Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.
 
Semua warga Universiti Malaysia Pahang dijemput untuk menghadiri Hari Jalinan Mahabbah SAHAM 2013/2014 mengikut butiran berikut:
Tarikh: 23 -24 Februari 2013 (Sabtu - Ahad)
Tempat: Masjid UMP Kampus Gambang & Pekan
   Masa: Bermula Jam 10.00 Malam (23 Februari 2013) 
Together Make A Difference
"Nurturing The Beauty Of Islam"

Perasmian Kempen Mahasiswa Anti Valentine's Day

Pada 3 Februari 2013, Sahabat Masjid (SAHAM) Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menghantar wakil ke program Konvensyen Pendakwah Muda IPT Asean 2013 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Yayasan Taqwa, Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, Karangkraf dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

SAHAM UMP telah diwakili oleh Nornajihah Binti Mohd Ali (Timbalan Exco Dakwah & Kepimpinan kampus Gambang), Nur Amirah Izzati Binti Jaafar (Timbalan Exco Dakwah & Kepimpinan kampus Pekan) serta Nurul Najihah Binti Che Razali (wakil SAHAM).

Program yang telah dilaksanakan selama sehari dengan bertemakan "Belia Islam Pemangkin Transformasi Ummah" bertujuan menyuburkan budaya integriti dan integrasi dalam kalangan pemimpin pelajar di peringkat kampus, disamping memupuk barisan kepimpinan yang bertaqwa, berkredibiliti dan berkarisma yang akan melonjakkan nama negara di masa hadapan.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat USIM, program dimulakan dengan ucaptama oleh Professor Dato’ Dr. Sidek Baba (Professor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) sekitar jam 9 pagi. Beliau mengingatkan peserta untuk sentiasa bersabar dalam berdakwah dan tidak menjadi golongan yang melampau seperti mengkafirkan orang. Beliau juga turut mengingatkan bahawa para pendakwah perlu menjalankan misi dengan bijaksana dan tidak mengikut kata hati. Selain itu, pendakwah muda adalah generasi penyambung dan perlu memiliki ilmu fundamental Islam dengan pengalaman berjemaah (berorganisasi) yang sifatnya terbuka untuk menyantuni mad'u.

Seterusnya, kertas kerja yg bertajuk "Pendakwah Muda Sebagai Juru Bicara Ummah: Peluang dan Halangan" telah dibentangkan oleh mantan mufti Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Zaidi Bin Ramly. Beliau menyatakan bahawa untuk menjadi pendakwah perlu ada ilmu asas Islam, ilmu khusus dan kemahiran. Selain itu, penggunaan media baru dan teknologi kreatif juga penting dalam mendekati golongan muda. Prof. Madya Dr. Abu Hassan berkata, "Media Islam adalah media ar-Risalah; iaitu suatu proses mengkomunikasikan informasi melalui medium-medium media sama ada medium tradisi seperti akhbar, radio dan televisyen atau medium baru misalnya blog dan media sosial seperti Facebook dan Twitter dengan pelbagai isi kandungan yang sarat dengan muatan dan sosialisasi nilai-nilai Islam. Media Islam sebagai ar-Risalah boleh dikatakan sebagai ‘crusade media’ yakni media yang memperjuangkan nilai-nilai tertentu, yakni nilai-nilai Islam. Media Islam akan mengembangkan teras pemikiran dan perasaan Islam iaitu amar ma’ruf nahi munkar”.

Program ini turut diserikan dengan penampilan istimewa Imam Muda hafiz, Sham Kamikaze & Ana Raffali dengan forum yang bertajuk “Dakwah Itu Seni". Penceramah jemputan dari Singapura iaitu Tuan Haji Adnan Bin Abd Hamid dan indonesia, Encik Akmal Salim Ruhana turut hadir untuk berkongsi pengalaman dalam melaksanakan dakwah di negara masing-masing.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Ali Bin Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM mewakili Yang Berbahagia Dato’ Haji Othman Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM sekaligus melancarkan Kempen Mahasiswa Menolak Hari Valentine’ s Day.



(NORNAJIHAH BINTI ALI)
Timbalan Exco Dakwah & Kepimpinan (Gambang)
Sahabat Masjid (SAHAM) Sesi 12/13
Universiti Malaysia Pahang (UMP)
Zaynab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. 
Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib.Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’.Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923.Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita.Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam.

Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin.Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zaynab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam.Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zaynab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku.Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi. 

Beliau menyertai dan bersama dengan ahli Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.Dalam satu temuramah dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata:

“Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.”

Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar. 
Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Zainab al-Ghazali menyakini bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal sosial, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat. 
Beliau percaya Islam membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu dalam perkhidmatan masyarakat Islam. 
Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini. 
Jika wanita itu mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut.

Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan sosial apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam.Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam.Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan. 

Didalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau.Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin.Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin.Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.

Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser.Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa regim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan.Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam. 

Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan).Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di rumah Zainab ataupun tempat lain.Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah.Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya.Jika ianya terjadi maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut, program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan.Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat.Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan.Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.

Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam.Beliau juga menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama’ kerana perjuangannya yang luar biasa.

Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. 
Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. 
Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini. 
Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.Dakwah.Info
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Zuridan Al-Teminie
http://zuridanmdaud.blogspot.com/


Selamat Menyambut Tahu Baru 1434Hijrah!
Tanpa disedari tahun 1433 Hijrah bakal meninggalkan kita, dan kini kita bakal melangkah ke tahun baru1434 Hijrah. Jika diinsafi secara mendalam, berlalunya tahun 1433 Hijrah bermakna usia kita semakin lanjut dan destinasi terakhir hidup di dunia ini semakin hampir. Hakikatnya, perjalanan masa yang bergerak begitu pantas ini adalah sebahagian dari tanda bahawa kita telah berada di akhir zaman. Ini bertepatan dengan apa yang pernah diingatkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW di dalam sabdanya:  
((لا تقوم الساعة حتى يقبض العلم، وتكثر الزلازل، ويتقارب الزمان، وتظهر الفتن ويكثر الهرج وهو القتل))
Maksudnya: "Tidak akan berlaku Kiamat sehingga ilmu diangkat, banyak berlaku gempa bumi, masa menjadi hampir(pantas berlalu), berlaku fitnah dan banyak berlaku al-Harj’ iaitu pembunuhan”. Hadis riwayat Imam Bukhari.
 Berdasarkan hadis ini dapatlah difahami bahawa terdapat beberapa tanda amaran dari Rasulullah s.a.w tentang kedatangan hari kiamat yang semakin hampir apabila tibanya tahun baru. Nabi Muhammad SAW telah mengkhabarkan kepada kita tanda-tanda kiamat tersebut sebagai satu amaran agar kita sentiasa bersiap-sedia menempuhnya. Antara tanda-tanda tersebut ialah ilmu yang semakin berkurang akibat daripada jumlah pencinta ilmu semakin sedikit dan dalam masa yang sama orang berilmu lebih suka berehat dan menyembunyikan ilmunya. Ini dapat dilihat melalui kecenderungan manusia kepada sesuatu yang bersifat hiburan melebihi daripada aktiviti keilmuan. Malah program-program ilmu juga terpaksa dibuat dalam bentuk hiburan bagi menarik orang ramai menghadirinya. Tanda kedua ialah banyaknya berlaku gempa bumi. Tanda ini juga sudah begitu kerap berlaku di serata dunia. Tanda ketiga ialah masa semakin hampir, iaitu jarak masa menjadi begitu dekat dan kita dapat rasakan bagaimana pantasnya masa berlalu. Tanda keempat ialah banyaknya berlaku fitnah yang telah menjadi amalan biasa di kalangan umat Islam khususnya. Demi mencapai cita-cita dunia seperti pangkat dan harta. Tanda kelima ialah banyaknya berlaku kematian akibat pembunuhan dan peperangan dan tanda yang keenam ialah harta menjadi banyak dan hartawan menjadi begitu ramai sehinggakan orang-orang kaya begitu bangga mempamerkan kekayaan mereka dan suasana ini telah menjadi fenomena biasa di kalangan umat manusia.
Sabda Rasulullah SAW di dalan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang sahih:
((لا تقوم الساعة حتى يتقارب الزمان، فتكون السنة كالشهر، ويكون الشهر كالجمعة، وتكون الجمعة كاليوم، ويكون اليوم كالساعة، وتكون الساعة كاحتراق السعفة))
Awal Muharram sepatutnya menjadi saat paling baik bagi kita melakukan muhasabah diri dengan menyesali segala dosa yang telah dilakukan. Ini bertepatan dengan saranan Al-Quran yang memerintahkan golongan yang beriman agar sentiasa merenung apa yang telah dikerjakan sebagai bekalan untuk kemudian hari. Firman Allah Taala yang bermaksud:

((يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون))

Maksudnya: "Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan setiap diri itu hendaklah melihat apa yang telah dilakukan (sebagai persiapan) untuk hari esok dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan". Surah al-Hasyr ayat: 18.

 Bagi umat Islam sambutan tahun baru 1434 Hijrah seharusnya berbeza dengan suasana sambutan tahun baru Masehi  yang selalunya diwarnai dengan pesta dan aktiviti hiburan. Ini adalah kerana kalender umat Islam bermula dengan berlakunya peristiwa hijrah yang tercatat di dalamnya kisah perjuangan dan jihad mempertahankan Iman dan Islam. Malah Saidina Umar al-Khattab yang mempopularkan kalender hijrah amat jelas hasratnya mahu menjadikan umat Islam sebagai umat beridentiti dan bukannya menjadi bangsa pengikut kepada apa sahaja yang datang dari dunia bukan Islam. Justeru adalah menjadi suatu yang menyedihkan apabila kedapatan umat Islam yang mengadakan pesta berunsur maksiat sebagai menyambut ketibaan tahun baru Masehi setiap tahun. Saidina Umar al-Khattab r.a apabila bersetuju dengan cadangan para sahabat lain supaya memulakan kalender Islam dengan tarikh peristiwa hijrah dan menolak cadangan memulakannya dengan tarikh kelahiran, kewafatan atau pengutusan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul adalah kerana beliau melihat peristiwa hijrah adalah peristiwa terpenting dalam sejarah perubahan perkembangan Islam. Bermula dengan jumlah pengikut yang sedikit di Mekah, sering ditindas, sukar beribadah, disakiti dan dibuli, akhirnya selepas hijrah ke Madinah umat Islam telah memperolehi tanahair, memerintah negara sendiri, bebas beribadah dan berdakwah, jumlah penganut yang semakin ramai malah telah menjadi umat yang kuat dan digeruni.
Peristiwa Hijrah juga menjadi sangat penting kerana ia menunjukkan kepada kita bahawa sunnah baginda SAW bukan sahaja dalam bentuk dakwah ke masjid tetapi lebih luas iaitu dakwah membawa ummah menegakkan sebuah negara Islam yang berdaulat dan terlaksana di dalamnya semua syariat yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini adalah kerana dengan tertegaknya sebuah negera yang melaksanakan syariat Islam maka seluruh aspek kehidupan manusia akan sentiasa terpelihara dari sebarang bentuk kezaliman dan penyelewengan. Seterusnya akan membawa kepada keberkatan dan rahmat dari Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Taubah ayat 96:


((ولو أن أهل القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض ولكن كذبوا فأخذناهم بما كانوا يكسبون))


Maksudnya: ((Dan jika penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa nesacaya akan Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi sebaliknya mereka mendustakan (ajaran Islam), maka Kami timpakan kepada mereka hukuman di atas apa yang tekah mereka kerjakan)).
             Hijrah mengajar kita bahawa dua asas utama kekuatan yang perlu dibangunkan segera bagi memperkasa umat Islam iaitu peranan institusi Masjid dan peranan ukhuwwah atau ikatan persaudaraan di kalangan sesama Islam. Keputusan Nabi SAW melakukan pembinaan masjid seawal baginda tiba di Madinah al-Munawwarah bukanlah menjadi suatu kebetulan sahaja sebaliknya satu sunnah yang mengajar kita bahawa sumber kekuatan utama Islam ialah masjid. Masjid hendaklah menjadi tempat membina hubungan dengan Allah, mengatur urusan negara, tempat bermusywarah dan juga menjadi universiti terbuka kepada umat Islam. Masjid juga seharusnya menjadi tempat berkumpulnya para pemimpin dan rakyat untuk sama-sama merasakan sifat kehambaan dan tiada erti perbezaan di kalangan manusia melainkan taqwa. Keagungan peranan masjid dapat dilihat melalui tindakan Nabi s.a.w menjadikannya sebagai pusat pentadbiran negara dan menguruskan manusia. Manakala usaha Nabi s.a.w mempersaudarakan  muhajirin dan ansar adalah merupakan bukti bahawa kekuatan umat Islam adalah bergantung kepada kesatuan hati atas asas iman kepada Allah Taala. Dengan kesatuanlah segala macam bentuk ancaman dapat ditangkis dan usaha meruntuhkan kerajaan Islam dapat digagalkan. Kesatuan pula mestilah diasaskan kepada menegakkan keadilan Islam dan memerangi sebarang bentuk kezaliman.
Dalam konteks kehidupan individu pula, hijrah sepatutnya menjadi pemangkin memperkasakan diri agar berubah kepada keadaan yang lebih baik samada dari aspek ekonomi, ilmu dan sahsiah. Hijrah juga menuntut perubahan ke arah keimanan yang lebih mantap dengan meyakini bahawa hanya kembali kepada ajaran Islam secara syumul sahajalah kita akan dapat mengangkat kembali maruah dan harga diri umat Islam. Hijrah seharusnya mengingatkan kita semua bahawa berlalunya masa dan berubahnya tahun bererti usia kita semakin meningkat. Meningkatnya usia pula bererti saat hijrah abadi kita iaitu ke alam barzakh sudah semakin hampir. Oleh itu dengan tibanya tahun baru hijrah sewajarnya kita bermuhasabah tentang pencapaian amalan pada tahun yang lalu. Solat kita, puasa kita, zikir kita, sedekah kita, amanah kita dan sebagainya, apakah sudah ditunaikan atau sebaliknya. Amat malang jika soal dunia kita mampu membuat perubahan tetapi soal akhirat tiada sebarang perubahan malah semakin merosot.
Berkata Saidina Umar Al-Khattab r.a: ”Muhasabahlah dirimu sebelum kamu dihisab, timbanglah amalanmu sebelum ianya ditimbang dan bersiaplah untuk hari pameran terbesar (hari Kiamat) ”. 

*Penulis merupakan seorang pensyarah di Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang.
 
Masuk SAHAM tidak bererti tidak boleh masuk kelab/persatuan yang lain apatahlagi terlibat dengan program-program universiti. Saya sebagai orang yang terlibat secara langsung dengan SAHAM seawal Tahun 1 sehingga sekarang sudah Final Year tidak pula menghadapi kesulitan dan kesusahan untuk mendapatkan kolej kediaman. Kalau nak dilihat, banyak sahaja kelab/persatuan dan program universiti yang pernah saya terlibat samada menjadi AJK ataupun menjadi peserta. Ia sebenarnya bergantung kepada kemampuan dan kehendak diri kita untuk melibatkan diri dengan apa sahaja ruang atau program yang ada untuk mendapatkan merit. Tapi yang menyedihkan, sesetengah penglibatan mahasiswa dalam kelab/persatuan mahupun program universiti hanyalah demi mengumpul merit, tetapi tidak 'menjiwai' segala bentuk aktivism/program/kelab/persatuan yang disertai.

Nasihat saya, hentikanlah segala provokasi/cakap-cakap belakang tentang mata merit yang tidak diberikan Sahabat Masjid (SAHAM) kepada sesiapa yang menyertainya dan juga status SAHAM yang dikatakan sebagai Persatuan yang tidak didaftar. Rasanya dalam setiap penerangan/pengenalan SAHAM kepada mahasiswa yang pernah dibuat tidak satu pun mengatakan yang SAHAM adalah Persatuan berdaftar dibawah JHEPA dan SAHAM juga tidak memberikan mata merit kepada sesiapa yang menyertainya.

Ramai teman-teman yang berjumpa dan memberikan idea supaya SAHAM didaftarkan, saya kira dalam kronologi semenjak SAHAM ditubuhkan, dulu pernah dibawa kertas kerja dan perlembagaan untuk didaftarkan dibawah JHEPA, tetapi TIDAK DILULUSKAN malah pernah satu ketika dahulu, ada suara-suara yang mengatakan di UMP tidak dibenarkan mendaftarkan Kelab/Persatuan yang berunsur KEAGAMAAN. Tetapi bila dilihat dan diperhatikan, ada sahaja Kelab/Persatuan/Komuniti yang datang dari pelbagai latar agama dengan nama dan identiti yang rasmi tampil melaksanakan program kebudayaan/upacara keagamaan mereka di kampus ini sedangkan 'komuniti' mereka juga tidak didaftarkan. Menjadi tanda tanya, adakah disebabkan SAHAM berorientasikan keagamaan ISLAM dan DAKWAH, maka taraf dan statusnya ditolak dan dinafikan?

Saya bukanlah ingin menimbulkan satu perbalahan/tunding jari siapa benar siapa salah. Yang ingin saya bawakan disini, kadangkala melihat orang Islam sendiri yang merumitkan urusan orang Islam, orang Islam sendiri yang membawa perpecahan dalam kalangan orang Islam, orang Islam sendiri yang menindas dan menafikan kerja buat/dakwah orang Islam.

Secara ringkasnya, saya mewakili SAHAM UMP setelah bermesyuarat dan berbincang, insyaAllah kita dalam usaha untuk menyiapkan kertas kerja untuk mendaftarkan SAHAM dibawah JHEPA. Harapan besarnya, semoga pendaftarannya kelak diterima dan tidak lagi menjadikan isu besar dalam kalangan ahli-ahli/pendokong2/penyokong2 SAHAM. Dengan kerjasama memberi ruang untuk SAHAM bernaung dibawah JHEPA kelak, moga SAHAM dapat memacu dan bergerak jauh kehadapan dengan menyediakan program2 dan pengisian2 kerohanian yang dapat memberikan impak dan natijah yang baik buat para ahli dan penyokong SAHAM kelak.

Diharap teman2/ahli2/pendokong2/penyokong2 SAHAM selama ini dapat mendoakan agar kelangsungan Islam dan Dakwah dibumi UMP ini terus subur dan sekurang-kurangnya dapat memberikan kesedaran kepada mahasiswa terutamanya yang beragama Islam untuk lebih dekat, faham, cinta dan sayangkan agama Islam itu sendiri dan dalam masa yang sama biah atau suasana kampus UMP ini menjadi suasana yang baik/kondusif dan jauh dari sebarang perkara2 dan aktiviti2 yang berunsur maksiat dan sesuai dengan namanya universiti yang menjadi tempat/pusat menuntut ilmu dan pendidikan.

Semoga segala doa/sokongan serta bantuan dari teman2, Allah taala balas dengan ganjaran 'merit' diakhirat. Amin.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

Abdul Basith Abdul Halim,
Presiden Sahabat Masjid (SAHAM) UMP sesi 2011/2012

"Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah"
~Together With Islam~
~Together With SAHAM~
Selamat Datang ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) buat teman-teman mahasiswa yang mendaftarkan diri pada hari ini. Saya mewakili Saf Kepimpinan Sahabat Masjid (SAHAM) UMP menyambut baik kehadiran mahasiswa/i baharu ke UMP bagi menyambung pengajian bagi peringkat Universiti. Semoga perjalanan menuntut ilmu dipermudahkan oleh Allah Taala. :)




Daripada:

Abdul Basith bin Abdul Halim,
Presiden  Sahabat Masjid (SAHAM) UMP sesi 11/12
Siapa Saad bin Abi Waqqas?


Kisah Sa’ad Abi Waqas memang menarik kerana keimanan beliau setelah memeluk Islam serta kehebatan beliau setelah diberi tanggung jawab memimpin tentera Islam dalam perang Al Qadisiyah yang membawa kejatuhan kerajaan Parsi.

Sa’ad Abi Waqas berasal dari keluarga Quraisy yang terhormat itu menerima bantahan keras daripada ibunya sendiri apabila beliau memeluk Islam. Ibunya menentang dengan pelbagai cara sehingga sanggup melakukan mogok lapar dengan harapan anak kesayangannya berubah pendirian. Namun Sa’ad Abi Waqas dengan tegas berkata.

"Demi Allah, jika ibu memiliki seribu nyawa sekalipun, kemudian satu demi satu nyawa itu dicabut keluar, saya tetap tidak akan kembali kepada agama asal saya. Sebaiknya ibu lupakanlah nazar ibu itu.”

Maka ibunya pun meneruskan nazarnya itu sehari semalam. Ketika ia melihat perbuatannya itu tidak memberi manfaat apa pun, akhirnya ibunya pun mula makan dan minum. Untuk itu, Allah telah menurunkan ayat ini yang bermaksud:

“dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan DAKU (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. " [Al-Ankabut: 8] 


Antara kelebihan Sa’ad Abi Waqas doanya makbul dan apabila memanah tepat mengenai sasaran. Ini kerana Nabi Muhamad saw pernah mendoakannya.

“Ya Allah, jadikanlah sasaran panahnya tepat dan makbulkan doanya.”

Pada suatu hari ketika Rasulullah saw sedang berbual dengan para sahabat tiba-tiba baginda berkata, “Sekarang akan muncul di hadapan kamu seorang lelaki ahli syurga.”

Tidak lama kemudian muncul Sa’ad Abi Waqas. Mereka bertanya apakah ibadat yang dilakukannya sehingga mendapat kedudukan yang tinggi.

Kata Sa’ad Abi Waqas, “Saya beribadat seperti kamu juga. Hanya saya tidak pernah menaruh perasaan dendam atau berniat jahat terhadap seorang pun di antara kaum muslimin.”

Semasa Perang Badar Sa’ad Abi Waqas bertempur dengan gagah berani. Begitu juga dalam Perang Uhud beliau antara sahabat yang sentiasa berada di sisi Rasulullah serta melindunginya.

“Panahlah hai Sa’ad, ibu bapaku jadi jaminannya,” kata Rasulullah sambil menghulurkan anak-anak panah kepada Sa’ad Abi Waqas.

Sa'ad Abi Waqas juga mendapat gelaran “Singa yang menyembunyikan kukunya.”Kerana itu beliau diberi tanggung jawab oleh khalifah Umar al Khattab memimpin 30 ribu tentera Islam bagi membantu pasukan yang sedang bertempur dengan tentera Parsi.

Sebelum itu khalifah mendapat berita tentera Islam di bawah pimpinan panglima al Muthanna mengalami kekalahan dalam perang jambatan yang mana 4 ribu orang sudah syahid.

Pasukan tentera Islam yang dipinpin Sa’ad Abi Waqas akhirnya bertempur dengan tentera Parsi dalam Perang Al Qadisiyah. Akhirnya tentera Parsi mengaku kalah setelah ketua mereka Rustam terbunuh.

Kekalahan dalam Perang Al Qadisiyah menyebabkan maharaja Parsi mengerahkan seluruh kekuatan tentera bagi menghadapi tentera Islam. Kedua pasukan bertemu di Iraq dan mereka dipisahkan sungai Tigris.

Sa’ad Abi Waqas pun memohon doa kemudian menyuruh tenteranya membaca Hasbunallah wa ni’mal wakil yang ertinya “cukuplah bagi kita Allah dan Dia sebaik pemimpin” lalu memerintahkan tenteranya menyeberang sungai Tigris.

Dengan izin Allah, mereka meredah air sungai itu bagaikan berjalan di atas daratan sehinga ke semuanya tentera Islam berjaya menyeberangi dengan selamat. Melihat keajaiban yang luar biasa itu menyebabkan tentera Parsi lari bertempiaran…



Sa’ad Abi Waqas dilantik menjadi ganenor Kufah. Apabila timbul fitnah terhadapnya maka Khalifah Umar al Khattab menggantikannya dengan orang lain. Namun kepercayaan khalifah Umar terhadap Sa’ad Abi Waqas tidak berubah sehingga mahu melantiknya menjadi penggantinya sebagai khalifah tetapi ditolak oleh Sa’ad Abi Waqas.

Sebelum meninggal dunia Khalifah Umar berkata. “Aku bersetuju jika Sa’ad yang dipilih oleh majlis syura menjadi khalifah. Jika orang lain maka aku berpesan supaya khalifah selepas aku melantik Sa’ad untuk satu jawatan. Sesungguhnya aku memecat dia sebagai gabenor Kufah bukan kerana dia lalai atau kianat.”

Apabila majlis syura bersidang Sa’ad Abi Waqas menarik diri dari pencalunan sebagai khalifah. Saidina Uthman melantik Sa’ad Abi Waqas sebagai gabenor Kufah. Sekali lagi beliau difitnah sehingga beliau berdoa.

“Ya Allah, jika orang yang menfitnahku itu kerana riyak, dusta dan ingin mendapat nama maka butakanlah matanya dan biarkanlah dia menerima balasan fitnah.”

Doa Sa’ad Abi waqas dimakbulkan Tuhan. Orang yang menfitnah itu matanya menjadi buta.

Apabila berlaku perbalahan antara pengikut Saidina Ali dengan Muawiyah maka Sa’ad Abi Waqas bersikap berkecuali dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Ketika Khalifah Muawiyah berkuasa beliau mahu melantik Sa’ad Abi Waqas menjadi ketua panglimanya tetapi dengan tegas menolaknya dengan berkata.

“Apabila aku menghunus pedang jika dipukulkan kepada orang mukmin maka pedangku tidak melukai mereka tetapi jika dipukulkan kepada musuh Allah mereka akan terpotong.”

Sa'ad Abi Waqas lelaki Muhajirin yang terakhir meninggal dunia dan beliau berpesan.

“Kafani aku dengan jubah yang aku pakai semasa Perang Badar. Aku sengaja menyimpannya untuk keperluan tersebut.”


Sumber : Nukilan Abu Latip novelis


~Alhamdulillah Ya Allah, buat julung2 kali nya, Sahabat Masjid (SAHAM) telah melangkah setapak lagi ke hadapan dengan mengadakan Flash Mob ~jauhi gejala sosial~ yg diadakan di Teluk Chempedak baru2 ini... utk kami berkongsi pengalaman kami mengadakan Flash Mob yg pertama ini, terimalah tayangan video Flash Mob ini utk anda semua~

~:Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah:~
~:Together With Saham:~
kerana dirimu begitu berharga..

Wanita ialah makhluk ciptaan Allah dengan segala keistimewaan. Diberi kelebihan dari segi zahiriah dan batiniah. Diberi sembilan emosi yang dapat diseimbangkan dalam menjalani kehidupan seharian. Allah meletakkan martabat wanita di tempat yang tinggi kerana kelebihan yang ada padanya. Allah meletakkan juga syarat yang perlu diikuti kerana wanita merupakan fitnah terbesar. Seorang wanita yang mentaati Allah, Rasul, suami dan menjaga auratnya maka syurgalah tempatnya. 

Di antara tuntutan dan larangan bagi wanita ialah:

1- Rambut
"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya" - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

2- Kening
Rasulullah melaknat wanita yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening. - Hadis riwayat Abu dau Fi  Fathil Bari

3- Mata
"Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian daripada pandangannya.." - Surah An-Nur, 31

4- Muka dan leher
Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasanmu seperti orang jahiliyah yang dahulu (bersolek) dan membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang jahiliyah.

5- Muka dan tangan
Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasulullah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasulullah: "Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah baligh tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja" - Hadis riwayat Muslim dan Bukhari

6- Gigi
Rasulullah melaknat wanita yang mengikir gigi atau meminta dikikirkan giginya. - Petikan dari hadis riwayat At-Tabrani

7- Suara
"Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik" - Surah AL-Ahzab: 32

8- Tangan
Sesungguhnya kepala yang ditusuk debgan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya. - Hadis riwayat At-Tabrani dan Baihaqi

9- Pakaian
Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti. - Hadis riwayat Ahmad, An-Nasai dan Ibn Majah

"Hai nabi-nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha Pengampun lagi maha Penyayang" - Al-Ahzab: 59

10- Melabuhkan tudung
Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada mereka. An-Nur: 31

11- Memakai wangi-wangian
Wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telang dianggap melakukan zina dan tiap-tipa mata ada zinanya.

12- Memakai gelang kaki berloceng
Dan janganlah mereka (perempuan) menghentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. An-Nur: 31

Untukmu wanita..jagalah dirimu, peliharalah agamamu kerana seindah hiasan dunia adalah wanita solehah.






Perbezaan pendapat di kalangan ulama dan ilmuan Islam adalah lumrah. Sejak dahulu lagi sehingga kini malah pada masa depan perbezaan akan terus berlaku. Berlaku perbezaan sudut pandangan dengan cara betul, adalah jalan bagi kebijaksanaan. Pendekatan feqah, ijmak di kalangan ulama, fatwa yang diputuskan dan ijtihad yang diambil pada prinsipnya tidak boleh menggugat faktor syarak yang terkanun dalam nas qat'ie.

Imam feqah yang utama sering berbeza pandangan dalam sesuatu perkara. Sifat zaman yang berubah dan banyak perkara baru muncul memerlukan jawapan dan pendekatan menanganinya. Imam Shafie umpamanya tidak ta'assub dengan pandangannya malah terbuka diikuti atau sebaliknya asal saja yang selari dengan maksud syarak. Beliau menganjurkan supaya yang terbaik dan benar yang harus diikuti. Kaedah ini memperkayakan khazanah ilmu dalam tradisi Islam dan perbezaan tidak menjadi isu yang mempertajamkan hubungan atau menuding jari dengan pandangan bahawa, "Aku saja yang betul dan orang lain semuanya cacat atau salah belaka".

Prof. Dr.Yusof al-Qaradawi dan Almarhum Sheikh Muhammad al-Ghazali sering memberikan pandangan dari sudut feqah dan syarak supaya masalah masa kini dapat diatasi tanpa perlanggaran batas syarak namun, adab berbeza pandangan tetap dipelihara.

Akhir-akhir ini sangat nyata perbezaan pendapat di kalangan ahli dalam hal agama atau di kalangan ulama yang mempunyai latar pendidikan berbeza atau di kalangan orang Islam yang tidak memiliki keahlian, cuba memberikan pandangan terhadap sesuatu isu yang menuntut keahlian dan kepakaran. Cara perbezaan itu berlaku boleh mengelirukan orang awam khususnya generasi muda.

Ulama adalah pewaris Para Nabi. Ulama adalah lambang keteguhan ilmu, prinsip dan hukum hakam Islam, namun apabila ada isu baru maka sering wujud perbezaan mendekatinya. Yang merisaukan ialah ada di kalangan mereka yang cuba mendekati isu kerana populariti. Ia pula diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang sentiasa ingin melagakan pandangan dengan maksud tertentu. Sepatutnya pandangan berbeza boleh diselesaikan di meja muzakarah (perbincangan). Sudah tentu dalam negara kita ada lembaga dan institusi bagaimana perbezaan pandangan itu dapat diselaraskan.

Pada prinsipnya, ulama faham nas mengenai isu berkaitan. Perbezaan kadang-kadang hanya bersifat teknikal bukan substantial, tetapi cara sesetengah pihak mempermainkan boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham hingga menyebabkan khalayak menjadi bercelaru. Malah, ada tokoh merelakan dirinya menjadi umpan mempertajamkan lagi masalah berbangkit dan ia menjadi popular dengan maksud tersendiri. Lebih mengelirukan ialah sudut pandangan tidak didekati secara kaedah Islam. Ia didekati secara barat atau mengambil pendekatan seperti dilakukan oleh orientalis.

Dalam hal membabitkan hukum atau pengkhususan, ia menuntut di kalangan ahli memperjelaskannya supaya ada kuasa dalam membuat keputusan. Seorang doktor pakar dan ahli dalam bidangnya memiliki kelayakan untuk berbicara mengenai penyakit. Orang awam yang bukan ahli dalam penyakit itu sudah tentu perlu merujuk kepada pakar terbabit. Rasulullah berpesan pentingnya sesuatu itu diletakkan pada tempatnya (berasaskan keahlian atau kepakaran). Kalau tidak kehancuran dan kerosakan akan menyusul.

Ia tidak bermakna ulama tidak perlu dinamik. Ulama dalam maksud yang sebenarnya mendukung imej Islam, berpegang kepada prinsip, memahami zaman dan realiti dan mengambil pendekatan bijaksana supaya umat dipandu ke arah jalan agama yang betul di tengah cabaran semakin rencam. Apabila timbul di kalangan ulama atau ilmuan atau di kalangan tokoh yang berlagak seperti ulama membuat kenyataan kontroversi, ia tidak menyumbang ke arah kesatuan fikiran yang amat dituntut oleh umat. Tidak dapat dinafikan, ada kerencaman dan kelainan orientasi bagaimana seseorang ulama dan ilmuan Islam itu lahir di sepanjang sejarah umat Islam. Tetapi titik persamaan yang boleh menyatukan fikrah dan ummah harus dijadikan keutamaan.

Tidak harus ada pihak yang ingin menjadi juara konon dia tahu segala-galanya dengan menafikan kebolehan orang lain. Lebih tidak wajar lagi apabila seseorang yang berlagak tokoh, tahu sedikit mengenai pemikiran dan falsafah lalu berlagak sebagai ahli fekah atau syariah dan menyebabkan khalayak menjadi keliru. Adab terhadap kelainan pendapat perlu ada. Adab al ikhtilaf yang boleh membawa kepada perbezaan pendapat harus tegak dengan prinsip dan nas yang sepakat.
Hikmah di sebalik kelainan pendapat yang didekati dengan adab yang tinggi melahirkan tradisi bijaksana untuk mencerahkan lagi isu yang berbangkit bukan menambahkelirukan keadaan akibat kegopohan.

Maslahah ummah dan imej Islam harus dipelihara supaya kelainan pendapat memperkaya cara pendekatan bagaimana isu yang berbangkit didekati secara ilmu dan keahlian. Asas ini penting supaya kelainan pendapat yang dilakukan secara berhemah mampu mendidik masyarakat dan memperjelaskan lagi arah dan maksud sesuatu isu berbangkit.

Intipati :

  • Imam Shafie menganjurkan yang terbaik dan benar harus diikuti.
  • Perbezaan pandangan ulama harus diselesaikan di meja muzakarah atau di gelanggang yang tidak membangkitkan fitnah.
  • Ulama dilarang mendekati isu kerana populariti kerana ia boleh mengelirukan ummah.
  • Persamaan yang boleh menyatukan fikrah dan ummah harus dijadikan keutamaan.
  • Maslahah ummah dan imej Islam harus dipelihara supaya kelainan pendapat memperkaya cara pendekatan bagaimana isu yang berbangkit didekati secara ilmu dan keahlian.
Related Posts with Thumbnails