Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Jadi Selama Ini Saya Munafik?


Aduhai. Rupa-rupanya selama ini saya syok sendiri! Saya tak nampak hutan ketika saya di dalam hutan. Yang saya nampak cuma pokok-pokok. Saya betul-betul tak tahu saya dalam hutan. Bila saya keluar saja dari kawasan pokok-pokok itu, baru saya sedar… Lah, tadi saya dalam hutan rupanya!

Seperti itulah analoginya. Banyak perkara yang kita rasa bahawa kita telah buat yang terbaik, kita sudah betul-betul faham dan kita begitu baik dan sudah banyak melakukan kebaikan. Hingga terdetik suatu ketika, tak perlu buat baik dah, pahala aku dah banyak! Nauzubillah, mohon-mohon lintasan seperti ini tidak ‘merempit’ dalam jiwa-jiwa kita.

Apa yang anda faham tentang golongan munafik?

Definisi Munafik
Orang yang berwajah dua muka, suka berpura-pura, apa yang dikata tidak sama dengan apa yang dikerjakan dan apa yang dikerjakan tidak sama dengan hatinya. Mereka mengakui Islam pada zahirnya akan tetapi mereka kafir pada hakikatnya. Ulama mengkelaskan golongan munafik kepada dua keadaan.

Pertamanya, munafik I’tiqadi iaitu yang berkaitan dengan kepercayaan dalam hati. Mereka itu terdiri daripada golongan yang hanya beriman kepada Allah secara luaran saja. Namun hakikatnya, golongan itu sudah terkeluar daripada agama Allah kerana niat di hati memainkan peranan penting dalam soal akidah dan dikira sebagai penentu hakiki kepada keimanan seseorang di sisi Allah.

Keduanya, disebut munafik ‘Amali iaitu berkaitan perbuatan. Di sini saya mahu berkongsi satu hadis, yang saya pasti, anda mungkin pernah mendengarnya:

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya”
(Hadith Sahih Riwayat Muslim)

Tiga golongan munafik yang dapat di’highlightkan’ daripada hadis ini:
1. apabila bercakap dia berbohong
2. apabila berjanji dia memungkiri
3. apabila diberi amanah dia mengkhianatinya

Cuba muhasabah kembali, pernah tak kita berjanji, tapi kita mungkiri?
Pernah kita menipu kawan-kawan, ibu bapa?
Pernah kita diberi kerja, tapi kita lakukannya main-main dan sambil lewa?
Allahuakbar, banyaknya dosa kita.

“sesungguhnya orang munafiq itu, di tempat yang paling bawah sekali di dalam neraka”
(surah an-nisa’: 145)
Penutup
Seperti analogi hutan tadi, dalam kehidupan ini mungkin terlalu banyak yang kita terlepas pandang, atau pandang ringan. Kita mungkin anggap janji-janji terhadap rakan atau orang disekeliling kita ini perkara kecil. Kita fikir, tiada apa-apa jika janji tersebut kita ingkari saja. Sebenarnya tidak, kita harus sedar, perkara-perkara sebegini boleh menjerumuskan kita ke neraka jahannam. Berhati-hatilah apabila berjanji, lebih-lebih lagi apabila disertai ucapan ‘InsyaAllah’. Banyakkan berdoa agar sentiasa diberikan pentunjuk daripada Allah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails