Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Taruhan Cinta Zinnirah

Wahai Zinnirah
Kau pertaruhkan indera cahaya dunia
Demi cinta yang engkau damba
Engkau korbankan indah yang maya
Demi redha yang Maha Esa

Zinnirah, begitulah namanya. Namanya jarang sekali disebut orang malah mungkin tidak pernah diperkatakan orang langsung. Zinnirah bukan dari golongan wanita yang terkenal di dunia dan tidak mempunyai suatu apa pun. Tetapi, Allah telah memuliakan wanita ini. Allah telah memuliakannya disebabkan pengorbananya yang begitu hebat sekali.

Zinnirah merupakan wanita suci yang mempunyai ketaqwaan yang begitu tinggi dan tauhid yang mendalam di jiwanya. Walaupun diseksa dengan pelbagai seksaan dan penderitaan, namun hatinya tetap teguh pada kalimah Allah. Dia menerima segala-galanya dengan redha. Biarpun seluruh tubuhnya hancur disebabkan seksaan demi seksaan namun dia tetap menahan aqidahnya dan tidak mahu menyerah kalah.

Menurut sesetengah riwayat, Zinnirah adalah di antara orang yang awal memeluk Islam. Dia adalah wanita dari keturunan bangsa Rom dan telah ditawan untuk dijual di Kota Makkah. Umar Al-Khattab yang pada ketika itu belum memeluk Islam telah membelinya dengan harga yang amat murah dan menjadikannya hamba.

Apabila keislaman Zinnirah diketahui oleh Umar, dia terus berjumpa Zinnirah dan menyeksanya dengan seksaan yang amat pedih. Zinnirah telah disepak, diterajang, kedua-dua belah kakinya diikat dan dibiarkan di tengah sinar mentari. Tubuhnya pula ditimpakan batu yang amat berat. Zinnirah menerima seribu satu macam seksaan dan penderitaan.

Namun, apa yang dialami Zinnirah tidak sedikit pun memberi kesan keatas dirinya. Malah, lidahnya tidak henti-henti mengucapkan kalimah "Allah, Allah, Allah, Allahu Akbar, Alllahlah Ynag Maha Besar". Di dalam sanubarinya berdetik, "Ya Allah! Ini adalah untukMu. Aku menerima kepayahan ini untuk kebahagiaanku di akhirat kelak. Berjihad adalah amat sukar dan tidak pernah sunyi dari penderitaan dan kesengsaraan. Namun, aku sedar untuk beroleh syurgaMu, aku harus melalui jalan berliku yang penuh duri, sedangkan beroleh neraka itu dikelilingi oleh seribu nikmat". Itulah ucapan Zinnirah untuk mengubati segala kesakitannya.

Hukuman yang paling dasyat yang dilakukan ke atas Zinnirah ialah ketika matanya ditusuk dengan besi tajam dan menyebabkan dirinya menjadi buta. Biarpun dugaan amat sukar untuk dilalui oleh Zinnirah, namun dia rela diambil nyawanya dari dipaksa menggadaikan agamanya. Kecintaan terhadap Allah telah memberi semangat dan kekuatan kepadanya untuk menanggung segala penderitaan yang dilalui.

Akhirnya, setelah jemu melihat betapa teguhnya iman yang ditunjukkan oleh Zinnirah, Umar berhenti menyeksanya. Dia merasakan tiada gunanya menyeksa Zinnirah kerana semakin berat seksaan, semakin teguh iman Zinnirah kepada Allah.

Dan, Allah telah menunjukkan kebesaranNya. Zinnirah yang buta itu telah pulih penglihatannya. Matanya lebih jernih dari sebelumnya dan dia dapat melihat dengan lebih jelas. Kilauan matanya terpancar terang hingga mengilaukan pandangan orang-orang Quraisy. Allah telah memberi nikmatNya yang tidak terhingga buat Zinnirah di atas ketaqwaannya. Kemudian Saidina Abu Bakar telah membelinya dan memerdekakan Zinnirah. Bebaslah dia dari kekejaman orang-orang kafir durjana.

Bagi Zinnirah, cukuplah kasih sayang dan perlindungan dari Allah swt. Inilah kemerdekaan yang hakiki dan inilah kemerdekaan yang telah dicapai oleh Zinnirahnya. Dia adalah wanita yang kurang dikenali di dunia namun dia dikenali oleh seluruh makhluk Allah yang di langit dan sentiasa didoakan oleh mereka.

Zinnirah
Hadirmu bersama senyuman
Walau diri hamba tawanan
Kau jadi pedoman
Zinnirah kau gadis pilihan
Hiasan dunia penyeri di firdausi


0 comments:

Kerana Cinta

DIA yang PERTAMA..DIA yang UTAMA

Kata orang, cinta itu melahirkan kekuatan bukan menyebabkan kelemahan. Cinta itu membuatkan yang berat terasa ringan. Cinta juga menjadi pemangkin untuk terus berjuang. Pendek kata, cinta itu inspirasi kehidupan. Apabila bercinta semuanya terasa indah. Tawar, pahit, masin, masam dan semua rasa menjadi manis disebabkan cinta. Begitulah indahnya jika cinta telah menguasai diri.

Si ibu sanggup berjaga malam menjaga anak kecil..
Si ayah rela bermandi peluh mencari rezeki..
Si pelajar sanggup bersengkang mata mengulangkaji pelajaran.
Si gadis sanggup meninggalkan keluarga demi kekasih hati.
Si teruna sanggup berhabis wang untuk si dara.
Semuanya sanggup berbuat apa sahaja demi cinta. Tidak kira susah mahupun senang, semuanya rela dilalui demi cinta.

Tetapi, AWAS...

Cintakan makhluk cukuplah sekadarnya. Jangan meletakkan cinta itu melebihi cinta kita kepada pencipta kita iaitu ALLAH swt. Kembalikan cinta itu kepada yang lebih utama, yang lebih berhak. Apabila cinta itu diletakkan pada yang hak, nescaya nikmat sebenar cinta itu akan dirasai.

Carilah cinta Allah, nescaya kita akan melalui hidup dengan penuh makna.
Carilah cinta Allah tatkala dahi bertemu sejadah.
Carilah cinta Allah di kala surat cintaNya ditatap, dialunkan dengan suara penuh syahdu.
Carilah cinta Allah dengan mengangkat kedua tangan memohon redhaNya.
Carilah cinta Allah di saat keheningan malam dengan tahajjud padaNya.
Kerana cinta itu menuntut ketaatan dan kepatuhan, maka carilah cintaNYA.

Apabila cinta Allah telah dimiliki, segala yang makruf akan terasa ringan untuk dilakukan dan segala yang mungkar akan dibenci. Kita tidak akan rugi malah memberi keuntungan yang tidak mungkin kita peroleh di dunia ini jika cinta Allah didahulukan dalam kehidupan kita.

Sama-sama kita muhasabah diri di mana letaknya cinta Allah selama ini. Sesungguhnya Allah maha pengasih dan maha penyayang.

1 comments:

Seminar 3i (Islam Itu Indah) : Jom Sertai




Program: Seminar 3i (Islam Itu Indah)
Tarikh: 23/9/11-24/9/11
Masa: 5 pm - 10pm
Tempat: DKU UMP( Gambang)

Penyertaan terbuka kepada semua mahasiswa UMP
Jangan lepaskan peluang ini
-TIADA YURAN penyertaan
-MAKANAN disediakan


* Untuk Mahasiswa Pekan tidak disediakan pengangkutan & penginapan
KECUALI untuk mereka yang menyertai SG(sila rujuk naqib/ah masing2)

Jumlah penyertaan adalah terhad~
Bagi yang berminat sila hubungi:
MUIZ: 013 7907483
NADIANA:019 9924374

0 comments:

Menjadi Hamba Tanpa Musim

Kita adalah hambaNya, tanpa mengira musim!

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Segala puji-pujian hanya dan selamanya untuk Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, yang tiada lain ku dambakan dariNya melainkan keredhaanNya terhadap diriku dan juga kalian.

Ramadhan telah pergi. Pergi buat kesekian kalinya. Tidak tahu apakah masih ada peluang untuk bertemunya sekali lagi. Ramadhan telah habis dan tidak ada, tetapi Allah tetap ada. Siapa yang beriman dengan Ramadhan, maka sesungguhnya Ramadhan telah pergi. Sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah sentiasa ada untuk menjaganya.

Dan, misi Ramadhan itu telah selesai bagi semua. Bezanya, ada yang berjaya dan ada yang gagal. Bagi yang telah berjaya melaksanakan misi ini, maka sungguh dia telah berjaya. Rahmat Allah melimpah ruah ke atasnya, berlipat kali ganda keampunan ditambah lagi janji pembebasan daripada api neraka.

Bagi yang gagal, maka telah nyata dia gagal dan rugi. Tidaklah menghairankan selepas ini, jika ada yang menukarganti ‘persalinan-persalinan’ sebagai hamba Allah, dan memakai ‘persalinan’ yang bukan kepunyaan Allah.

‘PERSALINAN’ ALLAH, BOLEHKAH DITUKARGANTI?

Semasa Ramadhan, ramai yang memakai ‘persalinan’ sebagai hamba Allah. Berpuasa. Membaca Al-Quran. Melaksanakan solat-solat sunat.  Alhamdulillah. Itu satu perkembangan yang sangat baik. Tetapi, sayangnya ia tidak bertahan lama.

Ramai yang mula menanggalkan ‘persalinan’ itu usai Ramadhan.  Lupa yang dulu mulutnya pernah berzikir, membaca ayat-ayat Allah. Lupa yang dahulunya dahinya pernah sujud, tunduk penuh kehinaan di depan Allah. Mulalah memakai ‘persalinan’ baru yang bukan milik Allah. Sedangkan kehidupan kita sebagai hamba Allah ini adalah 24/7.

Sekiranya kita memakai ‘persalinan’ selain Allah yang punya, maka kita seolah-olah telah merehatkan diri kita daripada menjadi hamba Allah. Maka, bermulalah episod kehidupan yang diisi dan dicampuraduk dengan siri-siri maksiat dan dosa kepada Allah bila diri rehat daripada menjadi hamba Allah.

Sepatutnya tidak ada masa rehat untuk IMAN walau sesaat pun. Siapa yang memberi rehat kepada IMAN, maka tunggulah NAFSU dan konco-konconya akan bermaharajalela dan mengambil alih jiwa.

Apabila bukan iman yang menguasai jiwa, maka tunggulah kehancuran dan kerosakan akan bertebaran di atas muka bumi ini.

Imam Ahmad Ibn Hanbal pernah ditanya: “Bila seseorang mukmin itu boleh beristirehat?”  Jawabnya : “Bila kakinya telah berada di syurga.”

Justeru, mari muhasabah sebentar. Masih adakah masa rehat selepas Ramadhan? Masih adakah masa untuk berehat dalam perjalanan mengejar syurga Allah? Tidak. Sebenarnya tidak ada walau sesaat sekalipun. Hatta, masa tidur (bukan semua jenis tidur) pun sebenarnya adalah sebahagian daripada saham dalam perjalanan itu.

Kita perlu pastikan usaha kita untuk menjejaki syurga Allah itu berterusan, ada ISTIMRARIAH (penerusan). Kerana nanti, di syurga, kita pun akan hidup secara berterusan. Maka, untuk itu, usai Ramadhan ini, ada sesuatu yang besar kita perlu lakukan.

JADILAH HAMBA ALLAH TANPA MUSIM

Yang kita perlu lakukan, jadilah hamba Allah tanpa musim! Jadikan setiap musim, adalah musim-musim perhambaan kepada Allah. Berdiri penuh ketundukan kepada Allah. Berjalan untuk memakmurkan bumi ini dengan sistem Allah.

Itulah hamba tanpa musim. Yang layak memiliki syurga itu hanyalah yang terus-menerus bergerak sebagai hamba Allah dalam kehidupan. Sabda Rasul s.a.w. yang mafhum bermaksud:
“Berpegang teguhlah dengan (amal) yang benar (dengan tidak melebih-lebihkan dan tidak pula meringan-ringankan) dan buatlah sesuatu (amal) yang lebih hampir kepada sempurna (jika kamu tidak mampu melakukan yang sempurna itu) dan ketahuilah amalan seseorang dari kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan (ketahuilah) bahawa amal yang paling disukai Allah ialah (amal) yang paling berkekalan sekalipun sedikit.” [HR Bukhari Muslim]

Orang yang bersemangat hanya pada musim tertentu sahaja, semangat itu tidak ada nilai jika amalannya tidak berterusan. Semangat yang bukan atas dorongan iman, ia tidak akan berkekalan.

Sangat bersemangat mengikuti solat tarawih pada bulan Ramadhan, curahkan sepenuh tenaga untuk membaca Al-Quran di bulan Ramadhan, tetapi usai Ramadhan, semangat pun hilang, keseronokan dalam beribadah pun sudah pudar. Dan yang lebih menakutkan, adalah apabila dia kembali meletakkan selain Allah sebagai keutamaan dalam kehidupan!

PENUTUP : PROGRAMKAN PENERUSAN UNTUK PERUBAHAN!

Istimrariah (penerusan) perlu dirancang, bukan hanya dicanang. Barulah akan wujudnya perubahan dan peningkatan. Bahkan Nabi sendiri menganjurkan ummatnya supaya meneruskan amalan ketaatan kepada Allah di bulan Syawal dengan ibadah puasa selama enam hari.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya bermaksud : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun. [Hadis riwayat Muslim]

Lihat, Nabi pun merancang dan menyusun penerusan. Takkan kita berdiam diri sahaja tanpa ada pelan tindakan? Tidak ada orang yang ke syurga dengan tangan kosong. Mustahil juga ada orang berjaya dalam peperiksaan tanpa melakukan apa-apa persediaan.

Nabi s.a.w. sendiri pun menitiskan air mata dan darah, untuk membuktikan kepada ummatnya bahawa hendakkan syurga, perlukan kesungguhan. Lihatlah peristiwa Perang Khandak. Itu adalah bukti. Nabi s.a.w. dan para sahabat menggali parit, berusaha dengan semaksimum mungkin membuat persediaan untuk berperang dalam bulan Ramadhan. Dan, mereka tidak berhenti setakat itu.

Bahkan, usaha mereka berterusan hingga selepas Ramadhan, berperang dan meraih kejayaan dalam peperangan itu. Itu adalah peningkatan setelah usaha yang berterusan. Kita perlu susun dan rancang penerusan kita selepas Ramadhan ini. Biar nanti kita tidak bermusim dalam mentaati Allah.

Biar nanti usaha kita berterusan mengejar syurga Allah itu ada buktinya dalam setiap saat kehidupan. Barulah layak untuk kita memiliki kemuliaan dan ketinggian.

“Laisal ‘aidu man labisa jadid walakinnal ‘aida man tho’atuhu yazid”
Maksudnya : Bukanlah Hari Raya itu itu untuk yang berpakaian baru, tetapi Hari Raya itu ialah bagi mereka yang semakin bertambah ketaatannya kepada Allah.

Justeru, ayuh meraih himmah dengan istimrariah !

 < sumber >

0 comments:

Syarahan Umum Mantan Perdana Menteri

Semua warga Universiti Malaysia Pahang dijemput hadir ke Majlis Syarahan Umum : Cabaran Kepimpinan Masa Hadapan oleh YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad.

0 comments:

Puasa Sunat Enam Syawal - Kelebihan dan Hukum


Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Qadha campur Sunat

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ... وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.

Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]
Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.


Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya?

Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
قال النووي في شرح مسلم: "وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان."
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين.
Akhukum,
Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian.
04 Syawal 1429h- 041008
www.abuanasmadani.com
http://abuanasmadani.blogspot.com/

0 comments:

SEJARAH: FAKTA, KRITIKAN DAN TAFSIRAN

SEJARAH: FAKTA, KRITIKAN DAN TAFSIRAN
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Ramai orang berkata sejarah tidak boleh menipu: ‘history cannot lie’. Namun kita jangan pula lupa bahawa manusia boleh menipu fakta sejarah sehingga hakikat sejarah dirobah dan diubah. Peristiwa lampau kita tidak saksikan sendiri, ia diriwayatkan kepada kita melalui sumber-sumber yang menceritakan apa yang telah berlaku. Sumber-sumber itu pula terdedah kepada benar dan dusta. Jika kita menerima dari sumber yang benar, maka persepsi kita terhadap sesuatu peristiwa mungkin akan benar. Itu pun bergantung kepada aliran pemikiran atau ‘school of thought’ yang kita pegang. Jika fakta yang salah, maka sudah pasti tafsiran yang salah akan kita buat terhadap sesuatu sejarah. Pasti ada pihak dizalimi haknya.


Ketulenan Fakta

Maka dalam Islam, beberapa asas penting diletakkan dalam mengkaji sejarah. Asas pertama ialah kebenaran sesuatu fakta iaitu sejauh manakah sesuatu riwayat (narration) boleh dipercayai (authentic). Maka, Islam amat mengambil kira soal sumber sesuatu riwayat yang dipetik.

Dalam ilmu hadis khususnya, ada bab ‘Rijal al-Hadith’ iaitu ilmu yang mengkaji latar belakang perawi (narrators). Dikaji sifat amanah perawi, kekuatan ingatannya, kemungkinan pertemuannya dengan perawi sebelumnya dan pelbagai lagi. Kemudian, riwayat yang dibawa itu akan dibanding dengan para perawi lain yang lebih dipercayai untuk dinilai. Demikian susahnya sesebuah hadis hendak mencapai darjat ‘sahih’. Malangnya, apabila ilmu hadis tidak diambil berat, ramai penceramah termasuk ustaz dan ustazah yang membaca hadis palsu dalam ucapan mereka.

Dalam Islam, maklumat sejarah biasa sekalipun tidak diketatkan syaratnya seperti hadis, namun soal sumber yang dipercayai itu tetap penting. Ini terutama apabila membabitkan maruah atau tuduhan terhadap pihak-pihak tertentu. Muhammad bin Somil al-Salma dalam tesisnya ‘Manhaj Kitabah al-Tarikh al-Islamiy wa Tadrisuhu’ (Metodologi Penulisan Sejarah Islami dan kajiannya) menyebut:

“Riwayat sejarah apabila berkaitan hukum syar’i seperti halal dan haram, atau berkaitan mencerca seseorang muslim, mempertikaikannya, atau memberikan gambaran buruk mengenainya kepada orang lain, maka mestilah dipastikan kedudukan perawinya dan dikenali pembawa beritanya” (m/s 227. Mesir: Dar al-Wafa/1408H).

Ya, ini sebenarnya berasaskan arahan Allah dalam al-Quran: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu”. (Surah al-Hujarat: 6).

Ini penting, ramai yang menjadi mangsa cemuhan dan tohmahan hanya disebabkan sumber yang khianat dan menyeleweng dalam menyampai sesuatu berita. Dalam kehidupan seharian yang watak-watak masih hidup pun, banyak penipuan fakta, pembohongan dan fitnah dilakukan. Apatah lagi apabila membabitkan mereka yang sudah tiada, tentu pembohongan lebih mudah dilakukan. Umpamanya, betapa banyak maklumat sejarah yang menipu tentang pertelingkahan yang terjadi antara sahabat Nabi s.a.w sehingga lahirnya mazhab Syiah yang mempercayai fitnah sejarah terhadap sahabat-sahabat Nabi s.a.w.

Ramai yang menjadi mangsa diburukkan oleh sumber sejarah yang tidak amanah. Antara yang dimangsa Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan yang diburukkan oleh sumber sejarah seburuk-buruknya. Sehingga Munir Ghadban menyebut:

“Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiyah dengan tangan Rasulullah s.a.w dan mereka hidup dengan wahyu langit, (tidak ada) mereka ini yang diperburukkan, dibohongi tentangnya dan didustakan kepadanya seperti yang dilemparkan kepada Mu’awiyah ibn Abi Sufyan r.a. (Munir al-Ghadhban, Mu’awiyah ibn Abi Sufyan, m/s 5. Damsyik: Dar al-Qalam/ 1410H).


Begitu juga Khalifah Harun al-Rasyid yang dikaitkan dengan pelbagai cerita buruk dan lucu kepadanya seperti dia sering ditipu oleh Abu Nuwas. Sedangkan Abu Nuwas itu seorang penyair yang sering memuji arak dan wanita. Syair-syairnya memuatkan keruntuhan moral. Kata Ibn Khaldun (meninggal 808H):

“Adapun apa yang dipalsukan oleh hikayat; mengenai Harun al-Rasyid yang selalu meminum arak dan mabuk seperti mabuknya seorang kaki arak, -Allah memelihara daripada itu semua!-. Kita tidak pernah tahu dia seorang yang berbuat jahat. Mana mungkin ini semua, sedangkan dia dalam keadaan sering melaksanakan tanggungjawab agama dan keadilan sebagai khalifah, seorang yang mendampingi ulama dan auliya`, selalu berbincang dengan al-Fudail bin `Iyad, Ibn al-Sammak dan al-`Umari, selalu berutusan surat dengan Sufyan al-Thauri, menangis mendengar nasihat mereka, berdo`a di Mekah ketika tawaf, kuat beribadah, menjaga waktu solat dan hadir solat subuh pada awal waktunya”. (Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, m/s 17, Beirut: Dar al-Fikr/t.t)

Sebab itu, sesiapa yang menuduh atau menghukum orang lain hanya kerana terpengaruh dengan riwayat sejarah, tanpa membuat semakan dan kajian seperti yang al-Quran arahkan, maka dia berdosa dan akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat kelak kerana menfitnah dan menuduh tanpa asas.

Mengkritik Teks

Setelah kita mendapat sumber yang diyakini, maka itu tidak mencukupi sebaliknya kita perlu melihat teks sejarah itu secara kritis. Perawi yang amanah mungkin juga silap dalam periwayatan. Maka, sikap kritis terhadap matan atau teks amat perlu. Bahkan, jika kita tidak mampu mengkaji kesahihan sumber sekalipun, kita boleh menggunakan nilai-nilai kritis dalam menilai sesuatu fakta.

Umpamanya, saya selalu contohkan bagaimana sesetengah penceramah suka bercerita kisah ucapan Panglima tentera Islam di Andalus, Tariq bin Ziyad ketika mengucapkan kata-kata semangat kepada tenteranya: “Ke mana tempat lari? Lautan di belakang kamu, musuh di hadapan kamu. Tiada bagi kamu-demi Allah- melainkan sifat benar (kesetiaan) dan sabar”. Kononnya selepas itu Tariq membakar kapal agar tentera Islam tidak dapat ke mana-mana lagi melainkan berperang terus. Kisah ini dijadikan kebanggaan sesetengah penceramah. Padahal kisah ini patut dikritik. Hanya mereka yang lemah minda sahaja yang menjadikan kisah dalam versi ini sebagai lambang keberanian dan kepahlawanan.


Riwayat ini ditolak; pertamanya; cerita bakar kapal tiada sumber yang boleh dipercayai daripada mereka yang berada pada zaman tersebut. Mereka yang selepas itu yang menyebutnya. Keduanya; kisah itu boleh menggambarkan kebaculan tentera Islam yang terkenal dengan kepahlawanan dan kesanggupan menyeberang laut untuk membuka Andalus. Seakan jika Tariq tidak lakukan demikian mereka akan lari dari medan jihad. Ini bukan sifat tentera Islam yang membuka Andalus. Ketiga; Apakah wajar bagi Tariq yang merupakan panglima tentera yang bijak untuk membakar harta kerajaan dan kekuatan tentera Islam iaitu kapal yang boleh digunakan untuk membuka negeri yang lain pula. Kalau Tariq melakukan pembaziran demikian, tentu dia akan diambil tindakan oleh kerajaan Islam. Di sana banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan untuk membuktikan ketidak benaran kisah ini. Justeru itu, Mahmud Syakir yang merupakan tokoh sejarahwan Islam mempertikaikan kisah ini di dalam buku kecilnya Al-Muntalaq al-Asasi fi al-Tarikh al-Islamiy. Sesiapa yang ingin pendetilan bantahan terhadap kisah ini boleh merujuk kepada buku tersebut.

Maka ketajaman minda dalam melakukan textual criticism atau kritikan matan adalah sesuatu yang penting dalam mengkaji sejarah. ‘Abd al-Rahman Fakhuri dalam membincangkan sejarah pertelingkahan para sahabat mengatakan:

“Sejarah bukan sekadar suatu cerita yang dicampakkan di tengah jalan, yang penulisnya memilih apa yang dia suka dan meninggalkan apa yang dia tidak suka. Sesungguhnya terdapat dua kaedah kritikan yang mesti dibuat terhadap setiap riwayat sejarah sebelum dibuat keputusan untuk menerima atau menolaknya. Pertama: Mengkritik sanad, ini bermakna mengkaji para perawi dan pembawanya. Dipastikan dari sudut kesinambungan sanadnya adalah sahih dan terselamat daripada sebarang kecacatan yang tersembunyi. Perbincangan secara panjang lebar telah diperkenalkan oleh ahli hadis dan para pengkritiknya (pengkaji hadis), tidak mengetahui ilmu ini melainkan mereka sahaja. Kedua: Mengkritik matan (teks)”. (‘Abd al-Rahman Fakhuri, Muqaddimah Miftah al-Jamaah, m/s 77, Mesir: Dar as-Salam/1990M).

Tafsiran

Setelah melalui dua proses di atas, barulah tafsiran terhadap sesuatu fakta sejarah boleh dibuat. Siapa yang hendak diangkat menjadi wira dan siapa pula yang hendak diangkat menjadi musuh atau pengkhianat, banyak bergantung kepada tafsiran. Setiap orang mempunyai aliran dan sudut pandangan yang tersendiri. Namun, di sana ada perkara yang jelas lagi terang antara baik dan buruk, malaikat dan syaitan, Tuhan dan Iblis yang setiap pihak wajib akur kepada nilai yang sama itu. Di sana ada fakta yang kabur atau sesuatu yang boleh diberikan pelbagai tafsiran. Boleh dilihat baik dari satu sudut, mungkin tidak baik di sudut yang lain. Juga, baik pada sesetengah pihak, buruk pada pihak yang lain.

Umpamanya, dalam masyarakat feudal yang taat membuta tuli kepada sultan dan raja melayu akan menganggap Hang Tuah sebagai tokoh dan wira. Tindakannya menculik Tun Teja juga mungkin dipandang mulia. Namun dalam masyarakat yang merdeka dan bertamadun, Hang Tuah –jika benar watak seperti itu wujud dalam sejarah- akan ditafsirkan sebagai manusia berjiwa hamba, dangkal, tiada bermaruah dan tidak berprinsip. Perbezaan nilai, membezakan tafsiran.

Apa pun seorang muslim yang mengkaji fakta sejarah hendaklah akur kepada firman Allah dalam Surah al-Nisa 135: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu..”.

Kita hendaklah akur kepada apa yang benar dalam sejarah dengan memberikan tafsiran yang adil tanpa khianat. Nilai pertimbangannya ialah nilai-nilai keadilan sejagat yang diputuskan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Sumber : http://drmaza.com/home/?p=1581#more-1581

0 comments:

Aqidah Islamiyyah Siri 2



AQIDAH PEMBENTUK PERIBADI


Aqidah Islamiyah dapat membentuk nilai akhlak dan peribadi yang mencorak dan mewarnakan amalan dan perbuatan muslim. Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mecorakkan kandungannya, maka demikianlah akhlak dapat membentuk individu yang mengambilnya agar mentepati hakikat dan tabiat keinsanan yang tulen seperti kehendak Allah. Jelasnya, akhlak dapat membentuk sifat-sifat naluri muslim, akal fikirannya, iradahnya dan perasaannya.

Aqidah Islam adalah bersumberkan ketuhanan atau merupakan aqidah rabbaniyyah yang tetap, sempuma dan menyeluruh. Hanya aqidah yang kukuh sahaja yang dapat membentuk manusia yang kukuh dan teguh. Kekukuhan dan keteguhan aqidah inilah menjadi sumber kekuatan Islam ; kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya yang menjadi asas kekuatan jasmaninya.


CIRI-CIRI AQIDAH


Aqidah Islam mengandungi ciri-cini atau rukun-ni.tkunnya yang asas. Ciri-ciri tersebut dapat disimpulkan kepada tiga:


Ma ‘rifahtullah (Mengenali Allah)

Mengenali dan mengetahui serta beriman dengan Allah s.w.t, nama-nama Nya yang mulia serta sifat-sifat Nya yang suci dari segala kekurangan. Antara cara untuk kita meningkatkan keimanan terhadap Allah ialah dengan memerhatikan bukti-bukti yang ada di alam ini.


Ma‘rifatur Rasul ( Mengenali Kerasulan)

Mengenali dan mempercayai rasul-rasul yang dipilih oleh Allah untuk menenima wahyu dan menyampaikan syariat Nya serta menjadi pembimbing dan memimpin seluruh makhluk menuju kepada jalan yang hak dan agama Allah yang sebenar, iaitu agama Islam.


Ma‘rifahtul Ba‘thi ( Mengenali Hari Kebangkitan)

Mengetahui dan mempercayai tetang Hari Kebangkitan iaitu hari di mana manusia dibangunkan dari kubur masing-masing (dihidupkan sesudah mati), dikumpulkan dan dihisab segala amalan sama ada baik atau buruk untuk diberikan balasan pahala atau siksaan dan di sana juga adanya sirat al-­mustaqim, syurga dan neraka.


KEISTIMEWAAN AQIDAH ISLAM

Aqidah Islam im mempunyai keistimewaan yang tersendini yang mana ia membuktikan kesucian dan keluhurannya:


1. Aqidah yang menyeluruh

Aqidah Islamiyyah ialah aqidah yang menyeluruh yang merangkumi kedua-keduaunsun kejadian manusia:jasmani dan rohani. Ia tidak menenima perubahan dan perkembangan, tidak ada permulaan dan akhiran dan mengakui persambungan dan kelangsungan kehidupan selepas mati iaitu kehidupan akhirat.


2. Aqidah yang kekal

Aqidah Islam kekal kerana tidak berubah disebabkan perubahan keadaan dan zaman. Ini berbeza dengan ideologi yang berasaskan dasar yang lemah dan luntur. Contohnya ideologi yang berasaskan kebendaan dan perkauman yang menjadikan kebendaan dan perkauman sebagai asas dan dasar kehidupan.


3. Aqidah yang sesuai sepanjang masa

Aqidah yang bersifat kekal sepanjang masa.


4. Aqidah Islam aqidah yang praktikal

Aqidah Islam bukan hanya bersifat aqliah yang dapat ditenma oleh akal tetapi juga pada waktu yang sama adalah bersifat nafsiyyah atau kejiwaan dan amaliyah. Keimanan kepada Allah dan hari akhirat bukan hanya satu teori yang benar yang boleh dibincangkan tetapi yang telah bertapak dan sebati dalam hati. Aqidah yang sedemikian akan menjadikan tenaga penggerak untuk membebaskan dan menyelamatkan umat manusia.


5. Aqidah Islam penyusun hidup

Akan Bersambung.....



0 comments:

Related Posts with Thumbnails