Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Terlalu Menyintai ( Bahagian 1)

Harriz. Satu nama yang cukup aku kenal satu ketika dahulu. Dia pernah menjadi suami aku. Suami yang bergelar hanya pada nama tapi tidak pernah memiliki sepenuhnya jiwa dan hati aku ketika itu. Perkahwinan yang berlandaskan kertas putih dengan seribu perjanjian yang boleh menjatuhkan maruah seorang suami. Aku tahu,Harriz tidak pernah mempersetujui dengan apa yang aku lakukan sebelum kami mengikat tali perhubungan yang suci. Namun, kerana sayang dan cintanya pada aku dia menerima niat aku tanpa sebarang bantahan yang keluar dari mulutnya. Kenapa Izham tidak seperti Harriz? Sungguh berbeza nilai dan peribadi mereka antara satu sama lain. Harriz terlalu baik tapi hati aku tidak dapat menerima cintanya. Kenapa?.....Dia cukup sempurna untuk menjadi seorang suami dan pemimpin yang boleh menjaga aku sehingga ke akhir hayat.

Adakah aku yang terlalu bodoh untuk menolak cintanya yang tulus dan ikhlas menyayangi aku, atau keegoan aku yang menguasai diri. "Saya menerima awak bukan atas paksaan sesiapa tapi hati ini yang ikhlas mencintai awak. Saya tahu taraf awak dan saya berbeza ibarat langit dan bumi tetapi untuk membahagiakan awak, itu adalah jaminan saya sebagai bukti bahawa saya menyayangi awak. Walaupun kontrak kita hanya setahun tapi cinta saya sampai ke mati. "Biarpun kita akan berpisah nanti, namun untuk menghilangkan ingatan saya terhadap awak adalah amat sukar. Sekali saya dah letakkan awak dalam hati saya bermakna awaklah gadis pertama dan terakhir yang saya cintai walau awak membenci saya seumur hidup awak......" Kata-kata itu masih aku ingat sampai sekarang. Keegoan aku ketika itu mulai luntur tapi hati aku keras. Aku menolak cintanya mentah-mentah kerana bagi aku, lelaki mudah mengeluarkan kata-kata manis namun untuk membuktikannya adalah satu dalam sejuta. Aku tidak mempercayai Harriz.

Bagi aku, Izham lelaki pertama yang mencuri hati aku adalah terlalu sempurna untuk aku. Aku bertemu dengan Izham sewaktu kami menyambung pengajian di London. Izham bijak memainkan kata-katanya dengan rupa parasnya yang kacak itu untuk menambat hati aku. Hanya dunia sahaja yang tahu bagaimana gembiranya hati aku ketika itu dapat berpasangan dengan Izham , seorang lelaki yang menjadi rebutan gadis-gadis lain di luar sana.

Hampir dua tahun hubungan kami terjalin. Tiada sebarang masalah di antara kami sepanjang perhubungan itu. Pertengkaran kecil adalah perkara biasa bagi kami. Seringkali juga kawan-kawan aku menasihatkan supaya berpisah dengan Izham kerana dia bukanlah seperti apa yang aku sangka. Dia adalah Romeo. Banyak kali mereka terserempak dengan Izham bersama gadis-gadis lain. Aku yang bodoh kerana tidak pernah percaya dengan kata-kata mereka. Pada fikiran aku ketika itu, mereka terlalu cemburukan
aku. Itulah sebabnya mereka memfitnah Izham supaya hubungan kami putus dan mereka boleh mengambil kesempatan memenangi hati Izham. Sehinggakan aku hampir hilang kawan hanya semata-mata kerana terlalu mempercayai Izham. Selepas tamat pengajian, aku pulang ke Malaysia. Izham masih di London kerana tempoh pengajiannya ada lagi setahun. Ketika itulah detik hidup aku bersama Harriz bermula. Aku telah dijodohkan dengan Harriz oleh ayahku. Entah mengapa, ayah terlalu sukakan Harriz sedangkan Harriz hanyalah pekerja bawahan ayah. Dia bukanlah dari keluarga yang senang dan setaraf dengan kami. Namun, ayah tidak mengambil kira itu semua. Kata ayah, Harriz mampu menjaga aku sebagaimana ayah dan ibu menjaga, mendidik dan membesarkan aku. Dia percayakan Harriz sehinggakan dia pernah berkata segala hartanya termasuk aku akan diserahkan kepada Harriz andai satu hari nanti dia pergi buat selama-lamanya. Kepercayaan ayah terhadap Harriz memang tiada batasan, begitu juga dengan ibu.

Aku tahu, ayah ada penyakit yang kronik iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Aku tak sanggup untuk menolak permintaan ayah. Mereka adalah segala-galanya untuk aku. Betapa perit dan payahnya mereka membesarkan aku. Ayah juga bukanlah dari keluarga yang senang tetapi berkat kerajinan dan semangat ayah yang tinggi serta dorongan ibu membuatkan aku dapat menikmati hidup ini dengan segala kemewahan yang tak dapat aku bayangkan. Tapi, aku juga inginkan kehidupan aku sendiri. Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah samada untuk menerima atau sebaliknya. Kesihatan ayah tidak mengizinkan aku untuk berfikir lama. Akhirnya, persetujuan dibuat dan dalam diam-diam aku juga turut membuat perjanjian dengan Harriz lelaki yang tidak pernah aku temui.


Aku bencikan Harriz kerana aku menyangka Harriz bukanlah seperti apa yang ayah bayangkan. Dia mungkin mempunyai rancangan yang besar untuk merampas kekayaan kami dengan mengahwini aku dan berpura-pura baik di hadapan ayah dan ibu. "Selepas kita bernikah, saya haramkan awak untuk menyentuh saya. Kita hanya berlakon di hadapan ayah dan ibu saya begitu juga dengan keluarga awak. Selepas setahun, awak ceraikan saya. Ini dah termaktub dalam perjanjian kita." Aku tidak berani memandang wajah Harriz ketika kami berjumpa buat pertama kalinya di sebuah restoran. Aku akui, Harriz memang tampan orangnya malah lebih kacak daripada Izham. Sedikit sebanyak hati perempuan aku mulai cair namun aku pantas melarikan fikiranku pada perkara yang lain. Harriz merenung aku tanpa berkelip mata. Aku gelabah. Langsung tidak dibaca perjanjian MOU yang aku letak di hadapannya. Sakit hati aku dibuatnya ketika itu. Aku kuatkan semangat untuk memandang Harriz dan cuba berlagak serius. "Tuhan kurniakan mata untuk melihat apa yang ada di hadapan kita. Saya dah letakkan fail perjanjian kita dihadapan awak. Takkan awak tak tahu nak menggunakan mata awak tu untuk melihat apa yang patut?" Aku memerli Harriz. Dia cuma tersenyum. Masih tidak puas menatap wajah aku. Seluruh pelusuk wajahku dijajahnya. "Memang Tuhan anugerahkan mata untuk melihat. Sekarang, saya sedang melihat satu lagi anugerah Tuhan yang diberikan kepada saya. Kecantikan yang tidak pernah saya bayangkan, tapi sekarang baru saya tahu bahawa sungguh indah alam ini dengan adanya wanita secantik awak, Nurul Ain Bt Hamdi..." Ungkapan pertama keluar dari mulut Harriz.

Aku tersedak, hampir tersembur fresh orange yang sedang kuminum. Pantas tanganku mencari tisu di dalam beg tangan. Harriz masih tersenyum. Merah padam muka aku menahan malu. Bijak sungguh Harriz bermain dengan kata-kata. Aku
hampir terpedaya dengan pujiannya. Ahh...Lelaki, semuanya sama... "Tapi sayang, awak tidak menggunakan kecantikan awak itu untuk melambangkan hati awak. Buat pengetahuan awak, saya ini bukanlah seperti apa yang awak bayangkan. Niat saya
ikhlas untuk memperisterikan Nurul Ain Bt Hamdi. Jangan kerana awak kaya dan hidup mewah, awak takut saya akan merampas semuanya itu dari tangan keluarga awak. Terus terang saya katakan, seandainya awak ini adalah gadis cacat yang kudung tangannya atau bisu mulutnya saya tetap akan mengahwini awak walau awak miskin sekalipun. "Bagi saya, harta boleh dicari tapi cinta yang tulus suci hanyalah wujud sekali dalam hidup kita dan awak adalah wanita yang berada di dalam hati saya sekarang sehinggalah saya tidak bernafas lagi di atas bumi bertuah ini." Harriz tersenyum lagi. Aku pula tergamam.

Macam mana dia boleh mengenali aku sejauh begitu. Kata-katanya kedengaran seolah-olah kami pernah berjumpa. Tapi, aku rasa tidak kerana inilah kali pertama aku melihat wajahnya.Sungguh pelik orang ini. Harriz membuka fail biru itu. Tanpa dibaca walau sebaris ayat pun, dia mengambil pen dari poket bajunya lantas ditandatangani MOU tersebut. "Awak tak berniat nak baca MOU itu sebelum awak sign?" Aku memberanikan diri untuk bertanya pada Harriz. Sekali lagi dia memandang aku dengan pandangan yang penuh bermakna baginya. "Kalau saya baca, adakah niat awak itu akan berubah untuk menerima saya bagaimana ikhlasnya saya menerima awak?" Terperangkap lagi aku dengan kata-katanya. Entah kenapa di mana hilangnya marah aku dan semangat aku ketika itu.

Lelaki ini benar-benar lain. Tidakkk!!..... Aku bukan mudah untuk menerima dia. Cinta aku pada Izham masih kuat. Harriz bangun. Air minuman yang dipesan tidak disentuh, masih suci sepertimana aku. "Assalamualaikum...." Itulah kata-kata terakhir yang diucapkannya sebelum meninggalkan restoran itu. Aku terpinga-pinga. Pelik dan aneh lelaki ini. Sebelum aku berjumpa dengan Harriz, terlalu banyak kemusykilan tentangnya yang berlegar-legar di dalam fikiran aku. Kini pada pertemuan pertama kami, semakin bertambah kusut fikiran aku memikirkan tentang Harriz. Siapakah dia sebenarnya? Apakah yang dia mahu daripada aku? Atau adakah dia memang benar-benar tulus mencintai aku. Ahhhhh....makin difikir, makin pening aku dibuatnya.

1 comments:

Assalamualaikum kpd semua...tahniah bt saham,stu crite yg mnrik :)...mg dpt diteruskan tuk smbgn yg seterusnya...

Anonymous
January 31, 2009 at 3:58 PM comment-delete
Related Posts with Thumbnails