Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam


Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:


Keputusan :

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;


1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.


Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.


Contohnya;

i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.


2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.


Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.


Contohnya:

i. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;

ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;

iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;

iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.


3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.


Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Contohnya:

i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;

ii. Berpakaian yang menjolok mata;

iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;

iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.


4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.


Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.


Contohnya:

i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;

ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;

iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;

iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.


5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

0 comments:

Hampiri DIA Dengan Sepenuh Cinta




Assalamualaikum wbt...

Sahabat fillah...

Suatu ketika engkau dapati dirimu sedang kehausan, tekak terasa sangat kering dan amat menyiksakan, seolah-olah diri berada di padang pasir yang tandus. Hampir saja tubuhmu rebah tak kuasa menahannya. Tanpa disedari, engkau bangkit dan berlari untuk mencari air. Ketika air itu menyentuh tekakmu, menyirami kerongkongmu yang sangat kehausan, apa yang kamu rasa?? Nikmat yang tidak terhingga kan..kenapa?? Kerana ketika itu, saat itu engkau sangat memerlukan air sebagai pelepas dahaga.

Begitu jugalah dengan beribadah kepada Allah. Kita akan merasakan nikmat ketika kita memerlukan Allah, kerana lahirlah rasa cinta. Cinta nikmat manakala kesetiaan teruji. Itulah rahsia di sebalik ujian yang diberikanNya. Agar kita berlari mendekatiNya...lebih dekat...dan semakin dekat...sehingga kita dan DIA tiada jarak.

Untuk mencapai darjat kedekatan hamba pada Tuhannya, memerlukan proses. Ibarat mendaki gunung yang tinggi, jurang yang curam ataupun tangga yang tinggi di mana puncaknya adalah tujuan. Untuk naik dari satu anak tangga ke anak tangga berikutnya memerlukan tenaga yang luar biasa, menuntut pengorbanan seluruh fikiran, segenap jiwa dan setulus hati. Itulah keikhlasan sifat tertinggi seorang hamba untuk memperoleh darjat tertinggi yang bernama taqwa. 

"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu." (QS. Al-Hujurat 49: 13) 

Apa sebenarnya pengertian dari taqwa itu?

Taqwa iaitu menjalankan amanah (kehidupan) yang dipercayakan Allah dangan rasa cinta sehingga melahirkan rasa tanggungjawab (responsibility) untuk tidak menodai kesucian cintaNya. Oleh kerana itu, akan wujudlah rasa ihsan dan islah

Dan kerana itu juga, seorang yang bertaqwa pada Allah tidak akan merasa berat dan terbeban ketika disuruh memikul tanggungjawab atau berhadapan dengan ujian. Semua itu diterima dengan rasa cinta dan keikhlasan hati, di mana perputaran roda waktu yang dilakukannya hanyalah mengelilingi kerinduan Allah, sentiasa senang jika tiba-tiba dipanggil pulang. Dia selalu muhasabah dirinya untuk memperbaiki segala sesuatu yang tidak disukai RobbNya.

Sahabat fillah....

Sesungguhnya kecintaan seorang mukmin pada Tuhannya tergambar jelas ketika dia menghadapi ujian Allah. Seseorang yang mencintai Allah akan sentiasa percaya bahawa di senalik cubaan atau ujian itu ada rahsia hikmah yang hendak diberikanNya. Itulah keindahan seorang mukmin sejati hanya dapat diberikan pada mukmin yang mempunyai cinta sejati..

Allah SWT berfirman yg bermaksud:
"Jadilah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'. Iaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui kembali kepadaNya." (QS. Al-Baqarah 2: 45-46)

Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar, maka bersabarlah dengan kesabaran yang baik. Bagaimana sabar yang baik itu, dan apa makna dari sabar itu?

Sabar adalah sikap tenang seseorang dalam menghadapi sesuatu masalah di mana dia dapat menahan dirinya, tabah menghadapinya, tetap istiqamah dalam beribadah kepada  RabbNya, sentiasa muhasabah diri dengan teliti apa yang menyebabkan terjadinya masalah supaya dapat menanganinya sebaik mungkin. Kemudian, hasil dari segala usaha dan ikhtiarnya itu diserahkan kepada Allah SWT.

Sahabat fillah....

Marilah kita bersabar dalam menggapai taqwa. Sungguh. DIA amat sayang pada kita. Hampiri Dia dengan sepenuh cinta..



0 comments:

Krisis Somalia : Sejauh Manakah Keprihatinan Kita ?

“Kami tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Tubuh anak-anak semakin kurus hingga menampakkan rangka akibat kekurangan zat. Saya kasihan melihat mereka namun saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa.
“Sungguh sedih apabila dalam perjalanan merentas padang pasir yang kering- kontang bagi mendapatkan bantuan makanan, anak sulung saya meninggal dunia. Lebih memilukan lagi, ana kedua pergi dijemput ilahi sebaik sahaja jenazah anak sulung saya dikebumikan”luah Sainab dalam nada suara bergetar menahan hiba.
Ini antara nasib malang yang terpaksa ditanggung oleh jutaan manusia yang mendiami negara Somalia, sebuah negara yang terletak di benua Afrika.Negara ini yang mengalami krisis makanan yang menjadi krisis kemanusiaan terburuk pada abad ke-21 ini telah memaksa jutaan rakyatnya berebut bagi mendapatkan bantuan makanan untuk meneruskan kehidupan.
Latar Belakang Sejarah:
Somalia,sebuah negara yang menjadi tuan rumah kepada bencana kemusnahan seperti kemarau, konflik saudara, peperangan suku kaum, ketidakstabilan politik, penyakit epidemic seperti kolera dan berpuluh lagi bencana yang setiap masa meragut jiwa penghuni negara itu.
Bantuan demi bantuan datang dari segenap penjuru dunia khususnya dari badan-badan kemanusiaan datang bertalu-talu hanya mampu meringankan derita yang dihadapi dalam jangka masa yang pendek. 75 peratus rakyat Somalia menderita disebabkan kekurangan zat makanan. Tambahan lagi, campur tangan politik yang kononnya untuk membina semula kedamaian dan keselamatan bahkan menambahkan lagi kekacauan dan konflik sedia ada.
Jika diimbas kembali faktor utama yang menjadi punca utama kekacauan di Somalia bermula di era kolonialisme. Titik pertemuan antara Somalia dengan dunia Islam bermula apabila umat Islam bermigrasi ke Habsyah bagi lari dari tekanan dan penyeksaan musyrikin Makkah.
Penjajahan yang dihadapi oleh negara ini oleh British pada abad ke-19 menarik negara ini ke kancah peperangan, kebuluran dan penyakit yang tidak berkesudahan. Pada tahun 1887, Itali pula mengambil tempat menjadi penjajah kepada negara yang mendapat jolokan “Tanduk Afrika” ini. Takdir telah tertulis bahawa negara ini terpaksa menghadapi zaman penuh penindasan dan kezaliman sebagaimana yang berlaku pada negara-negara Islam yang lain yang dijajah kuasa barat.
Setelah melalui zaman kolonialisme yang panjang, akhinya Somalia mendapat kemerdekaan pada tahun 1960 dan Aden Abdullah dilantik menjadi presiden.
Walau bagaimanapun, penubuhan sebuah sistem pentadbiran yang adil dan stabil tidak dibenarkan. Pada tahun 1960, satu siri rampasan kuasa ketenteraan telah dilakukan dan Jeneral Mohamad Siad Barre mengambil alih tampuk pemerintahan.
Semua parti politik dihapuskan. Pandangan Barre terhadap Islam yang dianggapnya sebagai tembok penghalang kepada sistem sosialis yang ingin dilaksanakannya menjadi pencetus kepada pengharaman majalah-majalah dan akhbar-akhbar Islamik. Ramai golongan-golongan intelektual dan ulama-ulama yang menentang polisi tersebut dihukum di bawah arahan Barre.
Barre lari meninggalkan Somalia apabila pergaduhan pada 1991 dan terjadilah perang saudara yang besar. Kini, lebih dari sejuta orang kebanyakan umat Islam terpaksa berpindah ke beberapa buah negara Afrika yang lain.
Paling Teruk Di Dunia:
Hari ini, Somalia yang terletak di timur Afrika merupakan salah satu negara yang berhadapan dengan ancaman kemarau dan kebuluran kronik selain di Habsyah (sekarang Ethiopia), Djibouti, Sudan dan Kenya
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) mengjangkakan krisis kebuluran berkenaan akan merebak dalam tempoh 2 bulan di Somalia sekiranya tiada bantuan dihulurkan. Data yang dikeluarkan oleh Unit Analisis Keselamatan Makanan dan Nutrisi(FSNAU) menganggarkan seramai 3.76 juta rakyat Somalia terpaksa mengharapkan bantuan kemanusiaan dari segi bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Anda bayangkan, majoriti rakyatnya sanggup merentas kawasan panas kering dengan berkaki ayam di bawah terik matahari yang mencecah 50 darjah Celcius untuk ke kem-kem pelarian yang menyediakan bantuan makanan. Ini semua tidak lain dan tidak bukan adalah kerana mereka tidak tahan lagi menjalani kehidupan di tanah sendiri yang kehabisan sumber makanan.
Akhirnya mereka tiba di kem dalam tempoh 24 jam tetapi mereka tiba dalam keadaan lesu, tidak terurus dan kurus kering. Lebih menyedihkan lagi,ada diantara mereka mati sebelum sempat menjejakkan kaki di kem berkenaan terutama kanak-kanak dan bayi. Cuaca panas dan kebuluran antara faktor utama meragut nyawa mereka.
Dianggarkan secara purata setiap hari, seramai 60 bayi mati akibat kelaparan dan kurang makanan berkhasiat, selain kemusnahan tanaman dan haiwan ternakan. Berdasarkan kepada statistik Program Pemakanan Dunia (WFP) mendapati seramai 3.5 juta orang di Kenya, 3.2 juta orang di Habsyah, 2.5 juta orang di Somalia dan lebih 100,00 orang di Djibouti terdesak memerlukan bantuan makanan.
Menurut Ketua Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres, krisis makanan dan kemarau di Somalia adalah antara paling teruk di dunia. Beliau juga meluahkan perasaan sedih apabila menyaksikan banyak nyawa terkorban akibat musim kemarau dan panas terik. “Saya tidak pernah melihat kem-kem pelarian yang sesak dengan orang ramai yang hadir dalam keadaan terdesak dan tidak bermaya,” katanya.
“Paling menyedihkan apabila melihat seorang ibu yang kehilangan tiga orang anak serentak ketika menuju ke kem pelarian,” Jelasnya lagi mengenai satu perempat daripada 7.5 juta orang Somalia yang membanjiri kem pelarian.
Krisis Dalaman:
Menurut Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Pengurusan Stategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Haim Hilman Abdullah, krisis kebuluran di wilayah Afrika tidak berkesudahan sekiranya masalah dalaman di negara itu tidak diselesaikan pada kadar segera. Selagi isu rasuah, pergolakan politik dan perbalahan rakyat masih belum diatasi, maka secara tidak langsung ia menyebabkan ekonomi negara semakin merosot.
Akibatnya, Afrika terus terkekel sebagai negara miskin dan mundur. Selain kacau bilau, kenaikan harga api dan bahan mentah turut menyumbang kepada krisis kepada beberapa wilayah di Afrika.
Disebabkan faktor itu, kebanyakan negara maju, badan korporat, individu dan agensi bantuan terpaksa mengehadkan perbelanjaan stok bekalan makanan yang ingin diagih-agihkan kepada rakyat Somalia.
Bagi rakyat Afrika pula, mereka mengalami kesukaran mengeluarkan sumber makanan daripada hasil pertanian kerana faktor cuaca yang panas dan kedudukan geografi yang dikatakan tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti pertanian.
Kemarau berterusan:
Cuaca panas dan kemarau berpanjangan telah menyebabkan 12 juta rakyat di beberapa wilayah itu terpaksa berjalan kaki ke kem pelarian bagi mendapatkan bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Tambahan lagi, krisis kemarau tersebut turut mengakibatkan haiwan ternakan seperti kambing, lembu dan unta terkorban. Jika musim kemarau lima tahun lepas hanya mengorbankan 20-30 ekor haiwan ternakan setiap bulan tetapi kemarau pada tahun ini, angka haiwan yang mati hampir mencecah 50 ekor per bulan. Ia sekaligus menyebabkan rakyat Somalia kehilangan sumber makanan mereka.
Berdasarkan kajian saintis Pusat Geologi Amerika (USGS), Chris Funk, mengjangka musim kemarau di Timur Afrika akan berterusan dalam tempoh yang sukar dipastikan. Kadar purata hujan di Somalia juga mencatatkan di bawah paras paling rendah. Lebih memburukkan keadaan lagi, isu pemanasan global dijangka meningkat dan ini menyukarkan lagi usaha rakyat Afrika untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam kerana kekurangan sumber serta tanah kering kontang.
Bagi menghulurkan bantuan makanan kepada rakyat Somalia yang kebuluran, UNCHR dan kerajaan Habsyah mengambil inisiatif menyediakan kem di Dolo Ado, Habsyah. Dianggarkan kem berkenaan menerima hampir 2,000 pelarian baru setiap hari.
sumber :
1. Web Rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM),
2. Dr Haim Hilman Abdullah; Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Pengurusan Stategik Kolej Perniagaan UUM,
Disediakan Oleh:
Lajnah & Unit Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2011

0 comments:

Itulah Sunnah Perjuangan!

Assalamualaikum

Oleh : Ustaz Hazmi Dibok

WALAU MENDUNG MENYELUBUNGI, MENTARI TETAP BERSINAR.. HILANG KABUT TAMPAKLAH IA!


Menyelusuri sunnah perjuangan, hari tidak selalunya cerah... Ada ketikanya mendung berarak kelabu... Ada ketikanya ribut, banjir kilat tidak menentu... Namun bertenanglah! Mentari tetap terus bersinar... hilang kabut, tampaklah ia...


MEHNAH ADALAH SUNNAH

Bilakah jalan perjuangan sepi dari mehnah atau tribulasi? Kalau ada orang yang ingin berjuang dan bersungguh-sungguh membariskan dirinya dalam sebuah saf perjungan Islam, tetapi nafsunya ingin agar sentiasa nyaman tanpa sebarang mehnah, sesungguhnya dia bermimpi dan berangan-angan.

Tanpa mehnah,tribulasi, ibtila’, ujian atau apa istilah sekali pun, bagaimana seorang pejuang Islam dapat merealisasikan erti jihad dan pengorbanan, menghayati makna thabat dan sabar. Itulah sunnah perjuangan. Mehnah akan datang dengan pelbagai wajah dan arah. Atas bawah, kiri kanan, dalam dan luar…

Kadang-kadang ia datang seperti angin ribut yang menggemparkan, kadang-kadang ia bertiup halus seperti bayu lembut yang menghanyutkan. Kadang-kadang ia menerpa ganas dari luar, sesekali menikam senak dari dalam. Adakah memang terlalu susah untuk memahami hakikat ini? Ataukah sudah terlalu lama tercicir usrah sehingga atas bawah semua melatah?

Lupakah kita pada teks usrah fiqh sirah? Atau sudah terlalu jauh berlalunya diskusi Al-Hujurat? Ke mana menghilangnya ingatan kita terhadap pengajaran Peristiwa Ifk (fitnah Aisyah)? Bercempera seperti tiada pedoman, bertempiaran umpama hilang akal, tersesat seperti hilang arah! Sekali lagi, Tarbiyah! Tarbiyah! Tarbiyah!


INGATAN BUAT YANG TERLUPA

Jamaah Islam yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri sepanjang 23 tahun menghadapi mehnah demi mehnah bertali arus. Jika kita meneliti catatan sirah, membacanya sahaja pun kita sudah merasa letih. Alangkah hebatnya Rasulullah s.a.w dan para sahabat generasi awal Islam mengharungi badai perjuangan dengan penuh kesabaran demi kesabaran.

Mehnah bukan sahaja datang dari musuh luar internasional, dari kalangan Empayar Kristian Rom dan Majusi Parsi malah di peringkat nasional, Musyrikin serta ahli kitab Yahudi dan Nasrani samada di Makkah atau Madinah. Juga tidak sedikit ketenangan jamaah pimpinan Nabi s.a.w. berkocak di sebabkan oleh konflik yang ditimbulkan tidak putus-putus oleh musuh dari dalam jamah di kalangan munafik samada dalam peristiwa Fitnah Ifk yang melibatkan Ummul Mukminin Aisyah, jarum halus yang memecahbelahkan kesatuan jamaah di saat-saat genting dalam Perang Uhud, agenda jahat dalam pembinaan Masjid Dhirar dan sebagainya.

Tidak kurang juga mehnah atau konflik yang timbul disebabkan oleh sikap negatif dan kesilapan yang dilakukan oleh ahli jamaah sendiri dari kalangan orang-orang yang beriman seperti hampir tercetusnya pertembungan semula di antara Aus dan Khazraj, kealpaan dalam melaksanakan arahan seperti Kaab Bin Malik dan 2 orang sahabat dalam peristiwa Perang Tabuk, pembongkaran rahsia oleh bekas pejuang Badar – Hatib bin Abi Balta’ah, sesetengah sahabat yang terpedaya dengan fitnah ke atas Aisyah dan lain-lainnya.

Lebih dari itu, dalam mengharungi ranjau perjuangan, terkadang kesilapan turut berlaku di kalangan Kibar As-Sohabah (sahabat besar) selaku pimpinan kanan yang bersama Nabi s.a.w. seperti tindakan tidak puas hati Saiyyidina Umar dan beberapa orang sahabat dalam peristiwa MOU Hudaibiyah. Malah jika kita meneliti lebih jauh, Nabi s.a.w. yang terpelihara dari dosa itu pun ditakdirkan Allah s.a.w. untuk melakukan beberapa kesilapan yang terkandung padanya hikmah dan pengajaran yang sangat banyak.

Jika anda memahami hakikat tersebut, pelik sangatkah anda bila melihat berlakunya konflik, fatal dan kesilapan yang dilakukan oleh pimpinan sesebuah jamaah? Boleh untuk merasa sedikit terganggu, tetapi jangan berlebih-lebihan sehingga menghilangkan fokus kerja yang perlu dilunaskan di peringkat masing-masing. Orang-orang yang memahami serta menghayati tabiat dan sunnatullah ini, mereka mendepani dan menanganinya mengikut panduan wahyu. Tidak cepat melatah bersama-sama orang-orang yang latah.

Mungkin antara hikmahnya, Allah s.w.t. ingin mendidik pimpinan dan anggota jamaah bagaimana kaedah yang paling baik untuk menangani konflik seperti ini sebelum di beri kuasa sepenuhnya oleh Allah s.w.t. Mungkin juga Allah s.w.t. sedang melakukan proses penapisan berperingkat bagi menjernihkan saf dari sebarang virus lantas memperteguhkan bangunan jamaah. Boleh jadi juga berlaku check and balance dalam isu-isu yang dibangkitkan, moga sesetengah kita tidak hanya terpegun dengan keindahan sinar bulan hingga terlupa kegelapan pekat di belakangnya.

Firman Allah s.w.t., mafhumnya : “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. [Al-Ankabut : 2-3]

Firman Allah s.w.t., mafhumnya : “Maka sesungguhnya pada setiap kesulitan pasti akan muncul sesudahnya kemudahan. [Al-Insyirah : 5]

Dan firmanNya lagi, mafhumnya : “Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar [Al-Baqarah : 153].

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya : “Siapakah manusia yang paling banyak diuji Allah?” Nabi menjawab : “Para Nabi.” Baginda ditanya lagi : “Kemudian siapa lagi?” : Jawab Nabi : “Orang-orang soleh”. Selanjutnya Nabi s.a.w. bersabda : “Semakin kuat pegangan agama seseorang, maka semakin banyak ujian yang akan dihadapinya.” [HR Tirmidzi – Sahih]


PEDOMAN WAHYU MENDEPANI KRISIS DALAMAN

Pedoman (1)

Firman Allah Subhanahu wa Taala Mafhumnya : “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya ; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (para pemimpin) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).” [Surah An-Nisa’: 83]

Pengajaran dari ayat tersebut secara ringkasnya ialah :

1. Kita dari kalangan penyokong, ahli, pendokong, penggerak atau pimpinan peringkat bawahan kumpulan Islam tidak sepatutnya melatah, terlalu cepat mengeluarkan kenyataan, memberi komentar atau segera menyebarkan sesuatu isu yang berlaku melibatkan kepentingan jamaah.

2. Kita sewajibnya merujuk kepada pimpinan tertinggi atau menunggu kenyataan rasmi pimpinan dalam isu-isu seumpama ini. Kenyataan rasmi kepimpinan tertinggi yang disokong oleh badan tertinggi (majlis syura ulama’) adalah menjadi sikap dan pendirian kita. Ulasan dan komentar kita setelah dari itu mesti selari dan dipastikan tidak bercanggah dengan kenyataan rasmi tersebut walaupun berbeza dengan pandangan kita secara peribadi!

3. Kita wajib bermuhasabah dengan apa yang berlaku. Jauhnya sikap dan tindakan kita berbanding panduan nas Al-Quran tersebut. Ada yang bermulut lancang meremehkan si A atau si B sedangkan dia sendiri tidak mengetahui secara terperinci isu sebenar dari sumber yang pertama.

Pedoman (2)

Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nur ayat 11-16, mafhumnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari segolongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. [11] Mengapakah di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berprasangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: Ini adalah suatu berita bohong yang nyata?! [12] Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu?! Oleh karena mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta. [13] Sekiranya tidak ada karunia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, niscaya kamu ditimpa azab yang besar, karena pembicaraan kamu tentang berita bohong itu. [14] (Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar. [15] Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu : Sekali-kali tidaklah sepatutnya bagi kita memperkatakan hal seperti ini. Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang amat besar.”[16]

Secara ringkasnya, beberapa panduan Rabbani dapat kita rujuk dari peristiwa Ifk (peristiwa fitnah ke atas Aisyah r.a., isteri Nabi s.a.w. dengan seorang sahabat) tersebut :

1. Tidak Mencari-Cari Keburukan & Menyebarkan Isu

Ada di antara ahli jamaah dan kepimpinan kadang-kadang ditimpa bencana memiliki hati yang berpenyakit. Mereka ini amat suka mendengar, memberi perhatian dan mencari-cari keburukan-keburukan sesama anggota. Seronok kerana kononnya memiliki banyak rahsia buruk ahli jamaah maupun pimpinan dan merasa bangga apabila boleh menceritakannya kepada orang lain. Merasa diri hebat sebab boleh bercerita tentang keburukan pimpinan itu, kelemahan pimpinan ini, kesilapan ahli itu, kejahatan ahli ini dan sebagainya. Lebih seronok lagi jika ceritanya itu mendapat sambutan dan bilangan pelawat blog-nya semakin meningkat.

2. Berprasangka Baik dan Berusaha Melihat Sisi Positif

Salah satu sikap yang mesti dimiliki oleh anggota jamaah dalam hubungannya sesama ahli atau kepimpinan ialah sikap ber-husnuzon (berprasangka baik) kepada saudara kita sesama mu’min – siapa pun dia dan dari kelompok apapun mereka - sepanjang ia atau mereka dikenal keikhlasannya dan perjuangannya untuk Islam dan meninggikan kalimatulLah. Lihatlah kesilapan dan kelemahan yang berlaku dari sisi yang positif agar dapat memelihara hati kita dari kotor dan prasangka. Kemungkinan pimpinan tersebut tersilap, tapi mungkin dalam situasi tersebut hanya itulah pilihan yang terbaik yang ada menurut pendapatnya. Kita berusaha semampu mungkin bersangka baik bahawa tindakan-tindakan tidak popular yang diambil oleh sesetengah pimpinan kita tersebut datangnya dari jiwa mereka yang ikhlas dan cinta kepada perjuangan. Cuma, tindakan tersebut mungkin bukanlah yang terbaik. Apakah berbaloi kita mencemuh kesilapan tersebut sampai berlebihan meremehkan keikhlasan dan kecintaan mereka terhadap perjungan???

3. Berlapang Dada Terhadap Kesilapan & Bersikap Pemaaf

Mana-mana ahli atau kepimpinan jamaah adalah kumpulan manusia yang pasti tidak terkecuali dari tersilap atau melakukan kesilapan. Setiap ijtihad, pandangan dan pendekatan strategic, tetap terdedah kepada kesilapan sebagaimana perkataan Imam Asy-Syafi’i rahimahulLah ; “Ra’yi shawaab walakin yahtamilul khatha’ wa ra’yu ghairi khatha’ walakin yahtamilush shawaab (pendapatku benar tapi mungkin saja salah, dan pendapat selainku adalah salah tapi mungkin saja benar). Kepimpinan peringkat mana pun mereka tetap terdedah kepada kesilapan. Walaubagaimana pun, air yang banyak melimpah lebih dari dua kolah tidak terjejas dengan sedikit najis yang jatuh ke dalamnya. Kesilapan kecil yang dilakukan oleh kepimpinan tersebut tidaklah sepatutnya menjejaskan segala jasa baktinya, sumbangan tenaga dan pengorbanan yang melimpah ruah, kesetiaan dan segala kelebihan yang dimiliki yang melayakkan dia duduk di level tersebut…

4. Jangan Memandang Remeh Budaya Penyebaran Isu Liar

Menganggap sinis dan membiarkan isu-isu liar tersebar di kalangan anggota jamaah hanya akan melukakan ukhuwwah islamiyyah, mencarik rasa hormat sesama sendiri, menebalkan sikap kepuakan, memecah belahkan saff perjungan dan boleh melemahkan organisasi jamaah. Jamaah yang lemah ini akan semakin hilang upayanya untuk menanggung beban perjuangan yang berat dan semakin mencabar!

Pilu rasanya apabila melihat ahli-ahli saling meremeh, merendahkan, menyindir dan menempelak antara satu sama lain atas isu-isu yang mereka sendiri pun tidak beberapa jelas.... Lebih menyedihkan apabila ada ahli dan kepimpinan bawahan turut terjebak dalam memperlekeh, merendah dan meremehkan kepimpinan atasan jamaah atas isu-isu yang mereka sebenarnya juga tidak berapa jelas dan pasti hakikatnya! Marilah kita kembali kepada akhlak Islam dalam menanganinya dengan meletakkan – kelapangan hati, kerendahan jiwa, kemaafan, husnuz zon (sangka baik), kasih sayang, thiqah, kepercayaan dan tuntutan ukhuwwah – sebagai asas terpenting mendahului segala-galanya..


LEBIH SUDU DARI KUAH

Khusus bagi anggota jamaah di peringkat bawahan dan menengah, tidak perlulah kita bersikap lebih sudu dari kuah. Berilah mandat kepada pucuk pimpinan yang tertinggi dan badan yang berautoriti mencari jalan menyelesaikan isu-isu berbangkit. Demikian juga jangan cepat kita menghukum sebelum bukti, kenyataan, saksi dan penghakiman dijalankan. Usah ambil jalan mudah dengan menghukum si A tidak taat arahan jamaah, si B tidak sayang pada patuh pada pimpinan dan pelbagai lagi cercaan demi cercaan yang tidak menguntungkan sesiapa dan apa-apa melainkan sekadar melempiaskan kepuasan nafsu kita sahaja.

Muhasabahlah diri masing-masing adakah kita sendiri itu sudah cukup wala’nya? Hebat ketaatannya? Sempurna komitmennya? Ataukah berapa banyak arahan pimpinan di peringkat masing-masing yang kita engkar? Berapa kali arahan mesyuarat yang kita tidak hadir dengan sengaja? Berapa kali arahan hadir usrah yang kita tidak komit kerana memilih rehat walau pun lapang? Berapa banyak tuntutan jamaah di peringkat masing-masing yang kita sendiri pun taat dan komit secara berpilih? Tepuk dada tanyalah diri masing-masing..

Kemudian renunglah dengan jujur, adakah dengan bercempera membawa mulut ke hulu ke hilir, menulis di sana di sini, menjaja ke selatan ke utara, sms ke timur mms ke barat, komen di facebook kutuk di twiter akan dapat menyelesaikan isu yang berlaku? Atau menambah hangatkan suasana? Mungkin bara hampir padam, ramai pula yang curah minyak! Di antara keelokan seorang Islam itu ialah, meninggalkan apa-apa yang sia-sia (tidak ada makna). Kalau dengan melatah itu tidak boleh menyumbang apa-apa, diam lagi baik.. kerana anda pendokong jamaah Islam!


PANDANGAN MASYARAKAT LUAR

Mungkin inilah yang dirungsingkan oleh pendokong jamaah di atas konflik dan isu yang berlaku. Munasabah untuk merasa bimbang, namun jangan resah dan rungsing yang tidak berpedoman kerana kita sudah sepatutnya faham bahawa itulah sunnah dalam perjuangan. Soalnya sekarang, apa yang terbaik boleh kita lakukan untuk jamaah dan perjuangan Islam, bukan untuk merosakkan jamaah atau memuaskan hawa nafsu amarah kita? Kepada sesama ahli jamaah, panduan di atas jadikan sebagai sandaran dan panduan. Ada pun kepada masyarakat awam di luar, pelbagai pendekatan boleh digunakan, antaranya :

1) Nyatakan pada mereka bahawa jangan mudah percaya kepada kesimpulan dan rumusan yang dijaja oleh media masa perdana yang menjadi penyambung lidah-lidah syaitan. Sifat prejudis, berlebih-lebihan dan berniat jahat yang menjolok mata dalam pemberitaan mereka sudah tersedia maklum.

2) Pimpinan jamaah bukan maksum dan terpelihara dari berbuat silap. Perjuangan Islam, dasar dan prinsip berjamaahnya lebih utama dari pandangan seseorang walau siapa pun dia. Dalam perjuangan, pemimpin boleh datang dan pergi, tokoh boleh timbul dan tenggelam. Walau pun kita tidak menginginkannya, itu semua boleh berlaku kerana ia pernah tercatat dalam tinta sejarah perjuangan Islam. Namun kebenaran bukan berasaskan individu atau batang tubuh sesiapa, kebenaran adalah pada kebenaran itu sendiri.

3) Perbezaan pendapat boleh berlaku di mana-mana. Di dalam mana-mana kumpulan. Salah atau benar bukan disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam sesebuah organisasi. Tetapi kebenaran adalah pada apa yang diperjuangkan. Perjuangan Nabi s.a.w. yang bertunjangkan wahyu tetap benar, walau ada orang seperti arab badwi yang kencing di dalam masjid, walau ada pembocor rahsia seperti Hatib Bin Abi Balta’ah, walau ada golongan munafik menganggotainya. Adakah Islam tidak benar hanya kerana keburukan sebahagian penganutnya? Perjuangan Islam dianggotai oleh manusia, bukan para Malaikat!

4) Ini bukan bermakna kita bersikap Tabrir (membenarkan) sesiapa yang melakukan kesalahan. Sesiapa sahaja di dalam Islam dan jamaah Islam berisiko terjebak di dalam kesalahan dan dosa. Si A mahupun si B, si C atau si D semuanya mungkin melakukan kesilapan. Namun kesilapan itu adalah kesilapan batang tubuhnya bukan kesilapan Islam atau Jamaah Islam yang bertunjangkan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias, berasaskan konsep syura yang dibimbing oleh para Ulama’ Amilin. Masakan pendapat individu lebih utama dari semua kekuatan tersebut! Dalam setiap organisasi ada badan yang berautoriti untuk menangani isu tersebut, makan biarlah mereka yang menanganinya.

5) Jangan hilang fokus kepada usaha menentang kezaliman, penyelewengan kuasa yang menjolok mata, penipuan dan korupsi yang berleluasa, penghinaan terhadap hukum Islam yang bermaharaja lela dan lain-lain isu besar negara dan bangsa yang perlukan pembelaan sewajar dan sewajibnya! Masakan hanya kerana masalah sikap sebahagian pemimpin atau tokoh dalam Jamaah Islam, menjadikan pencabulan hak, kezaliman, penyelewengan kuasa, penindasan, kemungkaran, penolakan dan pelecehan terang-terangan terhadap hukum Islam oleh segerombolan penjahat menjadi halal dan baik??? Mudah benar sifirnya? Masakan dengan menyiarkan muka depan isu ada orang tidak puas hati dengan pendekatan terkini Jamaahnya menjadi lebih berat dan mudharat dari berbilion harta awam dibaham oleh kroni?


KEPADA MEREKA YANG TERLIBAT

Kepercayaan sepenuhnya wajar diberikan kepada pimpinan tertinggi jamaah yang telah diberi mandat dengan bimbingan majlis syura di kalangan para Ulama’ Amilin untuk menangani permasalahan tersebut dengan kaedah yang terbaik dan berhikmah serta memohon petunjuk Ilahi di atas setiap keputusan yang dilakukan. Siiruu ala BarakatilLah, usah bimbang dan usah berdukacita.. sesungguhnya Allah bersama-sama kita… Marilah secara terpimpin, kita bersama harungi dugaan ini.. Allahuakbar!

0 comments:

Related Posts with Thumbnails