Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Tazkiyyatun Nafs (Bahagian 1)

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا- قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّـهَا- وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّـهَا
“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya” (Asy-syams:8-10)

Dunia hari ini begitu mencabar dan penuh dengan kemaksiatan. Jiwa umat Islam terdedah kepada perkara-perkara yang tidak baik dari sehari ke sehari. Seandainya jiwa ini tidak dibersihkan, ia akan menjadi terlalu kotor dan sukar lagi untuk diajak kepada kebenaran. Tazkiyyatun nafs atau penyucian hati merupakan satu ilmu yang dituntut untuk dipelajari dan dihayati oleh setiap individu muslim. Namun, ilmu ini seakan hampir dilupakan oleh majoriti umat Islam hari ini. Akibatnya, ramainya umat Islam pada hari ini hanyalah seperti buih-buih di lautan. Sebagai seorang ahli jemaah, seharusnya teridam di dalam hati untuk menjadi muslim yang berkualiti. Usaha-usaha membentuk individu muslim yang berkualiti memerlukan penekanan kepada aspek tazkiyyatun nafs di samping tarbiyyah dari segi luaran.

Pengertian

Tazkiyyah berasal dari kalimah ‘zakaa’yang bermaksud bersih/suci/perbaiki. Dari perkataan ini juga lahirlah kalimah zakaat yang bermaksud pembersihan harta. Firman Allah dalam surah An-nur ayat 21:

وَلَوْلاَ فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَى مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ أَبَداً وَلَـكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّى مَن يَشَآءُ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“….sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendakiNya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Nafs pula membawa maksud nafsu/roh/nyawa/jiwa. Perkataan nafs banyak disebutkan dalam Al-Quran. Antaranya:

وَمَآ أُبَرِّىءُ نَفْسِى إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّى إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (surah Yusuf; 53)

يأَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ - ارْجِعِى إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً

“Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya”. (Al-Fajr:27-28)

Perkataan nafs membawa banyak pengertian namun tiada satu pun yang memuaskan maksudnya dan sesungguhnya Allah lebih mengetahui.

وَيَسْـَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً

“Mereka bertanya kepadamu (hai Muhammad) tentang (hakikat ihsan) roh. Katakanlah bahawa roh itu termasuk urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit sekali”(Al-Isra’:85)

Tazkiyyatun nafs adalah proses pembersihan jiwa dan hati dari pelbagai dosa dan sifat-sifat mazmumah yang mengotorinya, dan diikuti dengan proses peningkatan kualiti jiwa dan hati tersebut dengan mengembangkan sifat-sifat mahmudah yang diredhai Allah swt dengan mujahadah, ibadah dan berbagai-bagai perbuatan baik, sehingga hati dan jiwa menjadi bersih dan baik serta berkualiti.


0 comments:

Related Posts with Thumbnails