Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Terlalu Menyintai (Bahagian 2)

Kini, telah hampir seminggu aku menjadi isteri kepada seorang lelaki yang tidak aku cintai. Majlis perkahwinan yang diadakan amat meriah tetapi aku tidak merasai keseronokan itu. Mungkin Harriz juga begitu. Perhubungan aku dan Harriz memang terbatas. Itu adalah syarat aku sendiri sebelum Harriz melafazkan akad nikah. Kami hanya berpura-pura mesra di hadapan ibu dan ayah tetapi di sebalik tabir kehidupan kami, tidak wujud kemesraan tersebut. Harriz benar-benar memberi kerjasama yang baik. Kadangkala simpati aku menjengah di hati kecilku. Pernah aku menasihati dia supaya melepaskan aku sebelum tamat kontrak perkahwinan kami tapi Harriz bukanlah lelaki yang senang dipujuk rayu. "Saya seorang yang menepati janji. Walau hati ini berat untuk berpisah dengan awak, saya tetap akan patuhi syarat awak bahawa kita hanya bercerai selepas tamat tempoh kontrak. Awak sendiri tahu bagaimana perasaan saya pada awak. Tidak munasabah andai saya menceraikan awak sekarang. Kalau boleh, saya mahu takdir membuka pintu hati awak untuk menerima cinta saya dan menyayangi saya sebagaimana tulus dan sucinya cinta saya terhadap awak.

" Tiba-tiba Harriz memegang tangan kananku ketika aku sedang mengikat rambut lantas diciumnya perlahan seolah-olah aku ini bagaikan puteri yang sedang berhadapan dengan rakyat biasa. Berderau darahku ketika itu. Aku menjarakkan diri. Bulat mataku memandangnya. Tanpa segan renungan Harriz semakin tajam memandang ke arah aku. Aku gementar. Rasa marah dan geram wujud dalam diri ini. Harriz cuba untuk memperdayakan aku dengan kata-kata manisnya.

"Tolong jangan bersikap kurang ajar! Sudah cukup selama ini saya bertahan dengan sikap dan perangai awak!! Awak jangan umpan saya dengan kata-kata manis awak tu. Saya tak akan terpengaruh. Kontrak tetap kontrak. Biarpun setahun atau dua tahun atau selama-lamanya, saya tidak akan mencintai awak atau belajar untuk menyintai awak!! "Cinta saya hanyalah untuk Izham. Awak tahu bukan? Izham lebih dahulu hadir dalam hidup saya tapi awak merosakkan segala-galanya dengan memperalatkan ayah dan ibu saya. Saya bukan macam mereka. Itu sahaja yang awak perlu tahu!!" Bentakku tiba-tiba dengan penuh berani. Aku sendiri terkejut dengan tindakan aku. Dari mana aku dapat kekuatan untuk melawan perasaan aku? Aku memaling ke arah lain. Terasa semangat untuk mempertahankan diri wujud dalam diri ini. Mungkin kerana rindu aku pada Izham semakin kuat dan kesalahan aku pada Izham juga berat. Harriz hanya diam. Sedikit sebanyak nampak juga perbezaan di raut wajahnya yang mungkin
terkejut dengan kata-kata amarahku yang tiba-tiba.

"Maafkan saya kerana buat awak marah. Saya tak ada niat untuk menyakitkan hati awak, Nurul Ain. Saya harap kita masih boleh jadi kawan," ringkas sahaja kata-kata Harriz kali ini. Aku masih tidak memandang wajah Harriz. "Nampaknya dah masuk waktu solat Isyak sekarang. Mari, kita berjemaah," pelawa Harriz lembut. Aku memandang wajahnya. Dia tersenyum, "Saya tunggu di bilik." Harriz berlalu pergi meninggalkan aku di ruang tamu. Perasaan marahku sudah reda. Malu pun ada bila mengenangkan kembali kemarahan aku yang berapi-api itu. Nampaknya Harriz masih boleh buat muka selamba sedangkan sudah berbakul-bakul aku memarahinya sepanjang dia duduk di rumahku. Tidak tahu bagaimana lagi untuk aku mewujudkan rasa benci dalam diri Harriz supaya dia membenci aku.


Kini, perkahwinan kami sudah hampir 3 bulan. Ayah dan ibu pula sudah bertanya tentang keadaan kesihatan aku. Itu tidak lain dan tidak bukan mesti berkaitan dengan hal anak. Bagaimana aku nak memberitahu mereka bahawa aku ini masih suci lagi. Harriz tidak pernah menyentuh aku walaupun dia berpeluang. Dia benar-benar mengikut segala kontrak yang ditulis oleh aku itu supaya tidak menjalinkan apa sahaja hubungan dengan aku. Aku bertambah bingung. Segala apa yang aku lakukan semuanya tidak menjadi. Harriz masih lagi menyayangi dan menyintai aku. Aku dah tak tahu nak buat apa.

Aku rindukan Izham di saat-saat begini. Aku kesunyian. Tanpa Izham aku rasa kehilangan. Kadangkala aku nampak bayangan Izham dalam diri Hariz. Sampai bila aku mampu bertahan. Harriz terlalu baik terhadap aku. Hanya perempuan gila sahaja seperti aku yang tidak jatuh cinta padanya setelah pelbagai cara dia lakukan untuk menambat hati aku. Aku juga manusia biasa. Cinta akan datang dan pergi sesuka hati dalam hidup ini. Apakah perasaan aku terhadap Harriz sekarang? Aku semakin bingung dengan kehidupan yang aku lalui kini.

Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Aku tiba lewat di rumah. Tapi, bukan kerana banyak kerja di pejabat cuma aku sengaja pulang lambat supaya Harriz menyangka aku perempuan yang selalu balik lewat malam kerana puas berseronok di luar. Terjengket-jengket kaki aku melangkah masuk. Suasana gelap menyelubungi rumah banglo dua tingkat pemberian hadiah ayah sempena perkahwinan kami. Mujurlah hanya aku dan Harriz yang tinggal di sini. Kalau tidak, tentu aktiviti kami akan terbongkar lebih awal. Minta-minta Harriz akan memarahi aku kerana pulang
lewat. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke tangga tapi aku telah terlanggar sesuatu yang besar di hadapan. Hampir terjatuh aku dibuatnya namun, mujur ada seseorang yang sempat memaut pinggangku supaya tidak terjatuh. Berderau darah dibuatnya. Lampu ruang tamu dipasang... Aku tergamam. Pinggangku masih lagi dipaut oleh Harriz. Mata bertentang mata. Hampir beberapa saat aku tidak bercakap. Tersedar dari lamunan, aku pantas menolak Harriz ke tepi. Wajahku mula berubah. Merah padam jadinya. Marah bercampur malu benar-benar ada dalam diri aku sekarang
"Awak ni kenapa?!! Macam pencuri!! Nasib baik saya ni tak ada sakit jantung. Dah pukul 2.00 pagi. Awak tak reti-reti nak tidur?" Aku memarahi Harriz.
"Saya tunggu awak...."
"Tak payah nak tunggu-tunggu. Saya ni bukannya budak kecik lagi. Saya tahu pukul berapa saya nak balik. Awak ni orang gaji saya ke?"
"Awak dah makan? Hari ni saya masak lauk kegemaran awak, masak lemak cili api ikan keli. Awak mesti suka. Mari makan sama, saya tak makan lagi ni."
Harriz mempelawa aku. Masak lemak cili api ikan keli? Terliur aku dibuatnya. Aku memang tengah lapar gila ni. Maklumlah, satu hari aku tak makan apa. Tengah hari tadi tak keluar pun sebab kerja banyak. Petang pula ada mesyuarat. Bila
dah habis kerja, aku pulak yang sengaja balik lewat hanya semata-mata nak nak sakitkan hati Harriz. Sampai pukul 1.30 pagi aku duduk di pejabat. Tak terfikir nak makan pun. Sekarang, dah lapar. Bodoh betul aku. Takkanlah aku setuju
nak makan dengan dia. Habislah rancangan aku nak bagi dia marah.
"Awak ni pandai masak ke? Saya ni memilih orangnye. Takpelah saya dah kenyang. Dah makan kat luar pun. Awak nak makan, awak makanlah sorang."
Aku pura-pura menguap di hadapannya "Ahh.. ngantuknya.."
"Saya tahu awak belum makan lagi. Awak tentu lapar." Harriz terus menuju ke ruang makan. Dia membuka tudung saji dan menyendukkan nasi untuk aku dan dirinya sendiri. Beria-ia benar dia mengajak aku. Macamana dia tahu aku tak
makan? Aku masih lagi tercegat di antara ruang tamu dan ruang makan. Sesekali aku menjeling ke arah Harriz yang sedang leka menyiapkan makan malam yang
rasanya dah boleh jadi makan pagi. Sanggup dia tak makan kerana menunggu aku semalaman. Boleh percaya ke lelaki ni? Jangan-jangan dah siap makan. Saja nak tarik perhatian aku supaya simpati kat dia. Aku pantas menaiki tangga meninggalkan Harriz.
"Awak tak nak makan? Tak sakit perut ke, awak? Nanti, kalau awak jatuh sakitkan susah..." Harriz menasihati aku. Langkahku terhenti.
"Awak tak faham bahasa Melayu? Kan saya dah cakap, saya dah kenyang. Kalau awak nak makan, awak makanlah sorang. Saya nak naik atas, nak mandi dan tidur. Awak jangan ganggu saya!!" aku bentak keras.
"Tak pelah, saya makan dulu. Nanti, kalau awak rasa lapar, awak makanlah ye. Pergilah awak berehat," Harriz mengakhiri perbualan kami.

Aku terus naik ke atas dengan perut yang benar-benar lapar. Rasa nak terbalik dunia ni. Ya Allah laparnya. Hanya Tuhan saja yang tahu. Kenapalah
aku boleh bertindak bodoh. Dah ada orang siap masak, aku saja yang sombong tak bertempat. Sekarang, siapa yang merana? Bukankah aku...? Itu baru satu keadaan di mana dia boleh bertahan dengan sikap aku. Tapi, kali ini aku pula yang tak tahan dengan keadaan kami apabila terpaksa berlakon di depan ayah dan ibu sewaktu kedatangan mereka ke rumah kami. Dari berdiri jarak 50 meter kini dah rapat macam belangkas. Dari muka yang masam macam cuka kini aku terpaksa senyum meleret. Aku kena memainkan peranan sebagai isteri dan Harriz sebagai suami
sedangkan gelaran itu memang ada pada kami. Terasa kaku aku pada permulaan watak tetapi Harriz bijak memainkan peranannya sebagi suami.

"Berapa lama mak dan ayah nak tinggal di sini?" Aku mengajukan soalan sebaik sahaja ibu dan ayah duduk di ruang tamu selepas kami menjamu selera tengah hari itu. Percaya atau tidak, semua masakan dimasak oleh Harriz tapi dia memberitahu ibu dan ayah yang aku memasaknya. Ibu tersenyum menggeleng.
"Ain...Ain... Mak dan ayah belum panas punggung lagi dah ditanya bila nak balik. Mak ni, rindukan anak mak. Salahke mak melawat anak mak yang kini dah jadi isteri orang," balas ibu. Aku tertunduk malu. Ye tak ye jugak..
"Ain ni bukannya apa mak. Dia takut mak dan ayah balik awal. Duduklah 2-3 hari kat sini, mak. Lama-lama pun tak apa. Kami pun berdua. Kalau ada mak dengan ayah, taklah sunyi kami ni.." Harriz menyampuk. Aku menjeling pada Harriz.

Nampaknya, dia ni nak mengambil kesempatan. Ketika itu tangan kirinya sengaja memeluk pinggangku. Aduh, geli betul. Aku tak boleh nak tolak. "Yelah, mak. Duduklah lama-lama kat sini. Mak pun tentu bosan duduk kat rumah, lagipun ayah kerja." Aku terpaksa menipu. Kalau boleh nak saja aku menyuruh mak dan ayah balik sekarang juga. Bukannya aku tak sukakan mereka tapi aku tak mahu berlakon lagi.
"Tak bolehlah macam tu. Kamu dah berkeluarga. Mak dan ayah tak nak ganggu kamu. Kami ni datang saja nak melepas rindu. Dua hari lagi kami baliklah."
Alamak 2 hari lagi??? Terasa seperti 2 tahun nak menunggu mereka balik. Aku lihat Harriz tersenyum meleret. Makin erat dia memeluk pinggangku. Suhu di kepala aku ni dah mendidih. Rasanya nak saja aku cekik-cekik Harriz sekarang. Betul-betul mengambil kesempatan.

Aku pantas bangun. Semua mata memandang ke arah aku. "Tak pelah, mak ayah. Ain ada hal sekarang ni. Pukul 2 petang Ain ada mesyuarat dengan pelanggan. Nanti malam baru Ain balik. Mak dan ayah tak payah tunggu Ain. Tak tahu pukul berapa Ain balik." "Hari ni kan Ahad, Ain. Takkan bekerja jugak. Kesian kat Harriz ni. Sepatutnya, masa cuti jangan diganggu. Kamu tu dah kahwin, dah bersuami. Kamu kena jaga makan pakai si Harriz ni. Kesian Harriz." Berbakul-bakul ibu membela Harriz. Eeeee....bertambah-tambah geram aku.
Ayah hanya tersenyum. Tak banyak cakap. Malas nak masuk campurlah tu. Pendek kata, apa saja yang ibu cakap ayah akan setuju. Betullah mereka ni satu kepala. Berbeza aku dan Harriz, ibarat panggang jauh dari api. "Ain memang ada hal petang ni, mak. Tak boleh nak tolak. Pelanggan Ain tu dari Jepun. Dia tak boleh lama kat sini." Aku membalas kata-kata ibu dengan harapan Harriz akan membantu aku. "Takpe, mak. Saya tak kisah, lagipun selama ni tak pernah kurang kasih sayang Ain pada saya. Lagipun saya kenal pelanggan Jepun tu. Dia kawan lama saya masa kursus kat Tokyo dulu." Harriz menyokong aku. Lega rasanya di hati. Aku memandang Harriz. Dia hanya tersenyum. Tiba-tiba saja dihulurkan tangannya supaya aku mencium tangannya. Mahu tak mahu terpaksalah aku bersalam dan mencium tangan Harriz. "Saya pergi dulu, bang.." Lembut aku bersuara meminta izin. Mak dan ayah tersenyum-senyum memandang gelagat kami berdua. Rasa senang di hati mereka melihatkan kemesraan aku dan Harriz yang sebenarnya dibuat-buat.

1 comments:

salam.. ade smbungn lgi x?

March 2, 2009 at 10:17 PM comment-delete
Related Posts with Thumbnails