Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

|Jom flashback sirah nabi|

Siapa Saad bin Abi Waqqas?


Kisah Sa’ad Abi Waqas memang menarik kerana keimanan beliau setelah memeluk Islam serta kehebatan beliau setelah diberi tanggung jawab memimpin tentera Islam dalam perang Al Qadisiyah yang membawa kejatuhan kerajaan Parsi.

Sa’ad Abi Waqas berasal dari keluarga Quraisy yang terhormat itu menerima bantahan keras daripada ibunya sendiri apabila beliau memeluk Islam. Ibunya menentang dengan pelbagai cara sehingga sanggup melakukan mogok lapar dengan harapan anak kesayangannya berubah pendirian. Namun Sa’ad Abi Waqas dengan tegas berkata.

"Demi Allah, jika ibu memiliki seribu nyawa sekalipun, kemudian satu demi satu nyawa itu dicabut keluar, saya tetap tidak akan kembali kepada agama asal saya. Sebaiknya ibu lupakanlah nazar ibu itu.”

Maka ibunya pun meneruskan nazarnya itu sehari semalam. Ketika ia melihat perbuatannya itu tidak memberi manfaat apa pun, akhirnya ibunya pun mula makan dan minum. Untuk itu, Allah telah menurunkan ayat ini yang bermaksud:

“dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan DAKU (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. " [Al-Ankabut: 8] 


Antara kelebihan Sa’ad Abi Waqas doanya makbul dan apabila memanah tepat mengenai sasaran. Ini kerana Nabi Muhamad saw pernah mendoakannya.

“Ya Allah, jadikanlah sasaran panahnya tepat dan makbulkan doanya.”

Pada suatu hari ketika Rasulullah saw sedang berbual dengan para sahabat tiba-tiba baginda berkata, “Sekarang akan muncul di hadapan kamu seorang lelaki ahli syurga.”

Tidak lama kemudian muncul Sa’ad Abi Waqas. Mereka bertanya apakah ibadat yang dilakukannya sehingga mendapat kedudukan yang tinggi.

Kata Sa’ad Abi Waqas, “Saya beribadat seperti kamu juga. Hanya saya tidak pernah menaruh perasaan dendam atau berniat jahat terhadap seorang pun di antara kaum muslimin.”

Semasa Perang Badar Sa’ad Abi Waqas bertempur dengan gagah berani. Begitu juga dalam Perang Uhud beliau antara sahabat yang sentiasa berada di sisi Rasulullah serta melindunginya.

“Panahlah hai Sa’ad, ibu bapaku jadi jaminannya,” kata Rasulullah sambil menghulurkan anak-anak panah kepada Sa’ad Abi Waqas.

Sa'ad Abi Waqas juga mendapat gelaran “Singa yang menyembunyikan kukunya.”Kerana itu beliau diberi tanggung jawab oleh khalifah Umar al Khattab memimpin 30 ribu tentera Islam bagi membantu pasukan yang sedang bertempur dengan tentera Parsi.

Sebelum itu khalifah mendapat berita tentera Islam di bawah pimpinan panglima al Muthanna mengalami kekalahan dalam perang jambatan yang mana 4 ribu orang sudah syahid.

Pasukan tentera Islam yang dipinpin Sa’ad Abi Waqas akhirnya bertempur dengan tentera Parsi dalam Perang Al Qadisiyah. Akhirnya tentera Parsi mengaku kalah setelah ketua mereka Rustam terbunuh.

Kekalahan dalam Perang Al Qadisiyah menyebabkan maharaja Parsi mengerahkan seluruh kekuatan tentera bagi menghadapi tentera Islam. Kedua pasukan bertemu di Iraq dan mereka dipisahkan sungai Tigris.

Sa’ad Abi Waqas pun memohon doa kemudian menyuruh tenteranya membaca Hasbunallah wa ni’mal wakil yang ertinya “cukuplah bagi kita Allah dan Dia sebaik pemimpin” lalu memerintahkan tenteranya menyeberang sungai Tigris.

Dengan izin Allah, mereka meredah air sungai itu bagaikan berjalan di atas daratan sehinga ke semuanya tentera Islam berjaya menyeberangi dengan selamat. Melihat keajaiban yang luar biasa itu menyebabkan tentera Parsi lari bertempiaran…



Sa’ad Abi Waqas dilantik menjadi ganenor Kufah. Apabila timbul fitnah terhadapnya maka Khalifah Umar al Khattab menggantikannya dengan orang lain. Namun kepercayaan khalifah Umar terhadap Sa’ad Abi Waqas tidak berubah sehingga mahu melantiknya menjadi penggantinya sebagai khalifah tetapi ditolak oleh Sa’ad Abi Waqas.

Sebelum meninggal dunia Khalifah Umar berkata. “Aku bersetuju jika Sa’ad yang dipilih oleh majlis syura menjadi khalifah. Jika orang lain maka aku berpesan supaya khalifah selepas aku melantik Sa’ad untuk satu jawatan. Sesungguhnya aku memecat dia sebagai gabenor Kufah bukan kerana dia lalai atau kianat.”

Apabila majlis syura bersidang Sa’ad Abi Waqas menarik diri dari pencalunan sebagai khalifah. Saidina Uthman melantik Sa’ad Abi Waqas sebagai gabenor Kufah. Sekali lagi beliau difitnah sehingga beliau berdoa.

“Ya Allah, jika orang yang menfitnahku itu kerana riyak, dusta dan ingin mendapat nama maka butakanlah matanya dan biarkanlah dia menerima balasan fitnah.”

Doa Sa’ad Abi waqas dimakbulkan Tuhan. Orang yang menfitnah itu matanya menjadi buta.

Apabila berlaku perbalahan antara pengikut Saidina Ali dengan Muawiyah maka Sa’ad Abi Waqas bersikap berkecuali dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Ketika Khalifah Muawiyah berkuasa beliau mahu melantik Sa’ad Abi Waqas menjadi ketua panglimanya tetapi dengan tegas menolaknya dengan berkata.

“Apabila aku menghunus pedang jika dipukulkan kepada orang mukmin maka pedangku tidak melukai mereka tetapi jika dipukulkan kepada musuh Allah mereka akan terpotong.”

Sa'ad Abi Waqas lelaki Muhajirin yang terakhir meninggal dunia dan beliau berpesan.

“Kafani aku dengan jubah yang aku pakai semasa Perang Badar. Aku sengaja menyimpannya untuk keperluan tersebut.”


Sumber : Nukilan Abu Latip novelis

0 comments:

Related Posts with Thumbnails