[Tinta Presiden] Tazkirah: Puasa Hari ‘Asyura~
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Bismillah walhamdulillah, bersempena dengan kedatangan hari ke-9 (tasu’a) dan ke-10 (‘asyura) Muharram ini saya ingin mengingatkan teman-teman terutamanya mahasiswa/i UMP sekalian tentang kita semua disunatkan berpuasa pada hari-hari berkenaan. Sekurang-kurangnya berpuasalah pada 10 Muharram seperti yang disebutkan dalam hadith-hadith berikut:
Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).
Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)
Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” (Riwayat. Muslim).
Daripada Ibnu Abbas r.a.:”Tidak aku melihat Nabi s.a.w berusaha berpuasa melebihi hari-hari lain selain hari ini, iaitu hari Asyura dan di bulan ini iaitu bulan Ramadan” (Riwayat Bukhari)
Semoga Allah merahmati kita semua dalam berlumba-lumba mendampingiNya.
'Asyura berasal dari kata ‘asyara, artinya bilangan sepuluh. Secara istilah Puasa ‘Asyura adalah puasa yang dikerjakan pada tanggal 10 Muharram pada Kalender Islam Hijriyah. Untuk tahun 1433 H maka hari ‘Asyura bertepatan dengan 6 Disember 2011 M, yang ertinya pada hari Selasa nanti.
Selain daripada saranan berpuasa sunat, banyak pandangan dan pendapat mengatakan digalakkan bersedekah, berziarah, mengembirakan anak-anak dan sebagainya. Bagi saya yang afdhal bertepatan dengan nas hadith adalah berpuasa sunat, akan tetapi ia tidak bermakna amalan yang lain tidak boleh dilakukan, selagi ia perbuatan mahmudah dan ada sandaran dari nas dan diyakini ada ganjaran tiada masalah untuk dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Tambahan lagi, hadith berpuasa sunat yang dikongsikan diatas menunjukkan bahawa Hari 'Asyura merupakan hari yang paling afdhal untuk berpuasa selepas bulan Ramadan dan Hari Arafah. Biarpun sunat puasa pada 10 Muharam lebih elok jika berpuasa sama ada pada 9 dan 10 atau 10 dan 11 Muharam bagi mengelakkan menyamai puasa orang Yahudi.
Kesimpulan
Masyarakat hari ini perlu peka dan meraikan Hari 'Asyura dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kami warga Sahabat Masjid (SAHAM) UMP ingin menyeru sahabat-sahabat dan mahasiswa/i sekalian agar kita bersama-sama menghayati dan memanfaatkan sambutan Hari 'Asyura demi meningkatkan keimanan terhadap Allah swt. InsyaAllah.
Oleh: Abdul Basith Abdul Halim | Presiden Sahabat Masjid (SAHAM) UMP
“Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah”
~Together With SAHAM~
0 comments:
Post a Comment