Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Malu Seorang Wanita

~ Wanita, malumu berharga ~

Dalam Islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita mahupun lelaki. Namun, wanitalah yang sering ditekankan dalam aspek menjaga maruah dan sifat malu kerana fitrah seorang wanita ialah indah, cantik dan menarik perhatian.

Malu selalunya menjadi kalungan mutiara yang menghiasi diri kaum hawa. Malah, malu juga merupakan salah satu cabang daripada cabang-cabang iman. Benarlah kata-kata Sayidatina Aisyah r.a.: “sekiranya seorang lelaki itu memiliki sifat malu nescaya dia seorang lelaki yang soleh, dan sekiranya seorang lelaki itu memiliki sifat keji nescaya dia seorang yang jahat.” Begitu jualah hadith ini ditujukan kepada wanita mukminah.

Malu Seorang Muslimah

Seorang wanita yang mempunyai sifat malu akan menjaga dirinya sebaik mungkin. Menjaga kehormatan dan maruah diri, menjaga penampilan, menjaga pergaulan dan peribadinya. Kerana sifat malu adalah perasaan yang dapat membenteng seseorang  daripada melakukan perkara yang dapat menghancurkan dan memusnahkan maruah diri dan agamanya.

Sifat malu itu akan memperlihatkan kemanisan dan ketinggian akidah seseorang wanita. Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap agama itu adalah akhlak, dan akhlak Islam ialah malu.” Malah, malu juga dapat memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan peribadi. Dan paling penting, sifat malu dapat menguatkan diri kita sebagai seorang mukmin kerana malu dan iman harus bergerak seiring.

Dimana Malumu?

Malu memang sifat seorang perempuan, sifat seorang wanita. Tapi bukan semua wanita punyai sifat malu. Apatah lagi pada zaman yang serba moden ini. Tidak keterlaluan saya katakan, ramai dikalangan wanita sudah hilang malu dalam dirinya. Mereka sudah tidak malu 'menelanjangkan' diri walaupun berpakaian. Melalui laman sosial facebook contohnya, wanita sengaja mendedahkan gambar-gambarnya yang tidak menutup aurat, berposing maut dan sebagainya. Melalui pemakaian pula, mereka memakai pakaian seksi, ketat dan menampakkan tubuh badan. Dan bukankah ini boleh dikatakan 'membogelkan diri'?

"Malumu mahkota yang tak perlukan singgahsana
Tetapi ia berkuasa menjaga diri dan agama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerahkan diri"
-Puteriku Sayang nyanyian Hijjaz-

Wahai saudariku, ingatlah kita ini diperhatikan hakikatnya.
Diperhatikan oleh Allah dan para malaikat untuk dinilai buat tuaian ladang akhirat.
Diperhatikan oleh manusia untuk dicontohi. Diperhatikan juga oleh musuh untuk dipergunakan.

Kerana malu itu perisai orang beriman!
Saudariku, malu adalah kunci segala kebaikan. Maka, tanamlah sifat malu itu dalam dirimu. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya" [Riwayat Bukhari]

1 comments:

ada segelintir wanita yang free hair menjauhkan diri dengan golongan yang dikira berpakaian menutup aurat dan kenapa perkara macam ni perlu terjadi?

Anonymous
March 14, 2015 at 9:06 PM comment-delete
Related Posts with Thumbnails