Menjadi Hamba Tanpa Musim
Kita adalah hambaNya, tanpa mengira musim!
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Segala puji-pujian hanya dan selamanya untuk Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, yang tiada lain ku dambakan dariNya melainkan keredhaanNya terhadap diriku dan juga kalian.
Ramadhan telah pergi. Pergi buat kesekian kalinya. Tidak tahu apakah masih ada peluang untuk bertemunya sekali lagi. Ramadhan telah habis dan tidak ada, tetapi Allah tetap ada. Siapa yang beriman dengan Ramadhan, maka sesungguhnya Ramadhan telah pergi. Sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah sentiasa ada untuk menjaganya.
Dan, misi Ramadhan itu telah selesai bagi semua. Bezanya, ada yang berjaya dan ada yang gagal. Bagi yang telah berjaya melaksanakan misi ini, maka sungguh dia telah berjaya. Rahmat Allah melimpah ruah ke atasnya, berlipat kali ganda keampunan ditambah lagi janji pembebasan daripada api neraka.
Bagi yang gagal, maka telah nyata dia gagal dan rugi. Tidaklah menghairankan selepas ini, jika ada yang menukarganti ‘persalinan-persalinan’ sebagai hamba Allah, dan memakai ‘persalinan’ yang bukan kepunyaan Allah.
‘PERSALINAN’ ALLAH, BOLEHKAH DITUKARGANTI?
Semasa Ramadhan, ramai yang memakai ‘persalinan’ sebagai hamba Allah. Berpuasa. Membaca Al-Quran. Melaksanakan solat-solat sunat. Alhamdulillah. Itu satu perkembangan yang sangat baik. Tetapi, sayangnya ia tidak bertahan lama.
Ramai yang mula menanggalkan ‘persalinan’ itu usai Ramadhan. Lupa yang dulu mulutnya pernah berzikir, membaca ayat-ayat Allah. Lupa yang dahulunya dahinya pernah sujud, tunduk penuh kehinaan di depan Allah. Mulalah memakai ‘persalinan’ baru yang bukan milik Allah. Sedangkan kehidupan kita sebagai hamba Allah ini adalah 24/7.
Sekiranya kita memakai ‘persalinan’ selain Allah yang punya, maka kita seolah-olah telah merehatkan diri kita daripada menjadi hamba Allah. Maka, bermulalah episod kehidupan yang diisi dan dicampuraduk dengan siri-siri maksiat dan dosa kepada Allah bila diri rehat daripada menjadi hamba Allah.
Sepatutnya tidak ada masa rehat untuk IMAN walau sesaat pun. Siapa yang memberi rehat kepada IMAN, maka tunggulah NAFSU dan konco-konconya akan bermaharajalela dan mengambil alih jiwa.
Apabila bukan iman yang menguasai jiwa, maka tunggulah kehancuran dan kerosakan akan bertebaran di atas muka bumi ini.
Imam Ahmad Ibn Hanbal pernah ditanya: “Bila seseorang mukmin itu boleh beristirehat?” Jawabnya : “Bila kakinya telah berada di syurga.”
Justeru, mari muhasabah sebentar. Masih adakah masa rehat selepas Ramadhan? Masih adakah masa untuk berehat dalam perjalanan mengejar syurga Allah? Tidak. Sebenarnya tidak ada walau sesaat sekalipun. Hatta, masa tidur (bukan semua jenis tidur) pun sebenarnya adalah sebahagian daripada saham dalam perjalanan itu.
Kita perlu pastikan usaha kita untuk menjejaki syurga Allah itu berterusan, ada ISTIMRARIAH (penerusan). Kerana nanti, di syurga, kita pun akan hidup secara berterusan. Maka, untuk itu, usai Ramadhan ini, ada sesuatu yang besar kita perlu lakukan.
JADILAH HAMBA ALLAH TANPA MUSIM
Yang kita perlu lakukan, jadilah hamba Allah tanpa musim! Jadikan setiap musim, adalah musim-musim perhambaan kepada Allah. Berdiri penuh ketundukan kepada Allah. Berjalan untuk memakmurkan bumi ini dengan sistem Allah.
Itulah hamba tanpa musim. Yang layak memiliki syurga itu hanyalah yang terus-menerus bergerak sebagai hamba Allah dalam kehidupan. Sabda Rasul s.a.w. yang mafhum bermaksud:
“Berpegang teguhlah dengan (amal) yang benar (dengan tidak melebih-lebihkan dan tidak pula meringan-ringankan) dan buatlah sesuatu (amal) yang lebih hampir kepada sempurna (jika kamu tidak mampu melakukan yang sempurna itu) dan ketahuilah amalan seseorang dari kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan (ketahuilah) bahawa amal yang paling disukai Allah ialah (amal) yang paling berkekalan sekalipun sedikit.” [HR Bukhari Muslim]
Orang yang bersemangat hanya pada musim tertentu sahaja, semangat itu tidak ada nilai jika amalannya tidak berterusan. Semangat yang bukan atas dorongan iman, ia tidak akan berkekalan.
Sangat bersemangat mengikuti solat tarawih pada bulan Ramadhan, curahkan sepenuh tenaga untuk membaca Al-Quran di bulan Ramadhan, tetapi usai Ramadhan, semangat pun hilang, keseronokan dalam beribadah pun sudah pudar. Dan yang lebih menakutkan, adalah apabila dia kembali meletakkan selain Allah sebagai keutamaan dalam kehidupan!
PENUTUP : PROGRAMKAN PENERUSAN UNTUK PERUBAHAN!
Istimrariah (penerusan) perlu dirancang, bukan hanya dicanang. Barulah akan wujudnya perubahan dan peningkatan. Bahkan Nabi sendiri menganjurkan ummatnya supaya meneruskan amalan ketaatan kepada Allah di bulan Syawal dengan ibadah puasa selama enam hari.
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya bermaksud : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun. [Hadis riwayat Muslim]
Lihat, Nabi pun merancang dan menyusun penerusan. Takkan kita berdiam diri sahaja tanpa ada pelan tindakan? Tidak ada orang yang ke syurga dengan tangan kosong. Mustahil juga ada orang berjaya dalam peperiksaan tanpa melakukan apa-apa persediaan.
Nabi s.a.w. sendiri pun menitiskan air mata dan darah, untuk membuktikan kepada ummatnya bahawa hendakkan syurga, perlukan kesungguhan. Lihatlah peristiwa Perang Khandak. Itu adalah bukti. Nabi s.a.w. dan para sahabat menggali parit, berusaha dengan semaksimum mungkin membuat persediaan untuk berperang dalam bulan Ramadhan. Dan, mereka tidak berhenti setakat itu.
Bahkan, usaha mereka berterusan hingga selepas Ramadhan, berperang dan meraih kejayaan dalam peperangan itu. Itu adalah peningkatan setelah usaha yang berterusan. Kita perlu susun dan rancang penerusan kita selepas Ramadhan ini. Biar nanti kita tidak bermusim dalam mentaati Allah.
Biar nanti usaha kita berterusan mengejar syurga Allah itu ada buktinya dalam setiap saat kehidupan. Barulah layak untuk kita memiliki kemuliaan dan ketinggian.
“Laisal ‘aidu man labisa jadid walakinnal ‘aida man tho’atuhu yazid”
Maksudnya : Bukanlah Hari Raya itu itu untuk yang berpakaian baru, tetapi Hari Raya itu ialah bagi mereka yang semakin bertambah ketaatannya kepada Allah.
Justeru, ayuh meraih himmah dengan istimrariah !
0 comments:
Post a Comment