Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Hadis itu apa?

Kita sering mendengar mengenai hadis. Apakah yang di maksudkan dengan hadis itu sebenarnya?dan apakah yang maknanya hadis Qudsi, Hadis Shahih, Hadis Maudhu dan lain-lain lagi. Sedikit perkongsian mengenai hadis.

Hadis
Hadis berasal dari perkataan al-Hadits bermaksud 'baru' atau 'kata-kata'. Dari segi istilah, bermaksud, sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau sifat.

Sanad

Dari segi bahasa bermaksud, tempat sandaran. Manakala dari segi istilah pula iaitu, urutan atau rantaian para perawi hadis yang bersambung sehingga kepada matan (isi kandungan) hadis.


Matan pula ialah ungkapan hadis setelah berakhirnya nama-nama perawi-perawi yang meriwayatkan hadis itu.

Contohnya, hadis yang diriwayatkan oleh imam hadis seperti al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud. Lafaz hadis ini terdapat di dalam Sunan Abu Daud.

Sulaiman telah menceritakan kepada kami, Hammad telah menceritakan kepada kami, dinukilkan daripada Ayyub, dinukilkan daripada Nafi', dinukilkan daripada Ibn Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Janganlah kamu menghalang pemakmur-pemakmur ALLAH dari mendatangi masjid-masjid ALLAH."


Ungkapan 'Sulaiman telah menceritakan kepada kami, Hammad telah menceritakan kepada kami, dinukilkan daripada Ayyub, dinukilkan daripada Nafi', dinukilkan daripada Ibn Umar r.a katanya' inilah dinamakan sanad.

Manakala ungkapan 'janganlah kamu menghalang pemakmur-pemakmur ALLAH dari mendatangi rumah-rumah ALLAH (masjid)' ini pula dinamakan matan.

Hasan
Hasan dari segi bahasa bermaksud hadis yang baik. Dari segi istilah pula, hadis yang diriwayatkan secara bersambung sanadnya oleh perawi yang adil (tidak berterusan melakukan dosa kecil dan menghindari dosa besar), kurang sedikit daya ingatannya berbanding perawi hadis sahih, daripada mula sanad sehingga akhir, tidak ganjil dan tidak ada kecacatan yang boleh menggugat kesahihan hadis.

Daif
Dhaif dari segi bahasa, lemah atau sesuatu yang berlawanan dengan kuat. Dari segi istilah pula, hadis yang tidak sampai kepada martabat hasan kerana tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Maudhu' (Palsu)
Hadis Mudhu' atau hadis palsu ialah sesuatu perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w secara dusta. Sedangkan hakikatnya baginda tidak ada kaitan dengan semua itu.

Sahih
Sahih dari segi bahasa bermaksud, sihat, iaitu berlawanan dengan sakit. Dari segi istilah, hadis yang bersambung sanadnya daripada perawi yang adil (tidak berterusan melakukan dosa kecil dan menghindari dosa besar), kuat daya ingatan, daripada mula sanad sehingga akhir, tanpa keganjilan atau kecacatan yang boleh menggugat kesahihan hadis.




0 comments:

Related Posts with Thumbnails