Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.


Kehidupan sebagai muslim tidak lekang dari ujian dan mehnah. Percayalah, tiada sesiapapun di dunia ini yang tidak diuji iman dan kesungguhannya mengimani Allah SWT dan apa yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Menariknya junjungan besar kita Rasulullah SAW telah awal-awal lagi memperingatkan kita akan ujian dan ancaman besar buat umat Islam yang mampu merongkai keimanan mereka.

Ada tiga perkara yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW kepada kita.
Dari Abu Hurairah ra. beliau berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Jika umatku sudah mengagungkan dunia, maka akan tercabut dari mereka kehebatan Islam; dan jika umatku sudah meninggalkan amar ma’aruf nahi munkar, diharamkan baginya keberkahan wahyu; dan jika umatku sudah saling mencaci, maka jatuhlah ia dari pandangan Allah" (HR. Hakim dan Tirmidzi)

Tidak tersentapkah hati kita tatkala membaca peringatan Rasulullah SAW ini seakan Baginda SAW telah mengetahui bahawa zaman fitnah besar yang baginda ungkapkan akan dan sedang melanda umat saat ini.

Dalam bicara kali ini, penulis sekadar mahu berbicara tentang peringatan Rasulullah SAW berkenaan ancaman penyakit mengagungkan dunia. Semoga dalam tulisan mendatang Allah SWT mengizinkan kita mentadabbur 2 lagi pesanan Rasulullah SAW yang amat besar kesannya kepada masa depan kita setelah mati kelak.

Arus Mengagungkan Dunia
Hairan, kita lahir di dunia ini, kita beramal juga atas dunia ini, tetapi Rasulullah SAW memperingatkan umatnya agar berhati-hati dengan dunia jangan sampai dunia beraja dan menguasai di hati kita. Apakah ini jawapannya mengapa umat Islam saat ini lesu, lemah dan berpecah belah? Sehinggakan sudah tercabut rasa kehebatan dan kemuliaan Islam pada mata dan pandangan masyarakat yang bukan Islam! Bahkan umat Islam sendiri tidak merasa izzah (mulia) dengan Islam! Cinta dunia telah menghakis kekuatan kita sebenarnya sehingga umat Islam dihimpit dan diasak dari segenap sudut oleh musuh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Nabi bersabda: “Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah al-wahn itu, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Cinta dunia dan takut mati” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Inilah asbab dan impak kepada permasalahan umat, umat tidak lagi secara serius benar-benar memperhambakan dirinya kepada Allah SWT, dunia telah mengganti Illah (sembahan) manusia dan umat ini, samada secara sedar atau tidak sedar.

Cinta Yang Menyempitkan
Cinta dunia juga akan menyempit kehidupan kita. Patutlah ramai kalangan umat Islam yang stress dan tertekan dengan kehidupan mereka sendiri, terkena virus mabuk dunia barangkali. Rasulullah SAW dalam hadis yang lain memperingatkan kita akan virus cinta dunia ini:

Dari Zaid bin Tsabit RA beliau berkata, “Kami mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapa yang (menjadikan) dunia tujuan utamanya, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinan / tidak pernah merasa cukup di hadapannya, padahal dia tidak akan mendapatkan (harta benda) duniawi melebihi dari apa yang Allah tetapkan baginya. Dan barangsiapa yang (menjadikan) akhirat niat (tujuan utama)nya, maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan sentiasa merasa cukup (ada) dalam hatinya, dan (harta benda) duniawi datang kepadanya dalam keadaan rendah (tidak bernilai di hadapannya).” (HR Ibnu Majah, Ahmad, ad-Daarimi, Ibnu Hibban dan lain-lain dengan sanad yang sahih.

Sudah jelas bukan, tatkala dunia menjadi matlamatnya, nescaya Allah SWT akan menyempitkan kehidupannya, jiwa menjadi tidak tenang dan sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang ia dapat.

Imam Ibnul Qayyim dalam kitab Igaatsatul Lahfaan menulis bahawa salah seorang ulama salaf ada berkata, “Barangsiapa yang mencintai dunia (secara berlebihan), maka hendaknya dia mempersiapkan dirinya untuk menanggung pelbagai macam musibah (penderitaan).”

Kata Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah lagi, “Orang yang mencintai dunia (secara berlebihan) tidak akan lepas dari tiga (macam penderitaan): Kekalutan (fikiran) yang selalu menyertainya, kepayahan yang tiada henti, dan penyesalan yang tiada berakhir. Hal ini disebabkan orang yang mencintai dunia (secara berlebihan) jika telah mendapatkan sebahagian dari (harta benda) duniawi maka nafsunya (tidak pernah puas dan) terus bercita-cita mengejar yang lebih dari pada itu.

Formula Merawat Cinta Dunia: Generasi Akhirat

Firman Allah SWT:

“Hidup di dunia, tidak lain hanya suatu kesenangan dan permainan. Sesungguhnya kampung akhiratlah kehidupan yang sebenarnya. Jika mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut ayat 64).

Lawan cinta dunia adalah cinta kepada akhirat. Inilah terapinya bagi kita melawan barah cinta dunia, cinta kepada Akhirat. Cinta Akhirat bukan bermakna kita mengabaikan kehidupan kita di dunia. Bukan begitu dan jangan salah faham! Allah SWT berfirman:

“Ya Allah berilah kami di dunia kebaikan dan di akhirat kebaikan, dan selamatkanlah kami dari siksa neraka.” (al-Baqarah: 201)

Kita mahukan kebaikan kepada keduanya sekali, namun akhirat memandu kita untuk mencintai dunia seadanya sehingga kita tidak tertipu dengan penyakit cinta dunia. Sesuai dengan firman Allah SWT:

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.” (al-Qashash : 77)

Firman Allah SWT lagi:

"Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat." (Asy-Syuro: 20)

Rasulullah SAW mengajarkan kepada para sahabat RA makna sebuah keuntungan pada kaca mata akhirat sebagai suri teladan buat kita. Antaranya sahabat mulia bernama Shuhaib Ar-Rumi. Ketika itu ia merelakan semua hartanya dirampas oleh orang-orang kafir agar dia boleh keluar berhijrah bersama Rasulullah SAW. Habis ditinggalkan hartanya. Apa keuntungan yang diperoleh oleh Shuhaib? Ternyata saat beliau tiba di Madinah, Nabi SAW sendiri yang menyambut kedatangannya seraya bersabda:

"…..perdagangan yang menguntungkan wahai Abu Yahya… perdagangan yang menguntungkan wahai Abu yahya!" {Hadis Riwayat Muslim}


Justeru Shuhaib termasuk orang yang beruntung kerana memilih cinta Akhirat mengatasi cinta dunia

Berapa Nilai Dunia Ini?
Mari kita muhasabah dan kemaskinikan matlamat kehidupan kita. Bersihkan dari sebarang kecintaan dunia yang menyiksakan diri kita kelak di Akhirat. Nilai dunia yang direbutkan terlalu kecil dibandingkan dengan nilai Akhirat. Rasulullah SAW bersabda :

“Perumpamaan dunia dengan akhirat adalah kalian mencelupkan jari kalian ke laut, kemudian diangkat, lihatlah dunia hanya air yang ada di jari tersebut.”
Sebenarnya Allah SWT telah menjelaskan nilai dunia di banding akhirat dan nilai akhirat di banding dunia baik dalam ayat –ayat al Qur’an mahupun hadis Nabi SAW.
Penulis akhirkan perkongsian kali ini dengan perumpamaan menarik yang digambarkan oleh Rasulullah SAW terhadap nilai sebuah dunia yang menjadi rebutan manusia saat ini.

Dari Jabir RA , bahawasanya Rasulullah SAW menjumpai seekor bangkai anak kambing lagi cacat telinganya lalu baginda mengangkat dengan memegang kedua telinga bangkai itu lantas bersabda:

“Siapakah diantara kalian yang ingin membeli bangkai ini seharga satu dirham? Kemudian para sahabat pun menjawab, “ Kami sama sekali tidak menginginkanya,apa yang dapat kami lakukan dengan bangkai itu ? Lantas Rasulullah SAW kembali bertanya, ”Apa kalian mahu bila bangkai ini menjadi milik kalian?” Para sahabat kembali menjawab ,”Demi Allah, seandainya bangkai ini hidup pun kami tidak berminat, sebab ia cacat apalagi sudah menjadi bangkai.” Kemudian Rasulullah SAW seraya berkata

“Demi Allah, sungguh dunia itu lebih hina di mata Allah daripada bangkai ini di mata kalian. (HR Muslim)

usrahkeluarga.blogspot

Assalamu'alaikum dan salam mahabbah buat semua pembaca. Ikatan perkahwinan adalah amat penting dan semuannya hanya untuk mencari keredhaan Allah swt.Saya sebenarnya bukannnya mahu sangat bercerita berkenaan isu-isu ini, cumanya bila melihat 'trend' remaja berpacaran yang tidak menentu ini, coretan saya banyak kepada pembinaan Baitul Muslim yang lebih dekat dengan remaja di jalan dakwah.

Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap. Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun. Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama. Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih. Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius.

Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya. Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.

Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.

Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga. Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS. Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa Tujuan Berumahtangga?

"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya. Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku" Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat? Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara? Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun. Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali. Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama. Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati. Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan? Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.



Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia? Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

"Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.

Benar sekali, pilihlah yang beragama.

"Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.

Penyakit "Tidak Jelas"

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz? Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama. Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini? Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?

"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah. Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor. Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".

Hanya 'Beragama'?

Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.

Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta.Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan. Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri.Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama.

Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu. Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin kerana beragama.
sumber:iluvislam.com

Oleh : Ust Halim Abdullah

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan.

Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
sumber:notakelanafaqir

Kita harus berasa bangga kerana dilahirkan daripada keluarga Islam, nama sudah pun direkodkan sebagai Islam, dan pasti kalau mati pula akan dikebumikan secara Islam di tanah perkuburan Islam. Dan kita juga harus bersyukur kerana sebaik sahaja kita boleh mendengar dan bercakap kita... sudah dibiasakan dengan perkataan Allah.

Kita tidak susah untuk mencari Islam kerana semuanya sudah tersedia buat kita. Sedangkan kawan-kawan kita ada yang terpaksa bersusah payah mencari Islam, dan dalam pada itu mereka dihalang dan dihina malah disisihkan keluarga. Namun mereka tetap bersyukur kerana telah diberi hidayah walaupun sudah agak terlambat daripada kita.

Walau bagaimanapun kedudukan kawan kita itu kadang-kadang lebih baik daripada kita yang sudah lama beragama Islam. Kita hanya boleh berbangga dengan keislaman yang kita milik, tetapi kita tiada upaya menjaga iman dan agama kita. Kita belum bebas dan terselamat daripada gangguan syaitan yang tugasnya untuk menyesatkan kita.

Tahukah anda setelah kita mengucap dua kalimah syahadah maka secara rasmi kita telah digelar sebagai seorang Muslim. Bagi yang Muslim keturunan, sejak baligh dan mendirikan solat, mereka sudah direkodkan sebagai muslim secara rasmi. Tetapi setelah bergelar Muslim banyak kemungkinan boleh berlaku, ada yang boleh meningkat menjadi Mukmin atau berubah menjadi kafir atau musyrik atau munafiq.



Dalam ruang yang terbatas ini, saya cuba untuk menghuraikan kemungkinan itu semoga kita boleh berhati-hati dalam kehidupan ini:

1.Apabila anda kuat hubungan dengan Allah, tauhidnya mantap, taqwa kepada Allah pada tahap tinggi, perintah Allah dilaksanakan dan larangannya ditinggalkan, maka terbinalah sebahagian mukmin pada diri anda. Seterusnya dikuatkan hubungan dengan manusia; akhlaknya, muamalatnya, dan toleransinya sesama manusia, maka sempurnalah mukminnya.

2.Apabila anda mula meragui kekuasaan dan kehebatan Allah; perintah Allah diabaikan seolah-olah mencabar hukum Allah, dan larangan Allah dibuat secara sedar seolah-olah tidak takut kepada hukuman Allah, ketika itu jadilah anda seorang kafir.

3.Apabila anda menyembah Allah tetapi pada masa yang sama anda turut memperakui tuhan-tuhan lain setaraf dengan Allah. Anda memperakui ubat yang dimakan mampu menyembuhkan sakit anda. Meyakini bahawa jin boleh memberikan sakit dan sihat terhadap seseorang manusia. Dan juga sanggup tunduk sujud kepada manusia yang bertaraf pemimpin atau pembesar. Sedangkan semua kelakuan itu hanya layak untuk Allah, maka mereka yang berbuat begitu telah dikira musyrik.

4.Apabila anda bersifat talam dua muka, sering bermuka-muka dengan seseorang kerana sesuatu kepentingan maka anda termasuk dalam kalangan orang munafiq. Anda tahu kebenaran pada seseorang, tetapi anda selewengkan maklumat kerana hendak menjatuhkan orang itu, sahlah anda bukan Muslim yang jujur. Ketahuilah golongan itu terdapat tiga sifat berikut: Apabila berkata-kata dengannya dia berbohong; apabila dia berjanji dia akan mungkiri; dan apabila diberi amanah dia akan khianati.

Dalam sebuah hadis, ditambah satu sifat lagi iaitu sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafiq yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafiq hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengetepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan kemungkinan di atas, mampukah kita sekadar berbangga sebagai seorang Islam atau Muslim? Anda janganlah mudah terpengaruh dengan jaminan Rasulullah bahawa setiap yang mengucap dua kalimah syahadah akan dimasukkan ke dalam syurga. Janganlah berasa senang hati dengan tawaran bahawa seseorang Islam pasti akan masuk syurga juga akhirnya.

Memang betul ada jaminan dan tawaran itu, tetapi kita perlu ingat, seorang Muslim dalam kategori kafir itu akan dicampakkan ke dalam neraka terlebih dahulu. Entah berapa tahun di situ, bukan sehari dua. Kemudian kalau masih ada terselit kalimah syahadah pada dirinya, mungkin bolehlah setelah dibakar hagus dipindahkan ke dalam syurga. Walaupun akhirnya masuk ke syurga, sanggupkah anda dibakar dalam neraka sebegitu lama?

Seorang musyrik pula, Allah memberi jaminan bahawa dosanya tidak akan diampunkan. Dosa lain boleh ampunkan tetapi dosa syirik tidak boleh diampunkan begitu sahaja. Hal ini kerana syahadahnya sudah terbatal, maka perlu diulangi syahadah yang baru. Bagaimana kalau anda mati sebelum mengucap syahadah? Kadang-kadang kita mati mengejut, tidak sempat hendak bertaubat? Apakah masih ada jaminan ke syurga? Jadi, insaflah segera.

Seterusnya seorang munafiq, mereka ini akan diazab dalam neraka jahanam pada bahagian bawah sekali. Entah berapa lama mereka akan disimpan di situ. Kalaupun mereka ada peluang ke syurga (bergantung kepada syahadahnya kalau masih ada, tentu ada peluangnya, tapi kalau tiada, melepaslah) tentulah mereka itu orang yang paling akhir masuk syurga. Mahukah begitu, orang lain sudah bersenang hati menikmati syurga, anda baru hendak bermula.

Jika anda rasa tidak senang hati dengan keadaan dan kedudukan itu, pastikan anda tidak memilih tiga jalan di atas. Sebaliknya pilih yang satu iaitu mukmin. Tidak susah untuk menjadi seorang mukmin kerana Allah hanya memberi tiga syarat untuk menjadi mukmin sejati iaitu:

1. Apabila disebut nama Allah gementar hatinya;

2. Apabila dibacakan ayat Allah bertambah imannya;

3. Dan kepada Allah mereka berserah diri.

Mungkin kita boleh menilai diri sendiri, adakah ketika kita berbuat dosa, hati kita boleh tersentak apabila diingatkan kawan atau sahabat bahawa Allah sedang memerhatikan perbuatan kita? Barangkali kita boleh tersentak apabila diberitahu bahawa polis ada membuat sekatan jalan raya, tatkala lesen kereta kita sudah tamat tempoh. Kalau begitulah keadaannyaa, taraf mukmin anda masih rendah.

Kita selalu membaca al-Quran, tetapi berapa kali anda terasa iman meningkat ketika membaca al-Quran itu. Iman boleh meningkat kalau kita faham apakah teguran Allah terhadap kita, apakah sindiran Allah terhadap kita, dan apakah pengajaran yang disampaikan kepada kita. Tetapi kebanyakan kita tidak faham mesejnya, lalu dibacakan begitu sahaja. Bolehkah dengan cara itu boleh meningkat iman? Inilah yang perlu difikirkan semula.

Seterusnya setelah berusaha dan berikhtiar dalam kehidupan ini, kita harus berserah kepada Allah, bertawakal mengharapkan kejayaan. Hasil dan keputusan sama ada jaya atau gagal hanya Allah yang menentukannya. Jadi, sebagai seorang mukmin kita perlu redha dengan apa yang tentukan Allah.

Sehingga di saat ini, di manakah anda sekarang? Anda boleh pilih mana yang anda suka tetapi ingat, Allah hanya mahu hamba-Nya berada di tempat yang terbaik di dunia dan akhirat.

Selamat berjuang di medan peperiksaan buat sahabat-sahabat sekalian!

Assalamu'alaikum wbt..

Beberapa perkara yang harus kita ingat dalam usaha kita untuk dapatkan yang terbaik dalam peperiksaan..

1. Allah pencipta segala yang ada di langit & bumi samaada yang dizahirkan atau yang diluar kesedaran kita..
Contoh ciptaan-ciptaan Allah yang kita jarang sedar ialah ilmu, idea nak jawab exam, ketenangan, jawapan dalam exam, ilham, kejayaan dan lain-lain..

2. Allah pemilik segala..Semua perkara yang dicipta oleh Allah adalah milikNya dan Dia berhak memberikan kepada sesiapa sahaja..

3. Allah dah janji siapa minta kepadaNya, nescaya Dia akan makbulkan..dan Dia juga dah janji siapa usaha dia dapat..

4. Tingkatkan kebergantungan kepada Allah...
Sebagai hamba Allah yang sejati, kita haruslah meletakkan sepenuhnya pengharapan kepada Allah sebab Dia pencipta kita..Dia yang tahu segalanya tentang kita sedangkan kita sendiri belum tahu completely tentang diri sendiri..

5. Siapkan senjata...persiapan yang baik, hasilnya pun baik (banyakkan do'a, zikir, solat, akhlak yang mulia dan sebagainya..)

6. Ingat balik apa tujuan kita menuntut ilmu..

7. Tenang dalam apa jua keadaan (panik semasa exam, gagal dalam peperiksaan, masalah-masalah yang timbul sewaktu nak hadapi imtihan)...Itu semua ujian Allah untuk menguji keimanan kita kerana tidak sempurna iman seseorang itu sebelum Allah mengujinya..

Kiranya imtihan ini medan perjuanganmu,
Maka,
bertarunglah sedaya upayamu kerana Allah.
Manfaatkanlah segala ilmu yang diperturunkan semampu akalmu
demi memartabatkan kedudukan ummahmu,
dan bukan semata-mata untuk kepuasan diri.
Allah tidak menilai akan natijahnya
tapi yang dinilai hanyalah kesungguhanmu.
Berjuanglah wahai pejuang...!
dengan kalimah Tuhanmu...
dengan ilmu yang telah dipinjamkan sementara ini...
Selebihnya,
tawakallah kepada-Nya....

Angin bertiup lembut, selembut sutera2 yang di bentangkan di atas satu kawasan yang lapang, dilapik pula dengan jutaan kapas2 yang kering dan berbau harum, lalu dia berbaring-baring di atasnya.

Begitulah perumpamaan yang dapat di buat oleh Muslim dengan keadaan angin pada petang itu.

Sungguh mempesonakan. Dapat dia rasakan perasaan itu sungguhpun cuaca pada petang itu agak sedikit membahang. Membakar sel2 kulit yang terdedah. Mungkin di sebabkan faktor geografi, agak hatinya sendirian.

Muslim baru sahaja menghabiskan bacaan Ma’thurat di masjid, beberapa minit yang lalu. Cadangnya pada petang itu untuk keluar bersiar-siar di sekitar kawasan tasik. Hanya sekadar untuk melempiaskan sedikit kepenatan yang ditanggung selepas seharian berkuliah dan mentelaah pelajaran.

Dengan jarak yang tidak terlalu jauh daripada kawasan kediaman bloknya, Muslim hanya mengambil masa kurang dari 10 minit untuk sampai ke tempat yang ingin di tujunya.

Dengan berpakaian baju t-shirt berkolar dan berseluar track putih, Muslim mengatur langkahnya berseorangan menuju ke kawasan tasik. Memang dia mahu berseorangan pada petang itu, di samping dapat menikmati keindahan panorama tasik, di lengkapi pula dengan ikan2 yang berenang riang di dalamnya. Sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan yang ada di dalam benaknya.


“Hai Muslim. Nak kemana sorang2 tu ?”

Tanya Saleha, rakan sekelasnya.

Kelihatan Saleha baru sahaja keluar berjogging bersama rakan-rakannya yang lain. Masing2 mengikut style masing2. Ada yang memakai seluar 3 suku, ada yang memakai baju yang sedikit ketat dan sendat. “Mungkin nak memudahkan pergerakan time berjogging kot” , fikir Muslim sendirian sehingga terlupa dengan sapaan yang diberikan oleh Saleha sebentar tadi.

Sebaik teringat akan sapaan rakannya tadi, Muslim hanya membalas dengan satu senyuman, lalu menunduk untuk tidak terus menatap wajah itu lama2. Satu senyuman kambing yang sengaja dilemparkan. Senyuman yang penuh dengan kepura-puraan. Boleh juga dikatakan terlalu tawar senyumannya itu. Sedikit pun tidak dapat membahagiakan sesiapa yang melihatnya. Dengan tujuan terpaksa.

“Huh, dasar budak sombong !”

Balas Saleha dengan nada yang geram. Ketawa kecil beberapa orang rakannya yang berada di sebelahnya. Lalu mereka pergi meninggalkan Muslim yang berjalan seorang diri.

Muslim hanya memerhatikan gelagat Saleha dari pandangan yang jauh, sejurus selepas menyapa dirinya. Dia hanya mampu untuk menggelengkan kepalanya yang serabut itu beberapa kali. Kadang kala, dia sendiri berasa bingung dengan keadaan beberapa orang pelajar perempuan yang berperangai seperti Saleha. Jika dibilang secara rawak, anggarannya mungkin lebih kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar perempuan yang menuntut di situ yang berperangai seperti Saleha.

Bagi Muslim, ini bukan pertama kali dirinya diusik sebegitu rupa. Malahan ada yang jauh lebih dasyat lagi. Tapi bagi dirinya, hanya kekuatan iman seseorang itu yang mampu dijadikan benteng pertahanan terhadap godaan2 yang menimpa. Pernah juga terdetik di hatinya, apakah mereka tidak tahu akan kesan yang bakal berlaku sekiranya perangai tersebut tidak diubah ? Ataupun kerana mereka mengalami kejutan budaya ? Ataupun juga pengaruh rakan sebaya ?

Muslim kembali terkenang pada peristiwa yang berlaku pada bulan lepas, iaitu semasa jamuan hari raya aidilfitri yang diadakan di dewan besar kolej. Majlis itu diadakan seminggu selepas kembali daripada cuti berhari raya di kampung halaman masing2. Semua pelajar diminta untuk memakai baju raya yang bersesuaian. Ada yang memilih untuk bersampin. Ada yang ingin memakai songket.

********

Muslim hanya memilih untuk memakai Baju Melayu berwarna merah hati yang dibelinya sebelum pulang beraya di kampung pada hari itu.

“Lem, ang nak pinjam songkok aku tak ?”

tanya Amirul, kawan sebiliknya sebaik melihat Muslim mengenakan kopiah putih di atas kepalanya.

“Tak pa kot Mirul. Aku nak pakai kopiah ja hari ni. Bagi nampak pelik sikit daripada orang lain. Hehe.”

balasnya bersahaja. Sebenarnya dia lebih selesa memakai kopiah daripada memakai songkok. Mungkin sedah terbiasa, fikirnya sendirian.

“Huh, pakai baju tu dah smart dah. Tengok2 kopiah yang ang pakai. Pakai la songkok aku ni, baru la nampak matching ngan baju yang ang pakai tu..”

“Ala, tak yah matching2 pun tak pa. Yang penting keselesaan dan tak lari daripada cara pemakaian yang Islam anjurkan. Kalau pakai matching2 pun, tapi aurat terbuka sana sini, berdosa juga kan ?”

Muslim cuba membetulkan pemikiran Amirul mengenai cara pemakaian.

“Yala2. Memang betul pun pa yang ang kata tu. Aku sokong ja.”

balas Amirul ringkas. Sengaja tidak mahu dipanjangkan cerita kerana masa jamuan akan bermula tidak lama lagi.

********
Mereka berjalan bersama menuju ke pintu masuk dewan. Kelihatan begitu ramai orang yan menghadiri majlis pada hari itu. Semuanya berpakaian serba baru. Bagi pelajar lelaki, lagaknya saling tak tumpah gaya seorang pahlawan melayu zaman dahulu kala. Bagi yang perempuannya pula, mekap tebal di muka menjadi kebiasaan. Pintu masuk ke tandas perempuan pasti sukar dilihat statik. Pasti ada sahaja yang keluar masuk untuk membetulkan mekap dan sebagainya. Ada yang berbaju kurung. Ada yang berbaju kebaya. Tak kurang juga ada yang berpakaian muslimah masa kini, berbaju jubah dan bertudung labuh. Tapi itu hanya gambaran kasar yang dibuat Muslim di dalam benaknya. Sekadar mahu berbicara sendirian.

“Mak ai.. Ramainya orang kat sini. Selalu tak ramai macam ni pun. Betol tak Lem ?”

sapa Amirul kepada Muslim kerana melihat sahabatnya itu kelihatan tercengang-cengan di muka pintu.

“A’a la.. Aku pun rasa camtu jugak. Takpa2. Abaikan ja orang2 tu. Yang penting aku nak rasa semua makanan yang sedap2 hari ni. Hehe.”

Mereka melangkah ke tempat2 hidangan makanan. Sambil memilih2 juadah yang disediakan, kedengaran seperti ada suara yang sedang memanggil-manggil Amirul.


“Amirul..! Amirul..! Sini jap..”

“Mirul, ada orang panggil ang tu. Ada hal penting yang dia nak bgtau kot”

“ Ea ? Mana2 ?”

“Mirul’ sini jap”

suara itu terus memanggil Amirul. Seperti hendak mengkhabarkan sesuatu yang penting kepada dirinya.

“Laa. Ang ka yang panggil aku tadi. Ada pa ?”

Amirul kenal benar dengan wajah yang memanggil namanya tadi. Saleha namanya.

“I nak tangkap gambar dengan U sekali, untuk buat kenangan bole ?”

Saleha bertutur dalam nada sedikit manja.

“Oo, nak ambil gambarsekali ngan aku rupanya. Bole ja. Tak dak masalah.. “

Muslim hanya memerhatikan gelagat sahabatnya itu. Dalam dirinya timbul satu perasaan. Perasaan benci. Bukan benci kepada sahabatnya itu kerana dipelawa untuk bergambar. Akan tetapi benci dengan kemungkaran yang sedang berlaku dan bakal berlaku lebih hebat di hadapan matanya pada waktu itu. Sungguhpun Amirul itu adalah sahabatnya, namun dia berasa tidak mampu untuk menegur perlakuannya.

“Mirul, jauhnye U berdiri. Rapat la sikit dengan I. Nanti gambar badan U jadi separuh je tau.”

Amirul bergerak menghampiri tubuh Saleha. Dirapatkan sedikit selepas Saleha berkata demikian.

“Yala2. Aku dah rapat ni. Cepat la ambil gambar.”

“Ok. Dah. Sekarang kita tukar posing pulak.. U duduk kat kerusi ni, I berdiri kat belakang U..”

“Ish2 ang ni. Macam2 gaya la pulak. Tapi tak pa. Yang penting aku nak ang cuci gambar2 tu nanti. Aku nak simpan buat kenangan.. Hehe, bukan senang nak tangkap gambar dengan orang yang paling ‘hot’ kat kolej kita ni kan ??”

“Haha.. U ni.. I x de lah hot sangat.. Biasa2 ja..”

tersipu malu Saleha apabila menerima pujian Amirul.

“Lagi, nak posing camna lagi ?”

“Kita posing sambil salam nak ? Baru la nampak macam hari raya sket. Ni tak.. Asyik posing style berdiri ngan duduk ja”

“Orait. Aku no hal la. Gambar raya punya pasal, aku on ja. Cepat la kita buat2 salam”

“K2.. Ready2..”

Mereka bersalaman antara satu sama lain. Tanpa ada rasa malu. Tanpa ada rasa berdosa. Dengan tujuan, sekadar mengambil gambar untuk kenang-kenangan.

“Ok, dah siap..!”

“Ok2.. Nanti dah cuci, bagi kat aku sekali tau”

“Ok, no hal la. Thank you Mirul”

“Haha. Sama2”

**********

Amirul mencari-cari kelibat Muslim di bahagian mengambil makanan. Tidak kelihatan jasadnya di situ. “Mungkin sudah pergi ke tempat lain gamaknya,” gumamnya sendirian. Tiba2 Saleha sekali lagi memanggil namanya.

“Mirul, I nak ambil gambar ngan kawan U tu bole tak?”

“Ala, ang tanya ja sendiri kat dia. Rasanya dia tak dak masalah kot.”

“Oo.. K2.. Apa nama kawan U ?”

“Muslim..”

balas Amirul ringkas.

Saleha bergerak di dalam kelompok manusia yang sesak itu. Sekali sekala dia menegangkan lehernya agar dapat melihat kelibat Muslim dari kelompok manusia yang ramai itu. Akhirnya, berjaya juga dia menemui Muslim yang kelihat sedang melangkah keluar dari dewan untuk pulang ke asrama.

“Muslim.. U free tak sekarang ni? I nak ambil gambar dengan U ni. Untuk kenangan sepanjang kita kat matrik ni.. Bole ?”

Muslim tersentak di saat Saleha memanggil namanya. Belum pernah lagi seorang perempuan memanggil dirinya sebelum ini. Yang ada pun atas dasar tugasan yang harus dilaksanakan dalam satu kumpulan. Mungkin kerana dia kurang bergaul dengan golongan Hawa, fikirnya.

“Maafkan saya ye. Kalau tak jadi keberatan, bole saya tahu apa tujuan untuk kita bergambar ye ? Lagipun saya tak kenal dengan awak..”

“Oo.. tujuan ea.. Tak da pa tujuan pun. Just ambil gambar untuk buat kenangan.. Bole ?”

“Hmm.. Maafkan saya ye. Saya tak pernah lagi dan tak nak ambil gambar dengan perempuan yang tak halal bagi saya.. Lagipun tak elok bila orang tengok kita bergambar dan bole mengundang dosa bila buat macam tu nanti.. Fitnah pun bole timbul nanti”

Muslim memberi seribu alasan bagi menolak pelawaan Saleha. Di keluarkan pendapatnya itu sehikmah mungkin, agar Saleha tidak berasa hati dan dapat menerima pendiriannya.

“Ala.. Bukan nak buat apa pun. Just nak ambil gambar je”

nada Saleha menjadi lebih manja dan menggoda.

“Tak pa.. Saya hargai niat baik kamu tu. Tapi bukan dengan saya untuk awak laksanakan tujuan hati awak.. Lagipun saya ada prinsip saya sendiri. Dan tidak mengambil gambar dengan mana2 perempuan yang bukan muhrim bagi saya, termasuk dalam list prinsip hidup yang telah saya pegang selama ini.. Saya harap kamu faham..”

Saleha berasa sedikit tercabar dengan kata2 yang dikeluarkan daripada mulut Muslim. Ternyata pelawaannya itu ditolak mentah2 oleh Muslim. Belum pernah ada seorang pun yang menolak permintaannya selama ini.

“Cis, dasar budak kampung.. ! Weh, ingat hensem sangat ke ha..?! Aku pun tak hingin la nak bergambar dengan kau.. Budak kolot !!

Saleha memaki hamun Muslim tanpa menghiraukan tetamu2 yang berada disekitar kawasan mereka berbicara. Tetamu yang terdengar suara Saleha, hanya termanggu kehairanan. Hairan dengan apa yang sedang berlaku sebentar tadi..

Muslim segera beredar dari kawasan itu tanpa meminta maaf daripada Saleha dengan tujuan tidak mahu terjadi perkara2 yang tak di ingini berlaku. Baginya, tidak perlu dia meminta maaf kerana bukan dirinya yang bersalah. Dan dia tidak mahu nanti diantara tetamu2 yang berada di situ, berfikir yang bukan2 tentang mereka. Dalam hatinya, dia memanjatkan kesyukuran kepada Illahi kerana berjaya menolak daripada terjerumus ke lembah fitnah manusia, godaan syaitan dan godaan dunia yang semakin hari semakin hebat dan semakin dashyat.

Tapi, di sebalik kesyukuran itu, timbul di hatinya kekecewaan. Kecewa dengan perangai umat pada zaman kini yang semakin hari, semakin jauh daripda pegangan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.AW.. Jika mengikut syari’at Tuhan pun di anggap kolot dan kekampungan, ajaran mana lagi yang mahu diikuti sebagai panduan hidup ? Itu baru segelintir yang dapat dilihat di hadapan matanya. Belum lagi yang masih hanyut dalam tipuan dunia yang senantiasa menipu golongan manusia sehingga ke hari kiamat.

Di kuatkan azam di dalam hatinya. Dia menganggap semua yang berlaku itu, tentu ada hikmahnya. Dan setiap hikmah itu, pasti berguna bagi kehidupannya pada masa akan datang, dengan tujuan dapat memantapkan lagi kehidupannya di dunia ini sebagai seorang hamba kepada Tuannya.. dan seorang hamba itu, tidak lain dan tidak bukan, hanyalah mengikut apa yang telah disuruh, dan meninggalkan apa yang telah dilarang..

**********

Musim merehatkan mindanya di tasik pada petang itu. Segala kekusutan yang bermain di mindanya, di harap dapat di bungkus dan di lemparkan ke arah tasik. Dihirupnya udara di situ sedalam-dalamnya. Begitu segar sekali udara pada petang itu. Dihayati setiap kehidupan yang berada di sekitar tasik itu sambil memuji-muji kebesaran Illahi yang terlalu besar nikmat yang diberikan olehNya kepada hamba2Nya yang beriman..

Ilalliqa'..
sumber: blog islam itu indah

Assalamualaikum & salam musim peperiksaan.

Sempena musim peperiksaan yang menjelang tiba, pihak SAHAM (Sahabat Masjid) dengan kerjasama PEKA 2 dan PIPI (Pembangunan Insan &Pusat Islam) akan menganjurkan satu program motivasi yang bertemakan "Spirit Being Motivated".

Berikut adalah butir - butir program :
Tarikh: 29 -30 Oktober 2010
Masa: 5ptg (29/10/10) - 8 pagi (30/10/10)
Tempat : Masjid UMP
Motivator : IMAM MUDA (MIRIL &ADIB)


Tentatif program

29 OKTOBER 2010

5 .00 ptg : Pendaftaran peserta
5.30 ptg : Tayangan multimedia
6.30 ptg : Makan malam (disediakan)
7.15 mlm : Solat Maghrib , Solat Hajat Perdana dan Bacaan Yassin (dikelolakan oleh Imam Muda)
8.20 mlm : Solat Isyak
9.00 mlm : Forum Motivasi "Spirit Being Motivated"
11.00 mlm : Minum Malam
11.30 mlm : Bacaan Al-Mulk


30 OKTOBER 2010

4.00 pg : Bangun tidur & Persiapan diri
4.30 pg : Qiamulail (Slot Imam Muda)
6.00 pg : Solat Subuh
6.15 pg : Kuliah Subuh (slot Imam Muda)
7.00 pg : Penutup Program (wakil PIPI)
7.15 pg : Riadah
8.00 pg : Sarapan & Bersurai (disediakan)

*Kismis dan air mineral akan disediakan.


Semua pelajar UMP termasuk non-muslim turut dijemput hadir ke program motivasi berilmu ini.
Kedatangan anda semua amatlah dialukan.
Gunakanlah peluang ini sebaik mungkin bagi mendapatkan tips-tips menghadapi FINAL EXAM.


Jangan bazirkan peluang ini!!!

Sekian, terima kasih.



Assalamu'alaikum wbt.

Sempena final exam yang akan menjelang tiba dan beserta Kempen Biah Solehah ini , InsyaAllah satu ceramah motivasi khas yang menanpilkan Ustaz Nazrey Johani bersama dengan Hj Muhammad Mukmin (motivator) akan diadakan.Berikut merupakan butirannya:

TARIKH: 22 OKTOBER 2010
TEMPAT: Masjid Universiti Malaysia Pahang
MASA: 7.00 - 11.30 malam


Marilah sama-sama kita memeriahkan dengan menghadirkan diri dalam sesi ceramah ini.

Assalamualaikum w.b.t

Tahniah diucapkan kepada
SITI SARAH BINTI ABD RAHMAN
MA09075
kerana telah terpilih sebagai DESIGNER BANNER TERBAIK bagi PERTANDINGAN MENDESIGN BANNER yang telah dianjurkan oleh SAHAM baru2 ini.

Alhamdulillah, pertandingan mendesign banner dah berlalu dan pemilihan design terbaik juga dah berlalu. Jadi di sini ingin saya menjelaskan proses pemilihan design tersebut.
Untuk makluman semua, juri untuk pemilihan design terbaik adalah terdiri daripada pegawai PIPI merangkap penasihat SAHAM iaitu Ustaz Mohamad Hazmi bin Dibok dan juga president SAHAM sendiri iaitu Ahmad Bazli bin Bustary.
Design dipilih berdasarkan beberapa criteria iaitu tulisan yang jelas, warna yang menarik dan juga penggunaan gambar2 yang menarik dan sesuai dengan tajuk yang diberi. Dan pemilihan ini dibuat tanpa mengetahui identiti designer untuk mengelakkan sebarang keraguan .
Jadi, sekali lagi TAHNIAH di ucapkan kepada Siti Sarah. Dan bagi yang tidak terpilih, janganlah berduka cita. InsyaAllah rezeki anda adalah pada masa akan datang. Dan ingatlah, Allah tidak memandang hasil sesorang melainkan usahanya. Semoga usaha anda semua dengan menyertai pertandingn ini dinilai oleh Allah s.w.t.

p/s:
1.Saya memohon maaf di atas kelewatan pemakluman keputusan ini berikutan beberapa masalah yang dihadapi.
2.Keputusan adalah muktamad. Sebarang aduan tidak akan dilayan.
3.InsyaAllah design yang terpilih akan diupload ke dalam www.sahamump.blogspot.com secepat mungkin. Jadi silalah berkunjung ke blog tersebut.
4.InsyaAllah design terpilih akan diprint bersempena dengan kempen Bi’ah Solehah

Sekian, Terima kasih.







jom kita sama2 praktikkan pemakaian yang betul dan menutup aurat berdasarkan hukum islam.

“Abang, atap rumah kita sudah bocor. Dapur sudah masuk dua hari tak berasap” rungut si isteri.

“Abang tahu. Maafkan abang” balas sang suami. Riak wajahnya menampakkan kesal yang mendalam.

“Apa kita nak buat sekarang?” tanya si isteri lagi.

“Marilah berzikir, sayang. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar…!” jawab si suami.

“Apa abang ni? Orang cakap betul-betul, dia main-main pula” marah si isteri.

Itu bukan jawapan yang diharapkannya. Ketika hati panas mengeluh tentang kemiskinan dan kesusahan hidup, sepatutnya seorang suami mendatangkan idea-idea yang boleh mengubah keadaan. Biarlah ada perancangan tentang menambah kerja, berniaga pasar malam atau apa sahaja.

Tapi bukannya wirid-wirid! Zikir-zikir!

“Bukankah di dalam al-Quran Allah sudah berjanji” si suami mempertahankan pendiriannya.

Mungkin dia merujuk kepada firman Allah:

“…ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia” [al-Ra'd 13: 28]

“Yelah tu, bang! Nanti kalau anak kita menangis kelaparan, abang suap dia dengan biji tasbih ya!” sindir si isteri.

Si suami termenung. Cakap isterinya makin melalut. Dalam suasana begini, jangan dipanjang-panjangkan bahas dan debat. Nanti makin jauh tersasar dari jalan kebenaran.

Walaupun hatinya panas mendengar celoteh isteri, tetapi terdetik juga di fikiran. Tenangkah hati kalau semasa perut lapar dan rumah bocor, mulut berzikir dan bertasbih. Kalau semasa menerima bil demi bil pada hujung bulan, terhapuskah tekanan dengan zikrullah? Pahala tu pahala juga. Tetapi duit tetap nak kena cari.

Maha Suci Allah daripada sifat mungkir janji. Sudah diberitakan-Nya bahawa zikir itu mengundang tenang.

Subhanallah… tidak mungkin ayat itu menipu.

Maha Suci Allah daripada memberikan penyelesaian yang tidak praktikal.

Maha Suci Allah daripada menjadikan tubuh badan manusia berkehendakkan makanan, tetapi disuap-Nya dengan zikir semata-mata.

“Eh, sudah empat kali aku menyebut Subhanallah! Kalau Allah Subhanahu wa Taa’la itu Maha Suci daripada segala sifat tadi, tentu sahaja silapnya ada padaku. Aku yang patut mencari di mana kelemahan aku dalam merancang kehidupan” kata si suami.

“Alhamdulillah… tenang sikit rasa hati” monolognya sendirian.

Setelah perasaan, fikiran dan sangkaan yang negatif tentang kehidupan ini (tentang Allah barangkali) disembuhkan, barulah terbuka matanya untuk melihat satu demi satu nikmat yang hakikatnya masih banyak dan menanti untuk dimanfaatkan bagi memperbaiki kehidupan.

Masih sihat.

Masih bertangan dan berkaki.

Masih bermata dan bertelinga.

Masih punya banyak kurniaan yang diberikan Allah secara percuma untuk diguna.

Alhamdulillah!

Terpacul ungkapan yang memuji Allah. Bahawa kesusahan yang dialami bukan kerana zalimnya Allah ke atas diri, tetap sebagai peringatan ke atas diri yang sudah lama menzalimi diri sendiri, kerana tidak menggunakan sepenuhnya segala nikmat yang diberi.

Alhamdulillah!

Syukur kepada Allah, dirinya tidak jadi sinikal seperti si isteri. Fikirannya dapat diluruskan dan Alhamdulillah beliau mendapat kekuatan untuk berfikir dan tidak berputus asa.

“Allahu Akbar! Allah tidak tipu. Aku sudah tenang. Ayat itu benar. Aku mesti mengajak isteriku sama. Dalam zikir mesti ada fikir. Baru tenang hati dan tenang minda,” kata si suami.

FORMULA DI SEBALIK WIRID

Benar… kisah di atas sepatutnya bukan kisah yang asing.

Ketika kaum Muhajirin mengadu kepada Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang kemiskinan mereka, reaksi baginda juga sama. Muhajirin mengadu bukanlah tentang kemiskinan yang menyeksa kehidupan, tetapi kemiskinan yang mengurangkan peluang amal. Kurang peluang bersedekah dan membantu sesama ikhwah.


Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, bahawa (di suatu hari) telah datang golongan fakir dari kelompok Muhajirin kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam, lalu mereka berkata: Orang-orang kaya beroleh darjat yang tinggi dan baik terpuji. Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: apa yang kalian maksudkan? Jawab mereka: Orang-orang kaya itu bersolat seperti kami bersolat, mereka berpuasa seperti kami berpuasa. Mereka bersedekah tetapi kami tidak bersedekah kerana tidak punya harta. Mereka membebaskan hamba abdi, tetapi kami tidak mampu berbuat demikian…

Malah keletihan menguruskan rumahtangga dengan kerja-kerja yang kasar dan berat oleh Saidatina Fatimah radhiyallaahu ‘anha juga diberikan reaksi yang hampir sama oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Mahukah kamu sekiranya aku ajarkan kepada kamu satu amalan yang akan dapat menyamai orang-orang yang sebelum kamu dan dapat mengatasi orang-orang yang sebelum kamu? Tiada seorang pun yang lebih baik daripada kamu melainkan mereka yang melakukan amalan sebagaimana yang kamu lakukan itu?

Apakah yang bakal diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada sahabat?

Kaedah mengenal pasti peluang-peluang perniagaan?

Teknik pertanian terkini untuk memajukan hasil bumi Madinah?

Strategi pemasaran untuk meluaskan urus niaga mereka?

Tidak…

Apa yang diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah lebih penting daripada itu semua. Kesemua yang disenaraikan di atas adalah perkara sekunder. Sedangkan apa yang lebih utama, membetulkan suasana dalaman akal, hati dan nafsu manusia.

Bahkan, ajarkanlah kepada kami ya Rasulullah! Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Kamu bertasbih, kamu bertakbir dan kamu bertahmid setiap kali selesai mengerjakan solat dengan bilangan tiga puluh tiga kali

Subhanallah…

Alhamdulillah…

Allahu Akbar…

33 kali setiap satu setiap kali selesai bersolat…

Kalimah-kalimah ini memang ringan di lisan dan berat di Mizan. Tetapi kehebatannya tidak terhenti pada soal pahala Akhirat yang menjadi ‘matawang’ kita di Sana. Ia juga mempunyai implikasi yang besar kepada diri manusia yang melaziminya pada kehidupannya di dunia.

Kalimah yang berkuasa tinggi.

Diucapkan dengan emosi.

Diulang 33 kali.

Mustahil ia sekadar soal pahala. Sebaliknya zikir itulah kunci untuk manusia miskin dan susah bangkit dari segala keadaan itu kepada kehidupan yang lebih baik. Cemerlang.

SUBHANALLAH

Apa yang diSUBHANALLAHkan?

Maha Suci Allah daripada sifat ZALIM dan menzalimiku hingga hidupku susah begini.

Maha Suci Allah daripada sifat JAHIL hingga Allah tidak tahu tentang apa yang sedang aku alami.

Maha Suci Allah daripada sifat BUTA hingga tidak nampak penderitaan yang kutanggung ini.

Maha Suci Allah daripada sifat PEKAK hingga tidak mendengar keluhan dan doaku ini.

Maha Suci Allah daripada segala kekurangan. Dan Allah yang Maha Sempurna itu, tidak harus dinisbahkan kepada-Nya sebarang prasangka dan persepsi yang negatif.

Justeru jika kemiskinan ini menjadi suatu kecelakaan ke atas diriku, maka bukanlah kerana Allah mengurangkan pemberian-Nya, tetapi aku yang gagal memanfaatkan ‘modal percuma’ yang diberi. Aku yang menjadikan kemiskinan itu keburukan.

Jika kita berniaga dengan modal RM50 dan hasil jualan berjumlah RM70, ini bermakna kita untung RM20. Berapakah modal yang kita keluarkan untuk memiliki tangan, kaki, kepala, mata, telinga, otak, dan tubuh badan ini sebagai bahan untuk mencari laba kehidupan?

PERCUMA!

Semuanya diberikan oleh Allah dengan elok dan baik. Justeru pada saat aku merasakan bahawa aku tidak memiliki apa-apa, aku masih punya sebab yang besar untuk mengucap syukur atas keuntungan perniagaan hidup tanpa modal sendiri ini. Alhamdulillah…

ALHAMDULILLAH

Segala puji bagi Allah yang memberikan aku kehidupan untuk kuberjuang dalam kehambaan kepada-Mu.

Segala puji bagi Allah yang memberikan aku tubuh badan untuk tujuan itu.

Segala puji bagi Allah yang mengurniakan aku akal hingga aku mampu berfikir sebagai penghulu kehidupan.

Segala puji bagi Allah yang rupa-rupanya mengujiku dengan kemiskinan agar terdesak untuk bermuhasabah, terdesak untuk mencari kembali pemberian-pemberian yang banyak dalam kehidupan, terdesak untuk mengubah cara hidup, terdesak untuk bangkit dan seterusnya menjadi manusia yang lebih baik serta berjaya, di dalam SYUKUR.

Alhamdulillah.

Subhanallah telah meluruskan kepercayaanku, justeru datanglah makna yang besar tatkala aku mengucap Alhamdulillah. Benar-benar segala puji itu adalah untuk-Nya.

ALLAHU AKBAR

Tenang… kecamuk jiwa beroleh damai. Kekusutan fikiran mula terungkai membentang jalan. Janji Allah bahawa zikir kepada-Nya menganugerahkan rasa tenang, kini aku benar-benar tenang. Allahu Akbar!

Indahnya hidup berTuhan. Sentiasa ada sumber sandaran. Sandaran yang mencetuskan keyakinan. Keyakinan yang menyuntik kekuatan. Kekuatan yang menjadikan aku manusia miskin yang bangkit menuju kejayaan.

Allahu Akbar!

Maha Besar dan Maha Agungnya Dia, mengatasi segala-galanya.

Sesungguhnya ZIKIR hanya mendatangkan tenang, apabila ZIKIR datang dengan FIKIR.

FIKIR yang mendatangkan kejayaan, hanyalah FIKIR yang datang dengan ZIKIR.


Itulah kehebatan aku sebagai Mukmin. Manusia ajaib yang tidak pernah berperasaan buruk terhadap kehidupan, kerana baik sangkanya dia kepada Tuhan.

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, daripada Suhaib radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata, suatu ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk bersama para sahabatnya dan tiba-tiba Baginda ketawa. (Melihatkan keadaan sahabat yang terkejut) Baginda berkata: Apakah kamu tidak mahu bertanyakan aku apa yang menyebabkan aku ketawa? Mereka berkata: Ya Rasulullah, mengapa engkau ketawa?

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Ajaib sungguh perihal seorang mukmin. Semuanya baik belaka untuk dirinya. Jika dia mendapat sesuatu yang disukainya, dia memuji Allah lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya. Dan jika dia ditimpa sesuatu yang dibencinya, dia bersabar. Lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya. Bukan semua orang yang boleh menjadikan segala perkara adalah baik untuknya kecuali MUKMIN.
SUMBER:saifulislam.com




Assalamualaikum dan selamat sejahtera..SAHAM akan melancarkan KEMPEN BI'AH SOLEHAH..Tarikh: 11/10/2010-7/11/2010..Antara aktiviti menarik adalah tayangan video,ceramah khas dan edaran risalah..Kehadiran warga UMP amatlah dialu-alukan..

11/10-tayangan video lpas maghrib
12/10-cramah khas lpas mgrib
13/10-edar risalah.

dijemput smua rakan2 UMP utk mghayati kempen ini dgn mnyertai xtvt yg dijalankan..

Assalamualaikum w.b.t

InsyaAllah dalam masa terdekat ni, SAHAM akan mengadakan satu kempen iaitu Kempen Biah Solehah. Sebelum kempen dijalankan, kami (SAHAM) bekerjasama dengan PIPI, akan mengadakan satu pertandingan mendesign banner bagi kempen tersebut. Pertandingan ini akan dibuka kepada semua pelajar UMP. Jadi kepada semua pelajar yang berkelapangan, rebutlah peluang ini. Tarikh tutup penyertaan adalah pada hari ahad ini (10/10/10).

Di sini disertakan banner kosong yg mengandungi isi2 yang perlu ade dlm banner tersebut.Kepada sesiapa yang berminat, bolehlah design mngikut kekreatifan masing2 tanpa mengurangi maklumat yg perlu ade dlm banner tersebut. Bagi design yang terpilih, insyaAllah akan diberi wang saguhati sebanyak RM100.00. hasil kerja anda boleh lah dihantar ke email: white_meow88@yahoo.com.

Sebarang pertanyaan, boleh rujuk siti ain. 0134263134

Imam Syahid menghadiri sebuah mu’tamar di Daqhaliah. Selesai sahaja mu’tamar, Imam Syahid bersama dengan Ustaz Umar Tilmisani bergegas ke sebuah bilik berisi dua tempat tidur. Masing-masing dari keduanya pun berbaring di atas tempat pembaringannya.
Beberapa minit kemudian, Imam Syahid bertanya:
“Wahai Umar, apakah kau sudah tidur?”
Ustaz Umar menjawab:
“Belum.”
Beberapa saat kemudian, Imam Syahid mengulangi pertanyaan dan dijawab dengan jawapan yang sama.
Akhirnya, akh umar berkata dalam hati:
“Jika Ustaz Hassan bertanya lagi kepada saya, akan saya diamkan sahaja.”
Setelah ditanya berkali-kali, disangka bahawa Ustaz Umar telah tidur.
Kemudian, Ustaz al Banna keluar terhendap-hendap perlahan dari kamar tidurnya dengan terinjut-injut kakinya. Perlahan-lahan beliau berjalan ke tempat mengambil wudhu’ tanpa alas kaki risau kemungkinan Ustaz Umar terjaga mendengar derap bunyi selipar. Lantas beliau berwudhu’ dan kembali ke bilik. Di ruang yang paling hujung, beliau lalu membentang kain sejadahnya dan mulai melaksanakan solat tahajjud.

Bulan Ramadhan yang baru sahaja pergi meninggalkan kita. Madrasah tarbiyah Ramadahan telah mengajar kita untuk mengekang al-hawa yang menjadi antara musuh utama kita. Ia merupakan antara langkah utama ynag perlu dititikberatkan dalam proses tarbiyah di mana Syed Muhammad Ahmad Al-Rasyid dalam bukunya ‘Al-Muntalaq’ menjelaskan kepentingan meninggalkan al hawa. Perlulah dipastikan untuk kita tajarrud (menghilangkan, menanggalkan) segala bentuk jahiliyah dan unsur al hawa yang mendokong pelbagai nama di era moden ini. Kesempatan bulan Ramadhan dipenuhi dengan banyaknya amalan istimewa seperti terawih dan tida kurang juga qiam-qiam di malam hari. Walaupun, Ramadhan pergi, namun tidak menjadi alasan untuk kita tidak memperbanyak amalan-amalan ibadah terutamanya qiamullail.
Pada zaman awal sahabat di mana jumlah orang Islam sangat sedikit dan golongan yang terdiri daripada As-Sabiqun Al-Awwalun yang rata-ratanya orang miskin dan lemah, Allah telah mewajibkan qiamullail buat setahun lamanya. Seperti yang dinyatakan dalam Surah Muzzammil, ayat 20:
“Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahwasanya kamu berdiri (sembahyang) kurang dari dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian pula) segolongan dari orang-orang yang bersama kamu. dan Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Allah mengetahui bahwa kamu sekali-kali tidak dapat menentukan batas-batas waktu-waktu itu, Maka dia memberi keringanan kepadamu, Karena itu Bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Quran. dia mengetahui bahwa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan orang-orang yang berjalan di muka bumi mencari sebagian karunia Allah; dan orang-orang yang lain lagi berperang di jalan Allah, Maka Bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Quran dan Dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu niscaya kamu memperoleh (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. dan mohonlah ampunan kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Selain itu, qiamullail, bukan sahaja membina fizikal yang kuat malah turut membentuk jiwa dan rohani yang teguh.
Sepertimana yang dinyatakan oleh Syed Qutb. Apabila ditanya oleh rakan sebilik dalam penjara mengapa beliau masih lagi sanggup untuk bangun solat malam walau telah seharian suntuk dipukul dan disiksa dengan dahsyat oleh regim zalim. Rakannya menasihatkan supaya berehat sahaja kerana hari-hari berikutnya pasti akan ditempuh seksaan-seksaan yang lebih dahsyat. Beliau dengan tenang menjawab:
“Jika aku tidak bangun untuk qiam pada malam hari, sudah pasti aku tidak mampu untuk bertahan seksaan di siang hari.”

Moga-moga kita mengambil pengiktibaran untuk memartabatkan qiam antara amalan harian kita. Insya Allah.

sumber:dakwahinfo



Setiap manusia itu tidak lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Sukarnya seseorang untuk memaafkan saudaranya lantas terus menghina saudaranya itu atas kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Apakah penghinaan atau kemaafan yang terbaik buat seseorang yang melakukan kesilapan??

Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.

(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."
(Surah Al-Hujurat:11)

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut."
(HR. Tirmizi)

"Orang yang tidak suka menghormati orang lain, adalah orang yang tidak terhormat. Orang yang dihinakan itu belum tentu dia akan hina atau tidak, tetapi perbuatan menghinakan orang itu sudah menjadi bukti atas kehinaan diri kita sendiri."
(Hamka)

"Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat".
(HR. Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

"Bukanlah seorang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka melaknat, suka mengeluarkan kata buruk dan kesat".
(HR. Bukhari dan Ahmad)

Firman Allah SWT:
"Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."
(Surah Ali-Imran:134)

Kemaafan adalah dendam terindah buat saudaramu yang melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang sempurna dan maksum sehingga tiada satu kesalahan pun yang dilakukannya terhadap saudaranya melainkan 'Nabi Muhammad SAW.

Tiada manusia yang sempurna melainkan saling menasihati antara satu sama lain bagi memperbetulkan kesilapan dan memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

"Tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan pada tiga keadaan, iaitu tidak dapat diketahui orang pemaaf melainkan ketika dia marah, tidak dapat diketahui orang yang berani kecuali ketika dia berjuang dan tidak dapat dikenal seorang sahabat melainkan ketika kita dalam kesusahan."
(Luqman Al-Hakim)

Mulailah kemaafan itu dari diri kita sendiri dengan memafkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh saudara kita.

Firman Allah SWT:
"Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu?"
(Surah an-Nur : 21)

"Maafkanlah semua orang sebelum anda tidur setiap malam bagi mencuci hati dan mencerdaskan minda"
~ Pesanan dari Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah

Doaku KepadaMu:-
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
Ya Allah Ya Tuhanku,
hanya kepadaMu aku pasrah,
kepadaMu aku beriman,
kepadamu aku bertawakal,
kepadaMu aku memohon keputusan hukuman.
Ampunilah dosaku yang lalu dan akan datang,
yang tersembunyi dan terang-terangan.
Engkau yang mendahului dan yang mengakhirkan.
Tidak ada Ilah kecuali Engkau."
Amin Ya Rabbal Alamin.

Tanda Islamnya kita ialah kita mendirikan solat lima waktu.
Tanda berimannya kita ialah dalam solat kita khusyu’ menghadapNya.
Kata Allah swt,
“Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ solatnya” (Al-Mu’minun:1-3).
Kalau orang beriman itu adalah orang yang khusyu’ solatnya, ini bererti orang yang tidak khusyu’ solatnya adalah orang yang TIDAK BERIMAN?!
“Wahai diri apakah selama ini kita hanya menipu Allah yang kita sudah beriman sedang solat kita tidak menentu khusyu’nya?”
Kata Nabi saw, pahala solat belum tentu kita dapat sepenuhnya. Ia bergantung kepada kualiti solat yang kita lakukannya:
“Sesungguhnya seorang lelaki apabila selesai menunaikan solat, tidak ditulis pahala untuknya melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam, seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua ” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dari ‘Ammar bin Yasir r.a..
Tanyalah diri ” Wahai diri, berapalah bahagian pahala yang kamu dapat setiap kali solat dan sudah berapa yang terkumpul sepanjang bertahun-tahun hidup.” Diri tidak bisa menipu lagi kerana dia tahu solat jenis apa yang dipersembahkan pada Allah selama ini.
Astaghfirullahil ‘Azhim…!!
Kata ulama’:
”Khusyu’ itu tidak datang sendiri tetapi perlu diusahakan secara berterusan. Apabila dapat memilikkinya ia adalah lebih baik dari dapat memiliki seisi dunia”

Kita bertanya lagi pada diri, “Wahai diri yang malang, kamu sudah bekerja keras untuk meraih ijazah. Kamu bekerja bermati-matian untuk mendapat pengiktirafan ketua pejabat. Kamu berusaha kuat untuk memiliki hati orang yang kamu cintai. Kamu bekerja keras untuk membahagiakan keluarga. Tetapikamu terlupa berusaha untuk mencari yang lebih bernilai dari seisi dunia iaitu membina khusyu’ dalam ibadah. Bukankah ia penentu kualiti hamba jenis apa kamu di mata Allah.“

Berapa banyakkah kita habiskan wang untuk meraih ijazah? Berapa tahunkah kita membina kerjaya dengan pulang ke rumah hingga larut malam? Berapa ribuan jamkah waktu yang sudah kita habiskan untuk semua itu?
Bilakah kali terakhir kita berusaha secara serius membina khusyu’?
Tubna ila ALlah, wa raja’na ila ALlah, wa nadimna ‘ala ma fa’alna.
Bangunlah. Ambillah sejadah dan pakaian solat. Berbisklah padaNya,
“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allllaaah……….
kasihilah aku ….sayangilah aku……aku hambamu ya Allah.”

Tundukkan nafsu. Langkahkan kaki dengan tawadhu’ menuju tempat wudhu’. Tumpukan fikiran kepada Allah yang menunggu kehadhiran hati kita. Biarkan roh kita yang sedang dahaga merasa bahagia di saat ini kerana ia terlepas dari himpitan nafsu. Rasakan kelembutan air menyirami jasad kita. Ia bersih dan membersihkan diri dan dosa2 kita. Air ciptaan Allah yang sangat lembut dan menyegarkan ini boleh saja menjadi ganas apabila membentuk badai. Namun dalam ganas atau lembut ia tetap tunduk dan akur kepada hukum Pencipta. Ia mungkin saja merasa bahagia diambil untuk berwudhu walaupun selepas itu ia akan mengalir dengan kotoran yang lain.

Air bertasbih, lantai batu yang kita pijak juga bertasbih. Darah kita bertasbih serentak dengan denyutan jantung tiada hentinya. Kini mulut kita sama-sama menyebut “Allah”…..
maka bertasbihlah segala yang ada di sekeliling kita dalam rentak yang harmoni yang hanya dapat dirasakan oleh jiwa yang khusyu.
Dengan air wudhu yang masih menitik di badan, tangan ditadahkan dan mulut berbisik pada Tuhannya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri”

Kita melakukannya kerana Rasullah saw. pernah bersabda
“Sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik kemudian dia berkata,Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj ‘alni minat tawwaabin, waj’alni minal mutatohhiriin akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.
(Hadis Riwayat Al-Tarmizi(50);Sahih:Sahih Al-Tarmizi(55) dan Al-Nasai(148);Sahih:Sahih Al-Nasai(148))

Inilah langkah-langkah menuju khusyu’ dalam solat. Kita tidak tahu apakah ini adalah wudhu yang terakhir dan solat yang terakhir kerana nyawa kita ada dalam genggamanNya. Saidina Abu Bakar akan menggigil badannya di saat2 begini ketika melangkah menuju solat…kita bagaiamana pula?
Berdiri di atas sejadah penuh tawadhu’, bisikkan lagi dengan tenang,
“ALLLLAAAAHU AKBAR…….Allah, Tuhanku, Engkaulah yang Maha Besar, aku hanya insan kerdil datang menghadapkan diri padaMu, terimalah aku”

Allah itu Maha Pengasih, Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Kalau kita datang dengan berjalan Dia akan datang dengan berlari……. Kini Dia sedang melihat dengan penuh rahmah walaupun kita tidak melihatNya. Inilah Khaleq yang tidak pernah bosan mendengar curahan hati hambaNya. Semakin kita rasa bergetar semakin mencurah kasihNya.

Ya. Rabb. Tidak mampu kami melakukannya tanpa bantuanMu. Berikanlah kami hati yang sentiasa mencintaiMu. Hati yang mencintai apa yang Engkau cintai. Hati yang menyayangi orang2 yang Engkau sayangi. Jangan biarkan kami sendiri walaupun sesaat tanpa bantuanMu. Usah biarkan hati kami yang lemah ini dikotori oleh nafsu dan iblis sehingga terhijab doa dan rayuan kami kepadaMu. Ya Ilahi, berkatilah mereka yang membaca tulisan ini moga mereka mendapat kebaikan darinya.


Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT ke muka bumi ini.

Baginda bukan sahaja sibuk dengan tugas utamanya iaitu menyampaikan ajaran Islam daripada Allah kepada umat manusia, malah memiliki sifat-sifat terpuji atau sifat Rabbaniah (ketuhanan dalam diri).

Ini kerana baginda bukan setakat menghubungkan diri dengan Allah (Hablun Minallah) dalam segenap urusan serta tindakannya, malah tidak lupa juga menghubungkan diri dengan manusia sekeliling terutama umatnya (Hablun Minan Nas).

Setiap apa yang diungkapkan oleh baginda, sama ada berupa berita gembira atau berita yang mengancam mereka di akhirat, baginda sentiasa memikirkan agar umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT berupa pahala dan ganjaran yang membolehkan mereka layak memasuki syurga Allah.

Ganjaran setahun dengan amalan puasa enam

Begitulah halnya dengan puasa enam di bulan Syawal, baginda mahukan dari umatnya agar sentiasa peka dalam menambahkan koleksi pahala selepas puasa sebulan Ramadan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.

Berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal di ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa, ini kerana dalam kalender Islam hanya tercatat 355 hari berbanding bulan Masehi 365.

Kalau seseorang itu melakukan 30 hari puasa Ramadan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari di bulan Syawal, ia akan menjadikan 360 hari bagaikan satu tahun pahala berpuasa.

Perkara ini disandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).

Inilah yang dikatakan ingatan Nabi terhadap umatnya, begitulah juga dengan peringkat awal kefarduan solat pada malam Mi’raj ke langit, Nabi kenangkan umatnya yang tidak akan mampu untuk melaksanakan 50 waktu sembahyang hingga bermohon ke hadrat Allah agar dikurangkan hingga menjadi lima waktu sahaja. Itu pun ada di kalangan umat Islam yang tidak melakukan solat fardu lima waktu.


Dah mula puasa enam? Kalau belum, JOM PUASA ENAM...

Sumber:http://www.harakahdaily.net


Alhamdulillah masih diberi oleh Allah swt kesempatan untuk berada pada hari 23 ramadhan.Sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita dan sahabat-sahabat bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :

"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah.
Related Posts with Thumbnails