatku sudah meninggalkan amar ma’aruf nahi munkar, diharamkan baginya keberkahan wahyu; dan jika umatku sudah saling mencaci, maka jatuhlah ia dari pandangan Allah" (HR. Hakim dan Tirmidzi)

Tidak tersentapkah hati kita tatkala membaca peringatan Rasulullah SAW ini seakan Baginda SAW telah mengetahui bahawa zaman fitnah besar yang baginda ungkapkan akan dan sedang melanda umat saat ini.

Dalam bicara kali ini, penulis sekadar mahu berbicara tentang peringatan Rasulullah SAW berkenaan ancaman penyakit mengagungkan dunia. Semoga dalam tulisan mendatang Allah SWT mengizinkan kita mentadabbur 2 lagi pesanan Rasulullah SAW yang amat besar kesannya kepada masa depan kita setelah mati kelak.

Arus Mengagungkan Dunia
Hairan, kita lahir di dunia ini, kita beramal juga atas dunia ini, tetapi Rasulullah SAW memperingatkan umatnya agar berhati-hati dengan dunia jangan sampai dunia beraja dan menguasai di hati kita. Apakah ini jawapannya mengapa umat Islam saat ini lesu, lemah dan berpecah belah? Sehinggakan sudah tercabut rasa kehebatan dan kemuliaan Islam pada mata dan pandangan masyarakat yang bukan Islam! Bahkan umat Islam sendiri tidak merasa izzah (mulia) dengan Islam! Cinta dunia telah menghakis kekuatan kita sebenarnya sehingga umat Islam dihimpit dan diasak dari segenap sudut oleh musuh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Nabi bersabda: “Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah al-wahn itu, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Cinta dunia dan takut mati” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Inilah asbab dan impak kepada permasalahan umat, umat tidak lagi secara serius benar-benar memperhambakan dirinya kepada Allah SWT, dunia telah mengganti Illah (sembahan) manusia dan umat ini, samada secara sedar atau tidak sedar.

Cinta Yang Menyempitkan
Cinta dunia juga akan menyempit kehidupan kita. Patutlah ramai kalangan umat Islam yang stress dan tertekan dengan kehidupan mereka sendiri, terkena virus mabuk dunia barangkali. Rasulullah SAW dalam hadis yang lain memperingatkan kita akan virus cinta dunia ini:

Dari Zaid bin Tsabit RA beliau berkata, “Kami mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapa yang (menjadikan) dunia tujuan utamanya, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinan / tidak pernah merasa cukup di hadapannya, padahal dia tidak akan mendapatkan (harta benda) duniawi melebihi dari apa yang Allah tetapkan baginya. Dan barangsiapa yang (menjadikan) akhirat niat (tujuan utama)nya, maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan sentiasa merasa cukup (ada) dalam hatinya, dan (harta benda) duniawi datang kepadanya dalam keadaan rendah (tidak bernilai di hadapannya).” (HR Ibnu Majah, Ahmad, ad-Daarimi, Ibnu Hibban dan lain-lain dengan sanad yang sahih.

Sudah jelas bukan, tatkala dunia menjadi matlamatnya, nescaya Allah SWT akan menyempitkan kehidupannya, jiwa menjadi tidak tenang dan sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang ia dapat.

Imam Ibnul Qayyim dalam kitab Igaatsatul Lahfaan menulis bahawa salah seorang ulama salaf ada berkata, “Barangsiapa yang mencintai dunia (secara berlebihan), maka hendaknya dia mempersiapkan dirinya untuk menanggung pelbagai macam musibah (penderitaan).”

Kata Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah lagi, “Orang yang mencintai dunia (secara berlebihan) tidak akan lepas dari tiga (macam penderitaan): Kekalutan (fikiran) yang selalu menyertainya, kepayahan yang tiada henti, dan penyesalan yang tiada berakhir. Hal ini disebabkan orang yang mencintai dunia (secara berlebihan) jika telah mendapatkan sebahagian dari (harta benda) duniawi maka nafsunya (tidak pernah puas dan) terus bercita-cita mengejar yang lebih dari pada itu.

Formula Merawat Cinta Dunia: Generasi Akhirat

Firman Allah SWT:

“Hidup di dunia, tidak lain hanya suatu kesenangan dan permainan. Sesungguhnya kampung akhiratlah kehidupan yang sebenarnya. Jika mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut ayat 64).

Lawan cinta dunia adalah cinta kepada akhirat. Inilah terapinya bagi kita melawan barah cinta dunia, cinta kepada Akhirat. Cinta Akhirat bukan bermakna kita mengabaikan kehidupan kita di dunia. Bukan begitu dan jangan salah faham! Allah SWT berfirman:

“Ya Allah berilah kami di dunia kebaikan dan di akhirat kebaikan, dan selamatkanlah kami dari siksa neraka.” (al-Baqarah: 201)

Kita mahukan kebaikan kepada keduanya sekali, namun akhirat memandu kita untuk mencintai dunia seadanya sehingga kita tidak tertipu dengan penyakit cinta dunia. Sesuai dengan firman Allah SWT:

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.” (al-Qashash : 77)

Firman Allah SWT lagi:

"Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat." (Asy-Syuro: 20)

Rasulullah SAW mengajarkan kepada para sahabat RA makna sebuah keuntungan pada kaca mata akhirat sebagai suri teladan buat kita. Antaranya sahabat mulia bernama Shuhaib Ar-Rumi. Ketika itu ia merelakan semua hartanya dirampas oleh orang-orang kafir agar dia boleh keluar berhijrah bersama Rasulullah SAW. Habis ditinggalkan hartanya. Apa keuntungan yang diperoleh oleh Shuhaib? Ternyata saat beliau tiba di Madinah, Nabi SAW sendiri yang menyambut kedatangannya seraya bersabda:

"…..perdagangan yang menguntungkan wahai Abu Yahya… perdagangan yang menguntungkan wahai Abu yahya!" {Hadis Riwayat Muslim}


Justeru Shuhaib termasuk orang yang beruntung kerana memilih cinta Akhirat mengatasi cinta dunia

Berapa Nilai Dunia Ini?
Mari kita muhasabah dan kemaskinikan matlamat kehidupan kita. Bersihkan dari sebarang kecintaan dunia yang menyiksakan diri kita kelak di Akhirat. Nilai dunia yang direbutkan terlalu kecil dibandingkan dengan nilai Akhirat. Rasulullah SAW bersabda :

“Perumpamaan dunia dengan akhirat adalah kalian mencelupkan jari kalian ke laut, kemudian diangkat, lihatlah dunia hanya air yang ada di jari tersebut.”
Sebenarnya Allah SWT telah menjelaskan nilai dunia di banding akhirat dan nilai akhirat di banding dunia baik dalam ayat –ayat al Qur’an mahupun hadis Nabi SAW.
Penulis akhirkan perkongsian kali ini dengan perumpamaan menarik yang digambarkan oleh Rasulullah SAW terhadap nilai sebuah dunia yang menjadi rebutan manusia saat ini.

Dari Jabir RA , bahawasanya Rasulullah SAW menjumpai seekor bangkai anak kambing lagi cacat telinganya lalu baginda mengangkat dengan memegang kedua telinga bangkai itu lantas bersabda:

“Siapakah diantara kalian yang ingin membeli bangkai ini seharga satu dirham? Kemudian para sahabat pun menjawab, “ Kami sama sekali tidak menginginkanya,apa yang dapat kami lakukan dengan bangkai itu ? Lantas Rasulullah SAW kembali bertanya, ”Apa kalian mahu bila bangkai ini menjadi milik kalian?” Para sahabat kembali menjawab ,”Demi Allah, seandainya bangkai ini hidup pun kami tidak berminat, sebab ia cacat apalagi sudah menjadi bangkai.” Kemudian Rasulullah SAW seraya berkata

“Demi Allah, sungguh dunia itu lebih hina di mata Allah daripada bangkai ini di mata kalian. (HR Muslim)

usrahkeluarga.blogspot

Assalamu'alaikum dan salam mahabbah buat semua pembaca. Ikatan perkahwinan adalah amat penting dan semuannya hanya untuk mencari keredhaan Allah swt.Saya sebenarnya bukannnya mahu sangat bercerita berkenaan isu-isu ini, cumanya bila melihat 'trend' remaja berpacaran yang tidak menentu ini, coretan saya banyak kepada pembinaan Baitul Muslim yang lebih dekat dengan remaja di jalan dakwah.

Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap. Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun. Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama. Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih. Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius.

Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya. Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.

Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.

Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga. Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS. Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa Tujuan Berumahtangga?

"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya. Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku" Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat? Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara? Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun. Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali. Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama. Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati. Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan? Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.



Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia? Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

"Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.

Benar sekali, pilihlah yang beragama.

"Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.

Penyakit "Tidak Jelas"

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz? Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama. Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini? Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?

"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah. Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor. Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".

Hanya 'Beragama'?

Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.

Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta.Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan. Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri.Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama.

Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu. Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin kerana beragama.
sumber:iluvislam.com

Oleh : Ust Halim Abdullah

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan.

Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
sumber:notakelanafaqir

“Abang, atap rumah kita sudah bocor. Dapur sudah masuk dua hari tak berasap” rungut si isteri.

“Abang tahu. Maafkan abang” balas sang suami. Riak wajahnya menampakkan kesal yang mendalam.

“Apa kita nak buat sekarang?” tanya si isteri lagi.

“Marilah berzikir, sayang. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar…!” jawab si suami.

“Apa abang ni? Orang cakap betul-betul, dia main-main pula” marah si isteri.

Itu bukan jawapan yang diharapkannya. Ketika hati panas mengeluh tentang kemiskinan dan kesusahan hidup, sepatutnya seorang suami mendatangkan idea-idea yang boleh mengubah keadaan. Biarlah ada perancangan tentang menambah kerja, berniaga pasar malam atau apa sahaja.

Tapi bukannya wirid-wirid! Zikir-zikir!

“Bukankah di dalam al-Quran Allah sudah berjanji” si suami mempertahankan pendiriannya.

Mungkin dia merujuk kepada firman Allah:

“…ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia” [al-Ra'd 13: 28]

“Yelah tu, bang! Nanti kalau anak kita menangis kelaparan, abang suap dia dengan biji tasbih ya!” sindir si isteri.

Si suami termenung. Cakap isterinya makin melalut. Dalam suasana begini, jangan dipanjang-panjangkan bahas dan debat. Nanti makin jauh tersasar dari jalan kebenaran.

Walaupun hatinya panas mendengar celoteh isteri, tetapi terdetik juga di fikiran. Tenangkah hati kalau semasa perut lapar dan rumah bocor, mulut berzikir dan bertasbih. Kalau semasa menerima bil demi bil pada hujung bulan, terhapuskah tekanan dengan zikrullah? Pahala tu pahala juga. Tetapi duit tetap nak kena cari.

Maha Suci Allah daripada sifat mungkir janji. Sudah diberitakan-Nya bahawa zikir itu mengundang tenang.

Subhanallah… tidak mungkin ayat itu menipu.

Maha Suci Allah daripada memberikan penyelesaian yang tidak praktikal.

Maha Suci Allah daripada menjadikan tubuh badan manusia berkehendakkan makanan, tetapi disuap-Nya dengan zikir semata-mata.

“Eh, sudah empat kali aku menyebut Subhanallah! Kalau Allah Subhanahu wa Taa’la itu Maha Suci daripada segala sifat tadi, tentu sahaja silapnya ada padaku. Aku yang patut mencari di mana kelemahan aku dalam merancang kehidupan” kata si suami.

“Alhamdulillah… tenang sikit rasa hati” monolognya sendirian.

Setelah perasaan, fikiran dan sangkaan yang negatif tentang kehidupan ini (tentang Allah barangkali) disembuhkan, barulah terbuka matanya untuk melihat satu demi satu nikmat yang hakikatnya masih banyak dan menanti untuk dimanfaatkan bagi memperbaiki kehidupan.

Masih sihat.

Masih bertangan dan berkaki.

Masih bermata dan bertelinga.

Masih punya banyak kurniaan yang diberikan Allah secara percuma untuk diguna.

Alhamdulillah!

Terpacul ungkapan yang memuji Allah. Bahawa kesusahan yang dialami bukan kerana zalimnya Allah ke atas diri, tetap sebagai peringatan ke atas diri yang sudah lama menzalimi diri sendiri, kerana tidak menggunakan sepenuhnya segala nikmat yang diberi.

Alhamdulillah!

Syukur kepada Allah, dirinya tidak jadi sinikal seperti si isteri. Fikirannya dapat diluruskan dan Alhamdulillah beliau mendapat kekuatan untuk berfikir dan tidak berputus asa.

“Allahu Akbar! Allah tidak tipu. Aku sudah tenang. Ayat itu benar. Aku mesti mengajak isteriku sama. Dalam zikir mesti ada fikir. Baru tenang hati dan tenang minda,” kata si suami.

FORMULA DI SEBALIK WIRID

Benar… kisah di atas sepatutnya bukan kisah yang asing.

Ketika kaum Muhajirin mengadu kepada Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang kemiskinan mereka, reaksi baginda juga sama. Muhajirin mengadu bukanlah tentang kemiskinan yang menyeksa kehidupan, tetapi kemiskinan yang mengurangkan peluang amal. Kurang peluang bersedekah dan membantu sesama ikhwah.


Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, bahawa (di suatu hari) telah datang golongan fakir dari kelompok Muhajirin kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam, lalu mereka berkata: Orang-orang kaya beroleh darjat yang tinggi dan baik terpuji. Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: apa yang kalian maksudkan? Jawab mereka: Orang-orang kaya itu bersolat seperti kami bersolat, mereka berpuasa seperti kami berpuasa. Mereka bersedekah tetapi kami tidak bersedekah kerana tidak punya harta. Mereka membebaskan hamba abdi, tetapi kami tidak mampu berbuat demikian…

Malah keletihan menguruskan rumahtangga dengan kerja-kerja yang kasar dan berat oleh Saidatina Fatimah radhiyallaahu ‘anha juga diberikan reaksi yang hampir sama oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Mahukah kamu sekiranya aku ajarkan kepada kamu satu amalan yang akan dapat menyamai orang-orang yang sebelum kamu dan dapat mengatasi orang-orang yang sebelum kamu? Tiada seorang pun yang lebih baik daripada kamu melainkan mereka yang melakukan amalan sebagaimana yang kamu lakukan itu?

Apakah yang bakal diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada sahabat?

Kaedah mengenal pasti peluang-peluang perniagaan?

Teknik pertanian terkini untuk memajukan hasil bumi Madinah?

Strategi pemasaran untuk meluaskan urus niaga mereka?

Tidak…

Apa yang diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah lebih penting daripada itu semua. Kesemua yang disenaraikan di atas adalah perkara sekunder. Sedangkan apa yang lebih utama, membetulkan suasana dalaman akal, hati dan nafsu manusia.

Bahkan, ajarkanlah kepada kami ya Rasulullah! Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Kamu bertasbih, kamu bertakbir dan kamu bertahmid setiap kali selesai mengerjakan solat dengan bilangan tiga puluh tiga kali

Subhanallah…

Alhamdulillah…

Allahu Akbar…

33 kali setiap satu setiap kali selesai bersolat…

Kalimah-kalimah ini memang ringan di lisan dan berat di Mizan. Tetapi kehebatannya tidak terhenti pada soal pahala Akhirat yang menjadi ‘matawang’ kita di Sana. Ia juga mempunyai implikasi yang besar kepada diri manusia yang melaziminya pada kehidupannya di dunia.

Kalimah yang berkuasa tinggi.

Diucapkan dengan emosi.

Diulang 33 kali.

Mustahil ia sekadar soal pahala. Sebaliknya zikir itulah kunci untuk manusia miskin dan susah bangkit dari segala keadaan itu kepada kehidupan yang lebih baik. Cemerlang.

SUBHANALLAH

Apa yang diSUBHANALLAHkan?

Maha Suci Allah daripada sifat ZALIM dan menzalimiku hingga hidupku susah begini.

Maha Suci Allah daripada sifat JAHIL hingga Allah tidak tahu tentang apa yang sedang aku alami.

Maha Suci Allah daripada sifat BUTA hingga tidak nampak penderitaan yang kutanggung ini.

Maha Suci Allah daripada sifat PEKAK hingga tidak mendengar keluhan dan doaku ini.

Maha Suci Allah daripada segala kekurangan. Dan Allah yang Maha Sempurna itu, tidak harus dinisbahkan kepada-Nya sebarang prasangka dan persepsi yang negatif.

Justeru jika kemiskinan ini menjadi suatu kecelakaan ke atas diriku, maka bukanlah kerana Allah mengurangkan pemberian-Nya, tetapi aku yang gagal memanfaatkan ‘modal percuma’ yang diberi. Aku yang menjadikan kemiskinan itu keburukan.

Jika kita berniaga dengan modal RM50 dan hasil jualan berjumlah RM70, ini bermakna kita untung RM20. Berapakah modal yang kita keluarkan untuk memiliki tangan, kaki, kepala, mata, telinga, otak, dan tubuh badan ini sebagai bahan untuk mencari laba kehidupan?

PERCUMA!

Semuanya diberikan oleh Allah dengan elok dan baik. Justeru pada saat aku merasakan bahawa aku tidak memiliki apa-apa, aku masih punya sebab yang besar untuk mengucap syukur atas keuntungan perniagaan hidup tanpa modal sendiri ini. Alhamdulillah…

ALHAMDULILLAH

Segala puji bagi Allah yang memberikan aku kehidupan untuk kuberjuang dalam kehambaan kepada-Mu.

Segala puji bagi Allah yang memberikan aku tubuh badan untuk tujuan itu.

Segala puji bagi Allah yang mengurniakan aku akal hingga aku mampu berfikir sebagai penghulu kehidupan.

Segala puji bagi Allah yang rupa-rupanya mengujiku dengan kemiskinan agar terdesak untuk bermuhasabah, terdesak untuk mencari kembali pemberian-pemberian yang banyak dalam kehidupan, terdesak untuk mengubah cara hidup, terdesak untuk bangkit dan seterusnya menjadi manusia yang lebih baik serta berjaya, di dalam SYUKUR.

Alhamdulillah.

Subhanallah telah meluruskan kepercayaanku, justeru datanglah makna yang besar tatkala aku mengucap Alhamdulillah. Benar-benar segala puji itu adalah untuk-Nya.

ALLAHU AKBAR

Tenang… kecamuk jiwa beroleh damai. Kekusutan fikiran mula terungkai membentang jalan. Janji Allah bahawa zikir kepada-Nya menganugerahkan rasa tenang, kini aku benar-benar tenang. Allahu Akbar!

Indahnya hidup berTuhan. Sentiasa ada sumber sandaran. Sandaran yang mencetuskan keyakinan. Keyakinan yang menyuntik kekuatan. Kekuatan yang menjadikan aku manusia miskin yang bangkit menuju kejayaan.

Allahu Akbar!

Maha Besar dan Maha Agungnya Dia, mengatasi segala-galanya.

Sesungguhnya ZIKIR hanya mendatangkan tenang, apabila ZIKIR datang dengan FIKIR.

FIKIR yang mendatangkan kejayaan, hanyalah FIKIR yang datang dengan ZIKIR.


Itulah kehebatan aku sebagai Mukmin. Manusia ajaib yang tidak pernah berperasaan buruk terhadap kehidupan, kerana baik sangkanya dia kepada Tuhan.

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, daripada Suhaib radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata, suatu ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk bersama para sahabatnya dan tiba-tiba Baginda ketawa. (Melihatkan keadaan sahabat yang terkejut) Baginda berkata: Apakah kamu tidak mahu bertanyakan aku apa yang menyebabkan aku ketawa? Mereka berkata: Ya Rasulullah, mengapa engkau ketawa?

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Ajaib sungguh perihal seorang mukmin. Semuanya baik belaka untuk dirinya. Jika dia mendapat sesuatu yang disukainya, dia memuji Allah lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya. Dan jika dia ditimpa sesuatu yang dibencinya, dia bersabar. Lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya. Bukan semua orang yang boleh menjadikan segala perkara adalah baik untuknya kecuali MUKMIN.
SUMBER:saifulislam.com

Imam Syahid menghadiri sebuah mu’tamar di Daqhaliah. Selesai sahaja mu’tamar, Imam Syahid bersama dengan Ustaz Umar Tilmisani bergegas ke sebuah bilik berisi dua tempat tidur. Masing-masing dari keduanya pun berbaring di atas tempat pembaringannya.
Beberapa minit kemudian, Imam Syahid bertanya:
“Wahai Umar, apakah kau sudah tidur?”
Ustaz Umar menjawab:
“Belum.”
Beberapa saat kemudian, Imam Syahid mengulangi pertanyaan dan dijawab dengan jawapan yang sama.
Akhirnya, akh umar berkata dalam hati:
“Jika Ustaz Hassan bertanya lagi kepada saya, akan saya diamkan sahaja.”
Setelah ditanya berkali-kali, disangka bahawa Ustaz Umar telah tidur.
Kemudian, Ustaz al Banna keluar terhendap-hendap perlahan dari kamar tidurnya dengan terinjut-injut kakinya. Perlahan-lahan beliau berjalan ke tempat mengambil wudhu’ tanpa alas kaki risau kemungkinan Ustaz Umar terjaga mendengar derap bunyi selipar. Lantas beliau berwudhu’ dan kembali ke bilik. Di ruang yang paling hujung, beliau lalu membentang kain sejadahnya dan mulai melaksanakan solat tahajjud.

Bulan Ramadhan yang baru sahaja pergi meninggalkan kita. Madrasah tarbiyah Ramadahan telah mengajar kita untuk mengekang al-hawa yang menjadi antara musuh utama kita. Ia merupakan antara langkah utama ynag perlu dititikberatkan dalam proses tarbiyah di mana Syed Muhammad Ahmad Al-Rasyid dalam bukunya ‘Al-Muntalaq’ menjelaskan kepentingan meninggalkan al hawa. Perlulah dipastikan untuk kita tajarrud (menghilangkan, menanggalkan) segala bentuk jahiliyah dan unsur al hawa yang mendokong pelbagai nama di era moden ini. Kesempatan bulan Ramadhan dipenuhi dengan banyaknya amalan istimewa seperti terawih dan tida kurang juga qiam-qiam di malam hari. Walaupun, Ramadhan pergi, namun tidak menjadi alasan untuk kita tidak memperbanyak amalan-amalan ibadah terutamanya qiamullail.
Pada zaman awal sahabat di mana jumlah orang Islam sangat sedikit dan golongan yang terdiri daripada As-Sabiqun Al-Awwalun yang rata-ratanya orang miskin dan lemah, Allah telah mewajibkan qiamullail buat setahun lamanya. Seperti yang dinyatakan dalam Surah Muzzammil, ayat 20:
“Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahwasanya kamu berdiri (sembahyang) kurang dari dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian pula) segolongan dari orang-orang yang bersama kamu. dan Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Allah mengetahui bahwa kamu sekali-kali tidak dapat menentukan batas-batas waktu-waktu itu, Maka dia memberi keringanan kepadamu, Karena itu Bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Quran. dia mengetahui bahwa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan orang-orang yang berjalan di muka bumi mencari sebagian karunia Allah; dan orang-orang yang lain lagi berperang di jalan Allah, Maka Bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Quran dan Dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu niscaya kamu memperoleh (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. dan mohonlah ampunan kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Selain itu, qiamullail, bukan sahaja membina fizikal yang kuat malah turut membentuk jiwa dan rohani yang teguh.
Sepertimana yang dinyatakan oleh Syed Qutb. Apabila ditanya oleh rakan sebilik dalam penjara mengapa beliau masih lagi sanggup untuk bangun solat malam walau telah seharian suntuk dipukul dan disiksa dengan dahsyat oleh regim zalim. Rakannya menasihatkan supaya berehat sahaja kerana hari-hari berikutnya pasti akan ditempuh seksaan-seksaan yang lebih dahsyat. Beliau dengan tenang menjawab:
“Jika aku tidak bangun untuk qiam pada malam hari, sudah pasti aku tidak mampu untuk bertahan seksaan di siang hari.”

Moga-moga kita mengambil pengiktibaran untuk memartabatkan qiam antara amalan harian kita. Insya Allah.

sumber:dakwahinfo
Related Posts with Thumbnails