Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Agama disebar Nabi Muhamad dirasai asing jika tiada iltizam


FAKTOR Islam dalam kehidupan masyarakat antarabangsa sejak dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW 1,441 tahun lalu hingga hari ini sangat menarik untuk diperhati dan dikaji.

Bahkan ia tidak saja bermula dari zaman Baginda Rasulullah tetapi bermula sejak seruan pertama Nabi Nuh seperti diungkapkan al-Quran yang bermaksud: “Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata. Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertakwalah kepada-Nya, serta taatlah kamu kepadaku.” (Surah Nuh: 2-3)

Perhatian dan kajian saksama diperlukan kerana dengan memahami ajaran Islam yang satu-satunya ajaran Ilahi yang ditujukan kepada umat jin dan manusia, maka kehidupan manusia akan berjalan seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.


Firman-Nya dalam al-Quran bermaksud: “Apa yang kamu sembah, yang lain daripada Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” (Surah Yusuf: 40) Ayat sama juga boleh dibaca pada Surah al-Rum ayat 30.



Faktor Islam dalam kehidupan masyarakat antarabangsa adalah faktor dagang, asing, janggal, aneh atau pelik, oleh itu dalam kedagangan, keasingan, kejanggalan, keanehan dan kepelikan itulah keberuntungan berada. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis bermaksud: Bersabda Rasulullah saw: “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang yang asing”.


Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak menghiraukan waktu berjumpa dengan al-Khaliq, Pencipta, malah umat Islam mempunyai kewajipan untuk menghadap-Nya sebanyak lima kali sehari.
Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak mengendahkan halal dan haramnya makanan dan minuman malah umat Islam mempunyai kewajipan untuk tidak memakan dan minum benda haram.

Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak ambil kisah mengenai tutup aurat, malah umat Islam berkewajipan untuk melakukannya.
Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak mengambil peduli kedudukan hartanya sama ada diperoleh melalui riba mahu pun tidak, umat Islam dilarang untuk menceburkan hartanya dalam lautan darah riba. Bukankah itu satu keasingan?


Al-Banjari menulis: “Islam mulai tersebar di Makkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia sehingga dianuti oleh ramai penduduk dunia.



Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada Islam berasa ganjil dan pelik apabila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.

Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar, sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

Faktor Islam adalah penentu antara yang hak dan yang batil. Sepanjang sejarah dakwah Islam selalu ada gerakan yang disebutkan al-Quran yang bermaksud: “Dan mereka pula melarang orang ramai daripada mendengar al-Quran dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.” (Surah al-An’am: 26)

Dalam era dakwah zaman Rasulullah SAW, pemuka zalim Quraisy melakukan gerakan di atas seperti kita baca daripada sebab diturunkan Surah al-An’am sebanyak 165 ayat sekali gus dalam satu malam. ‘Silent majority’ (majoriti senyap) penduduk Makkah sebenarnya tidak mendustakan Baginda bahkan mahu menerimanya. Hatta, Abu Jahal pun sebenarnya membenarkan kenabian baginda SAW seperti yang kita baca dalam kisah berikut dalam Tafsir Ibnu Kathir.

Pada satu malam Abu Jahal sengaja ingin mendengarkan bacaan al-Quran Rasulullah. Dia pergi secara senyap ke rumah Rasulullah pada malam itu. Pada masa sama, Abu Sufyan dan al-Akhnas bin Shuraiq juga melakukan perbuatan yang sama dan terjadilah pengintaian rumah baginda bersama-sama pada malam itu tetapi satu sama lain tidak menyedarinya.

Apabila Subuh hampir, masing-masing meninggalkan tempat mengintai dan mereka akhirnya bertembung dalam perjalanan pulang dan masing-masing saling bertanya dari mana. Mereka menjawab dengan jujur datang dari mendengarkan bacaan Muhammad.

Ini adalah perkara yang sangat berbahaya, bagaimana boleh pemuka Quraisy dengan secara senyap mendengarkan bacaan Muhammad. Jika diketahui masyarakat Quraisy pasti akan memicu keresahan mereka. Akhirnya mereka bertiga berjanji untuk menyimpan rahsia mereka dan tidak akan mengulanginya lagi.

Malangnya, kejadian sama berulang selama dua malam berikutnya. Setelah beberapa hari berlalu daripada malam terakhir kejadian mengendap itu, Al-Akhnas datang kepada Abu Sufyan dan berkata: “Apa pendapatmu, wahai Abu Hanzalah mengenai yang kamu dengar malam itu?” Abu Sufyan menjawab: “Demi Allah wahai Abu Tha’labah, aku telah mendengar sesuatu yang pernah aku dengar dan memahaminya dan aku juga telah mendengar sesuatu yang belum pernah aku dengar dan tidak memahaminya.” Al-Akhnas berkata: “Aku pun demikian.”

Dia juga pergi untuk berjumpa dengan Abu Jahal dan berkata kepadanya: “Wahai Abu al-Hakam? Apa pendapatmu mengenai yang kamu dengar daripada Muhammad pada malam itu?” Abu Jahal menjawab: “Kami berlumba-lumba kedudukan selama ini menentang puak Abu Manaf, mereka memberi makan (kepada jemaah haji), kami pun demikian; mereka memilik panji kebesaran, kami pun demikian; mereka menjadi pemurah kami pun demikian. Tetapi ketika kami berhadapan dengan mereka dan kami seperti penunggang kuda yang perkasa kemudian mereka mendakwa bahawa mereka memiliki seorang nabi, sedangkan kami tidak. Maka demi Allah, kami tidak akan mempercayainya selama-lamanya.” Al-Akhnas pun meninggalkan Abu Jahal setelah mendengarkan apa yang dikatakannya. Dalam perang Badar, Abu Jahal pernah mengaku kepada al-Akhnas bahawa Muhammad adalah benar dan dia tidak pernah berbohong. Tetapi apalah guna pengakuannya seandainya tidak dibuktikan dengan keimanan. Abu Jahal terbunuh dalam perang Badar ini.


Kedegilan Abu Jahal untuk tidak menerima hakikat kenabian Muhammad yang membawa faktor Islam dalam kehidupan masyarakat Quraisy berpunca daripada sifat ego yang membabi buta sehingga tidak mahu menerima kebenaran padahal seperti dikatakan al-Quran yang bermaksud: “(maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakamu, tetapi orang zalim itu mengingkari ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata.” (Surah al-An’am: 33)



Jika kita hubungkaitkan kewujudan faktor Islam dalam masyarakat Quraisy pada zaman Nabi dengan faktor Islam dalam masyarakat antarabangsa pada hari ini, penulis melihat tidak jauh bezanya. Wallahualam.

petikan daripada http://aki2004.wordpress.com/

0 comments:

Related Posts with Thumbnails