Hampiri DIA Dengan Sepenuh Cinta
Assalamualaikum wbt...
Sahabat fillah...
Suatu ketika engkau dapati dirimu sedang kehausan, tekak terasa
sangat kering dan amat menyiksakan, seolah-olah diri berada di padang pasir
yang tandus. Hampir saja tubuhmu rebah tak kuasa menahannya. Tanpa
disedari, engkau bangkit dan berlari untuk mencari air. Ketika air itu
menyentuh tekakmu, menyirami kerongkongmu yang sangat kehausan, apa yang kamu
rasa?? Nikmat yang tidak terhingga kan..kenapa?? Kerana ketika itu, saat
itu engkau sangat memerlukan air sebagai pelepas dahaga.
Begitu jugalah dengan beribadah kepada Allah. Kita akan merasakan
nikmat ketika kita memerlukan Allah, kerana lahirlah rasa cinta. Cinta
nikmat manakala kesetiaan teruji. Itulah rahsia di sebalik ujian yang
diberikanNya. Agar kita berlari mendekatiNya...lebih dekat...dan semakin
dekat...sehingga kita dan DIA tiada jarak.
Untuk mencapai darjat kedekatan hamba pada Tuhannya, memerlukan
proses. Ibarat mendaki gunung yang tinggi, jurang yang curam ataupun tangga
yang tinggi di mana puncaknya adalah tujuan. Untuk naik dari satu anak
tangga ke anak tangga berikutnya memerlukan tenaga yang luar biasa,
menuntut pengorbanan seluruh fikiran, segenap jiwa dan setulus hati.
Itulah keikhlasan sifat tertinggi seorang hamba untuk memperoleh darjat
tertinggi yang bernama taqwa.
"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi
Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu." (QS. Al-Hujurat
49: 13)
Apa sebenarnya pengertian dari taqwa itu?
Taqwa iaitu menjalankan amanah (kehidupan) yang dipercayakan Allah
dangan rasa cinta sehingga melahirkan rasa tanggungjawab (responsibility)
untuk tidak menodai kesucian cintaNya. Oleh kerana itu, akan wujudlah
rasa ihsan dan islah.
Dan kerana itu juga, seorang yang bertaqwa pada Allah tidak akan
merasa berat dan terbeban ketika disuruh memikul tanggungjawab atau
berhadapan dengan ujian. Semua itu diterima dengan rasa cinta dan keikhlasan
hati, di mana perputaran roda waktu yang dilakukannya hanyalah
mengelilingi kerinduan Allah, sentiasa senang jika tiba-tiba dipanggil
pulang. Dia selalu muhasabah dirinya untuk memperbaiki segala sesuatu yang
tidak disukai RobbNya.
Sahabat fillah....
Sesungguhnya kecintaan seorang mukmin pada Tuhannya tergambar
jelas ketika dia menghadapi ujian Allah. Seseorang yang mencintai Allah
akan sentiasa percaya bahawa di senalik cubaan atau ujian itu ada rahsia
hikmah yang hendak diberikanNya. Itulah keindahan seorang mukmin sejati
hanya dapat diberikan pada mukmin yang mempunyai cinta sejati..
Allah SWT berfirman yg bermaksud:
"Jadilah sabar dan solat
sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,
kecuali bagi orang-orang yang khusyu'. Iaitu orang-orang yang meyakini
bahawa mereka akan menemui kembali kepadaNya." (QS. Al-Baqarah 2:
45-46)
Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar, maka
bersabarlah dengan kesabaran yang baik. Bagaimana sabar yang baik itu, dan apa
makna dari sabar itu?
Sabar adalah sikap tenang seseorang dalam menghadapi sesuatu
masalah di mana dia dapat menahan dirinya, tabah menghadapinya, tetap
istiqamah dalam beribadah kepada RabbNya, sentiasa muhasabah diri dengan
teliti apa yang menyebabkan terjadinya masalah supaya dapat menanganinya
sebaik mungkin. Kemudian, hasil dari segala usaha dan ikhtiarnya itu
diserahkan kepada Allah SWT.
Sahabat fillah....
Marilah kita bersabar dalam menggapai taqwa. Sungguh. DIA amat
sayang pada kita. Hampiri Dia dengan sepenuh cinta..
0 comments:
Post a Comment