Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Rejab : Pengertian, Peristiwa Penting & Amalan

Pengertian
Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.


Peristiwa Penting


1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) 
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untukmencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

http://www.ezsoftech.com/ramadan/i/baitul_muqaddas.jpg


4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm. 




Amalan


Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.






Bersempena Israk Mikraj ini, pihak Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Sahabat Masjid (SAHAM) telah mengadakan satu ceramah agama bertajuk " Generasi Salahuddin Al-Ayubi". Penceramah jemputan ialah Dr Aminurrasyid Yatiban, PhD Islamic Jerusalem Studies, Al-Maktoum Institue for Arabic and Islamic Studies, Universiti of Aberdeen, Dundee. Semua dijemput hadir. Bersama-samalah kita memeriahkan lagi majlis ilmu ini disamping menghayati sejarah Islam. InsyaAllah~

Sumber Disediakan oleh:
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri 

iLuvislam

1 comments:

Jangan Lepaskan Peluang~!

Assalaamua'laykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Alhamdulillah sudah hampir sebulan mahasiswa/i baharu diploma berada di Universiti Malaysia Pahang. Pastinya pelbagai pengalaman,suasana dan rakan-rakan baru telah ditemui sepanjang berada di dunia varsity ini. Lumrah sebagai seorang mahasiswa/i, setiap hari akan berhadapan dengan pensyarah, ‘assignment’,tutorial dan sebagainya yang kadangkala boleh menimbulkan kebosanan. Oleh itu, kami daripada pihak Sahabat Masjid (SAHAM) telah menyediakan beberapa aktiviti untuk kalian. Semoga aktiviti-aktiviti ini sedikit sebanyak dapat mengeratkan silaturrahim antara kita dan juga saling berkongsi input yang berguna. insyaAllah... 


Rasulullah SAW sentiasa menyarankan bahawa mengeratkan persaudaraan sesama umat Islam adalah satu jambatan yang kita boleh istilahkan sebagai pasport atau visa untuk ke Syurga Allah SWT. Begitulah besarnya hikmat dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka yang menghubungkan persaudaraan.



“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada yang lemah.”
[Riwayat Muslim]

~Tubuh badan yang cergas menjamin minda yang cerdas~

Dengan ini, kami daripada SAHAM amat mengalu-alukan kalian untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktivi yang telah kami sediakan.

Ayuh! Sama-sama kita memeriahkan suasana~

~Together with SAHAM~
~Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah~


0 comments:

Motivasi: Faqir yang sebenar~

Allah ciptakan dunia kamu itu luas. Maka jangan sesekali kamu menyempitkan.

Satu hari di dalam kelas, Dr Ala’ Hilat berkongsi sesuatu yang amat menarik kepada kami di dalam kelas.
Akan makna faqir yang sebenar. Ya. Faqir yang sebenar.
Apakah makna faqir kepada kita?
Biasanya, kita takrifkan miskin kepada ada duit, tinggal tidak cukup.  Tetapi faqir adalah lebih daripada itu. Faqir adalah langsung tidak punya apa-apa.
Begitulah. Tak ada apa-apa. Tetapi biasanya, kita kaitkan Faqir hanya dengan isu kewangan.
Dr Ala’ menceritakan Faqir yang lebih teruk daripada faqir kewangan.
Itulah dia faqirnya jiwa. Ya.
“Kamu tahukah apa faqir yang sebenar?”
Kami diam.
“Itulah dia apabila kamu kehilangan sesuatu, kamu rasa seperti kehilangan segala-galanya.”

Kesempitan yang direka-reka oleh lemahnya keimanan
Walaupun sedikit sahaja pesanannya, tetapi pesanan Dr Ala’ itu benar-benar mengetuk jiwa saya.
Contoh paling dekat kita boleh petik adalah tidak cemerlang dalam peperiksaan. Sudah berusaha bersungguh-sungguh, tetapi gagal. Bila gagal itu, kita rasa dunia telah gelap. Rasa tidak bermaknanya kehidupan.
Contoh lain, putus cinta. Bila cinta putus, rasa dunia seperti hendak kiamat. Rasa semuanya tidak lagi punya makna untuk diteruskan. Benda-benda lain seakan tidak lagi punya harganya.
Contoh lain adalah kematian orang yang tersayang. Kita rasa seperti hidup ini sudah tidak boleh berjalan. Kita rasa semua tidak lagi bermakna dan hilang harganya.
Dan tidak kurang ramainya yang membunuh diri akibat kekecewaan dalam hal-hal demikian.
Itulah dia Faqir yang Dr Ala’ nyatakan.
Ya. Faqir.
Ujian Allah beri sedikit sahaja sebenarnya. Dan kita tidak tahu apa yang Allah kehendaki daripada kita sebenarnya. Tetapi sepatutnya kita amat arif Allah itu hanya mahu yang baik-baik sahaja kepada hambaNya. Namun oleh kerana dunia itu kita letak besar dalam hati kita, maka bila kehilangan sesuatu, kita pun hilangkan segala-galanya.
Sedangkan, selain perkara yang kita hilangi itu, rahmat Allah tetap wujud dengan wujudnya perkara lain di dalam kehidupan kita. Sekurang-kurangnya, kita masih hidup, diberikan peluang meneruskan kehidupan. Diberikan peluang berusaha. Diberikan peluang untuk mencuba.
Namun kita sempitkan dunia kita dengan keimanan kita yang lemah.
Kita akhiri segala-galanya. Menyebabkan kita menjadi Faqir, tidak punya apa-apa di sisi Allah pada akhirat kelak.

Dunia ini Allah ciptakan luas
Pesanan Dr Ala’ itu juga akhirnya membawa saya kepada betapa Allah ciptakan dunia kita ini teramat luas. Kehilangan sesuatu bukanlah bermakna berakhirnya segala-gala.
Hilang anak bukan bermakna kiamat telah tiba buat dunia. Putus cinta, bukan bermakna kita tidak punya peluang untuk berkeluarga. Tidak cemerlang peperiksaan, bukan bermakna kita tidak akan mampu memberi makan pada keluarga di hari tua.
Dunia Allah ciptakan luas. Janganlah kita sempitkan dengan hanya memfokus kepada masalah kita. Lihatlah luar daripada masalah kita. Lihatlah peluang-peluang yang kita ada selain daripada kehilangan kita.
Di situlah kita akan rasa luasnya Allah ciptakan dunia ini. Luasnya kasih sayang Allah SWT. Luasnya peluang dan ruang yang Allah SWT sediakan sebenarnya. Dan di situlah kita akan rasa, mengapa Allah memberikan kita kehilangan tersebut. Semata-mata untuk menjadikan kita hambaNya yang lebih tabah, lebih sabar, lebih kuat. Dan itu adalah apa yang kita mampu ekstrak. Ada lagi mungkin hikmah-hikmah yang kita tak mampu ekstrak.
Sebagai contoh, apabila Khidir membunuh seorang anak, dan Musa bertanya mengapa dibunuh anak itu, lihatlah apa jawapan Khidir:
“Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.” Surah Al-Kahfi ayat 80.
Anak itu dihilangkan daripada kedua ibu bapanya, adalah kerana anak itu akan membawa ibu bapanya ke neraka. Nah, tidakkah itu hikmah dan kasih sayang Allah SWT yang inginkan ibu bapa itu masuk ke syurgaNya? Ini memang tak akan mampu kita jangkau dengan akal fikiran kita.
Dunia ini Allah ciptakan luas.
Jangan sempitkan. Bersangka baiklah dengan Allah SWT.

Maka janganlah kita menjadi faqir. Kayakan diri dengan keimanan.
Sebab itu keimanan kepada Allah SWT adalah apa yang pertama sekali perlu kita perkemaskan. Keimanan inilah yang melahirkan kekuatan. Keimanan inilah yang akan menyelamatkan kita daripada melakukan perkara-perkara yang bodoh dan merosakkan kehidupan kita. Baik kehidupan di dunia, mahupun kehidupan di akhirat.
Amatlah merugi orang-orang yang menyempitkan kehidupan mereka.
Yang tidak mahu bersangka baik kepada Allah SWT apabila timbulnya masalah.
Kerana mereka adalah yang akan berdiri di hadapan Allah SWT nanti, tanpa membawa apa-apa untuk membawa mereka ke syurga.
Hal ini kerana, yang bermanfaat nanti di akhirat hanyalah orang-orang yang mempunyai hati yang sejahtera di atas dunia.
“Hari yang tidak akan bermanfaatnya harta dan anak-pinak. Kecuali buat mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 88-89.

Penutup: Faqir itu adalah faqir yang paling celaka.
Hilang harta di dunia, tidak menutup peluang kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Sebab kita masih boleh menjadi orang yang tiada harta, tetapi baik dan taat kepada Allah SWT.
Tetapi apabila hilang keimanan kepada Allah SWT, yakni menjadi faqir yang sebenar-benarnya, kita rugi bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat sana. Dan kerugian di akhirat itulah yang orang-orang beriman amat takutkan. Kerana rugi di akhirat, tiada bayaran yang mampu menampungnya semula.
Maka sama-samalah kita melihat semula kehidupan kita.
Kuatkan kembali keimanan kita.
Menyedari betapa luasnya rahmat Allah SWT yang sebenarnya wujud di keliling kita.
Dan tidak meletakkan dunia itu di dalam hati kita.
Agar kita tidak menjadi faqir yang sebenar-benarnya.

langitIlahi

0 comments:

Related Posts with Thumbnails