'kata mereka hidayah belum sampai'
Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Sering kali kita jumpa manusia-manusia yang selalu memberi jawapan yang seakan menyalah kehendak dan ketentuan Allah.
Apabila kita mengajak mereka ini untuk turut serta memperbanyak ibadah, mempertingkat kualiti amalan, pelbagai alasan yang mereka gunakan sebagai alat penangkis kepada ajakan kebaikan tersebut.
Apabila kita menasihati mereka ini agar jangan melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah, kata mereka kubur lain-lain.
Kata mereka juga hidayah masih belum sampai. Kami tak sampai seru lagi untuk berubah.
Jadi sebelum hidayah dan petunjuk itu sampai kepada kami, baik kami gunakan peluang yang ada ini untuk bermaksiat kepada Allah. Nanti bila hidayah dah sampai, semua ini tidak lagi boleh dilakukan. Lagak gurauan.
Wah-wah. Pandai pula mereka berbicara. Seperti malaikat maut itu kawan sepermainan mereka pula. Boleh menangguh kematian bila-bila masa.
Hal inilah yang amat kita bimbang kepada saudara-mara seislam kita terutamanya remaja. Itu baru mengajak mereka yang mana mengaku mereka adalah islam. Yang mana mengaku Allah itu wujud. Yang mana mempercayai pengakhiran kehidupan adalah syurga dan neraka.
Belum lagi mengajak yang entah tahu atau tidak Allah itu wujud. Maksudnya mengajak yang bukan islam.
Oleh sebab itu, kita yang memahami dan menyedari kehidupan islam sebagai jalan penyelesaian sewajibnya kita bersyukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang terbesar ini. Moga Allah tidak menariknya daripada kita.
Kenapa kita tidak salahkan pihak universiti?
Saya tertarik dengan satu analogi yang dibawa oleh seorang ustaz dalam ceramahnya.
Katanya, setengah daripada kita acapkali menyalahkan Allah kerana tidak memberi hidayah kepadanya. Sebabnya seperti mana yang kita tahu bahawa hidayah milik Allah. Jadi, jahatnya mereka bukan sebab kehendak mereka tetapi adalah disebabkan hidayah Allah masih belum tiba.
Betulkah fahaman sebegini?
Maka, analogi terbaik dari ladang menyusul. (",)
Bayangkan kita mendapat tawaran untuk masuk ke salah satu universiti terkemuka di tanah air. Setelah mengisi borang dan menghadiri sesi pendaftaran, bergelarlah kita sebagai siswa dan siswi di universiti tersebut.
Rasa bangga dan seronok dengan status institut pengajian tinggi yang kita dapat masuki itu membuatkan kita rasa malas untuk pergi ke kuliyah.
Masa belajar sudah tidak disusun dengan baik. Usaha untuk menuntut ilmu sudah kabur arah pembelajarannya. Malas untuk berjumpa pensyarah. Assignment lintang-pukang. Peperiksaan seringkali hilang. Semangat belajar kering-kontang. Segala-galanya bukan lagi demi ilmu dan kejayaan.
Apabila tiba hari yang mendebarkan iaitu hari keluarnya keputusan, tercatat nama kita dalam senarai nama-nama pelajar yang gagal.
Ketika itu, adakah kita akan menyalahkan pihak universiti kerana memberikan keputusan gagal kepada kita?
Sudah pasti ' tidak ' adalah jawapannya. kerana gagal itu adalah disebabkan diri kita sendiri. Kita sendiri yang membuat keputusan samada mahu atau tidak untuk merangkul kejayaan. Keputusan di tangan kita. Kenapa pihak universiti yang perlu dipersalah?
Atau bagaimana? (",)
Mahukan hidayah perlulah barubah dan berusaha
Begitu jugalah dalam konsep mengharapkan hidayah Allah.
Ya. Kita semua mahukan hidayah. Hidayah dari Allah yang Maha Esa. Andaikata kemahuan kita kepada hidayah itu hanyalah seperti seekor lalat hinggap di batang hidung dengan kata lain acuh tak acuh, mustahil untuk kita merasai hidayah Allah itu hadir menyinari kegelapan hati yang telah ternoda.
Bukan nanti hidayah itu datang dengan sendirinya.
Bukan tunggu sambil tidur dalam masa yang sama bermimpi hidayah itu sampai.
Bukan asyik dengan keseronokan dan hiburan, tetapi dalam hati mengharapkan hidayah.
Tidak.
Menjadi kewajipan kepada kita untuk berusaha mendapatkannya walaupun dengan berdoa. Apatah lagi memperbanyak amalan-amalan kebaikan. Betul tak?
" Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati-hati kami setelah Engkau berikan hidayah kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi Kurnia. " ( Doa dari surah Ali-Imran - ayat 8)
Moga-moga dengan usaha kita itu, Allah mengasihani kita dengan memberi curahan hidayah yang melimpah-ruah.
Amin.
sumber:lautanrabbani
0 comments:
Post a Comment