Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Indahnya Kemaafan




Setiap manusia itu tidak lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Sukarnya seseorang untuk memaafkan saudaranya lantas terus menghina saudaranya itu atas kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Apakah penghinaan atau kemaafan yang terbaik buat seseorang yang melakukan kesilapan??

Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.

(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."
(Surah Al-Hujurat:11)

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut."
(HR. Tirmizi)

"Orang yang tidak suka menghormati orang lain, adalah orang yang tidak terhormat. Orang yang dihinakan itu belum tentu dia akan hina atau tidak, tetapi perbuatan menghinakan orang itu sudah menjadi bukti atas kehinaan diri kita sendiri."
(Hamka)

"Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat".
(HR. Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

"Bukanlah seorang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka melaknat, suka mengeluarkan kata buruk dan kesat".
(HR. Bukhari dan Ahmad)

Firman Allah SWT:
"Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."
(Surah Ali-Imran:134)

Kemaafan adalah dendam terindah buat saudaramu yang melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang sempurna dan maksum sehingga tiada satu kesalahan pun yang dilakukannya terhadap saudaranya melainkan 'Nabi Muhammad SAW.

Tiada manusia yang sempurna melainkan saling menasihati antara satu sama lain bagi memperbetulkan kesilapan dan memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

"Tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan pada tiga keadaan, iaitu tidak dapat diketahui orang pemaaf melainkan ketika dia marah, tidak dapat diketahui orang yang berani kecuali ketika dia berjuang dan tidak dapat dikenal seorang sahabat melainkan ketika kita dalam kesusahan."
(Luqman Al-Hakim)

Mulailah kemaafan itu dari diri kita sendiri dengan memafkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh saudara kita.

Firman Allah SWT:
"Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu?"
(Surah an-Nur : 21)

"Maafkanlah semua orang sebelum anda tidur setiap malam bagi mencuci hati dan mencerdaskan minda"
~ Pesanan dari Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah

Doaku KepadaMu:-
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
Ya Allah Ya Tuhanku,
hanya kepadaMu aku pasrah,
kepadaMu aku beriman,
kepadamu aku bertawakal,
kepadaMu aku memohon keputusan hukuman.
Ampunilah dosaku yang lalu dan akan datang,
yang tersembunyi dan terang-terangan.
Engkau yang mendahului dan yang mengakhirkan.
Tidak ada Ilah kecuali Engkau."
Amin Ya Rabbal Alamin.

1 comments:

Menuju Solat Menghadap ALLAH


Tanda Islamnya kita ialah kita mendirikan solat lima waktu.
Tanda berimannya kita ialah dalam solat kita khusyu’ menghadapNya.
Kata Allah swt,
“Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ solatnya” (Al-Mu’minun:1-3).
Kalau orang beriman itu adalah orang yang khusyu’ solatnya, ini bererti orang yang tidak khusyu’ solatnya adalah orang yang TIDAK BERIMAN?!
“Wahai diri apakah selama ini kita hanya menipu Allah yang kita sudah beriman sedang solat kita tidak menentu khusyu’nya?”
Kata Nabi saw, pahala solat belum tentu kita dapat sepenuhnya. Ia bergantung kepada kualiti solat yang kita lakukannya:
“Sesungguhnya seorang lelaki apabila selesai menunaikan solat, tidak ditulis pahala untuknya melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam, seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua ” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dari ‘Ammar bin Yasir r.a..
Tanyalah diri ” Wahai diri, berapalah bahagian pahala yang kamu dapat setiap kali solat dan sudah berapa yang terkumpul sepanjang bertahun-tahun hidup.” Diri tidak bisa menipu lagi kerana dia tahu solat jenis apa yang dipersembahkan pada Allah selama ini.
Astaghfirullahil ‘Azhim…!!
Kata ulama’:
”Khusyu’ itu tidak datang sendiri tetapi perlu diusahakan secara berterusan. Apabila dapat memilikkinya ia adalah lebih baik dari dapat memiliki seisi dunia”

Kita bertanya lagi pada diri, “Wahai diri yang malang, kamu sudah bekerja keras untuk meraih ijazah. Kamu bekerja bermati-matian untuk mendapat pengiktirafan ketua pejabat. Kamu berusaha kuat untuk memiliki hati orang yang kamu cintai. Kamu bekerja keras untuk membahagiakan keluarga. Tetapikamu terlupa berusaha untuk mencari yang lebih bernilai dari seisi dunia iaitu membina khusyu’ dalam ibadah. Bukankah ia penentu kualiti hamba jenis apa kamu di mata Allah.“

Berapa banyakkah kita habiskan wang untuk meraih ijazah? Berapa tahunkah kita membina kerjaya dengan pulang ke rumah hingga larut malam? Berapa ribuan jamkah waktu yang sudah kita habiskan untuk semua itu?
Bilakah kali terakhir kita berusaha secara serius membina khusyu’?
Tubna ila ALlah, wa raja’na ila ALlah, wa nadimna ‘ala ma fa’alna.
Bangunlah. Ambillah sejadah dan pakaian solat. Berbisklah padaNya,
“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allllaaah……….
kasihilah aku ….sayangilah aku……aku hambamu ya Allah.”

Tundukkan nafsu. Langkahkan kaki dengan tawadhu’ menuju tempat wudhu’. Tumpukan fikiran kepada Allah yang menunggu kehadhiran hati kita. Biarkan roh kita yang sedang dahaga merasa bahagia di saat ini kerana ia terlepas dari himpitan nafsu. Rasakan kelembutan air menyirami jasad kita. Ia bersih dan membersihkan diri dan dosa2 kita. Air ciptaan Allah yang sangat lembut dan menyegarkan ini boleh saja menjadi ganas apabila membentuk badai. Namun dalam ganas atau lembut ia tetap tunduk dan akur kepada hukum Pencipta. Ia mungkin saja merasa bahagia diambil untuk berwudhu walaupun selepas itu ia akan mengalir dengan kotoran yang lain.

Air bertasbih, lantai batu yang kita pijak juga bertasbih. Darah kita bertasbih serentak dengan denyutan jantung tiada hentinya. Kini mulut kita sama-sama menyebut “Allah”…..
maka bertasbihlah segala yang ada di sekeliling kita dalam rentak yang harmoni yang hanya dapat dirasakan oleh jiwa yang khusyu.
Dengan air wudhu yang masih menitik di badan, tangan ditadahkan dan mulut berbisik pada Tuhannya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri”

Kita melakukannya kerana Rasullah saw. pernah bersabda
“Sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik kemudian dia berkata,Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj ‘alni minat tawwaabin, waj’alni minal mutatohhiriin akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.
(Hadis Riwayat Al-Tarmizi(50);Sahih:Sahih Al-Tarmizi(55) dan Al-Nasai(148);Sahih:Sahih Al-Nasai(148))

Inilah langkah-langkah menuju khusyu’ dalam solat. Kita tidak tahu apakah ini adalah wudhu yang terakhir dan solat yang terakhir kerana nyawa kita ada dalam genggamanNya. Saidina Abu Bakar akan menggigil badannya di saat2 begini ketika melangkah menuju solat…kita bagaiamana pula?
Berdiri di atas sejadah penuh tawadhu’, bisikkan lagi dengan tenang,
“ALLLLAAAAHU AKBAR…….Allah, Tuhanku, Engkaulah yang Maha Besar, aku hanya insan kerdil datang menghadapkan diri padaMu, terimalah aku”

Allah itu Maha Pengasih, Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Kalau kita datang dengan berjalan Dia akan datang dengan berlari……. Kini Dia sedang melihat dengan penuh rahmah walaupun kita tidak melihatNya. Inilah Khaleq yang tidak pernah bosan mendengar curahan hati hambaNya. Semakin kita rasa bergetar semakin mencurah kasihNya.

Ya. Rabb. Tidak mampu kami melakukannya tanpa bantuanMu. Berikanlah kami hati yang sentiasa mencintaiMu. Hati yang mencintai apa yang Engkau cintai. Hati yang menyayangi orang2 yang Engkau sayangi. Jangan biarkan kami sendiri walaupun sesaat tanpa bantuanMu. Usah biarkan hati kami yang lemah ini dikotori oleh nafsu dan iblis sehingga terhijab doa dan rayuan kami kepadaMu. Ya Ilahi, berkatilah mereka yang membaca tulisan ini moga mereka mendapat kebaikan darinya.

0 comments:

::puasa enam::



Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT ke muka bumi ini.

Baginda bukan sahaja sibuk dengan tugas utamanya iaitu menyampaikan ajaran Islam daripada Allah kepada umat manusia, malah memiliki sifat-sifat terpuji atau sifat Rabbaniah (ketuhanan dalam diri).

Ini kerana baginda bukan setakat menghubungkan diri dengan Allah (Hablun Minallah) dalam segenap urusan serta tindakannya, malah tidak lupa juga menghubungkan diri dengan manusia sekeliling terutama umatnya (Hablun Minan Nas).

Setiap apa yang diungkapkan oleh baginda, sama ada berupa berita gembira atau berita yang mengancam mereka di akhirat, baginda sentiasa memikirkan agar umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT berupa pahala dan ganjaran yang membolehkan mereka layak memasuki syurga Allah.

Ganjaran setahun dengan amalan puasa enam

Begitulah halnya dengan puasa enam di bulan Syawal, baginda mahukan dari umatnya agar sentiasa peka dalam menambahkan koleksi pahala selepas puasa sebulan Ramadan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.

Berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal di ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa, ini kerana dalam kalender Islam hanya tercatat 355 hari berbanding bulan Masehi 365.

Kalau seseorang itu melakukan 30 hari puasa Ramadan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari di bulan Syawal, ia akan menjadikan 360 hari bagaikan satu tahun pahala berpuasa.

Perkara ini disandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).

Inilah yang dikatakan ingatan Nabi terhadap umatnya, begitulah juga dengan peringkat awal kefarduan solat pada malam Mi’raj ke langit, Nabi kenangkan umatnya yang tidak akan mampu untuk melaksanakan 50 waktu sembahyang hingga bermohon ke hadrat Allah agar dikurangkan hingga menjadi lima waktu sahaja. Itu pun ada di kalangan umat Islam yang tidak melakukan solat fardu lima waktu.


Dah mula puasa enam? Kalau belum, JOM PUASA ENAM...

Sumber:http://www.harakahdaily.net

0 comments:

Singkaplah tabir di 10 malam terakhir



Alhamdulillah masih diberi oleh Allah swt kesempatan untuk berada pada hari 23 ramadhan.Sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita dan sahabat-sahabat bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :

"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah.

1 comments:

Related Posts with Thumbnails