Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.
Pengertian
Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.


Peristiwa Penting


1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) 
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untukmencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

http://www.ezsoftech.com/ramadan/i/baitul_muqaddas.jpg


4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm. 




Amalan


Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.






Bersempena Israk Mikraj ini, pihak Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Sahabat Masjid (SAHAM) telah mengadakan satu ceramah agama bertajuk " Generasi Salahuddin Al-Ayubi". Penceramah jemputan ialah Dr Aminurrasyid Yatiban, PhD Islamic Jerusalem Studies, Al-Maktoum Institue for Arabic and Islamic Studies, Universiti of Aberdeen, Dundee. Semua dijemput hadir. Bersama-samalah kita memeriahkan lagi majlis ilmu ini disamping menghayati sejarah Islam. InsyaAllah~

Sumber Disediakan oleh:
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri 

iLuvislam
Assalaamua'laykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Alhamdulillah sudah hampir sebulan mahasiswa/i baharu diploma berada di Universiti Malaysia Pahang. Pastinya pelbagai pengalaman,suasana dan rakan-rakan baru telah ditemui sepanjang berada di dunia varsity ini. Lumrah sebagai seorang mahasiswa/i, setiap hari akan berhadapan dengan pensyarah, ‘assignment’,tutorial dan sebagainya yang kadangkala boleh menimbulkan kebosanan. Oleh itu, kami daripada pihak Sahabat Masjid (SAHAM) telah menyediakan beberapa aktiviti untuk kalian. Semoga aktiviti-aktiviti ini sedikit sebanyak dapat mengeratkan silaturrahim antara kita dan juga saling berkongsi input yang berguna. insyaAllah... 


Rasulullah SAW sentiasa menyarankan bahawa mengeratkan persaudaraan sesama umat Islam adalah satu jambatan yang kita boleh istilahkan sebagai pasport atau visa untuk ke Syurga Allah SWT. Begitulah besarnya hikmat dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka yang menghubungkan persaudaraan.



“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada yang lemah.”
[Riwayat Muslim]

~Tubuh badan yang cergas menjamin minda yang cerdas~

Dengan ini, kami daripada SAHAM amat mengalu-alukan kalian untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktivi yang telah kami sediakan.

Ayuh! Sama-sama kita memeriahkan suasana~

~Together with SAHAM~
~Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah~


Allah ciptakan dunia kamu itu luas. Maka jangan sesekali kamu menyempitkan.

Satu hari di dalam kelas, Dr Ala’ Hilat berkongsi sesuatu yang amat menarik kepada kami di dalam kelas.
Akan makna faqir yang sebenar. Ya. Faqir yang sebenar.
Apakah makna faqir kepada kita?
Biasanya, kita takrifkan miskin kepada ada duit, tinggal tidak cukup.  Tetapi faqir adalah lebih daripada itu. Faqir adalah langsung tidak punya apa-apa.
Begitulah. Tak ada apa-apa. Tetapi biasanya, kita kaitkan Faqir hanya dengan isu kewangan.
Dr Ala’ menceritakan Faqir yang lebih teruk daripada faqir kewangan.
Itulah dia faqirnya jiwa. Ya.
“Kamu tahukah apa faqir yang sebenar?”
Kami diam.
“Itulah dia apabila kamu kehilangan sesuatu, kamu rasa seperti kehilangan segala-galanya.”

Kesempitan yang direka-reka oleh lemahnya keimanan
Walaupun sedikit sahaja pesanannya, tetapi pesanan Dr Ala’ itu benar-benar mengetuk jiwa saya.
Contoh paling dekat kita boleh petik adalah tidak cemerlang dalam peperiksaan. Sudah berusaha bersungguh-sungguh, tetapi gagal. Bila gagal itu, kita rasa dunia telah gelap. Rasa tidak bermaknanya kehidupan.
Contoh lain, putus cinta. Bila cinta putus, rasa dunia seperti hendak kiamat. Rasa semuanya tidak lagi punya makna untuk diteruskan. Benda-benda lain seakan tidak lagi punya harganya.
Contoh lain adalah kematian orang yang tersayang. Kita rasa seperti hidup ini sudah tidak boleh berjalan. Kita rasa semua tidak lagi bermakna dan hilang harganya.
Dan tidak kurang ramainya yang membunuh diri akibat kekecewaan dalam hal-hal demikian.
Itulah dia Faqir yang Dr Ala’ nyatakan.
Ya. Faqir.
Ujian Allah beri sedikit sahaja sebenarnya. Dan kita tidak tahu apa yang Allah kehendaki daripada kita sebenarnya. Tetapi sepatutnya kita amat arif Allah itu hanya mahu yang baik-baik sahaja kepada hambaNya. Namun oleh kerana dunia itu kita letak besar dalam hati kita, maka bila kehilangan sesuatu, kita pun hilangkan segala-galanya.
Sedangkan, selain perkara yang kita hilangi itu, rahmat Allah tetap wujud dengan wujudnya perkara lain di dalam kehidupan kita. Sekurang-kurangnya, kita masih hidup, diberikan peluang meneruskan kehidupan. Diberikan peluang berusaha. Diberikan peluang untuk mencuba.
Namun kita sempitkan dunia kita dengan keimanan kita yang lemah.
Kita akhiri segala-galanya. Menyebabkan kita menjadi Faqir, tidak punya apa-apa di sisi Allah pada akhirat kelak.

Dunia ini Allah ciptakan luas
Pesanan Dr Ala’ itu juga akhirnya membawa saya kepada betapa Allah ciptakan dunia kita ini teramat luas. Kehilangan sesuatu bukanlah bermakna berakhirnya segala-gala.
Hilang anak bukan bermakna kiamat telah tiba buat dunia. Putus cinta, bukan bermakna kita tidak punya peluang untuk berkeluarga. Tidak cemerlang peperiksaan, bukan bermakna kita tidak akan mampu memberi makan pada keluarga di hari tua.
Dunia Allah ciptakan luas. Janganlah kita sempitkan dengan hanya memfokus kepada masalah kita. Lihatlah luar daripada masalah kita. Lihatlah peluang-peluang yang kita ada selain daripada kehilangan kita.
Di situlah kita akan rasa luasnya Allah ciptakan dunia ini. Luasnya kasih sayang Allah SWT. Luasnya peluang dan ruang yang Allah SWT sediakan sebenarnya. Dan di situlah kita akan rasa, mengapa Allah memberikan kita kehilangan tersebut. Semata-mata untuk menjadikan kita hambaNya yang lebih tabah, lebih sabar, lebih kuat. Dan itu adalah apa yang kita mampu ekstrak. Ada lagi mungkin hikmah-hikmah yang kita tak mampu ekstrak.
Sebagai contoh, apabila Khidir membunuh seorang anak, dan Musa bertanya mengapa dibunuh anak itu, lihatlah apa jawapan Khidir:
“Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.” Surah Al-Kahfi ayat 80.
Anak itu dihilangkan daripada kedua ibu bapanya, adalah kerana anak itu akan membawa ibu bapanya ke neraka. Nah, tidakkah itu hikmah dan kasih sayang Allah SWT yang inginkan ibu bapa itu masuk ke syurgaNya? Ini memang tak akan mampu kita jangkau dengan akal fikiran kita.
Dunia ini Allah ciptakan luas.
Jangan sempitkan. Bersangka baiklah dengan Allah SWT.

Maka janganlah kita menjadi faqir. Kayakan diri dengan keimanan.
Sebab itu keimanan kepada Allah SWT adalah apa yang pertama sekali perlu kita perkemaskan. Keimanan inilah yang melahirkan kekuatan. Keimanan inilah yang akan menyelamatkan kita daripada melakukan perkara-perkara yang bodoh dan merosakkan kehidupan kita. Baik kehidupan di dunia, mahupun kehidupan di akhirat.
Amatlah merugi orang-orang yang menyempitkan kehidupan mereka.
Yang tidak mahu bersangka baik kepada Allah SWT apabila timbulnya masalah.
Kerana mereka adalah yang akan berdiri di hadapan Allah SWT nanti, tanpa membawa apa-apa untuk membawa mereka ke syurga.
Hal ini kerana, yang bermanfaat nanti di akhirat hanyalah orang-orang yang mempunyai hati yang sejahtera di atas dunia.
“Hari yang tidak akan bermanfaatnya harta dan anak-pinak. Kecuali buat mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 88-89.

Penutup: Faqir itu adalah faqir yang paling celaka.
Hilang harta di dunia, tidak menutup peluang kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Sebab kita masih boleh menjadi orang yang tiada harta, tetapi baik dan taat kepada Allah SWT.
Tetapi apabila hilang keimanan kepada Allah SWT, yakni menjadi faqir yang sebenar-benarnya, kita rugi bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat sana. Dan kerugian di akhirat itulah yang orang-orang beriman amat takutkan. Kerana rugi di akhirat, tiada bayaran yang mampu menampungnya semula.
Maka sama-samalah kita melihat semula kehidupan kita.
Kuatkan kembali keimanan kita.
Menyedari betapa luasnya rahmat Allah SWT yang sebenarnya wujud di keliling kita.
Dan tidak meletakkan dunia itu di dalam hati kita.
Agar kita tidak menjadi faqir yang sebenar-benarnya.

langitIlahi



Kami dipihak SAHABAT MASJID (SAHAM) mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran adik-adik yang menyambung pelajaran diperingkat diploma di Universiti Malaysia Pahang. setinggi-tinggi tahniah diucapkan kerana terpilih untuk menjadi sebahagian daripada warga UMP.

Sabda Nabi s.a.w:
Daripada Abu Darda' r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa menempuh suatu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan untuknya suatu jalan untuk menuju syurga."

"Dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu itu, kerana redha sekali dengan apa yang dilakukan oleh orang itu."

(Riwayat Abu Dawud dan Termidzi)


Tingkatan akhlak islamiyah mempunyai empat tingkatan iaitu Iman,
Islam,Takwa dan Ehsan. Semuanya tersusun secara tertib di mana
islam akan hanya terhasil daripada iman yang mantap dan begitulah
seterusnya. Selagimana tingkat pertama ini belum lagi mantap,
maka adalah mustahil untuk dibina tingkat kedua, ketiga dan
seterusnya. . Kalaulah Iman itu difahami secara sempit dan
terbatas, maka Islam, Takwa dan Ehsan pun akan menjadi sempit.
Lebih malang apabila ada yang berpandangan bahawa ketakwaan
mereka akan sampai ke darjat yang tinggi dengan hanya memperbaiki
penampilan berpakaian mereka, cara duduk mereka, berdiri,
makan, minum dan sebagainya. Kemudian dapat pula meraih darjat
ehsan yang tinggi dengan hanya melakukan beberapa amalan sunat.
Akan tetapi bila dinilai iman dan Islam meraka ternyata masih
terlalu rapuh. Selagi mana kesilapan seperti ini berlaku, maka
harapan untuk mencapai kejayaan dalam menyempurnaan akhlak Islamiah
akan gagal.

1. Iman

Merupakan asas kehidupan Islam. Ia adalah akuan terhadap tauhid iaitu
meng'Esa'kan Allah dan juga risalah yang disampaikan oleh Rasulullah
s.a.w. Bila kedua-duanya itu diterima, maka sempurnalah syarat
untuk melayakkan seseorang itu digelar sebagai Mukmin. Persoalannya
apakah akuan seperti ini memadai untuk dijadikan asas bagi membina
kehidupan Islam seterusnya membina tingkatan lainnya? Atau iman
yang bagaimanakah dapat membina kehidupan Islam yang kukuh?
Kehidupan Islam yang sempuma hanya dapat dibina apabila iman itu
benar-benar syumul dan mantap. Sebagai contoh keimanan kepada Allah.
Semakin sempit persepsi mereka, maka semakin terbatas acuan
kehidupan Islam seperti akhlak mereka. Malah kadangkala berlaku
pertentangan sehingga mereka sanggup mencampuradukan antara
ketaatan kepada Allah dengan ketaatan kepada taghut ataupun
mencampuradukan antara jahiliyah dengan Islam sehingga membentuk
satu acuan baru bagi memenuhi segala keinginan mereka! Dari sudut
kemantapannya pula berbeza mengikut manusia; ada yang kedekut
untuk menyumbang sesuatu ke arah memartabatkan lagi islam walaupun
dia mengaku beriman. Malah ada yang memberi kecintaan kepada yang
selain dari Allah. Pendek kata kehidupan Islam itu tidak akan
sempuma tanpa sokongan iqrar(akuan) tauhid yang syumul.

2. Islam

Merupakan binaan kedua akhlak Islamiah. Dan hubungannya dengan Iman
adalah umpama benih dengan pokok; di mana pokok akan mengikut apa
yang ada pada benih. Sebarang kekurangan pada benih akan memberi
kesan kepada pokok yang bakal tumbuh. Malah pokok itu sendiri tidak
akan tumbuh jika ia tidak ditanam ataupun ditanam pada tanah yang
gersang dan tidak subur. Begitulah juga dengan iman. Apabila ada
iman, maka sudah tentu ia akan terserlah pada segala tindak tanduk
manusia. Jika didapati ada kekurangan atau kecacatan (bercanggahan
dengan Islam) pada mana-mana tindak-tanduknya itu, maka ketahuilah
ada kecacatan pada Imannya.Di dalam Al Quran dijelaskan betapa
intimnya hubungan antara iman (kepercayaan) dan Islam (amal ).
Bahkan ganjaran pahala pun hanya dijanjikan untuk hambaNya yang
benar-benar beriman dan melakukan amalan soleh. Selagi ketundukan
seseorang itu masih tidak sempurna dan usahanya hanya tertumpu
kepada yang bukan fi Sabilillah, maka ketahuilah bahawa imannya
masih lemah dan agak mustahil untuk membina takwa dan ehsan
sekalipun kita cuba melindungi dengan cara perlakuan atau cara
berpakaian.

3. Takwa

Takwa adalah perasaan yang lahir dari rasa takut dan tunduk
kepada Allah yang tercerna dalam setiap perilaku manusia.
Hatinya sentiasa digenangi rasa takut kepada Allah dan tunduk
kepadaNya. Dia menyedari bahawa kehidupan di dunia adalah ujian
baginya. Apabila hidupnya diasaskan kepada perasaan-perasaan
ini, maka nilai agamaannya akan semakin terserlah,hatinya akan
sentiasa tersentak setiap kali menyanggahi kehendak Allah dan
yang lebih utama dirinya akan sentiasa dimuhasabah. Tidak sekadar
itu malah dirinya akan sentiasa berwaspada dari segala perkara
yang syubhat apatah lagi yang nyata haramnya. Dia akan sentiasa
memaksa dirinya supaya menunaikan arahan dan kewajipan Allah dengan
penuh kerelaan. Malah jiwanya sentiasa dibayangi rasa takut yang
amat sangat kepada Allah sehingga membuatkan kakinya seolah-olah
gementar kerana takut kalau-kalau menyanggahi had batasan syara'.
Bayangkan bentuk kehidupan yang bakal terhasil apabila kesemua
nilai ini menguasai kehidupan. Berbeza dengan takwa pada
sesetengah orang yang hanya menganggapnya sebagai perlakuan
tertentu yang kadangkala agak dibuat-buat Dalam masa yang
sama kehidupan mereka, cara berfikir, bekerja dan kesungguhan
mereka itu tidak sepadan dengan tuntutan iman yang asas apatah
lagi untuk mencapai martabat takwa yang sebenar.

4. Ehsan

Merupakan tingkatan tertinggi dalam Islam. Ia adalah suatu keadaan
yang menjadikan seseorang itu menyerah sepenuh hidupnya untuk Islam;
hatinya sentiasa berhubungan dengan Allah, cintanya sangat mendalam
kepada Rasul jiwanya diselubungi rasa jujur dan sentiasa ingin
berkorban. Jika takwa lahir dari perasaan takut kepada Allah
seterusnya menjadi pendorong kepada manusia untuk sentiasa menjauhi
murkaNya. maka ehsan pula lahir dari rasa cinta kepadaNya sehingga
mampu mendorongnya untuk sentiasa memburu RedhaNya.

Salam......Tahniah dan setinggi ucapan terima kasih kepada semua ahli2 SAHAM yg hadir ke majlis AGM serta majlis kesyukuran KEMBARA,tak lupa kepada kesemua ajk2 AGM yg x mengenal erti penat lelah dalam menjayakan majlis AGM yg boleh dikira majlis yang terbaik pernah dijalankan oleh SAHAM. semoga dakwah di UMP dapat diteruskan demi menjaga nama baik UMP dari perkara2 yg boleh menjauhkan diri mahasiswa/i dari ALLAH s.w.t.

Tahniah dan takziah juga kepada kepimpinan SAHAM sesi 2011/12 diatas taklifan sebagai penyambung perjuangan demi menegakkan Agama ALLAH di bumi yg diberkati ini.

“Jadilah kamu ketika menyeru manusia seperti pokok buah-buahan; mereka
membalingnya dengan batu dan dia menggugurkan buah kepada mereka”.
-al-Iman asy-Syahid Hassan al-Banna








Tafsir Surah Al-An'am: 59

Firman Allah bermaksud, "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." (Surah Al-An'am: 59)

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.

"Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Penegtahuannya." (Surah Luqman: 34)

Ertinya dalam hadis ini Nabi s.a.w. menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.


Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat. Bukan sahaja Nabi s.a.w. dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.

Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.

Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.

Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.

Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Sementara itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah. Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat." (Surah Luqman: 34)."


Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Dan Dia Mengetahui apa yang ada di darat dan di laut." (Surah al-An'am: 59)

Yakni Maha Luas ilmu-Nya meliputi segala makhluk-Nya sama ada yang ada di darat dan di laut. Tidak ada apa pun yang boleh menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya walaupun sebesar zarah sekalipun sama ada ia berada di bumi atau di langit.

Seorang penyair menyebut: "Tidak tersembunyi dari-Nya meskipun sebesar zarah sama ada dapat dilihat oleh yang mempunyai penglihatan atau sebaliknya."


Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya." (Surah al-An'am: 59)

Ertinya, Dia mengetahui gugurnya daun dari pokok termasuk jumlah, masa dan seumpamanya. Bahkan Dia juga mengetahui pergerakan makhluk lain termasuk jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Allah Mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin: 19)

Dalam menjelaskan ayat 39, Surah al-An'am ini Ibnu Abbas katanya, "Tidak tumbuh sebatang pokok pun sama ada di daratan atau di lautan melainkan ada seorang malaikat yang menjaganya. Malaikat itu mencatat apa yang gugur daripadanya."

“… Allah serta Rasul-Nya akan melihat pekerjaanmu, kemudian kamu dikembalikan kepada yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. (At-Taubah:94)

Apa yang sedang kamu perbuat wahai pemuda pemudi Islam saat ini, kelmarin dan hari mendatang? Apa yang sedang kamu sembangkan hari ini, semalam dan hari mendatang wahai putera puteri Islam? Wahai syabab dan nisa’, apa yang kamu sibukkan hari ini, semalam dan hari esok? Beringatlah akan pesanan Allah SWT dalam surah At-Taubah di atas. Kehidupan ini bukan sekadar bicara urusan peribadi dan duniawi, tetapi sebagai pemuda, bicara kita adalah bicara masa depan Islam, kata kita adalah momentum praktikal Islam dalam kehidupan, kerja kita adalah kerja besar memenangkan dakwah. Sibuk kita adalah meraih pahala tanpa batas. Yang mana satu kualiti anda wahai pemuda pemudi Islam?

Pemuda Islam adalah pemuda harapan
Yang dengan tangannya lahir sebuah kejayaan
Menapak kehidupan dengan cahaya iman
Bergerak ke depan raih kebangkitan islam


Ayuh pemuda pemudi Islam, bergerak ke hadapan dan tinggalkan kemalasan. Kita adalah nadi kebangkitan umat. Kemalasan adalah faktor terbesar dari diri kita yang telah begitu lama membuat kita lalai dan terbuai. Padahal tiap detik yang kita lalui akan selalu tercatat dalam kitab amalan kita. Akan ada masa pertanggungjawaban, siapkah kita ,apa yang akan kita katakan saat Allah SWT bertanya untuk apa masa mudamu digunakan?

Senyum dan berbahagialah wahai saudaraku ‘Imaad Aql dan Khalid Zeir. Kamu berdua pemuda akhirat, menyedarkan kami apa erti pemuda berani. Anda kenal mereka? Kedua pemuda tersebut merupakan komandan batalion ‘Izzudin Al Qassam” yang dikehendaki dan telah syahid pada usia 26 tahun, dibunuh oleh tentera Yahudi Israel dengan berdas-das tembakan. Berapa umur anda saat ini? Saat anda pernah berusia 26 tahun, apa yang telah anda lakukan untuk umat dan agama ini? Jika anda bakal menempuh umur 26 tahun, apa yang akan sedang anda perjuangkan saat itu?

Mencontohi Amal ‘Imaad Aql

‘Imaad Aql lahir pada 9/6/1971. Namanya ‘Imaad di pilih oleh keluarganya sempena nama panglima Islam yang menentang tentera salib, ‘Imaduddin Zanky. Pada Rabu 24 November 1993 di perkampungan Syaja’yyah sebelah utara Gaza, sekitar 200 pasukan tentera Israel lengkap dengan senjata canggih dan kostum anti peluru, diiringi beberapa helikopter tentera telah mengepung beliau.Namun beliau tidak gentar. Beliau sempat berbicara kepada 2 orang temannya:

“Inilah saat yang paling tepat untuk menyumbangkan seluruh kemampuan jiwa dan ragaku di jalan jihad, sebuah jalan yang telah aku lalui selama bertahun-tahun, jalan kemuliaan yang menjadi pilihanku sejak kecil. Kematian di jalan ini insyaAllah akan mengantarku ke pintu syurga.”

Ternyata Allah SWT mengabulkan impiannya. Dengan deretan 60 buah kenderaan tentera Israel dan deruan sejumlah helikopter tentera yahudi mengepung beliau, pesta pembantaian oleh musuh-musuh Allah ini tercetus. Mereka begitu dendam dan hasad atas keperwiraan dan keberanian ‘Imaad ‘Aql.

‘Imaad ‘Aql akhirnya syahid. Sekitar 70 peluru bersarang di tubuh badannya, termasuk di bahagian kepala dan wajahnya. Ternyata tenteta-tentera kera itu tidak pernah puas membantai ‘Imaad ‘Aql, mereka merobek dan menghancurkan sisa tubuh perindu syurga Allah itu dengan keji. Bumi Gaza untuk sekian kalinya bermandiakan darah syuhada dan menyaksikan kehebatan, keberanian dan ketinggian iman pahlawan yang bernama ‘Imaad ‘Aql.

Ibunda ‘Imaad ‘Aql mengatakan bahawa beliau tidak mampu mengenali anaknya yang sudah hancur berkeping-keping. Dia hanya mampu memeluk bahagian kaki anaknya sebagai perpisahan terakhir. Lebih dari 5000 pemuda Palestin mengiringi jenazah ‘Imaad ‘Aql saat menuju ke tanah perkuburan al-Manazhir. Kesyahidan ‘Imaad ‘Aql membangkitkan perasaan kemarahan penduduk Palestin. Mereka bangkit melawan pasukan Yahudi sehingga merebak ke seluruh bandar Gaza.

Firman Allah SWT:

“Golongan terdahulu dan awal di kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lama. Itulah kemenangan yang besar.” (at-Taubah: 100)

Apa Yang Kita Perjuangkan

Inilah secebis kisah perjuangan ‘Imaad ‘Aql. Beliau sekadar mengulangi sejarah kesyahidan para sahabat Rasulullah SAW sebelumnya. Beliau mengajarkan kepada kita di era moden ini, kehidupan bukan sekadar bersukaria , duduk bersantai-santai dan bersenang lenang bicara yang yang remeh temeh sebagaimana yang dinikmati oleh pemuda Islam hari ini. Kehidupan bagi seorang pemuda muslim yang sebenar adalah sama sebagaimana apa yang telah Rasulullah SAW dan para sahabat RA teladankan kepada kita, mempertahankan kesucian Islam. Para pemuda di zaman Rasulullah SAW mempersiapkan diri mereka dengan iman dan taqwa dan segala kekuatan yang dimiliki untuk memperkuatkan Islam.

Peranan dan fungsi kita di era moden ini juga adalah sama sebagaimana yang telah dicontohkan oleh para sahabat Rasulullah SAW, apatah lagi setelah umat kehilangan khilafah Islam pada tahun 1924. Malangnya umat seperti kehilangan jatiditi dan nilai perjuangan. Nilai perjuangan mereka hari ini berkisar sekadar memenuhi keperluan peribadi semata. Sudah ribuan dan jutaan graduan muslim menamatkan pengajian mereka, sudah ribuan ulama, teknokrat dan profesional dilahirkan, namun umat Islam seperti kelemasan dan kehilangan tiang penguatnya. Ke mana perginya mereka ini semua?

Hari ini kita melihat kehidupan kita dan tuntutan Islam terpisah seolah-olah kehidupan kita berada di satu lembah manakala tuntutan perjuangan dakwah dan mempertahankan Islam berada di satu lembah yang lain, Islam berada di suatu lembah manakala umat Islam berada di suatu lembah yang lain. Kesannya, Islam dan umat Islam menjadi sasaran musuh. Ustaz Sa’id Hawwa ada menyatakan:

“Kita dapati Islam dan kaum Muslimin menjadi sasaran musuh luar dan dalam…”

Begitulah berjayanya musuh-musuh Islam khususnya mempengaruhi generasi muda, mengasingkan jiwa umat dengan perjuangan dan tugas asasi kita. Semua ini berpunca dari kelemahan umat memelihara kebersihan Aqidah mereka. Aqidah umat Islam tidak lagi berfungsi akibat pengaruh sistem kehidupan bukan Islam yang mengarah kepada kecintaan dunia semata. Sedangkan da’wah Rasulullah SAW mengajak kepada aqidah yang soheh, hidup dan berfungsi. Aqidah yang menerima Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb. Menerima HakimiyyahNya. Menerima Deen-Nya serta mendaulat dan mempertahankannya di sepanjang hayat.

Umat kelihatan seperti telah meninggalkan sebahagian dari tuntutan Al Quran dan mengambil hanya yang disukai oleh hawa nafsu. Firman Allah SWT:

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan ingkar dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang berbuat demikian daripada kamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan di Hari Akhirat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.” (al-Baqarah: 85)

Sedangkan hakikatnya kita perlu menghayati dan melaksanakan seluruh tuntutan Islam dalam kehidupan dan tiada pengasingan atau pemisahan dalam mana-mana aspek kehidupan. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan syaitan.” (al-Baqarah: 208)

Proses Kembali Matlamat Kehidupan

Mari kita proses kembali matlamat kehidupan kita dengan melaksanakan tarbiyah (didikan) Islamiyah yang benar untuk melahirkan muslim yang serasi dan komited dengan Islam. Muslim yang berkerja untuk Islam sepanjang hayat. Muslim yang memiliki sifat-sifat mahmudah seperti yang dimiliki para sahabat Rasulullah SAW. Muslim yang menjadi rijal dan mujahid yang mukhlis. Muslim yang terikat dengan akhirat. Muslim yang merasai Ukhuwwah Fillah. Muslim yang menjadikan kerjayanya sebagai medan untuk menguatkan Islam. Muslim yang membina keluarganya sebagai baitul dakwah yang akan melahirkan pewaris dakwah Ilallah.

Didikan (Tarbiyah) yang dijalankan di atas asas Iman akan melahirkan kesungguhan di dalam kerja-kerja da’wah. Al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna RA menyatakan:

“Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam menyampaikan dan memasukkan da’wah di hati sahabat-sahabatnya Generasi Awal ialah menyeru mereka supaya beriman dan beramal. Kemudian dihimpun hati mereka dengan penuh kasih sayang dan persaudaraan, mereka berhimpun di atas kekuatan aqidah dan kekuatan kesatuan, maka jadilah mereka jamaah contoh yang semestinya terjulang kalimah dan da’wahnya, memperolehi kemenangan walaupun ahli-ahli bumi seluruhnya tidak menyetujui dan menentang mereka.”

Ini barisan muslimin yang bangkit sebagai du’at. Mereka mengislah diri mereka dengan tarbiyah iman dan berda’wah kepada keluarga serta masyarakat agar kembali kepada Islam sebagai satu-satunya Deen yang Allah redha. Inilah model kita, inilah perjuangan dan halatuju kita, inilah standard dan petunjuk aras (KPI) kehidupan kita.

Menegakkan kembali Deen Allah SWT adalah amanah Qubra (besar) dan taklif Rabbani. Generasi pemuda yang memilih jalan dakwah dan perjungan Islam, andalah yang harus memikul amanah dan taklif ini kerana pemuda biasa yang telah menjadikan dunia untuk dicintainya, tidak mampu memikul tugas besar ini. Kehadiran pemuda yang mencintai jalan dakwah ini akan menguatkan umat kerana kita adalah salah seorang daripada pejuang aqidah yang bertanggungjawab menjaga antara ribuan penjuru-penjuru Islam yang perlu dikawal dan dipertahankan agar musuh tidak dapat menceroboh

Bersama-samalah kita memikul tugas yang mulia ini. Mentarbiyah diri dengan tarbiyah Islamiyah dan mengajak manusia kepada Allah SWT. Kata Ibnul Jauzy:

“Wahai para pemuda, kerahkan potensi dirimu selagi masih muda kerana belum pernah aku lihat karya yang paling berharga selain yang dilakukan oleh para generasi muda”.

langitilahi




semua dijemput hadir

Assalamu'alaikum wbt

Marilah kita mendengar berkaitan institusi kenegaraan islam ini yang dikupas oleh panel-panel jemputan yang hebat dan pastinya sangat menarik untuk kita sertai.

Assalamu'alaikum wbt

Sama-samalah kita sertai perarakan dan pertandingan sepanduk ini yang melibatkan semua staff dan pelajar UMP


Assalamu'alaikum wbt

Jangan lepaskan peluang utk mendengar sendiri ceramah live dr penulis novelis terkenal n ketua editor Majalah SOLUSI...USTAZ PAHROL MOHD JUOI...


Program mnarik bsempena sambutan Maulidurrasul, " SERIKANDI ISLAM" :

Tarikh : 13 Februari 2011 (ahad)
Tempat : Sekitar UMP

1. eXplorace (0830 pagi) - 1 group,4 org
2. Girls' Day Out [Persembahan Kebudayaan, individu/group] (0900 malam)

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Sempena menyambut Maulid Ar Rasul 1432 H, Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIPI) dengan kerjasama Sahabat Masjid (SAHAM) akan menganjurkan satu konsert sempena program Kembali ke Madrasah Rasulullah saw (KEMBARA) 2011.

Konsert tersebut akan menampilkan penyanyi nasyid terkenal In-Team dan juga Azhan Atan (Juara Akademi Nasyid TV9 2008) selain dari persembahan Pentomen UMP. Maklumat konsert adalah seperti berikut:

Tarikh: 14 Februari 2011 (Isnin)
Masa: 9 malam
Tempat: Astaka Universiti Malaysia Pahang

Di maklumkan juga, 4 buah bas disediakan di Pekan untuk membawa pelajar-pelajar ke kampus Gambang. Bas akan bertolak dari Pekan sekitar jam 6 petang.

MASUK ADALAH PERCUMA! PENYERTAAN DI BUKA KEPADA SEMUA!

"JOM BERHIBUR SAMBIL MENGHAYATI JASA & PENGORBANAN MANUSIA TERULUNG BERNAMA MUHAMMAD SAW"



UNIVERSITY MALAYSIA PAHANG
LEBUHRAYA TUN RAZAK, 26300 KUANTAN
PAHANG DARUL MAKMUR

Assalamualaikum wbt
Pusat Islam Dan Pembangunan Ihsan (PIPI) bersama Sahabat Masjid (SAHAM) Universiti Malaysia Pahang akan mengadakan Sambutan Maulidur Rasul 2011 M/ 1432 H. Berikut merupakan maklumat program.

PROGRAM: KEMBARA (KEMBALI KE MADRASAH RASULULLAH SAW)
TEMPAT: UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG
TARIKH: 11 – 18 FEBRUARI 2011

11 februari 2011 – Perasmian Program Kembara di masjid UMP selepas solat jumaat.
12 februari 2011 – ‘Bakti Siswa UMP Di Perkampungan Balok Pine, Kuantan’
13 – 16 februari 2011 – ‘Putera Dan Srikandi Islam’
14 februari 2011 – Konsert Dan Pentomin. Penampilan Khas Kumpulan Nasyid In-Team Dan Azhan Atan ( Juara Akademi Nasyid 2008)
15 februari 2011 – Bicara Cinta Oleh Ustaz Pahrol Mohammad Juoi ( Novelis Terkenal)
16 februari 2011 – Pertandingan Sepanduk Dan Perarakan. Semua Fakult dan Staff Diwajibkan Menghantar Wakil.
17 februari 2011 – Wacana Institusi Kenegaraan Islam Oleh 3 Orang Panel Iaitu Ustaz Mansor Sulaiman (Pensyarah UMP), Ustaz Ahnar Opir ( Pensyarah UPSI) , Ustaz Roslan Md Isa ( Ketua Penolong Qadhi Bentong)

p/s – Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa

Ajk Publisiti Induk KEMBARA
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani



Tentu kita akan rasa gembira, seronok dan paling penting rasa dihargai apabila kita tahu bahawa ada seseorang menyukai dan menyayangi kita.

Perasaan kita rasa berbunga-bunga.Dan timbul sedikit rasa bangga.

Bayangkan, kehadiran kita disenangi, dan orang lain merasai kehadiran kita. Kewujudan kita dihargai dan kita benar-benar rasa selesa dengan suasana sebegitu.

Itu fitrah dan naluri insan. Perasaan ini harus kita lorongkan ia pada suluhan syara’ yang sahih. InsyaAllah.

Apakah anda tidak berasa cemburu ada orang yang sentiasa disukai kawan dan lawan? Sedangkan anda sentiasa dijauhi kawan, apatah lagi lawan. Tiada siapa yang ingin menelefon atau mengantar SMS kepada anda.

Tiada yang sudi, meluahkan perasaan kepada kita
Tiada kiriman khabar menanyakan kita
Tiada pemberian hadiah di hari kegembiraan kita
Tiada teman berbicara di saat kelapangan
Tiada suasana ceria dan mengembirakan
Tiada insan yang selalu bertanya khabar
Tiada siapa,

Tiada dan tiada

Hidup tanpa kasih sayang

Hidup benar-benar sunyi, kesepian dan kita hidup bersendirian. Tiada teman berbicara dan bertukar-tukar perasaan. Dan, soal ini – saya ingin mengajak – untuk kita membina dan meluaskan empayar perkenalan, persaudaraan dan persahabatan.

Langkah yang paling utama untuk menjayakan – ialah kita perlu menyemai sifat untuk menyukai orang lain. Dan erti kata mudah kita perlu belajar untuk menyayangi semua orang disekitar kita.

Orang yang banyak memiliki sifat sayang dalam dirinya akan menarik orang agar sayang kepadanya. Semua orang – tidak kira muda, tua, lelaki, perempuan, orang besar, orang kecil- perlu disayangi dan dihargai, agar kita mudah dihormati.

Sifat kasih sayang adalah sifat yang sangat baik dan sangat-sangat dianjurkan dalam Islam. Islam adalah agama kasih sayang. Malah, Allah SWT mengiktiraf bahawa setiap orang mukmin itu bersaudara. Oleh itu, dahulukanlah pandangan kasih sayang dan berbaik sangka terhadap orang lain sebelum bersangka buruk dan membenci diri mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Mahukah kamu, aku beritahukan tentang sesuatu yang apabila kamu kerjakan kamu akan saling menyayangi? Sebarkanlah salam di antara kamu.”

(Riwayat Muslim)


Hati kita adalah milik Allah SWT. Yang memberikan kasih sayang ini adalah Allah SWT. Kita sama-sama berusaha untuk mewujudkan perasaan ini dikalangan kita. Dengan usaha, doa dan munajat kepadaNya, insyaAllah kita akan disukai, disayangi, dihargai, dihormati dan dicintai.

Bagaimana mahu menjadi orang yang sentiasa disukai?

(1)Apabila berbicara, lahirkan ia dengan tutur kata yang sopan, manis dan tiada sifat kepura-puraan.

(2)Sentiasa tersenyum, dan cuba menjadikan senyuman yang menyenangkan itu sebagai imej kita.

(3)Berusaha untu menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa mengharapkan pembalasan.

(4)Menghindari sifat mementingkan diri sendiri. Mengutamakan kepentingan khalayak ramai.

(5)Menjaga aib orang dengan merahsiakannya. Sekiranya kita menjaganya, Allah akan memelihara aib kita.

(6)Selalulah memberikan hadiah penghargaan kepada individu yang dikenali walaupun hadiah itu murah dan simple. Yang penting adalah nilai penghargaan kepada insan.

(7) Berikan pujian, galakan dan penghargaan kepada orang lain dengan keikhlasan dan kejujuran.

(8)Membalas hadiah yang diberikan oleh sahabat dengan hadiah yang lebih baik atau lebih tinggi nilainya.

(9) Selalu membelanja sahabat, kawan dan kenalan, jangan cuma selalu memakan belanja kawan.

(10) Sentiasa perbaharui niat persahabatan, perkenalan, dan persaudaraan kerana Allah SWT.

(11)Sentiasa bersihkan hati dengan amalan soleh seperti memelihara solat, membaca Al-Quran, dan sebagainya. Hati yang bersih, akan dicambak kasih sayang di dalam hati manusia lain untuk mengasihinya.

Bermula dengan suka, perasaan kasih dan sayang akan tersemai kukuh di hati. Dari sinilah, perasaan cinta sesama insan akan melebar di kalangan manusia di sekitar kita. Saya yakin, dengan perasaan inilah kita akan menjadi kuat dan terus hidup dengan suasana yang harmoni, aman dan tenteram di dunia ini.

Jom kita berkenalan, bersaudara, berukhuwah dan berkasih sayang kerana Allah.

Salam ukhuwah fillah daripada saya untuk kalian.

oleh:brohamzah



Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Sering kali kita jumpa manusia-manusia yang selalu memberi jawapan yang seakan menyalah kehendak dan ketentuan Allah.

Apabila kita mengajak mereka ini untuk turut serta memperbanyak ibadah, mempertingkat kualiti amalan, pelbagai alasan yang mereka gunakan sebagai alat penangkis kepada ajakan kebaikan tersebut.

Apabila kita menasihati mereka ini agar jangan melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah, kata mereka kubur lain-lain.

Kata mereka juga hidayah masih belum sampai. Kami tak sampai seru lagi untuk berubah.

Jadi sebelum hidayah dan petunjuk itu sampai kepada kami, baik kami gunakan peluang yang ada ini untuk bermaksiat kepada Allah. Nanti bila hidayah dah sampai, semua ini tidak lagi boleh dilakukan. Lagak gurauan.

Wah-wah. Pandai pula mereka berbicara. Seperti malaikat maut itu kawan sepermainan mereka pula. Boleh menangguh kematian bila-bila masa.

Hal inilah yang amat kita bimbang kepada saudara-mara seislam kita terutamanya remaja. Itu baru mengajak mereka yang mana mengaku mereka adalah islam. Yang mana mengaku Allah itu wujud. Yang mana mempercayai pengakhiran kehidupan adalah syurga dan neraka.

Belum lagi mengajak yang entah tahu atau tidak Allah itu wujud. Maksudnya mengajak yang bukan islam.

Oleh sebab itu, kita yang memahami dan menyedari kehidupan islam sebagai jalan penyelesaian sewajibnya kita bersyukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang terbesar ini. Moga Allah tidak menariknya daripada kita.


Kenapa kita tidak salahkan pihak universiti?

Saya tertarik dengan satu analogi yang dibawa oleh seorang ustaz dalam ceramahnya.

Katanya, setengah daripada kita acapkali menyalahkan Allah kerana tidak memberi hidayah kepadanya. Sebabnya seperti mana yang kita tahu bahawa hidayah milik Allah. Jadi, jahatnya mereka bukan sebab kehendak mereka tetapi adalah disebabkan hidayah Allah masih belum tiba.

Betulkah fahaman sebegini?

Maka, analogi terbaik dari ladang menyusul. (",)

Bayangkan kita mendapat tawaran untuk masuk ke salah satu universiti terkemuka di tanah air. Setelah mengisi borang dan menghadiri sesi pendaftaran, bergelarlah kita sebagai siswa dan siswi di universiti tersebut.

Rasa bangga dan seronok dengan status institut pengajian tinggi yang kita dapat masuki itu membuatkan kita rasa malas untuk pergi ke kuliyah.

Masa belajar sudah tidak disusun dengan baik. Usaha untuk menuntut ilmu sudah kabur arah pembelajarannya. Malas untuk berjumpa pensyarah. Assignment lintang-pukang. Peperiksaan seringkali hilang. Semangat belajar kering-kontang. Segala-galanya bukan lagi demi ilmu dan kejayaan.

Apabila tiba hari yang mendebarkan iaitu hari keluarnya keputusan, tercatat nama kita dalam senarai nama-nama pelajar yang gagal.

Ketika itu, adakah kita akan menyalahkan pihak universiti kerana memberikan keputusan gagal kepada kita?

Sudah pasti ' tidak ' adalah jawapannya. kerana gagal itu adalah disebabkan diri kita sendiri. Kita sendiri yang membuat keputusan samada mahu atau tidak untuk merangkul kejayaan. Keputusan di tangan kita. Kenapa pihak universiti yang perlu dipersalah?

Atau bagaimana? (",)


Mahukan hidayah perlulah barubah dan berusaha


Begitu jugalah dalam konsep mengharapkan hidayah Allah.

Ya. Kita semua mahukan hidayah. Hidayah dari Allah yang Maha Esa. Andaikata kemahuan kita kepada hidayah itu hanyalah seperti seekor lalat hinggap di batang hidung dengan kata lain acuh tak acuh, mustahil untuk kita merasai hidayah Allah itu hadir menyinari kegelapan hati yang telah ternoda.

Bukan nanti hidayah itu datang dengan sendirinya.

Bukan tunggu sambil tidur dalam masa yang sama bermimpi hidayah itu sampai.

Bukan asyik dengan keseronokan dan hiburan, tetapi dalam hati mengharapkan hidayah.

Tidak.

Menjadi kewajipan kepada kita untuk berusaha mendapatkannya walaupun dengan berdoa. Apatah lagi memperbanyak amalan-amalan kebaikan. Betul tak?

" Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati-hati kami setelah Engkau berikan hidayah kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi Kurnia. " ( Doa dari surah Ali-Imran - ayat 8)

Moga-moga dengan usaha kita itu, Allah mengasihani kita dengan memberi curahan hidayah yang melimpah-ruah.

Amin.

sumber:lautanrabbani
Related Posts with Thumbnails