Ukhti, Kamu Cantik Sekali..
Kecantikan itu Amanah
Yang harus dipelihara dan dijaga
Dari sebarang dosa dan noda.
***
Ukhti, kamu cantik sekali…
Tapi hanya di mata manusia. Sedangkan yang Maha Kuasa tak pernah memandang rupa atau pun bentuk tubuh kita. Namun Dia melihat pada hati dan amal-amal yang dilakukan hambaNya.
Ukhti, kamu cantik sekali…
Tapi cantik fizikal tak akan pernah abadi. Saat ini mungkin kamu mampu berbangga dengan kecantikan rupa paras dan tubuh badanmu. Namun suatu saat nanti, mukamu akan berkedut, rambut menjadi putih, tubuh tak lagi berdiri tegak, maka, tak akan ada lagi yang boleh dibanggakan.
Ukhti, kamu cantik sekali…
Tapi kecantikan hanyalah pemberian dan untuk apa dibangga-banggakan? Sepantasnya kecantikan disyukuri dengan cara yang benar. Mensyukuri kecantikan bukanlah dengan cara mempamerkan, mendedahkan perhiasan atau berhias berhabisan. Tidakkah engkau peduli bila semua mata memandangmu dengan nakal? Tidakkah engkau malu ketika wajahmu dinikmati lelaki ajnabi sesuka hati. Ataukah rasa malu itu telah punah, musnah? Betapa sayangnya jika demikian sedangkan malu itu sebahagian dari keimanan.
Ukhti, kamu cantik sekali…
Tapi apa manfaat pujian dan kekaguman seseorang? Adakah ia akan menambah pahala dariNya? Adakah darjatmu akan tinggi di sisi Ilahi setelah dipuji? Tak ada yang menjamin wahai ukhti. Mungkin malah sebaliknya, wajah cantik itu menjadikanmu tidak berharga di hadapanNya, kerana kamu tak mampu memelihara sesuai dengan kehendakNya.
Ukhti, kamu cantik sekali…
Kecantikan itu harta berharga, bukan barang murah yang boleh dinikmati dengan mudah. Dimana nilainya jika setiap mata begitu bebas memandang cantiknya rupa. Dimana harganya jika kecantikan digadaikan kerana nafsu? Dimana kehormatan sebagai hamba Tuhan jika maruahmu direndahkan lantaran koyaknya iman?
Ukhti, kamu cantik sekali…
Alangkah indah jika kecantikan fizikal itu dipadu dengan kecantikan hati. Apalah erti cantik rupawan jika tak memiliki keimanan. Apalah guna tubuh indah memikat jika tak ada rasa malu yang melekat. Cantikkan dirimu dengan cahayaNya. Cahaya yang bersinar dari hati yang penuh keimanan. Hati yang taat sentiasa patuh pada syariat. Hati yang taqwa, yang selalu menjalankan perintah dan menjauhi laranganNya. Hati yang sederhana, yang tak berlebihan dalam segala urusan dunia.
Ukhti, kamu cantik sekali…
Maka tampillah cantik di hadapan penciptamu kerana itu lebih bererti daripada menampilkan kecantikan pada manusia yang bukan mahrammu. Tampillah cantik pada yang berhak, kerana itu adalah ibadahmu. Mengabdi pada manusia yang kamu kasihi demi keredhaan Ilahi. Tampillah cantik, cantik iman, cantik batin, cantik hati, kerana itu lebih abadi.
***
Dari Abu Hurairah ra berkata Rasulullah saw bersabda : “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad-jasad kalian dan tidak juga kepada rupa-rupa kalian akan tetapi Allah melihat kepada hati-hati kalian (dan amalan-amalan kalian)”
[HR. Muslim]
0 comments:
Post a Comment