Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin.Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zaynab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam.Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zaynab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku.Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi.
“Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.”
Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar.
Zainab al-Ghazali menyakini bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal sosial, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat.
Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan sosial apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam.Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam.Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan.
Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser.Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa regim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan.Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam.
Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan.Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat.Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan.Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.
Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam.Beliau juga menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama’ kerana perjuangannya yang luar biasa.
Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia.











