Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Pulang pada jalan itu (bhg 1)




Aku termenung seketika di jendela rumah sewaku. Memandang keriuhan kanak-kanak yang sedang leka berlari-lari di padang permainan. Ada yang bermain buaian dan ada yang berbasikal memenuhi padang permainan itu. Teringat zaman kanak-kanakku dulu. Bermain galah panjang, guli dan congkak. Indahnya zaman kanak-kanak. Tiba-tiba…

“ Assalamualaikum…”suara dari luar.

“ Waalaikumussalam”, jawabku lalu membuka pintu.Aku tergamam seketika. Akhi Haris bersama seorang budak lelaki yang tidak aku kenali. Bajunya gelap dan penuh dengan gambar-gambar tengkorak, seluarnya pula sedikit terkoyak di bahagian lutut. Rambutnya sukar nak diceritakan, panjang melepasi bahu dan di bahunya digalas sebuah gitar yang masih baik dijaga. Aku menjemput Akhi Haris dan budak itu tanpa banyak bertanya.

Akhi Haris menceritakan serba sedikit latar belakang budak lelaki itu. Aku mendengar penuh teliti. Budak lelaki itu juga banyak mendiamkan diri dan hanya tunduk ke lantai membuatkan rambutnya menutupi wajah. Sesekali aku memandang budak lelaki itu penuh harapan. Satu lagi tanggungjawab yang telah datang untukku. Ya Allah berilah kekuatan untukku. Aku tahu, segala ujian dan cubaan yang Kau berikan bukan untuk membebankan hambaMu, tapi untuk meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan. Aku menerima Dahlan dengan hati terbuka. Dia sekarang menjadi amanahku.

Riuh rendah kedengaran di luar bilikku. Aku membuka pintu bilik dan mengajak Dahlan mengikutku dari belakang. Ya Allah berilah kekuatan untukku. Semua sahabat-sahabatku memandang aku dengan pandangan yang luar biasa. Mereka memandang pula Dahlan yang cuma tunduk ke lantai. Sesekali Kamal menaikkan bahunya ingin tahu. Mereka semua terkejut.

“ Sahabat-sahabat, pertama sekali minta maaf sebab tak maklumkan awal-awal kedatangan Dahlan ke rumah kita. InsyaAllah dia akan menjadi ahli baru dalam rumah kita ni. Dia sekarang kerja di Cyber Café dengan kawan dia”, Aku bersuara dan perkenalkan Dahlan kepada tiga orang sahabatku. Mereka sekadar menghulurkan tangan berjabat salam dengan Dahlan. Tiba-tiba Badrul menarikku masuk ke biliknya. Dahlan memandang sahaja. Dia seolah-olah berasa kekok ketika berhadapan dengan sahabat-sahabtaku yang lain.

“ Fendi, kau ni mudah saja bawa orang luar masuk dalam rumah kita ni. Entah dari mana datangnya budak tu. Silap-silap habis harta benda kita hilang. Kau tengoklah penampilannya macam mana. Macam budak black metal “, leter Badrul dengan garang.

“ Astaqfirullah…mengucap banyak-banyak Badrul. Kau tak sedar ke apa kau cakap ni. Cakap macam orang yang tak ada ilmu. Dahlan tu akhi Haris yang bawa datang. Dia saudara dengan sahabat baik akhi Haris. Mereka minta kita Bantu Dahlan perbaiki semula peribadi dia. Kau tengok je dia macam tu, tapi dia adalah unsur - unsur yang baik. Cuma banyak benda lagi yang perlu kita perbetulkan dia. Ni amanah kita Badrul. Muhibbin untuk kita semua dalam rumah ni”, jelasku agar Badrul tidak salah sangka. Namun, keangkuhan dan keegoaan Badrul semakin memuncak.

“ Senanglah diaorang. Yang pelik-pelik, yang bermasalah semua letak atas bahu kita. Kalau jadi apa-apa semua nak salah kita. Tak Faham betullah diaorang ni. Kadang-kadang aku rasa marah, kalau lepas seseorang tu kat kita jarang sekali nak follow up balik. Akhirnya kita juga yang terbeban”. Marah Badrul lagi.

“ Kau ni cakap macam tak pernah dapat tarbiyah. Macam kerja kita ni banyak sangat sampai rasa Dahlan tu akan membebankan kita. Apa yang penting sekarang kita laksanakan amanah yang telah diberikan. Ingat…syurga Allah menanti kita. Banyak pahalanya kalau kita buat baik pada orang. Kau tak nak ke semua tu”, pancingku untuk menguji Badrul. Akhirnya dia terdiam dan terus keluar dari dalam bilik.

Azan Subuh baru sahaja selesai berkumandang. Aku dan sahabat-sahabat yang lain mengerjakan solat sunat sebelum menunaikan solat Subuh. Dahlan masih lagi di tempat tidurnya. Sudah berapa kali aku kejutkan dia, tapi akhirnya dia terus tidur dengan nyenyak.

“ Fendi…takkan nak biarkan dia macam tu je. Cepatlah pergi kejut. Kau nak kita tanggung dosa membiarkan dia tidur dan tak solat Subuh. Ni yang aku malas nak berhadapan dengan orang yang macam ni”, leter Sazali.

“ Sabar…Kita nak tarbiyah orang bukan boleh paksa-paksa. Kena berlembut tapi tegas. Aku akan cuba sekali lagi kejutkan dia. Doakan agar dia mudah bangun kali ini”, balasku lalu menghampiri Dahlan yang masih nyenyak tidur. Aku beristighfar berkali-kali dan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad. Akhirnya…. Dahlan bangun dan sempat tunaikan solat Subuh berjemaah bersama-sama kami. Satu permulaan yang baik.

Dahlan tersenyum memandang aku yang sudah kemas berpakaian untuk ke tempat kerja. Sesekali dia memandang pada diri dia.

“ Kenapa ni Lan, tersenyum sorang-sorang”, tanyaku ingin tahu.

“ Saja. Handsome ya abang pagi ni. Tengok saya ni. Masih kusut masai. Dah mandipun masih nampak comot”, rungut Dahlan sambil menepuk-nepuk pipi kanan dan kirinya.

Aku memegang bahunya.

“ Lan…nak tak petang ni abang bawa Lan pergi potong rambut. Lan nak nampak handsome kan. Nanti abang jadikan Lan ni handsome lebih handsome pada abang. Ok”.

Dahlan diam seketika. Mulutnya muncung bak burung belatuk yang sedang kelaparan.

“ Tapi Lan sayang rambut ni. Dah lima tahun Lan jaga. Takkan senang-senang Lan nak potong. Sayanglah”, balasnya.

“ Lan…dalam Islam mengajar kita agar menjaga kebersihan,menjaga penampilan diri agar lebih baik.Tak pa, kalau Lan rasa dah bersedia nak potong rambut, Lan bagitau abang. Masa tu juga abang akan bawa Lan pergi”, kataku agar Lan lebih mengerti. Dahlan sekadar mengangguk dan tersenyum memandangku.

Dahlan tidak bekerja hari ini. Dia banyak menghabiskan masanya di rumah. Tiba-tiba rumah kami menjadi gamat dengan bunyi bising lagu-lagu metal dan bunyi gitar yang dipetik oleh Dahlan. Sesekali kedengaran suara Dahlan yang memekik-mekik dari dalam bilik.

Akan bersambung...

2 comments:

Pesanan Hari Ini : Selawat ke atas Nabi




Selawat ke atas Nabi Firman Allah: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi s.a.w. Wahai orang-orang beriman hendaklah kamu berselawat ke atas Nabi dan mengucapkan salam kepadanya sebenar-benarnya salam."(Al-Ahzab: 56)

Maksud selawat malaikat adalah doa mendapat rahmat dan selawat daripada Allah ialah rahmat serta pujian.


Hukum Berselawat:


Ulama telah berbeza pendapat berkenaan dgn hukum berselawat seperti berikut:

1. Fardu ain bagi mukallaf utk berselawat sekali seumur hidup. Adapun yg lain adalah sunat.

2. Wajib ketika dalam solat. Adapun di luar solat adalah sunat. (Imam Syafie)

3. Selawat adalah hanya perkara yg sunat pd semua keadaan. (Ibnu Jarirat at-Tobari)

4. Wajib memperbanyakkan selawat tanpa ditentukan tempatnya. (Abu Bakar bin Bukair dr Mazhab Maliki)

5. Wajib selawat ketika disebut nama Nabi s.a.w. (Tohawi, sebahagian Ulama Hanafi dan Syafie, Hulaimi dan az-Zamahsyari)


Kelebihat Selawat


Nabi s.a.w bersabda: "Apabila kamu mendengar azan hendaklah kamu ucapkan seperti mana yg muazzin ucap. Hendaklah kamu berselawat kepada aku. Sesungguhnya sesiapa yg berselawat sekali kepada ku maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali." (Hr Muslim)

Maksud Allah berselawat kepada org yg berselawat adalah Allah memberinya sepuluh rahmat.

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yg berselawat kepada aku sekali maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh selawat, akan dihapuskan sepuluh dosa dan dia diangkatkan 3 kali darjat." (Hr Ahmad - sahih)

Nabi s.a.w bersabda: 'Manusia yg paling baik disisiku pada hari kiamat adalah manusia yg paling banyak selawat kepada ku.' (Hr Tirmizi - Hasan)

Daripada Ubai bin Kaab r.a: Adalah Rasulullah s.a.w apabila telah berlalu seperempat malam baginda akan bangkit; seraya berkata: Wahai manusia hendaklah kamu mengingati Allah. Akan datang tiupan sangka kala yg pertama dan diikuti sangka kala yg kedua dimana kematian akan datang pada saat itu. Ubai bin Kaab telah berkata: "Ya Rasulullah.. Sesungguhnya aku memperbanyakkan berselawat kepada mu. Banyak manakah masa yg aku hendak peruntukkan untuk selawat kepadamu?" Nabi s.a.w menjawab "IKut suka kamu" Ubai berkata "Seperempat" Nabi s.a.w berkata "IKut suka kamu tetapi kalau lebih lagi baik." Ubai membalas "Sepertiga" Nabi s.a.w berkata "Ikut suka kamu tetapi jika engkau tambah lagi baik." Ubai berkata "Dua pertiga" Nabi s.a.w menjawab "Ikut suka kamu tetapi jika kamu tambah lagi baik " Ubai menjawab "Ya rasulullah aku akan guna kesemunya masaku berselawat kepadamu?" Nabi s.a.w bersabda: "Kalau begitu maka perkara itu akan menghilangkan segala kedukaanmu dan akan mengampunkan dosamu."(Hr Tirmizi - Hasan sahih)

Maksudnya adalah Ubai memperuntukkan segala masa doanya untuk selawat.


Celaan kepada manusia yg tidak berselawat kepada Nabi.


Rasulullah s.a.w bersabda: "Hinanya manusia yang mana disebut namaku disisinya tetapi dia tidak berselawat kepadaku."(Hr Muslim)

Sesungguhnya Nabi s.a.w menaiki mimbar seraya berkata: "Ameen" kemudian baginda naik lagi dan berkata "Ameen" kemudian baginda naik lagi dan berkata "Ameen." Maka Muaz r.a bertanya sebab apakah berbuat demikian. Maka Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Jibril telah datang berjumpa dgn kepadaku; seraya berkata: "Wahai Muhammad sesiapa yg disebut namamu disisinya dan dia tidak berselawat kepadamu, lalu dia mati. Maka dia masuk neraka, lalu Allah menjauhkannya. Katalah amin hai Muhammad" Aku pun kata ameen..."(Hr Ibnu Hibban - sahih)

Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya orang yang bersangatan bakhil adalah orang yang tidak berselawat kepadaku bila disebut namaku." (Hr Ahmad - sahih)

Nabi s.a.w bersabda: "Mana-mana kaum yg duduk pada satu majlis kemudian mereka bepisah sebelum menyebut nama Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w melainkan mereka mendapat kekurangan daripada Allah. Jika Allah hendak Allah boleh mengazab mereka atau mengampuni mereka." (Hr Ahmad - sahih)


Selawat dan Salam sampai kepada Nabi s.a.w


Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak ade org yg mengucapkan lafaz salam kepadaku melainkan Allah akan mengembalikan ruh kepada ku sehingga aku dapat menjawab salam."(Hr Ahmad)

Sabda Nabi s.a.w: "Sesungguhnya Allah memiliki malaikat2 yg bersiar2 di seluruh muka bumi yg menyampaikan salam kepadaku dr ummatku."(Hr Ahmad - sahih)

Sabda Nabi s.a.w: "Hendaklah kamu memperbanyakkan selawat kepadaku pada hari jumaat. Maka sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku."(Hr Abu Daud)

0 comments:

Agama disebar Nabi Muhamad dirasai asing jika tiada iltizam


FAKTOR Islam dalam kehidupan masyarakat antarabangsa sejak dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW 1,441 tahun lalu hingga hari ini sangat menarik untuk diperhati dan dikaji.

Bahkan ia tidak saja bermula dari zaman Baginda Rasulullah tetapi bermula sejak seruan pertama Nabi Nuh seperti diungkapkan al-Quran yang bermaksud: “Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata. Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertakwalah kepada-Nya, serta taatlah kamu kepadaku.” (Surah Nuh: 2-3)

Perhatian dan kajian saksama diperlukan kerana dengan memahami ajaran Islam yang satu-satunya ajaran Ilahi yang ditujukan kepada umat jin dan manusia, maka kehidupan manusia akan berjalan seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.


Firman-Nya dalam al-Quran bermaksud: “Apa yang kamu sembah, yang lain daripada Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” (Surah Yusuf: 40) Ayat sama juga boleh dibaca pada Surah al-Rum ayat 30.



Faktor Islam dalam kehidupan masyarakat antarabangsa adalah faktor dagang, asing, janggal, aneh atau pelik, oleh itu dalam kedagangan, keasingan, kejanggalan, keanehan dan kepelikan itulah keberuntungan berada. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis bermaksud: Bersabda Rasulullah saw: “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang yang asing”.


Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak menghiraukan waktu berjumpa dengan al-Khaliq, Pencipta, malah umat Islam mempunyai kewajipan untuk menghadap-Nya sebanyak lima kali sehari.
Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak mengendahkan halal dan haramnya makanan dan minuman malah umat Islam mempunyai kewajipan untuk tidak memakan dan minum benda haram.

Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak ambil kisah mengenai tutup aurat, malah umat Islam berkewajipan untuk melakukannya.
Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak mengambil peduli kedudukan hartanya sama ada diperoleh melalui riba mahu pun tidak, umat Islam dilarang untuk menceburkan hartanya dalam lautan darah riba. Bukankah itu satu keasingan?


Al-Banjari menulis: “Islam mulai tersebar di Makkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia sehingga dianuti oleh ramai penduduk dunia.



Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada Islam berasa ganjil dan pelik apabila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.

Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar, sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

Faktor Islam adalah penentu antara yang hak dan yang batil. Sepanjang sejarah dakwah Islam selalu ada gerakan yang disebutkan al-Quran yang bermaksud: “Dan mereka pula melarang orang ramai daripada mendengar al-Quran dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.” (Surah al-An’am: 26)

Dalam era dakwah zaman Rasulullah SAW, pemuka zalim Quraisy melakukan gerakan di atas seperti kita baca daripada sebab diturunkan Surah al-An’am sebanyak 165 ayat sekali gus dalam satu malam. ‘Silent majority’ (majoriti senyap) penduduk Makkah sebenarnya tidak mendustakan Baginda bahkan mahu menerimanya. Hatta, Abu Jahal pun sebenarnya membenarkan kenabian baginda SAW seperti yang kita baca dalam kisah berikut dalam Tafsir Ibnu Kathir.

Pada satu malam Abu Jahal sengaja ingin mendengarkan bacaan al-Quran Rasulullah. Dia pergi secara senyap ke rumah Rasulullah pada malam itu. Pada masa sama, Abu Sufyan dan al-Akhnas bin Shuraiq juga melakukan perbuatan yang sama dan terjadilah pengintaian rumah baginda bersama-sama pada malam itu tetapi satu sama lain tidak menyedarinya.

Apabila Subuh hampir, masing-masing meninggalkan tempat mengintai dan mereka akhirnya bertembung dalam perjalanan pulang dan masing-masing saling bertanya dari mana. Mereka menjawab dengan jujur datang dari mendengarkan bacaan Muhammad.

Ini adalah perkara yang sangat berbahaya, bagaimana boleh pemuka Quraisy dengan secara senyap mendengarkan bacaan Muhammad. Jika diketahui masyarakat Quraisy pasti akan memicu keresahan mereka. Akhirnya mereka bertiga berjanji untuk menyimpan rahsia mereka dan tidak akan mengulanginya lagi.

Malangnya, kejadian sama berulang selama dua malam berikutnya. Setelah beberapa hari berlalu daripada malam terakhir kejadian mengendap itu, Al-Akhnas datang kepada Abu Sufyan dan berkata: “Apa pendapatmu, wahai Abu Hanzalah mengenai yang kamu dengar malam itu?” Abu Sufyan menjawab: “Demi Allah wahai Abu Tha’labah, aku telah mendengar sesuatu yang pernah aku dengar dan memahaminya dan aku juga telah mendengar sesuatu yang belum pernah aku dengar dan tidak memahaminya.” Al-Akhnas berkata: “Aku pun demikian.”

Dia juga pergi untuk berjumpa dengan Abu Jahal dan berkata kepadanya: “Wahai Abu al-Hakam? Apa pendapatmu mengenai yang kamu dengar daripada Muhammad pada malam itu?” Abu Jahal menjawab: “Kami berlumba-lumba kedudukan selama ini menentang puak Abu Manaf, mereka memberi makan (kepada jemaah haji), kami pun demikian; mereka memilik panji kebesaran, kami pun demikian; mereka menjadi pemurah kami pun demikian. Tetapi ketika kami berhadapan dengan mereka dan kami seperti penunggang kuda yang perkasa kemudian mereka mendakwa bahawa mereka memiliki seorang nabi, sedangkan kami tidak. Maka demi Allah, kami tidak akan mempercayainya selama-lamanya.” Al-Akhnas pun meninggalkan Abu Jahal setelah mendengarkan apa yang dikatakannya. Dalam perang Badar, Abu Jahal pernah mengaku kepada al-Akhnas bahawa Muhammad adalah benar dan dia tidak pernah berbohong. Tetapi apalah guna pengakuannya seandainya tidak dibuktikan dengan keimanan. Abu Jahal terbunuh dalam perang Badar ini.


Kedegilan Abu Jahal untuk tidak menerima hakikat kenabian Muhammad yang membawa faktor Islam dalam kehidupan masyarakat Quraisy berpunca daripada sifat ego yang membabi buta sehingga tidak mahu menerima kebenaran padahal seperti dikatakan al-Quran yang bermaksud: “(maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakamu, tetapi orang zalim itu mengingkari ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata.” (Surah al-An’am: 33)



Jika kita hubungkaitkan kewujudan faktor Islam dalam masyarakat Quraisy pada zaman Nabi dengan faktor Islam dalam masyarakat antarabangsa pada hari ini, penulis melihat tidak jauh bezanya. Wallahualam.

petikan daripada http://aki2004.wordpress.com/

0 comments:

Related Posts with Thumbnails