Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Hidupkan sunnah bersahur.


Berdasarkan ayat 183 surah al-Baqarah, umat terdahulu juga diwajibkan berpuasa. Matlamatnya sama, iaitu melahirkan ketaqwaan kepada Allah. Walau bagaimanapun, terdapat satu perbezaan besar antara puasa umat Nabi Muhammad s.a.w. dengan umat terdahulu dalam aspek pelaksanaannya.

Perbezaan yang jelas ialah bersahur. Sahur hanyalah khusus untuk umat Muhammad s.a.w. Berdasarkan sebuah hadis Imam Muslim, dia meriwayatkan yang antara lain bermaksud, sabda Rasulullah s.a.w.: "Beza antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah kita disyariatkan (disunatkan) bersahur." (Hadis no. 1836)

Berkat Bersahur
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Bersahurlah, sesungguhnya pada bersahur itu ada keberkatan." (Riwayat al-Bukhari no. 789 dan Muslim no. 1835)

Hadis ini menjanjikan kelebihan bersahur iaitu mendapat keberkatan dalam hidup. Ketika mensyarahkan hadis keberkatan sahur ini, Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari berkata, keberkatan melalui bersahur diperoleh kerana beberapa perkara iaitu:
1.Mengikut sunah Rasulullah s.a.w.
2.Menyalahi (tidak menyamai) kaedah ahli kitab
3.Menambah kekuatan fizikal dan kecergasan untuk beribadat
4.Mengelakkan akhlak yang buruk disebabkan lapar
5.Menjadi sebab untuk kita bangun berzikir dan berdoa kerana waktu itu sangat mustajab
6.Dapat berniat puasa bagi yang terlupa untuk meniatkannya sebelum tidur.

Berkat adalah sesuatu yang tidak boleh dilihat. Oleh sebab itu berkat adalah termasuk dalam perkara ghaib yang wajib diimani oleh seseorang Muslim. Maka bersahur yang menepati kehendak Islam akan menambahkan iman dan taqwa.

Tawaran daripada Rasulullah s.a.w., seharusnya tidak dibiarkan begitu sahaja malah setiap orang boleh mengukur keimanan masing-masing terhadap janji-janji Baginda. Sejauh mana kita sanggup merealisasikan amalan tersebut dalam kehidupan.

Selain itu Ibn Hajar juga membawakan hadis riwayat Imam Ahmad yang menyatakan sekurang-kurang sahur adalah sesuap makanan atau seteguk air. Menurut Sheikh Ibn Uthaimin dalam Syarh Riyad al-Salihin, antara bentuk berkat sahur ialah dia mampu menjadikan seseorang itu boleh bertahan sehingga waktu maghrib. Masakan seseorang yang hanya minum air sekadar seteguk boleh bertahan begitu lama kalau tidak ada keberkatan daripada Allah.

Kita boleh bayangkan kalau pada hari-hari biasa, setelah bersarapan pada waktu pagi, kita akan makan lagi pada tengah hari, itu pun masih terasa lapar. Lalu ditambahkan lagi dengan minum petang. Ya dengar bersahur kita mampu segar pada waktu petangnya.

Sunat Dilewatkan Bersahur
Sheikh Ibrahim al-Bajuri di dalam kitab Hashiyah al-Bajuri menyatakan bahawa waktu sahur bermula pada separuh kedua malam, maka makan sebelumnya tidak mendapat pahala sunah. Jadi, bersahur adalah satu sunah dan melewatkan sahur juga adalah satu lagi sunah berasingan yang sangat dituntut.

Para sahabat r.a. bersahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. dan kemudian menunaikan solat subuh berjemaah. Mereka menyatakan bahawa tempoh masa antara sahur dan solat Subuh adalah kadar membaca 50 ayat al-Quran. Peristiwa ini dirakamkan oleh Imam al-Bukhari no. 1787 dan Muslim no. 1837.

Jelas dari peristiwa itu menunjukkan bahawa Baginda melewatkan sahur sehingga hampir masuk waktu subuh. Jadi bagaimana dengan sahur anda?

Itu Bukan Sahur
"Ustaz, saya agak sukar untuk bangun bersahur sebelum subuh, selalunya saya supper sebelum tidur, kemudian hanya bangun apabila azan subuh dilaungkan. Adakah ini dikira sebagai sahur?" Soalan ini kerap dikemukakan apabila Ramadan menjelang. Sebenarnya amalan itu bukan supper (makan lewat malam), tetapi suffer (menderita).
Dalam ilmu kesihatan dan perubatan, sistem penghadaman seseorang menderita apabila ia makan dengan banyak kemudian terus tidur. Tindakan seumpama ini adalah budaya pemakanan yang tidak sihat bahkan boleh menyebabkan penyakit dan kegemukan. Jadi, pada bulan Ramadhan ini, budaya itu harus ditinggalkan.

Faedah Saintifik

Penekanan Nabi s.a.w. supaya sahur dilewatkan dan tidak diabaikan adalah signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian semasa menunjukkan bahawa makanan yang paling utama dalam masa 24 jam adalah sarapan pagi. BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah penting bagi memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain.

Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya daripada Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi. (Dr. Danial Zainal Abidin, Quran Saintifik, hlm. 295)

Penemuan-penemuan ini menambahkan bukti kehebatan Islam yang datang daripada Yang Maha Mengetahui. Ilmu ini juga sangat bermanfaat untuk dikongsikan dengan sahabat-sahabat yang belum memeluk Islam. Walau bagaimanapun, seorang Mukmin wajar melakukan segala perintah Allah dan anjuran Rasul-Nya semata-mata kerana iman yang terpasak di dada. Islam menuntut kita melaksanakannya sama ada tahu hikmah atau tidak di sebalik sesuatu amalan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails