Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

LAPORAN PROGRAM IJAZAH SANAD AL QURAN 2013

Bersama Syeikh Asyraf (tiga dari kiri) dan Syeikh Abdul Aziz (empat dari kiri)

Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama IQBA Training Centre telah menganjurkan program Ijazah Sanad l-Quran pada 25 Januari 2013 – 9 Februari 2013 di Kaherah, Mesir. Program ini telah berjalan dengan lancar dan kami telah pulang ke tanah air dalam keadaan selamat. Objektif program ini adalah untuk mendapatkan Ijazah Sanad Al-Quran dengan bacaan Al-Quran secara bertalaqqi dari Sheikh Quran di Mesir serta bersambung sanad dengan Rasullulah s.a.w. Program ini mampu membuka minda mahasiswa/i dengan sejarah Islam, cara bacaan bertajwid serta sebutan makhraj huruf yang betul yang berlaku dari zaman Rasulullah hingga sekarang.

Sebahagian daripada peserta Program Ijazah Sanad Al-Quran
Seramai 13 orang peserta termasuk 2 staf PIMPIN UMP telah menyertai Program Ijazah Sanad Al-Quran ini. 8 orang peserta daripadanya adalah dari kalangan mahasiswa UMP, 2 orang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), 1 orang daripada Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) dan 2 orang daripada staf PIMPIN.  Sepanjang dua minggu program ini berjalan, ruang masa kami dipenuhi dengan Kelas Pembacaan Al-Quran dan Kelas Pengajian Tajwid di Darrasah, Kaherah, Mesir. Tenaga pengajar bagi kelas pembacaan Al-Quran ialah Syeikh Asyraf Hamid Hasanain Al Azhari Al Misri dan Syeikh Abdul Aziz Al Baidhowi Al Bajuri Al Azhari Al Indonisi. Manakala, tenaga pengajar bagi kelas pengajian tajwid ialah Al Fadhil Ustaz Hakim Bin Azizan. Saya, Muhamad Faisal bin Razali, selaku presiden Sahabat Masjid (SAHAM) UMP, telah mengetuai kumpulan mahasiswa yang pergi untuk program Ijazah Sanad Al-Quran di Kaherah Mesir ini.

Suasana ketika bertalaqqi
Setelah dua minggu berusaha dan memperbetulkan bacaan Al-Quran secara bertalaqqi di hadapan Syeikh, kami berjaya mendapatkan Ijazah Sanad Al-Quran daripada Syeikh Asyraf Hamid Hasanain Al Azhari Al Misri dan Syeikh Abdul Aziz Al Baidhowi Al Bajuri Al Azhar Al Indonisi. Mempelajari ilmu Al-Quran adalah Fardhu Kifayah tetapi mempelajari Al-Quran secara bertajwid adalah Fardhu Ain iaitu wajib bagi setiap umat Islam. Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah Utrujjah (seperti limau besar) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al- Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”. (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Setakat itu sahaja untuk laporan mengenai perjalanan sepanjang program Ijazah Sanad Al-Quran siri pertama di bumi kinanah, Kaherah Mesir. Wallahu’allam.
Ziarah ke Masjid Sultan Ahmed a.k.a hagia Sophia @ Aya Sofya


(MUHAMAD FAISAL BIN RAZALI)
Presiden
Sahabat Masjid (SAHAM) 12/13
Universiti Malaysia Pahang

0 comments:

Related Posts with Thumbnails