Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Lihatlah Pengorbanan Mereka

Selamat Hari Raya Aidil Adha
~daripada: Sahabat Masjid UMP~

"Berkorban apa saja..harta atau pun nyawa" kata P.Ramlee dalam lagunya.

Hakikatnya, itulah pengorbanan. Ya, kita mungkin boleh berkorban harta, wang ringgit, masa mahupun tenaga. Namun bagaimana pula dengan nyawa? Sanggupkah kita korbankan nyawa?

Baiklah. Mungkin ada yang jawab ya. Berkorban nyawa demi keluarga, orang tersayang hatta berkorban kerana kekasih pun sanggup. Alhamdulillah, itu tandanya kita tidak pentingkan diri sendiri.

Tapi, alangkah indahnya pengorbanan jika kita lakukan kerana Allah. Berkorban menegakkan syariat Allah. Bergadai nyawa dan berjihad fisabilillah. Inilah pengorbanan yang paling tinggi nilainya. Berkorban demi kecintaan kepada Allah. Berkorban kerana keimanan dan ketaqwaan kepadaNya. Tetapi, berapa ramai yang sanggup melakukannya?

Mari kita hayati erti sebuah pengorbanan yang sebenarnya.

Asas Pengorbanan Adalah Keimanan

Si ayah melemparkan rasa kasihannya demi kerana Allah.
Si ibu tegar menyeka air mata semata-mata rindu kepada cinta Allah.
Dan si anak sabar dalam menghadapi ujian kematian semata-mata kerana redha Allah.
Semuanya dilakukan kerana keimanan, ketaqwaan dan keredhaan Allah.

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Dia (Ismail) menjawab: "Wahai ayahku, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; Insya-Allah, engkau akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar" Surah As-saffat ayat 102.

Tanpa lengah, atas keimanan dan kepercayaannya kepada Allah SWT, Ibrahim AS membawa Ismail ke tempat penyembelihan, dan menajamkan pisaunya setajam mungkin untuk menyembelih anaknya itu.

Lihatlah ketaatan Ibrahim AS. Bayangkan, Ibrahim AS ini adalah seorang tua yang lama tidak dikurniakan anak kerana isteri pertamanya, Sarah, mandul. Dengan isteri kedua, dia dikurniakan anak, lelaki pula, yang nyata amat dikehendakinya. Namun atas arahan Allah SWT, dia sanggup meninggalkan anak tersebut. Dan kini, anak yang dicintainya itu diarahkan untuk disembelih.

Ya. Dia memilih jalan ini. Allah SWT mengujinya. Dan dia tidak pula lari, mengeluh, merungut dengan ujian yang diberikan kepadanya. Bahkan dia menghadapi, melalui, ujian tersebut. Membuktikan keimanannya, kepercayaaannya kepada janji-janji Allah SWT.

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;” Surah Assaffat ayat 103-107.

“Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman" Surah Assaffat ayat 108-111.

Inilah bukti keimanan Ibrahim AS dan ketaqwaan Ismail AS. Tidaklah dia memilih apa yang dia kehendaki. Tetapi dia memilih apa yang Allah SWT kehendaki. Tidak dia taati hawa nafsunya. Tetapi yang dia taati adalah perintah Allah SWT.

Semoga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah ini.

Rujukan: Disini

0 comments:

Related Posts with Thumbnails