Lima Sifat Aliran Modenisasi Yang Berbahaya Kepada Akidah Kita.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan terus mempertingkatkan iltizam dan kepatuhan terhadap titah perintah Allah S.W.T., suruhan dan larangan-Nya.
Hendaklah kita sentiasa sedar bahawa jalan hidup kita ialah Islam, dan pegangan serta perlembagaan hidup kita ialah al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W.
Fahaman Islam yang kita bawa dalam hidup kita adalah berdasarkan fahaman Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. dan telah diikuti oleh para sahabat r.a. Bukan fahaman lain yang disogokkan oleh musuh-musuh Islam kedalam masyarakat Islam. Sebagai orang yang beriman kepada Allah S.W.T dan kepada semua prinsip-prinsip (rukun) keimanan, kita mestilah peka dan awas agar kita tidak terjebak ke dalam aliran-aliran fahaman yang berlawanan dan bercanggah dengan Islam.
Satu daripada fahaman yang sesat ialah fahaman Aliran Modenisasi iaitu pandangan hidup yang mempertuhankan kemodenan. Kita mungkin sentiasa diwar-warkan mengenai ajaran sesat berdasarkan agama tetapi kita jarang didedahkan bahawa fahaman sesat juga boleh berlaku berdasarkan idealogi dan kemodenan.
Sahabat yang dimuliakan,
Modenisasi sebenarnya mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat tersendiri.
Terdapat 5 sifat-sifat utamannya iaitu :
Pertama : Modenisasi bersifat anti agama, dan dari segi fikrah Islam, modenisasi menentang Deen (Islam), menentang syariat dan menentang sunah Nabi S.A.W. Bagi seorang modenis, agama dianggap lambang kekolotan, kemunduran, kebekuan (jumud) dan dianggap mengongkong, membelenggu dan membantutkan perkembangan manusia.
Kedua : Modenisasi juga bersifat 'sekular'. Menyingkirkan agama daripada kehidupan manusia atau daripada sebahagiannya. Agama dijadikan perkara (urusan) individu sahaja dan bukan untuk kehidupan umat dan negara. Pemisahan ini telah melahirkan manusia yang melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan dan perbuatan bukan kerana Allah, bukan lagi sebagai ibadah kepada Allah, tetapi semata-mata kerana kerja itu sendiri atau kerana tujuan-tujuan yang lain yang bersifat keduniaan.
Ketiga : Mosenisasi juga bersifat 'humanis'. Yakni manusia memiliki, merancang, melaksanakan sesuatu dan manusialah yang menerima faedah daripada kegiatan hidup manusia itu sendiri. Fokus utama kepada kegiatan hidup manusia di dunia ini sahaja. Akibatnya manusia tidak lagi memperhambakan diri kepada Allah S.W.T., Pencipta alam ini, tetapi manusia memperhambakan diri kepada sesama manusia atau sesama makhluk. Akibatnya manusia menafikan adanya alam ghaib dan perkara ghaib kerana semuanya tidak dapat dikesan atau dicapai oleh pancaindera. Manusia hanya berpegang pada logik akal semata-mata.
Keempat : Modenisasi juga bersifat kebendaan (materialisme). Ini merupakan suatu konsep yang mensifatkan bahawa perkara yang wujud ialah benda, tiada yang maujud melainkan benda. Pandangan hidup seorang 'materialis' (orang yang berfahaman kebendaan) itu hanya memberi keutamaan kepada kelazatan yang boleh dirasai dan dikecapi melalui pancaindera dan minda manusia sahaja. Akibatnya seorang materalis sentiasa menolak perkara-perkara rohaniah dan nilai-nilai rohani atau sekurang-kurangnya mengabaikan perkara-perkara rohaniah dan nilai-nilai rohani. Kejayaan di dalam bidang sains diagung-agungkan. Kuasa kehendak dan pentadbiran manusia dianggap sebagai kuasa yang dapat menaluki alam (dunia) ini.
Kelima : Modenisasi juga bersifat 'free thinking' yakni berfikiran bebas dan tidak mahu terikat kepada peraturan dan undang-undang Islam yang telah ditetapkan. Orang yang bersifat seperti ini dipanggil 'free thinker'. 'Free thinker' itu tidak semestinya dia menafikan wujudnya Allah S.W.T. tetapi dia tidak mahu terikat kepada penafsiran orang-orang yang berwibawa iaitu tafsiran ulama-ulama yang muktabar. Mereka berfikiran sendiri dan membuat tafsiran sendiri mengikut hawa nafsu. Akibatnya tafsiran dan fatwa ulama-ulama muktabar ditolak dan diperkecil-kecilkan dan tidak dihargai.
Contoh golongan ini adalah golongan liberal , golongan anti hadis dan golongan women's liberation (menolak poligami, mempertikaikan pembahagian harta pusaka cara Islam dan menuntut hak samarata di antara lelaki dan wanita)
Sahabat yang dikasihi,
Di dalam sejarah, telah terbukti bahawa proses modenisasi di negara-negara Islam telah bermula apabila jatuhnya pemerentahan Khalifah Uthamaniah di Turki pada tahun 1923 M.
Sejak itu proses modenisasi menular dan merebak dimulai dengan pembangunan dan permodenan yang dilakukan oleh pemerentah pertama bagi Turki moden iaitu Mustafa Kamal Attartuk dan beliau dianggap sebagai reformis modenis yang telah ternyata hasil usahanya bukan sahaja memisahkan agama daripada negara, bahkan lebih jauh daripada itu.
Apa yang dilakukan merupakan proses penghapusan Islam seluruhnya sebagai 'akidah dan syariat'. Pemakaian menutup aurat diharamkan , digalakkan pergaulan bebas lelaki dan wanita dan arak bebas dijual dan diminum dan undang-undang hudud dan qisas dihapuskan dan digantikan dengan undang-undang barat.
Akibat daripada penolakan Mustafa Kamal Attartuk terhadap hukum-hukum Allah S.W.T. dan menzalimi umat Islam diakhir kematiannya beliau menjerit-jerit kerana diserang kepanasan yang dahsyat segala usaha untuk mententeramkannya tidak berhasil hingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Ini adalah balasan daripada Allah S.W.T kerana menentangan beliau terhadap al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W.
Sahabat,
Marilah sama-sama kita memperteguhkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan terus beriltizam dan patuh titah perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan lima sifat aliran modenisasi yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud : " dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutlah dia; dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu di perintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa."
Akhirkata untuk selamat di dunia dan di akhirat, maka kita tidak ada pilihan lain melainkan tetap berpegang teguh dengan Deen Islam dan menghayatinya di dalam kehidupan kita mengikut cara-cara yang ditunjukkan oleh junjungan Rasulullah S.A.W.
-abubasyer-
0 comments:
Post a Comment