Tanyalah Soalan ya Akhi!
Oleh : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
“Doktor menyatakan bahawa seruan kepada Negara Islam ialah seruan kepada mencontohi negara yang ditadbir oleh sahabat Nabi. Tetapi dalam masa yang sama doktor berulang kali menekankan perbalahan yang berlaku di kalangan sahabat berkaitan kepimpinan” saya melontarkan soalan.
Pembentang kertas kerja tekun mendengar soalan yang saya ajukan.
“Jadi, bagaimanakah kita nak meyakinkan masyarakat bahawa Negara Islam ini adalah sebuah agenda yang baik, jika seruannya ialah kepada mencontohi sekumpulan manusia yang bergaduh sejurus selepas kewafatan ketuanya?” saya menyudahkan soalan.
Jantung saya berdebar-debar.
Saya tahu, seluruh dewan sedang memandang ke arah saya. Paling kurang pun, 1000 orang sudah tentu kerana dewan penuh sepenuhnya.
Saya bertanyakan soalan itu kerana saya mengagak bahawa pembentang kertas kerja adalah seorang yang pro-Syiah dan memuja Khomeini. Dalam masa yang sama dia mengajak kepada Negara Islam. Negara yang penuh perbalahan, seperti yang beliau sendiri ceritakan. Maka saya bertanya kerana mahu melihat bagaimana beliau memberikan reaksi, juga supaya hadirin peka dengan konflik besar ini.
“Dalam hal perbalahan generasi Sahabat, kita tidak boleh sebut panjang-panjang. Semoga Allah mengampunkan mereka!” jawab pembentang kertas kerja tersebut.
“Maknanya para Sahabat memang bergaduh seperti yang Doktor sebutkan tadilah ya?” saya bertanya meminta kepastian.
“Ya” jawab beliau. Tegas.
Walaupun saya tidak bersetuju dengan pendapat tokoh tanah air itu, matlamat saya bertanya bukan untuk mengubah pendapat beliau. Siapalah saya, seorang budak Tahun 1 di Universiti Mu’tah, Jordan. Balik bercuti dan hadir ke seminar itu kerana ditugaskan untuk bertemu dengan seseorang. Tujuan saya bertanya, ialah untuk menzahirkan warna Syiah pembentang kertas kerja itu, dan terserahlah kepada hadirin untuk membuat penilaian.
Peristiwa pada tahun 1994 di Balai Islam Lundang, Kota Bharu itu masih segar di ingatan.
Saya bukan mahu bercerita tentang isu Syiah atau Negara Islam. Saya hanya mahu berkongsi kisah, bahawa ‘dulu-dulu’, saya dan rakan-rakan memang tidak pernah melepaskan peluang bertanya. Sama ada seminar, forum, ceramah, tamrin, usrah, hatta kuliah di universiti, BERTANYA SOALAN sentiasa menjadi rukun wajib dalam proses belajar.
SEBAB BERTANYA
Kita ada banyak sebab untuk bertanya.
Kita bertanya kerana kita tidak tahu.
Kita bertanya kerana kita tahu, tetapi tidak jelas.
Kita bertanya kerana kita tahu, tetapi kita mahu orang lain tahu.
Kita bertanya supaya yang ditanya menyempurnakan penyampaiannya untuk manfaat semua.
Sentiasa ada sebab untuk bertanya.
Kebelakangan ini saya semakin lemas dengan susahnya mencungkil soalan daripada peserta. Sama ada program umum, seminar dan forum, kursus motivasi, bengkel pengurusan, mahu pun tamrin, usrah dan kuliah, saya jarang-jarang sekali mendapat soalan. Peserta senyum. Tengok kiri kanan. Tunduk. Sesekali datang soalan ‘Adabi Gaya Pos’ melalui kertas yang dihantar kepada moderator.
SOALAN SELEPAS TUTUP MAJLIS
Lebih membingungkan, apabila sesi soal jawab berakhir tanpa soalan, majlis ditutup dan kemudian peserta datang kepada saya bertanyakan soalan. Ada yang bersifat peribadi, tetapi banyak yang biasa-biasa sahaja. Kenapa tidak tanya semasa sesi soal jawab? Adakah mereka faham apa yang disampaikan? Tidakkah ada banyak konflik dalam pembentangan kita yang sepatutnya menggelisahkan mereka lalu mereka bangun bertanya?
Adakah mereka memproses apa yang disampaikan?
Adakah mereka BERFIKIR?
PROSES BERFIKIR
Tony Robbins menekankan bahawa berfikir ialah proses bertanya soalan dan menjawab soalan. Adalah sangat penting untuk kita tahu cara bertanyakan soalan yang betul untuk mendapatkan jawapan yang betul, supaya dengan itu kita mendapat hasil yang betul.
Persoalan ini adalah intipati Hadith Jibril ‘alayhi al-Salaam semasa bertanya tentang Iman, Islam, Ihsan dan perihal Kiamat.
ثم قال لي يا عمر أتدري من السائل قلت الله ورسوله أعلم قال فإنه جبريل أتآكم يعلمكم دينكم” رواه مسلم
“… Kemudian Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya: Wahai Umar, tahukah kamu siapa si penanya itu tadi? Aku (Umar) menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda berkata, “Inilah Jibril, dia datang mengajar kamu akan agama kamu” [Riwayat Muslim]
Jibril datang bertanyakan soalan-soalan dasar tentang agama. Soalannya itu menjadikan hadith ini dikenali sebagai Umm al-Sunnah (Ibu Kepada Sunnah) kerana soalan-soalan yang ditanya menyimpulkan keseluruhan isi kandungan Sunnah dan Islam itu sendiri. Cara Jibril bertanya itu, bukan semata-mata bermaksudkan jawapan, tetapi kebesaran dan kepentingan soalan.
Bukan sahaja hadith ini. Malah majoriti hadith adalah dalam format soal dan jawab.
Betapa besarnya Sunnah bertanya soalan dalam proses pembelajaran.
ENAM PERINGKAT PEMBELAJARAN
Ibnu Qayyim al-Jawziyyah rahimahullah menegaskan di dalam Miftaah Dar al-Sa’aadah, bahawa proses menuntut ilmu itu terbina daripada enam peringkat:
- Bertanya soalan dengan adab yang baik
- Diam dan mendengar dengan penuh tumpuan
- Memahami ilmu yang diajar dengan baik
- Mengingati apa yang diajar (menghafal)
- Mengajar apa yang telah dipelajari
- Mengamalkan apa yang telah dipelajari
Amat penting memindahkan ilmu kepada amal, dengan jambatan besarnya yang bermula dengan SOAL JAWAB. Jika soal jawab ditinggalkan, ia meruntuhkan sebuah proses penting pada membuahkan amal hasil ilmu.
Biar pun saya tiada sebarang kaji selidik untuk membuktikannya, saya yakin jika kumpulan peserta banyak bertanya soalan, maka kumpulan itu berprospek untuk kemajuan. Mereka memproses, menampakkan kesungguhan, menerima dan menolak, seperti tidak membenarkan majlis selesai sebelum mereka benar-benar menguasai apa yang disampaikan. Saya amat bersyukur jika dianugerahkan peserta sebegini. Ia bukan untuk saya, tetapi ia penting untuk diri mereka sendiri.
Jika peserta sepi dan mendiamkan diri, biar pun mereka memberikan rating yang tinggi di dalam borang muhasabah, saya sukar hendak membayangkan bagaimanakah penyampaian berkenaan bakal membantu mereka memperbaiki diri dan organisasi.
Manakala di peringkat individu, mereka yang sering mengambil peluang bertanya, dengan soalan-soalan yang bernas, Insya Allah 10 tahun akan datang mereka akan menjadi somebody! Orang kita ni pandai, cerdik, cuma perlu berani ke depan. Ke depan itu bukan berbekalkan kecerdikan, tetapi karakter yang kuat. Dan kelemahan karakter itulah yang paling membimbangkan kita semua.
Jika ‘seek first to understand, then to be understood’ itu penting untuk sebuah komunikasi yang berkesan, cabarannya ialah ‘seek to be understood, then to understand!’
Jenguk-jenguk di Facebook, blog dan Twitter pula memperlihatkan, soalan, debat dan Q&A online semakin banyak, ketika sesi offline sepi daripada pertanyaan.
Karakter?
Misteri Nusantara!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com43000 Bandar Seri Putra
1 comments:
جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا
Post a Comment