Seksualiti Merdeka : Tanggungjawab Kita Bersama~
Dalam era serba moden ini, para pemikir lahir daripada pelbagai generasi mahupun latar belakang yang kita tahu sangat cakna tentang isu-isu semasa yang berlaku di negara kita pada masa kini. Apa yang ingin diketengahkan adalah mengenai Seksualiti Merdeka yang sudah pastinya ramai yang tahu dan mungkin sedang dibicarakan oleh anak-anak muda khususnya mahasiswa mahasiswi yang cakna akan hal kemanusiaan sejagat. Baca punya baca mengenai seksualiti merdeka, apa yang dapat saya simpulkan di sini adalah bagaimana peranan kita dalam menangani isu ini dalam erti kata yang lain, tanggungjawab kita bersama untuk benar-benar memahami apa itu seksualiti merdeka dan objektif-objektifnya serta apa kesan-kesannya jika ia diteruskan.
Nah, tepuk dada tanya diri masing-masing. Bukan lagi tanya selera. Mengapa saya katakan demikian? Ini kerana, ramai di antara kita selalu ikut ‘selera’ dalam melontarkan kata-kata tapi apa usahanya? Sebahagian individu menjelaskan, Seksualiti Merdeka yang sebenar ialah cabang kepada perjuangan hak asasi manusia, bukan cabang kepada Festival Seks Bebas atau yang sewaktu dengannya. Tapi apa yang dibimbangi adalah, berlakunya tafsiran yang sama oleh segelintir individu yakni ingin memperjuangkan “human right”. Kita ambil contoh orang yang mencabul, akan mempunyai tafsiran yang sama di mana dia juga punya hak peribadi, tanpa mengendahkan yang dia telah menceroboh hak asasi mangsa. Bahkan ia juga termasuk dalam menceroboh hak ibu bapa, adik beradik atau pasangan mangsa tersebut.
Dalam takrifan Islam, seks bebas antara dewasa, ibu orang dengan anak orang, isteri orang dengan suami orang, akhirnya mengganggu keharmonian rumah tangga individu-individu yang terlibat dan ini semua dikira pencerobohan. Sebarang kempen yang mengajak kepada itu atas apa jua nama walaupun ia memperjuangkan hak asasi manusia adalah wajib dibantah. Siapa golongan yang terlibat dengan Lesbian, Gay, Bisexual, Transexual, Intersexual and Queer (LGBTIQ) ?
1. Golongan yang berhadapan dengan masalah kecelaruan identiti gender.
2. Golongan yang jelas identiti gendernya tetapi celaru dalam orientasi seksualnya dan sengaja memilih pasangan sejenis.
Apa peranan kita? Persatuan Sahabat Masjid (SAHAM) UMP beranggapan sebagai individu yang menitik berat akan hal keharmonian masyarakat kita hendaklah sama-sama dalam membantu golongan-golongan ini kembali kepada fitrah asalnya dan jelas akan kemudaratan jika gerakan mempromosikan Seksualiti Merdeka ini diteruskan.
Dengan ini saya,mewakili Saff Kepimpinan Sahabat Masjid (SAHAM) UMP sesi 2011/2012 menyarankan supaya:-
- Gerakan promosi amalan seks songsang ini hendaklah dibanteras segera oleh pihak berwajib.
- Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan-jabatan Agama Negeri dan NGO-NGO Islam dan bukan Islam hendaklah berusaha dengan bagi membantu golongan yang mengalami kecelaruan seksual ini.
- Setiap daripada kita perlu memainkan peranan dalam memahami isu ini dan membantu golongan yang ingin kembali ke fitrah asal.
Siti Sarah binti Abd Rahman,
Naib Presiden 2 Sahabat Masjid (SAHAM) sesi 2011/2012
Universiti Malaysia Pahang (UMP)
"Together With SAHAM"
"Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah"
0 comments:
Post a Comment