Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Kenapa Takut Manusia??

Akidah merupakan asas penting dalam pembinaan tamadun manusia. Oleh itu ianya membawa kesan yang besar dalam mempengaruhi seluruh agenda hidup mereka seharian. Akidah menentukan matlamat dan hala tuju hidup seseorang. Dengan akidah jugalah manusia dapat menilai baik dan buruk sesuatu perkara. Oleh sebab itu bertolak dari asas akidah akan terbentuk suatu kerangka kerja insan sesuai dengan hasrat mencapai wawasan hidup yang unggul.

Dengan kata lain, seseorang yang berakidah dengan akidah yang sahih akan melahirkan perbuatan-perbuatan lahiriah yang betul dan baik pula, mengucapkan ucapan yang betul dan jauh dari peribadi yang tidak sihat. Sabda Rasulullah saw (riwayat al-Bukhari dan Muslim) bermaksud:

“Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badannya dana apabila ia rosak maka rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati.”

Jelasnya seseorang yang berakidah dengan akidah yang benar akan memanifestasikan kehidupan yang luhur sebagaimana luhurnya akidah yang tersembunyi jauh di lubuk hatinya. Dengan akidah juga akan melahirkan perasaan taqwa, tawakkal dan penyerahan diri secara mutlak kepada Allah Taala dengan melakukan apa sahaja yang diperintah dan meninggalkan yang apa sahaja yang dilarang, tunduk dan patuh kepada hukum dan peraturan Allah serta menerima dengan penuh pasrah dan ikhlas terhadap qadha’ ketentuan Allah.

Seseorang yang mempunyai akidah yang teguh akan melahirkan perbuatan-perbuatan yang baik dalam mencapai matlamat masing-masing. Akidah menentukan matlamat dan hala tuju hidup seseorang. Matlamat yang baik tidak bermakna kita boleh membuat sebarang perkara yang bercanggah dengan syara’. Islam membenarkan kita untuk melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat yang kita inginkan selagimana cara yang kita gunakan itu tidak melanggar syara’. Sebenarnya bukan semua matlamat tidak menghalalkan cara dan bukan semua matlamat boleh menghalalkan cara. Ustaz Zaharuddin di dalam blognya telah menjelaskan berkaitan ‘Matlamat menghalalkan cara’ dan ‘Matlamat tidak menghalalkan cara’.


Sebagai seorang beragama Islam dan telah mengucapkan kalimah tayyibah, seharusnya kita memahami tanggungjawab kita. Hakikatnya kini, kita seolah-olah lebih takut kepada manusia yang lemah dan lupa bahawa Pencipta kepada manusia tersebut ialah Allah s.w.t. Kita takut sekiranya manusia akan mengambil tindakan ke atas kita, tetapi kita tidak takut akan tindakan yang Allah akan ambil kelak. Saman seorang manusia sangat kurang nilainya berbanding ‘saman’ Allah yang tidak ternilai harganya. Kemungkinan besar kita tidak mampu untuk membayar ‘saman’ yang Allah keluarkan dan akhirnya neraka tempat kita kelak. Kita inginkan redha manusia tetapi alpa akan keredhaan Allah s.w.t. Janganlah kita takut akan kemurkaan manusia sekiranya kita di jalan yang benar. Tetapi takutlah kita akan kemurkaan Allah s.w.t. Ingatlah bahawa Allah telah berfirman di dalam Surah Muhammad ayat ke 7 yang bermaksud;

“Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
Surah Muhammad;7

Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya.

Wallahu’alam.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails