Kerana Cinta
DIA yang PERTAMA..DIA yang UTAMA
Kata orang, cinta itu melahirkan kekuatan bukan menyebabkan kelemahan. Cinta itu membuatkan yang berat terasa ringan. Cinta juga menjadi pemangkin untuk terus berjuang. Pendek kata, cinta itu inspirasi kehidupan. Apabila bercinta semuanya terasa indah. Tawar, pahit, masin, masam dan semua rasa menjadi manis disebabkan cinta. Begitulah indahnya jika cinta telah menguasai diri.
Si ibu sanggup berjaga malam menjaga anak kecil..
Si ayah rela bermandi peluh mencari rezeki..
Si pelajar sanggup bersengkang mata mengulangkaji pelajaran.
Si gadis sanggup meninggalkan keluarga demi kekasih hati.
Si teruna sanggup berhabis wang untuk si dara.
Semuanya sanggup berbuat apa sahaja demi cinta. Tidak kira susah mahupun senang, semuanya rela dilalui demi cinta.
Tetapi, AWAS...
Cintakan makhluk cukuplah sekadarnya. Jangan meletakkan cinta itu melebihi cinta kita kepada pencipta kita iaitu ALLAH swt. Kembalikan cinta itu kepada yang lebih utama, yang lebih berhak. Apabila cinta itu diletakkan pada yang hak, nescaya nikmat sebenar cinta itu akan dirasai.
Carilah cinta Allah, nescaya kita akan melalui hidup dengan penuh makna.
Carilah cinta Allah tatkala dahi bertemu sejadah.
Carilah cinta Allah di kala surat cintaNya ditatap, dialunkan dengan suara penuh syahdu.
Carilah cinta Allah dengan mengangkat kedua tangan memohon redhaNya.
Carilah cinta Allah di saat keheningan malam dengan tahajjud padaNya.
Kerana cinta itu menuntut ketaatan dan kepatuhan, maka carilah cintaNYA.
Apabila cinta Allah telah dimiliki, segala yang makruf akan terasa ringan untuk dilakukan dan segala yang mungkar akan dibenci. Kita tidak akan rugi malah memberi keuntungan yang tidak mungkin kita peroleh di dunia ini jika cinta Allah didahulukan dalam kehidupan kita.
Sama-sama kita muhasabah diri di mana letaknya cinta Allah selama ini. Sesungguhnya Allah maha pengasih dan maha penyayang.
1 comments:
Benar tu,,Sgt setuju!
Post a Comment