Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Jalan dakwah jalan susah


Jalan dakwah adalah jalan yang panjang. Penuh dengan rintangan. Mempunyai beban yang berat. Hanya sedikit sahaja yang mampu memikulnya.
Dimanakah kita sekarang ini? Adakah kita berada di atas jalan dakwah atau masih berada di tepi-tepinya atau sedang memilih jalan bermalas-malasan dan berseronok-seronok? Hanya insan-insan luar biasa sahaja yang terpilih memilih memikul amanah berat di atas jalan dakwah ini. Lumrah, Allah membuat pilihan terhadap para hamba-Nya. Hamba yang menyerahkan usaha dan kekuatan untuk membantu Islam sudah tentu mendapat pandangan istimewa di sisi Allah.


Amat sedikit manusia yang sanggup bersabar untuk terus berada di atas jalan dakwah. Persiapan yang diperlukan untuk berada di atas jalan itu tidaklah sedikit. Selain itu, beberapa aspek perlu diberi penekanan.

Misi yang jelas
Rasulullah s.a.w dibekalkan dengan misi yang bersepadu sepertiman difirmankan Allah s.w.t:
“Sebagaimana Kami telah mengutus bagi kamu seorang Rasul, yang ia membacakan ayat-ayat Kami, membersihkan (jiwa) kamu serta mengajarkan kamu (ilmu) al-kitab dan hikmah dan mengajarkan kamu (apa-apa) yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah: 151)
Ayat ini menggambarkan bahawa Rasulullah s.a.w. melaksanakan misinya melalui tiga pendekatan iaitu:
1. Membacakan dan memberikan pemahaman tentang ayat-ayat al-Quran, agar umat islam mengenal dan mengetahui hakikat hidup di dunia ini secara jelas dan tepat. Mereka tahu mana yang Islamik mana yang tidak, walaupun di dalam perkara-perkara yang halus.
2. Membersihkan jiwa umat Islam dari unsur-unsur syirik seterusnya menyucikan hati dari sifat-sifat terkeji dan berusaha mengisi dengan sifat terpuji dan akhlak yang baik.
3. Mengajarkan ilmu dan hikmah, yang mana ianya hanya dapat diperolehi melalui apa yang Allah turunkan melalui al-Quran dan dijelaskan oleh sabda Nabi s.a.w

Kefahaman yang benar dan asli
Di dalam surah Ali Imran ayat 191, Allah s.w.t berfirman:
“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan berbaring serta berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi (oleh Allah), Ya Tuhan kami tidaklah Engkau menciptakan (semua ini) dengan sia-sia.”
Allah s.w.t. telah menggambarkan persepaduan antara zikrullah dengan berfikir dapat menunjukkan pengenalan kepada Tuhan secara tepat. Persepaduan zikir dan fakir yang sesuai akan menghantarkan seseorang kepada pengenalan Tuhan dan alam semesta dengan tepat dan kemudian ia dapat memanfaatkan alam dan seisinya dengan petunjuk wahyu.
Kefahaman yang benar dan asli dari zikir dan fikir akan mampu menunjukkan kepada jalan yang benar.

Tidak mudah futur
Futur secara bahasa bermaksud “menurun” sepertimana disebut di dalam hadis Rasulullah:
“Sesungguhnya setiap amal ada masanya naik (rajin) dan setelah itu ia akan turun (futur). Barang siapa yang turun (amalnya) masih dalam (batas-batas) sunnahku, sungguh ia dalam petunjuk (Allah). Dan barang sesiapa yang turun (amalnya) ia telah keluar dari sunnahku sungguh celaka ia.”
Secara istilah, futur bermaksud: “sikap mengabaikan amal sehingga meninggalkannya.”
Peribadi daie yang lemah dan sistem dakwah yang lemah mudah mencampak seseorang ke lembah futur.
“Kalau sekirannya jalan yang kamu lalui itu dekat dan perjalanan yang kamu tempuhi mendatangkan banyak keuntungan, nescaya mereka berbondong-bondong mengikutimu, tetapi (jalan dakwah) itu penuh dengan kesusahan.” (Surah al-Taubah: 42)

Oleh: Fatimah Syarha Mohd Noordin


0 comments:

Related Posts with Thumbnails