Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Jangan Dekati ZINA

Kami tidak berzina!
Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.

Kami hanya berbual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum … adakah itu menghampiri zina?
Ya, perbuatan itu boleh menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.

Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat kearah itu.
Hari ini, ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan
bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang
mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya amat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula terlupa. Siapalah kita jika dibandingkan dengan Adam dan Hawa? Iblis amat licik. Pengalamannya banyak. Ia ada lebih 1001 cara. Ingat, pesanan Rasulullah: Janganlah engkau bersendirian dengan dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan (HR Tabrani) Syaitan akan menghembus perasaan berahi. Kita lemah untuk menghadapi tipu daya Iblis.

Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada perzinaan. Adayang hanya bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak pernah bersua muka pun!
Betul. Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada
awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora. Lambat launnya desakan nafsu danperasaan serta hasutan Iblis, akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti di situ sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu pun zina juga ke?.
Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu
berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ketempat pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman (HR Muslim dan Abu Daud).
Sebenarnya jalan dan lorong
menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada perzinaan.

Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!
Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hambanya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati olehAllah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebih lagilah.Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis ibadat oleh malaikat Raqib dan Atid?

Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni study group.
Study Group…? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi.Takkan study group berdua sahaja? Kemana-manapun berdua. Kalau ye pun,
carilah group study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni…betul ke bincang
pelajaran?. Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu… banyak masa
dihabiskan dengan fantasi cinta!

Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang
sihat ke?. Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan fitrahmanusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula.

Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta? Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?
Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jangan jadi malaikat! kerana Allahciptakan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri / nafsu.

Tentu ada cinta secara Islam.
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab qabul; cinta lepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam. Apabila Islam melarang sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kalau ia melarang cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa “sesuatu” sebagai ganti yang lebih baik iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah: Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (HR
Ibni Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.

Kalau begitu, cinta remaja semua menghampiri kepada perzinaan?
Ya. Kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam…Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan perzinaan? Penghujung jalan cinta adalah perzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah perzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibubapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.
Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang.

Jadi manusia itu tak tahan diuji?
Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak tahan dengan ujian walaupun kecil. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya jangan makan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan hampir pokok khuldi itu. Firman Allah:

Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari
makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu
hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari
orang-orang yang zalim. (al-A’araf: 19)

Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi. Tetapi Allah tahu sifat dan
kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan
memakannya. Kerana mereka tidak dapat mengawal diri. Demikianlah dengan zina. Ditegah
berzina. Maka jalan kearah perzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan perzinaan, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

Tetapi cinta lepas kahwin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenali hati budi pasangan sebelum buat keputusan berkahwin.
Bolehkah percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakunan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai-bagai lagi. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang memujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dengan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang. penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat sampai berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit.

Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagian hidup nanti.
Bagaimana diharap kebahagian jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagian adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Kebahagian bukan ciptaan manusia. Manusiahanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahnya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagian itu, jika jalan mencapai kebahagian itu tidak diredhai Allah. Kebahagian hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?

Tanya sikit,.. adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? ganti bercinta..
Semua itu adalah perangkap Iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak belainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya “angkat” ini sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina.

Jadi, seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?
Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh pencipta manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentutkan oleh Allah.

Adakah orang yang bercinta hilang maruah?
Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba
menggadai maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan. Manakala orang yang bercinta
dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina juga. Mereka tidak layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah berfirman:

Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melaikan dengan perempuan
yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula
(lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau
lelaki musyrik . Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang
yang beriman.
(Surah al-Nur: 3).

Kami telah berjanji sehidup semati
Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan
diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu,
sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggung jawab.
Tahukah hati budi lelaki ? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok suka dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?
Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang “second hand” sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di show room sahaja; display only. Tapi ada yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah kehulu, kehilir. Sedihkan. Itulah hakikatnya.

Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini?
Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlahmereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah:

Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan
yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina)
… Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang
besar. (Al-Ahzab: 35)

Bagaimana kami?
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon
keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya.

Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha.
Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi 3 syarat:
1. Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredai Allah ini.
2. Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam
percintaan.
3. Berazam. Bertekat didalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan
seorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab Kabul.

Ya Allah. Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini.
Sesungguhnya engkau maha pengampun dan penerima taubat. Berilah kekuatan
kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku perasaan
benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu
berdosa. Engkau jaga diriku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapa ku curahkan
kasih itu kepada orang lain. Oh tuhan, hambamu berdosa……
Amin, Ya Rabb. Moga Allah terima taubat mu.

Kita berpisah kerana Allah. Kalau ada jodoh, tidak kemana!
Ya Allah bantulah mereka. Kini mereka datang kepintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat mereka.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails