Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.



Apabila kita memperkatakan pemimpin umat Islam,terbayang oleh kita bahawa mereka terbahagi kepada berbagai peringkat dan pemimpin di berbagai bidang dan jurusan. Pemimpin di kalangan umat Islam itu ada pemimpin-pemimpin besar dan ada juga yang kecil. Ada yang umum (negara, daerah, dll) ada yang khusus (pendidikan, ketenteraan, ekonomi, dll). Juga ada yang terbatas ketika pemimpin itu juga dipimpin.

Setelah kita mengetahui pemimpin dan kepemimpinan dalam Islam itu berperingkat-peringkat, maka di sini akan memperkatakan apa tanggung jawab setiap pemimpin itu?

Di sini tidak akan dibahas secara luas dan menyeluruh namun secara ringkas saja. Di peringkat manapun pemimpin itu memimpin maka ada dua kewajiban yang tidak dapat dihindari dan akan dipertanggungjawabkan karena mereka adalah pemimpin Islam. Agama Islam mewajibkan setiap pemimpin umat Islam bertanggung jawab iaitu agama dan akhlak orang yang di bawah pimpinannya.

Setiap pemimpin di akhirat kelak akan ditanya oleh ALLAH Ta’ala setiap orang di bawah pimpinannya, tidak terkecuali pemimpin besar atau kecil, umum atau khusus. Mereka tidak boleh memikirkan bidangnya saja. Dalam ajaran Islam, masalah agama terutama di sudut fardhu ain mesti diketahui, dihayati dan diamalkan oleh setiap mukallaf (muslim, baligh, berakal yang telah dapat dikenai hukum). Oleh sebab itu siapa saja yang menjadi pemimpin bertanggung jawab memastikan perkara agama dan akhlak untuk keselamatan bersama di dunia dan akhirat.

Tidak seperti halnya dalam bidang fardhu kifayah, seperti ketentaraan, ekonomi, pertanian dll. Sebagai contoh kalau ada satu golongan yang berkecimpung di bidang itu dan mencukupi keperluan umum, maka sudah memadai. Orang lain yang tidak ambil bahagian di bidang itu terlepas dari dosa. Sedangkan mengetahui halal dan haram serta akhlak yang mulia, yatu memiliki sifat-sifat mahmudah, seperti adil, jujur, tawadhuk, pemurah, kasih sayang, sabar, redha, tawakal, tenggang rasa, lapang dada, pemaaf, meminta maaf, amanah diwajibkan bagi setiap orang, baik pemimpin maupun bukan.

Setiap pemimpin Islam itu tidak boleh berkata, “Saya pemimpin di bidang ketentaraan. Saya hanya bertanggung jawab dengan ketenteraan saja. Soal agama dan akhlak itu bukan tanggung jawab saya.” Itulah realiti pemimpin sekarang,tidak kira pemimpin ekonomi dan juga pemimpin-pemimpin yang lain. Begitulah setiap pemimpin berfikir demikian. Soal agama dan akhlak itu tanggung jawab ulama, ustad, pendakwah, pemimpin dakwah. Itulah bidang khusus mereka, begitu dalam fikiran para pemimpin itu. ALLAH dan Rasul tidak menghendaki demikian. Islam memerintahkan setiap pemimpin umat Islam, baik dia memimpin negara, pemimpin ketentaraan, politik, ekonomi, dll, wajib bertanggung jawab kepada anak pimpinannya mengenai agama dan akhlak mereka.

Di akhir zaman inilah kelemahan umat Islam, dimana pemimpin hanya memimpin di bidangnya saja. Terhadap agama dan akhlak mereka meringan-ringankannya. Itulah rahasia mengapa setiap golongan itu, susah disatukan satu sama lain. Hati berjauhan meski tidak bertengkar kerana tali pengikat di kalangan umat Islam adalah agama dan akhlak sudah diputuskan. Kalaupun ada tali, tapi sudah hampir putus. Maka dari itu banyak terjadi gejala yang negatif dalam golongan—golongan manusia. Pemimpin hanya mengutamakan bidangnya saja seolah-olah agama dan akhlak adalah persoalan individu.

Padahal umat Islam menghendaki agama dan akhlak mesti sama walaupun berasal dari berbagai bidang, kerana hal itu merupakan keperluan bersama. Kalau pemimpin memperhatikan akhlak dan agama maka akan lahir ahli-ahli yang berkemajuan, berdisiplin dan berakhlak mulia karena disuluh oleh ruh Islam. Sehingga visi mereka sejalan, syiar mereka bersama dan akhlak mulianya sama.

Umat Islam sudah berfikir bahawa agama hanya untuk guru-guru agama dan ustad-ustad. Apakah ada di dalam kalangan umat Islam berfikir bahawa dengan berdisiplin agama dan berakhlak mulia akan merugikan umat Islam dan manusia? Apakah dengan berakhak mulia dan berdisiplin dalam agama akan menciptakan kemunduran?

Sebenarnya kepatuhan dalam agama serta akhlak mulia itulah yang menjadikan umat Islam berdisiplin. Akan memperindah dan memperbaiki setiap profesian dalam bidang-bidang kemajuan, sehingga dapat meningkatkan kehormatan umat Islam, kerana akhlak adalah universal, bahkan orang bukan Islam akan senang terhadap Islam. Dan yang terpenting adalah ALLAH dan RasulNya akan suka dan redha terhadap kita. Amin.

JOM IMARAHKAN RUMAH ALLAH!!!SELAGI KITA MASIH BERPELUANG!!!
INSYAALLAH

Akidah merupakan asas penting dalam pembinaan tamadun manusia. Oleh itu ianya membawa kesan yang besar dalam mempengaruhi seluruh agenda hidup mereka seharian. Akidah menentukan matlamat dan hala tuju hidup seseorang. Dengan akidah jugalah manusia dapat menilai baik dan buruk sesuatu perkara. Oleh sebab itu bertolak dari asas akidah akan terbentuk suatu kerangka kerja insan sesuai dengan hasrat mencapai wawasan hidup yang unggul.

Dengan kata lain, seseorang yang berakidah dengan akidah yang sahih akan melahirkan perbuatan-perbuatan lahiriah yang betul dan baik pula, mengucapkan ucapan yang betul dan jauh dari peribadi yang tidak sihat. Sabda Rasulullah saw (riwayat al-Bukhari dan Muslim) bermaksud:

“Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badannya dana apabila ia rosak maka rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati.”

Jelasnya seseorang yang berakidah dengan akidah yang benar akan memanifestasikan kehidupan yang luhur sebagaimana luhurnya akidah yang tersembunyi jauh di lubuk hatinya. Dengan akidah juga akan melahirkan perasaan taqwa, tawakkal dan penyerahan diri secara mutlak kepada Allah Taala dengan melakukan apa sahaja yang diperintah dan meninggalkan yang apa sahaja yang dilarang, tunduk dan patuh kepada hukum dan peraturan Allah serta menerima dengan penuh pasrah dan ikhlas terhadap qadha’ ketentuan Allah.

Seseorang yang mempunyai akidah yang teguh akan melahirkan perbuatan-perbuatan yang baik dalam mencapai matlamat masing-masing. Akidah menentukan matlamat dan hala tuju hidup seseorang. Matlamat yang baik tidak bermakna kita boleh membuat sebarang perkara yang bercanggah dengan syara’. Islam membenarkan kita untuk melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat yang kita inginkan selagimana cara yang kita gunakan itu tidak melanggar syara’. Sebenarnya bukan semua matlamat tidak menghalalkan cara dan bukan semua matlamat boleh menghalalkan cara. Ustaz Zaharuddin di dalam blognya telah menjelaskan berkaitan ‘Matlamat menghalalkan cara’ dan ‘Matlamat tidak menghalalkan cara’.


Sebagai seorang beragama Islam dan telah mengucapkan kalimah tayyibah, seharusnya kita memahami tanggungjawab kita. Hakikatnya kini, kita seolah-olah lebih takut kepada manusia yang lemah dan lupa bahawa Pencipta kepada manusia tersebut ialah Allah s.w.t. Kita takut sekiranya manusia akan mengambil tindakan ke atas kita, tetapi kita tidak takut akan tindakan yang Allah akan ambil kelak. Saman seorang manusia sangat kurang nilainya berbanding ‘saman’ Allah yang tidak ternilai harganya. Kemungkinan besar kita tidak mampu untuk membayar ‘saman’ yang Allah keluarkan dan akhirnya neraka tempat kita kelak. Kita inginkan redha manusia tetapi alpa akan keredhaan Allah s.w.t. Janganlah kita takut akan kemurkaan manusia sekiranya kita di jalan yang benar. Tetapi takutlah kita akan kemurkaan Allah s.w.t. Ingatlah bahawa Allah telah berfirman di dalam Surah Muhammad ayat ke 7 yang bermaksud;

“Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
Surah Muhammad;7

Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya.

Wallahu’alam.
Ramai di antara kita merungut yang pelajar perlukan hiburan untuk melepaskan tekanan. Namun, kita tidak sedar hiburan yang salah dipilih akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Dan akan membawa kepada lebih banyak perkara yang tidak seharusnya berlaku. Lalu, timbul perspektif bahawa Islam mengongkong manusia untuk berhibur. Hakikatnya, Islam bukan sahaja membenarkan hiburan, malah menyediakan panduan yang teratur untuk kita berhibur.

Sesungguh Allah itu cantik, dan Dia suka kepada yang cantik dan indah.

Hiburan itu indah. Hiburan itu cantik. Jika betul cara dan gayanya, hiburan bukan sahaja dapat melepaskan tekanan, ia juga dapat menjadi satu ibadah kepada Allah. Sekaligus kita akan mendapat pakej 2 dalam 1. Sebaliknya, jika salah memilih hiburan, lahirlah generasi hedonisme.

Atas dasar ingin mencapai objektif di atas dan mempelbagaikan hiburan alternatif di UMP, dimaklumkan bahawa Biro Kebudayaan Islam(BiKI) telah ditubuhkan di bawah kelolaan Sahabat Masjid (SAHAM). Antara aktiviti kesenian yang dijalankan adalah Nasyid, Phantomen dan pelbagai lagi.



Justeru itu, BiKI SAHAM menjemput kepada sesiapa yang berkebolehan atau berminat untuk belajar, bolehlah menyertai BiKI SAHAM dengan memberi nama kepada saya. Setakat ini penyertaan hanya dibuka kepada siswa sahaja. Sesi ujibakat dan latihan akan diadakan pada setiap minggu. Waktu ujibakat dan latihan akan dimaklumkan kemudian.

Selain itu, kepada mereka yang berminat untuk menjemput kami mengadakan persembahan di dalam program anda, anda boleh berbuat demikian dengan memaklumkan kepada saya selewat-lewatnya 2 minggu sebelum program anda.

Sekian, wasalam.

Ketua Biro Kebudayaan Islam SAHAM,
Universiti Malaysia Pahang.
No tel: 014-5079035
Oovoo: ruhul_jadid
Bengkel Pengurusan Organisasi SAHAM (B-ProSA) merupakan julung-julung kali diadakan oleh Sahabat Masjid (SAHAM) Universiti Malaysia Pahang (UMP). Walaupun pertama kali diadakan, program ini telah berjalan dengan lancarnya.Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah s.w.t.Alhamdulillah...

Untuk pengetahuan semua, tujuan program ini adalah untuk melatih adik-adik baru yang terlibat dalam mana-mana Biro di bawah Sahabat Masjid (SAHAM). Di samping menerapkan mengenai kepentingan dalam menguruskan sesebuah organisasi, program ini juga memfokuskan kepada pentingnya ukhuwah dalam pengurusan. Rata-rata yang terlibat dalam Biro SAHAM merupakan adik-adik tahun 1 dan masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan cara hidup di universiti.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya ialah LDK, Modul-modul, perancangan aktiviti untuk semester ini dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik. Walaupun masa untuk perjalanan program agak singkat, namun perjalanan program kali ini agak lancar dan pelbagai isu-isu yang ada dapat diselesaikan. Diharapkan kepada semua adik-adik yang berada dalam Biro SAHAM agar terus istiqamah dalam gerak kerja dan tidak mudah putus asa.

Kepada senior-senior pula, jangan lupa untuk perhebatkan perjuangan antum. Walaupun kita senior, tidak bermakna kita boleh dari tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Sahabat-sahabat, teruskan perjuangan!






Biro Dakwah Dalaman











Biro Dakwah Luaran









Biro Penerbitan & Keusahawanan










Biro Keusahawanan







Barisan Majlis Tertinggi













Ya. Kadang-kadang hati ni tidak perlu sentiasa dihidangkan dengan kata-kata lembut mengusap rasa. Dipujuk dengan kalimah-kalimah indah membuai jiwa, tapi perlu sesekali digoncang, dihentak kuat sehingga mengejutkan lena, dimarah..diherdik. Biar sakit. Biar berbekas. Biar berdarah. Kesan-kesan inilah yang mampu membuatkan kita terkejut, dan tersedar dari lamunan.

Seperti mengejutkan orang yang sedang lena tidur dikala bencana besar yang datang dan memerlukan dia untuk bangun sebagai penyelamat keadaan. Namun, dek kerana selesanya tilam, empuknya bantal, dia terlupa akan tanggungjawabnya untuk bangun dan menyelamatkan suasana. Dia sedar,bukannya dia tidak tahu. Walaupun setiap hari di beri kata-kata untuk dia bangkit, namun keselesaan itu bagai menutup dan mengunci rapat kelopak matanya. Pujukan agar dia terus bangun dari tidur itu bagai angin lalu. Tidak langsung berbekas. Kalau berbekas pun hanya seketika, kerana nikmatnya keadaan itu bagai membuatkan dia lupa kesan kata-kata seruan yang datang walau bertubi-tubi. Lantas dia terus tidur dan lena dipangkuan yang indah membuai mimpi.

Dengan cara apa lagi untuk mengejutkan dia dari lena itu kalau bukan dengan cara mengongcangkan badannya dengan kuat ? Biar dia bingkas bangun dan mencelikkan mata. Lantas memandang kanan dan kiri. Bagai orang yang baru tersedar dari mimpi ngeri. Saat itu, biar dia sendiri tahu yang disekelilingnya kini ada keadaan yang bakal menghancurkannya. Biar dia sedar, yang selama ini tidurnya itulah membuatkan orang lain binasa. Biar dia insaf, lenanya jugaklah yang telah membuatkan bencana semakin merebak bagai sukar untuk diselamatkan. Sedang dialah orang yang bertanggungjawab atas semua yang terjadi itu. Sehinggalah saat itu, terpulang padanya sama ada meneruskan tidur walau tahu bencana yang sedang menimpa atau terus bangkit menyelamatkan keadaan. Walau dia tahu pilihan mana yang akan merugikan dirinya.

Kehidupan orang-orang yang menyeru, tidak terlepas dari memiliki rasa untuk lena dengan kehidupan. Dipertaruhkan dengan rasa seronoknya pada kehidupan dan syurga dunia. Sehinggakan ujian itulah yang menenggelamkannya dari cita-cita sebenar sebagai penyelamat dunia yang sedang tenat. Namun, muhasabah yang berterusan mampu menyelamatkan orang-orang yang menyeru itu dari terus tenggelam dalam angan-angan yang merosakkan. Dan hati itu harus sesekali digoncang…dihentak bertubi-tubi dengan tarbiyah dan peringatan. Biar jiwa yang mudah alpa, sentiasa dalam keadaan peka dan terasa bahawa di sana ada sesuatu yang bakal membinasakan. Di sana ada sesuatu yang menghalang sebuah cita-cita yang gemilang. Di sana ada anasir hebat yang menyerang.

Namun, hati yang lena dengan tidur yang panjang pasti tidak akan sedar akan keadaan ini. Oleh itu, berilah peringatan yang berbekas pada jiwa. Ketukan yang bertalu-talu serta hentakan yang hebat pada hati. Biar jiwa yang sebelum ini terasa manja dek teguran yang lembut dan pujukan yang mesra tersedar. Biar hati yang sebelum ini terbahagi dua antara risalah dan nafsu, bertukar menjadi satu. Menjadi hati yang sentiasa bermujahadah melawan kenikmatan dunia yang melenakan. Biarlah sakit dengan mujahadah itu, kerana kesakitan itulah sebagai benteng kukuh melawan anasir dunia yang bakal melenakan jiwa orang-orang yang menyeru.
Saya tinggalkan mutiara hikmah yang penuh erti buat diri sendiri dan kalian;

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak" at-Taubah:38
wallahua'lam

Ya Allah…
Kerana kelalaian dan kealpaanku..
Jangan KAU hukum aku dengan mengeluarkan aku dari kalangan orang-orang yang menyeru ke jalanMU…
Kuatkan aku..dan kuatkan sahabatku..dan kuatkan orang-orang lain yang jugak menyeru ke arahMU…
Jangan KAU biarkan kami tenggelam dengan fatamorgana dunia yang akhirnya membinasakan diri kami sendiri…
Akan ku mujahadah untuk terus menjadi ahli menyahut seruanMU dan RasulMu….



Jika kau melihat embun disubuh pagi
Itulah kehidupan
Sifatnya adalah kesementaraan cuma
Apabila terbitnya sang suria maka keringlah ia.

Jika kau melihat jalan yang bersimpang siur
Itulah kehidupan
Jika jalan kepalsuan dan kebinasaan yang engkau pilih
maka itulah akhir kehidupanmu

Jika kau melihat tabir usang yang pudar dan lusuh dimamah usia
Itulah kehidupan
Di sebalik kelusuhan dan keusangan itu adalah kematian

Jika kau melihat musafir singgah berehat seketika dipepohonan rendang
Itulah kau dalam suatu perjalanan yang panjang
Lalu persinggahan itulah kehidupanmu di dunia ini.



Wajah merupakan satu pemberian dari Allah S.W.T. Wajah ini dapat membezakan seseorang insan dengan insan yang lain dalam kehidupan seharian. Manakala hati adalah satu bentuk yang tidak dapat dilihat walaupun dibayar dengan darah kerana hati wujud dalam bentuk "segumpal daging".

Wajah yang cantik atau tampan tidak semestinya hati seseorang itu suci dari melakukan dosa. Wajah yang cantik atau tampan, merupakan salah satu ujian yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang telah dikurniakan pemberian itu, dalam mengatasi perkara-perkara yang dilarang. Manakala, wajah yang kurang cantik atau kurang tampan, tidak semestinya hatinya kotor. Wajah dalam keadaan ini mudah bagi seseorang insan itu dalam mengelakkan masalah perkara-perkara yang terlarang. Ujian Allah tetap ada bagi mereka yang tergolong dalam golongan ini.


Beruntunglah kepada manusia itu, sekiranya wajah yang telah diberikan oleh Allah dalam keadaan cantik atau tampan dijaga dan dipelihara seperti memelihara nyawa sendiri serta hatinya sentiasa bersih dan dibersihkan apabila melakukan dosa. Setiap perkara di dunia ini, ada hikmahnya dan pahalanya.

Orang yang sentiasa dalam mengerjakan ibadat kepada Allah, wajahnya akan sentiasa berseri bagaikan cahaya yang menerangi kegelapan. Ini kerana, hatinya sentiasa ingat kepada Allah dan dipelihara bersungguh-sungguh.

Manakala, wajah orang melakukan perkara yang dilarang tidak berseri bagaikan satu permukaan dinding yang kotor (tidak dibersihkan atau dicuci). Ini kerana, hatinya telah terlekat satu tompok "daging hitam" yang menunjukkan seseorang itu dalam keadaan yang tidak menjaga amal ibadatnya dan melakukan perkara yang dilarang. "Daging hitam" ini, lama kelamaan akan bertukar dari setompok menjadi segumpal dan seterusnya. Ini yang akan membawa manusia yang tergolong dalam golongan ini mudah terjerumus ke dalam api neraka yang tidak terkata kepanasan dan seksaannya.

Oleh yang demikian, marilah muslimin dan muslimat, kita bersihkan hati kita dengan meperbanyakkan amal ibadat dan perkara kebajikan serta menjauhi sebarang perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. Semoga Allah memberikan kita wajah-wajah yang berseri bagaikan cahaya putih menerangi setiap pelusuk kegelapan di dunia dan akhirat kelak. Insya'Allah...

1.Cita-cita yang murni iaitu mahu menjadi anak yang soleh (orang yang berjaya).

2.Cabaran yang di hadapi iaitu pengaruh hawa nafsu masa muda dan pengaruh rakan-rakan.

3.Prinsip yang menjadi pegangan iaitu kebenaran (ajaran Islam berteraskan ilmu, ibadah, solat, iman dan akhlak mulia).

4.Berjihad melawan pengaruh hawa nafsu dan pengaruh rakan-rakan.

5.Pendirian yang teguh dan tidak terpengaruh dengan pengaruh keseronokan masa muda dan rakan-rakan (Istiqamah).

Ertinya : Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadanyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)."
Surah As-Syura Ayat 15

PENGERTIAN ISTIQAMAH

Istiqamah bererti berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau dalam apa-apa keadaan sekalipun.



Daripada pengertian ini dapat dirumuskan unsur-unsur utama istiqamah:

Berpegang pada akidah yang benar, aqidah ahli As-sunnah Waljamaah.
Melaksanakan tuntutan Syariat Islam berpandukan Al-Quran dan hadis Rasullallah Sallallahu Alaihi Wassalam.
Mempunyai prinsip dan keyakinan yang tidak akan berubah atau goyah.
Tidak terpengaruh dengan dakyah dan godaan hawa nafsu dan syaitan.
Tidak tunduk pada tekanan demi melaksanakan tanggungjawab dan mempertahankan kebenaran.
Istiqamah menjadi tuntutan agama.

Sifat yang mulia ini menjadi tuntutan Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah Taala dan Rasulnya .
Ertinya: Katakanlah ( Wahai Muhammad ): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada Aku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; maka hendaklah kamu teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredhaanya)......
Surah Fusilat Ayat ' 6

Ertinya: Katakanlah: Saya beriman dengan Allah kemudian teguhkan pendirian kamu.
Rawahul Muslim

Ruang lengkap Istiqamah

Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. Jelasnya, segala amalan yang dapat dirumuskan dalam pengertian ibadah samada fardu ain atau fardu kifayah memerlukan istiqamah:

Contoh Istiqamah
Istiqamah dalam Iman dan melaksanakan tuntutan Iman.
Istiqamah dalam solat dan Ibadah-ibadah khusus yang lain.
Istiqamah dalam menegakkan kebenaran dan keadilan serta menentang kebatilan dan kezaliman.
Istiqamah dalam ibadah umum seperti belajar, berniaga dan membuat kerja-kerja yang diizinkan oleh syaraq.

Dengan matlamat untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat serta di redhai Allah Taala.

Tahap-tahap Istiqamah
Ada tiga tahap Istiqamah yang perlu berlaku serentak iaitu:

Istiqamah hati: sentiasa teguh dalam mempertahankan kesucian iman dengan cara menjaga kesucian hati daripada sifat syirik, menjauhi sifat-sifat cela seperti riak dan menyuburkan hati dengan sifat terpuji terutamanya ikhlas. Dengan kata-kata lain Istiqamah hati bermaksud mempunyai keyakinan yang kukuh terhadap kebenaran. Firman Allah Taala.

Ertinya: Dan orang-orang yang kafir berkata : "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali ( dengan sekali gus ) ? diturunkan Al-Quran dengan cara yang demikian kerana hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.
Surah Al-Furqan ' : ayat 32


Istiqamah lisan: memelihara lisan atau tutur kata daripada kata-kata supaya sentiasa berkata benar dan jujur, setepat kata hati yang berpegang pada prinsip kebenaran dan jujur, tidak berpura-pura, tidak bermuka-muka dan tidak berdolak dalik.
Istiqamah lisan terdapat pada orang yang beriman, berani menyatakan dan mempertahankan kebenaran dan hanya takut kepada Allah Taala. Firman Allah Taala:

Ertinya: ....Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.....
(Surah Ibrahim ' Ayat 27)

Istiqamah perbuatan: Tekun berkerja atau melakukan amalan atau
melakukan apa saja usaha untuk mencapai kejayaan yang di redhai

Allah. Dengan kata-kata lain istikamah perbuatan merupakan sikap dedikasi dalam melakukan sesuatu pekerjaan, perusahaan atau perjuangan menegakkan kebenaran, tanpa rasa kecewa, lemah semangat atau putus asa. Sikap ini menjadi begitu rupa kerana dorongan hati yang istiqamah.

Hikmat Istiqamah
Istiqamah merupakan sikap jati diri yang teguh dan tidak luntur oleh apa jua pengaruh dan cabaran. Sikap ini membolehkan seseorang itu terus berusaha untuk mencapai matlamat daripada usaha dan pengorbanannya. Akhirnya sikap inilah yang menjadi faktor utama kejayaan.

Dengan kata lain istiqamah menjadi faktor pencapaian matlamat dalam apa jua bidang sama ada bidang agama, siasah, ekonomi, pendidikan, penyelidikan, perusahaan dan perniagaan. Peribahasa melayu ada menyebutkan, "berpantang maut sebelum ajal."

Kejayaan melaksanakan tuntutan iman dan matlamat amal Soleh dapat dicapai

dengan sikap istiqamah seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran.

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinan dengan berkata : "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah Malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah di janjikan kepada kamu."
"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang kamu ingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari ituapa yang kamu cita-citakan mendapatnya." "(pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani !"
(Surah Fusilat-Ayat 30-32)

Membentuk Sikap Istiqamah
Sikap Istiqamah dapat di bentuk dengan menanamkan unsur-unsur yang berikut ke dalam diri:

1.Matlamat yang unggul iaitu berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

2.Semangat dan daya juang yang tinggi serta tidak mudah mengalah atau berputus asa.

3.Prinsip yang benar berasaskan Al-Quran dan hadis Rasullallahi Sallallahu Alaihi Wassalam.

4.Ilmu dan maklumat yang cukup.

5.Strategi yang kemas dalam perjuangan.

6.Usaha yang berterusan.

7.Yakin kepada takdir dan janji Allah Taala.

8.Berdoa dan bertawakal.

9.Bersyukur dan redha.

Sikap ini dapat diteladani daripada Rasullallah Sallallahu Alaihi Wassalam, para sahabat, para mujahid, syuhada" dan salihin seperti yang tertera di dalam gambaran sejarah.

Manusia dalam perjuangan hidup
Perjuangan dalam hidup manusia amat luas daerahnya. Ada perjuangan yang kecil dan ada perjuangan yang besar. Contoh perjuangan yang kecil ialah apa jua usaha yang dilakukan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan di dunia. Sedangkan perjuangan yang besar ialah segala usaha untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan di dunia. Sedangkan perjuangan yang besar ialah segala usaha untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Asas bagi menentukan kecil atau besar tahap perjuangan itu ialah:

1.Matlamat perjuangan.

2.Halangan atau cabaran terhadap perjuangan.

3.Risiko atau pengorbanan yang diperlukan.

Namun begitu ada orang yang keliru. Mereka meletakkan perjuangan untuk mencapai kejayaan di dunia sebagai perjuangan yang utama dan mengabaikan perjuangan untuk mencapai kejayaan di akhirat. Sebenarnya orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan di dunia sahaja adalah orang yang akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat, sedangkan orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan di akhirat sebenarnya akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah Taala:
Ertinya: Ketahuilah bahawa apa (yang dikatakan) kehidupan di dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah diantara kamu ( dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan ) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan) tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanaman suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan di dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(Surah Al-Hadid" Ayat 20-21)

Berlumba-lumba kamu (mengerjakan ama-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulnya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakinya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar .

Malangnya ada pula orang yang tidak mempunyai perjuangan lansung dalam hidupnya, mereka hanyut bagaikan kiambang di sungai. Mereka diracuni oleh fahaman jabariah iaitu berserah pada takdir tanpa usaha, atau mereka mengikut arus dan perubahan zaman tanpa prinsip dan pendirian, iman mereka rapuh, amal ibadah mereka tidak menetap dan akhlak mereka dicorakkan oleh berbagai-bagai budaya.

Istiqamah dalam perjuangan
Perjuangan yang suci di redhai Allah tidak terlepas daripada cabaran terutamanya perjuangan menegakkan Islam sama ada dalam diri, dalam keluarga dan dalam masyarakat. Cabaran itu hanya akan dapat di atasi oleh semangat jihad yang tinggi, beristiqamah, bersabar dan tidak berputus asa.
Firman Allah Taala:

Ertinya: Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.
(Surah Yusof ' Ayat 87)
Sesungguhnya menuntut dan menyampaikan ilmu itu amat besar manfaatnya kepada individu dan masyarakat umat Islam. Menuntut ilmu agama bermula dari aqidah, fiqh, tafsir, akhlak, sehinggalah kepada pemahaman prinsip-prinsipnya yang tulen adalah merupakan suatu tuntutan yang amat besar lagi tinggi keutamaannya.


Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Mujadilah, 58: 11)

Umar radhiyallahu ‘anhu berkata:
“Ketahuilah bahawa Nabi kamu telah bersabda: “Sesungguhnya Allah akan mengangkat sesuatu kaum dan merendahkan suatu kaum yang lainnya dengan Kitab Suci ini.”(Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Dari sini menunjukkan bahawa menuntut ilmu (mempelajari agama) itu adalah suatu keperluan yang besar yang perlu digalas dan dikuasai oleh setiap muslim. Ini adalah sebagaimana Allah memerintahkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri supaya berdoa agar ditambahkan ilmu.


“Maka Maha Tinggi Allah Raja Yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca al-Qur’an sebelum disempurnakan penyampaiannya kepadamu, dan katakanlah: “Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan”.
(Surah Thoha, 20: 114)

Ayat ini adalah merupakan satu dalil yang sangat jelas yang menunjukkan berkenaan keutamaan ilmu. Kerana Allah sendiri telah memerintahkan kepada Nabi-Nya agar meminta ditambahkan ilmu.

Di antara sebab-sebab keutamaannya adalah kerana dengan ilmu, manusia mampu mengenal Allah. Dengan ilmu, manusia akan mengerti tujuan sebuah kehidupan. Dengan ilmu, manusia akan mengerti pentingnya konsep uluhiyah dan ubudiyah terhadap Tuhannya. Dengan ilmu, pendirian manusia boleh sama ada berubah atau semakin teguh. Dengan ilmu, manusia mampu memahami agama dari asasnya sehingga ke cabang-cabangnya. Dengan ilmu jugalah, umat Islam akan mampu beramal dengan sempurna. Dengan ilmu juga umat Islam akan memahami perintah dan pesanan Nabi serta para ulamanya.

Di atas kesan-kesan tersebut, manusia menjadi tunduk disebabkan dia mengenal betapa rendahnya diri di hadapan Tuhannya.

Oleh kerana itulah, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah yang paling takut (tunduk) kepada-Nya adalah para ulama (orang yang berilmu).”
(Surah Fathir, 35: 28)

Dengan sikap itu juga, umat Islam akan diangkat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke suatu darjat yang tinggi berbanding dengan kaum yang selainnya.
“...nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Mujadilah, 58: 11)

Orang-orang yang berilmu adalah mereka yang mampu menghadapi kepelbagaian bentuk ujian, rintangan, musibah, serangan, dan syubhat yang mendatang dengan sikap yang penuh tenang dan sabar. Dengan ilmu yang mereka kuasai, mereka mampu untuk membezakan kepelbagaian bentuk permasalahan yang muncul yang sekaligus mampu menentukan pendirian (sikap) dan jalan keluar yang tepat buat dirinya dan orang lain. Ini adalah sebagaimana yang Allah Subhanahu wa Ta’ala singkapkan berkenaan peristiwa yang terjadi ke atas Qarun:

“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya di atas kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang sangat ingin kepada kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia benar-benar memiliki keuntungan yang besar”. Berkatalah orang-orang yang dikurniakan dengan ilmu: “Kecelakaan besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperolehi pahala itu, melainkan oleh orang-orang yang sabar”.
(Surah al-Qasas, 28: 79-80)

Allah juga turut menjelaskan bahawa orang-orang yang berilmulah yang mampu memahami dan menganalisa hakikat kepelbagaian permasalahan yang terjadi.
“Dan itulah contoh-contoh yang kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.”
(Surah al-Ankabut, 29: 43)
Atas sebab itu jugalah dapat kita fahami bahawa dengannya (ilmu) umat Islam akan pergi berjihad sama ada di medan perperangan mahu pun di medan dakwah. Tanpa ilmu, umat Islam tidak akan mampu memberi sesuatu kepada yang lain, malah Islam itu sendiri tidak akan mampu ditegakkan jika tidak dibawa dengan ilmu. Inilah di antara apa yang ditunjukkan melalui Surah al-Furqon, di ayatnya yang ke-51 dan 52.

Ini jugalah sebagaimana apa yang dimaksudkan oleh para ulama, di antaranya imam Ibnul Qayyim rahimahullah yang telah menjelaskan bahawa menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu itu termasuk berjihad di jalan Allah. Ini adalah berdasarkan perkataan beliau yang terkandung di dalam kitabnya, Miftahu Daris Sa’adah:

Menuntut ilmu disebutkan juga sebagai jihad fi sabilillah kerana dengannya agama Islam ini akan ditegakkan, sebagaimana juga agama Islam yang ditegakkan melalui medan peperangan. Jadi, Islam itu ditegakkan dengan ilmu dan peperangan.

Dengan itulah, jihad ada dua jenis:

Pertama:
Jihad dengan tangan dan senjata. Jihad jenis ini semua orang mampu turut serta di dalamnya.

Kedua:
Jihad dengan hujjah dan bayan (ilmu). Jihad jenis ini merupakan jihad dari kalangan orang-orang yang khusus iaitu dari kalangan ulama. Ini merupakan jihad yang hanya dapat dilaksanakan oleh orang-orang yang menguasai ilmu. Dan jihad kedua ini lebih utama daripada jihad yang pertama. Ini adalah disebabkan oleh betapa besarnya manfaat, tinggi risikonya, dan sangat banyak musuh-musuh yang akan dihadapinya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman di dalam Surah al-Furqon di mana surah ini adalah surah Makkiyyah:
“Dan sekiranya Kami kehendaki, nescaya Kami utus kepada setiap negeri seorang pemberi peringatan (rasul), maka janganlah kamu taati orang-orang kafir dan berjihadlah melawan mereka dengan al-Qur’an dengan jihad yang besar.”
(Surah al-Furqon, 25: 51-52)

Malah jika kita teliti pengertian jihad itu sendiri, iaitu menurut apa yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah di dalam kitabnya yang masyhur, Fathul Bari dan Ibnu Manzur rahimahullah di dalam Lisanul Arab, ia sebenarnya mencakupi perbuatan menegakkan hujah (dengan perkataan atau lisan) terhadap orang-orang kafir dengan cara mendakwahi, menyerang, dan menahan (menangkis hujah) mereka dengan bersungguh-sungguh serta dengan sepenuh tenaga dan usaha. Dengan ini juga bermaksud, jihad itu tidaklah terhad hanya sekadar turun di medan perperangan, tetapi juga adalah dengan penegakkan hujah-hujah ilmiyah kepada kaum yang tidak mengerti dan ingkar.


Berdasarkan surah al-Furqon ayat 51-52 tadi juga sebenarnya ia turut menjelaskan sejak awal-awal lagi bahawa Allah memerintahkan supaya tidak mentaati orang-orang kafir dan supaya berjihad terhadap mereka. Maka, jelaslah di sini bahawa pada fasa tersebut, orang-orang kafir tidak diperangi melainkan dengan hujah dan menyampaikan isi kandungan al-Qur’an itu sendiri dan bukanlah dengan pedang mahu pun ketenteraan semata-mata.
Demikianlah juga dengan persoalan orang-orang munafik yang duduk hidup di bawah kekuasaan umat Islam yang mana Allah turut memerintahkan dengan kalimah jihad kepada umat Islam ke atas mereka.

“Wahai Nabi, berjihadlah melawan orang-orang kafir dan munafiq dan bersikap keraslah terhadap mereka.”
(Surah at-Taubah, 9: 73)

Ini adalah sepertimana yang diketahui bahawa orang-orang munafik itu tidak diperangi dengan pedang, dan mereka juga tidak memerangi umat Islam dengan ketenteraan. Tetapi, mereka (orang-orang munafik) diperangi di atas nama jihad dengan menegakkan hujah-hujah ilmiyah dari al-Qur’an dan perkataan Nabi-Nya.

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah turut menegaskan di dalam kitabnya yang lain, I’lam al-Muwaqqi’in bahawa ketaatan kepada umara’ (pemimpin) itu adalah mengikuti ketaatan kepada ulama. Maka, menuntut ilmu dan mempelajarinya adalah termasuk jihad di atas jalan Allah.

Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu juga pernah berkata bahawa,

“Sesiapa yang mengatakan bahawa pergi berulang-alik mencari ilmu itu bukan sebahagian dari jihad, maka sesungguhnya akal dan fikirannya telah lemah.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdil Barr)

Begitulah dia sebuah hakikat yang kian dipandang remeh, padahal ia adalah sebuah tuntutan besar bagi setiap manusia dari kalangan umat Islam. Menuntut ilmu dari ilmu-ilmu agama semenjak zaman-berzaman sehinggalah ke masa ini bukanlah sebuah usaha yang boleh ditinggalkan, bahkan ia adalah sebuah perjuangan yang dengannya umat Islam akan berjihad menegakkan Tauhid bermula dari dalam diri masing-masing sehinggalah ke setinggi-tinggi kemampuan ke atas segenap manusia umumnya.

Semoga kesarjanaan ilmu di dalam bidang agama ini mampu ditegakkan dan kembali dipandang tinggi oleh umat Islam seluruhnya. Hanya dengan ilmu umat Islam akan kembali dimuliakan, dan dengan ilmu itu jugalah umat Islam bakal kembali berjihad dengan sebesar-besar jihad.

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Sungguh aku mengetahui (menguasai) satu bab dari sesuatu ilmu itu sama ada berkenaan perintah atau pun larangan, ia adalah lebih aku sukai berbanding dengan 70 kali pertempuran di medan jihad.”



Wahai setiap diri yang Allah kasihi,
Semoga Allah sentiasa memberkati serta merahmati kita.
Sentiasa dianugerahkan taufiq, hidayah dan keimanan mendalam.
Dihiasi ketaqwaan mendalam dan mampu mentaati perintah Allah serentak dengan menjauhi laranganNya.

Dalam berbagai kesibukan dan kegawatan menuju hajat dan cita-cita,
Ambillah sedikit waktu untuk menilai hakikat kejadian insan.
renungi maksud firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 20-21;

"Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?"
Dengan itu Allah memerintahkan supaya kita berfikir berkaitan penciptaan diri kita. Untuk apa kita di ciptakan?

Fikirkanlah juga tentang tanda-tanda kekuasaanNya pada penciptaan makhluk yang lain juga.
Tentang penciptaan bumi dan segala isi yang terkandung di dalamnya.
Tentang lautan yang terkandung di dalamnya khazanah berharga buat manusia.
Tentang penciptaan langit yang menyimpan ribuan rahsia sistem cakerawala.


Sesungguhnya dengan memerhatikan setiap ciptaan Allah akan terbit rasa mengagungkan Allah yang tiada tolok bandingan. Ini akan melahirkan keinsafan di hati seterusnya dapat membentuk kita menjadi insan yang sentiasa menyerah dan taat kepada perintah Allah.

Renungi juga firman Allah berikut;
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata:"Ya Tuhan kami! Tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka." (QS Ali-Imran:191)


Oleh itu kita sentiasa perlu menilai kualiti diri, agar tidak menjadi sia-sia atau membazirkan hayat yang dianugerahkan kepada kita. Usah mengingati Allah hanya sewaktu genting dan terdesak saja...Sentiasalah memikirkan tanggungjawab sebagai hamba Allah;


* Adakah seluruh anggota badan telah digunakan untuk mentaati perintah Allah?
* Gunakan semua kurniaan Allah untuk melaksanakan ketaatan kepadaNya.
* Berazam membaiki diri dan tidak mengulangi kesilapan lampau.

Mari kita merenungi sebuah riwayat yang membentangkan keberuntungan umat Muhammad SAW.

Nabi Adam a.s telah berkata;

"Sesungguhnya Allah kurniakan umat Muhammad empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku:


1. Allah menerima taubatku di Mekah sahaja, tetapi umat Muhammad tetap diterima taubat mereka di mana saja berada.


2. Aku berpakaian,tetapi apabila aku engkar, dijadikanNya aku telanjang. Tetapi umat Muhammad melakukan maksiat dalam bertelanjang, tetapi Allah terus memberi mereka pakaian.


3. Apabila aku melakukan dosa, terpisah aku daripada isteriku.Tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah, tidak dipisahkan mereka daripada isteri mereka.


4. aku melakukan dosa di dalam syurga dan dikeluarkan aku darinya. Tetapi umat Muhammad melakukan maksiat di luar syurga, dimasukkanNya ke dalam syurga setelah bertaubat.

Betapa MahaPengasih dan Maha Penyayang Allah kepada semua hambaNya. DiciptakanNya kita dalam sebaik-baik bentuk dan keadaan. DitundukkanNya pula segala ciptaanNya seisi alam untuk maslahat kehidupan manusia seluruhnya.


Bagaimana pula tindakan kita mensyukuri segala nikmat Allah itu?

Sewajarnyalah kita menyusun langkah mendisiplinkan diri;


* Merasa diri sentiasa diawasi dan diteliti dalam setiap perkataan yang diucapkan maupun yang dibisikkan di dalam hati. Keraan sesungguhnya Allah mengambil kira setiap perbuatan hambaNya.


* Berwaspada dalam berbicara. Elakkan daripada menuturkan sesuatu yang di luar batasan syariat seperti mengumpat dan memfitnah. Gunakan lidah untuk memberi nasihat, berkata benar dan berzikir.


* Hindarkan hati dari bisikan jahat dan sebarang niat buruk terhadap orang lain.


* Banyakkan doa serta bersangka baik terhadap Allah.


* Ikhlas dalam setiap perbuatan dengan hanya mengharapkan keredhaan Allah.

Akhirnya renungilah sebuah syair Arab;
Belajarlah,
Sebab manusia itu tidak dilahirkan terus alim,
Dan tiadalah orang alim itu
dapat disamakan dengan orang jahil.
Sesungguhnya seorang ketua kaum,
yang tidak berilmu
Dipandang kecil apabila dikelilingi orang biasa,
yang berilmu.


Wallahu'alam.

Wassalam.


Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu?".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi Allah Sulaiman tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut.

Lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".


Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiridan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman Semut !!!


Iman manusia ?

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil.

Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.

Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur.

Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".

Jawab Imam Suffian:" Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah s.w.t. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan".

Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.

Itulah iman manusia (kita) !!!


Tanyalah diri kita. Tanya iman kita.Adakah sudah cukup kuat dengan amalan-amalan yang kita laksanakan selama ini? Sama-samalah kita muhasabah.





Daripada Abu Ayub bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari pada Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menjadi dalil puasa enam Syawal adalah sunat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Orang yang berpuasa Ramadan diikuti puasa sunat enam hari pada Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun.

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut.

Puasa Syawal berfungsi sebagai penyempurna daripada kekurangan.Seseorang yang hendak berpuasa sunat pada Syawal adalah lebih lebih baik berturutan seperti puasa Ramadan, tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.

Cara berpuasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara berselang hari asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan tidak pada pertama Syawal dan masih di dalam bulan Syawal.

Walaubagaimana pun puasa enam adalah lebih baik disegerakan pelaksanaannya berdasarkan kepada firman Allah s.w.t.:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Ali Imran 3:133]

Kelebihan puasa enam hari pada Syawal, Ia sebagai tanda diterima puasa Ramadan yang kita laksanakan. Ibadah ini juga sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang diberikan pada Ramadan seperti nikmat kesihatan tubuh badan, ganjaran berlipat kali ganda, Lailatulqadar, ganjaran bersahur, berbuka puasa dan sebagainya.

Oleh itu, antara tanda kesyukuran yang dapat dipamerkan daripada seorang hamba ke atas pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan kepadanya adalah dengan berpuasa enam. Sebaliknya, jika diganti dengan perbuatan maksiat, maka ia termasuk kelompok orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Apabila dia berniat untuk kembali melakukan maksiat lagi, maka puasa radhanya tidak akan terkabul.

Di antara kelebihan-kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal itu ialah :

1. Puasa enam umpama solat sunat sabelum dan selapas sesudah solat fardhu bagi menampung kekurangan puasa fardhu.
2. Puasa enam menjadi tanda diterima puasa Ramadhan yang kita kerjakan.
3. Sebagai tanda bersyukur kepada nikmat yang diberikan di bulan Ramadhan.
4. Mendapat kebaikan berlipat ganda serta diangkat darjatnya.

Oleh yang demikian marilah kita bersungguh-sungguh berpuasa enam dan merebut peluang yang ada demi mendapatkan kelebihan-kelebihan yang ditetapkan Allah padanya serta inginkan keredhaan-Nya.
insyaAllah...
DARIPADA Abi Umamah daripada Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu."
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Teruslah beribadat walaupun Ramadhan telah meninggalkan kita.


SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR & BATIN
DARIPADA SAHABAT MASJID (SAHAM)


KULLU 'AM WA ANTUM BIL KHAIR










AMALAN ZAHIR ADALAH KERANGKA SEDANGKAN ROHNYA ADALAH IKHLAS YANG TERDAPAT DENGAN TERSEMBUNYI DALAM AMALAN ITU.

Amal lahiriah digambarkan sebagai batang tubuh dan ikhlas pula digambarkan sebagai nyawa yang menghidupkan batang tubuh itu. Sekiranya kita kurang mendapat kesan yang baik daripada latihan kerohanian hendaklah kita merenung dengan mendalam tubuh amal apakah ia bernyawa atau tidak.

Ikhlas menjadi persediaan yang penting bagi hati menyambut kedatangan sinaran Nur Ilahi. Apabila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya maka dipancarkan Nur-Nya kepada hati hamba tersebut. Nur yang dipancar kepada hati ini dinamakan Nur Sir atau Nur Rahsia Allah s.w.t. Hati yang diterangi oleh nur akan merasai hal ketuhanan atau mendapat tanda-tanda tentang Tuhan. Setelah mendapat pertandaan dari Tuhan maka hati pun mengenal Tuhan. Hati yang memiliki ciri atau sifat begini dikatakan hati yang mempunyai ikhlas tingkat tertinggi. Tuhan berfirman bagi menggambarkan ikhlas dan hubungannya dengan makrifat:

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami), untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.
( Ayat 24 : Surah Yusuf )

Nabi Yusuf a.s adalah hamba Allah s.w.t yang ikhlas. Hamba yang ikhlas berada dalam pemeliharaan Allah s.w.t. Apabila dia dirangsang untuk melakukan kejahatan dan kekotoran, Nur Rahsia Allah s.w.t akan memancar di dalam hatinya sehingga dia menyaksikan dengan jelas akan tanda-tanda Allah s.w.t dan sekaligus meleburkan rangsangan jahat tadi. Inilah tingkat ikhlas yang tertinggi yang dimiliki oleh orang arif dan hampir dengan Allah s.w.t. Mata hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, tidak pada dirinya dan perbuatannya. Orang yang berada di dalam makam ikhlas yang tertinggi ini sentiasa dalam keredaan Allah s.w.t baik semasa beramal ataupun semasa diam. Allah s.w.t sendiri yang memeliharanya. Allah s.w.t mengajarkan agar hamba-Nya berhubung dengan-Nya dalam keadaan ikhlas.


Dia Yang Tetap Hidup; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. ( Ayat 65 : Surah al-Mu’min )

Allah s.w.t jua Yang Hidup. Dia yang memiliki segala kehidupan. Dia jualah Tuhan sekalian alam. Apa sahaja yang ada dalam alam ini adalah ciptaan-Nya. Apa sahaja yang hidup adalah diperhidupkan oleh-Nya. Jalan dari Allah s.w.t adalah nikmat dan kurniaan sementara jalan dari hamba kepada-Nya pula adalah ikhlas. Hamba dituntut supaya mengikhlaskan segala aspek kehidupan untuk-Nya. Dalam melaksanakan tuntutan mengikhlaskan kehidupan untuk Allah s.w.t ini hamba tidak boleh berasa takut dan gentar kepada sesama makhluk.

Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan yang demikian). ( Ayat 14 : Surah al-Mu’min )

Allah s.w.t telah menetapkan kod etika kehidupan yang perlu dijunjung, dihayati, diamalkan, disebarkan dan diperjuangkan oleh kaum muslimin dengan sepenuh jiwa raga dalam keadaan ikhlas kerana Allah s.w.t, meskipun ada orang-orang yang tidak suka, orang-orang yang menghina, orang-orang yang membangkang dan mengadakan perlawanan. Keikhlasan yang diperjuangkan dalam kehidupan dunia ini akan dibawa bersama apabila menemui Tuhan kelak.

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya)”. ( Ayat 29 : Surah al-A’raaf )

Sekali pun sukar mencapai peringkat ikhlas yang tertinggi namun, haruslah diusahakan agar diperolehi keadaan hati yang ikhlas dalam segala perbuatan sama ada yang lahir mahu pun yang batin. Orang yang telah tumbuh di dalam hatinya rasa kasihkan Allah s.w.t akan berusaha membentuk hati yang ikhlas. Mata hatinya melihat bahawa Allah jualah Tuhan Yang Maha Agung dan dirinya hanyalah hamba yang hina. Hamba berkewajipan tunduk, patuh dan taat kepada Tuhannya. Orang yang di dalam makam ini beramal kerana Allah s.w.t: kerana Allah s.w.t yang memerintahkan supaya beramal, kerana Allah s.w.t berhak ditaati, kerana perintah Allah s.w.t wajib dilaksana, semuanya kerana Allah s.w.t tidak kerana sesuatu yang lain. Golongan ini sudah dapat menawan hawa nafsu yang rendah dan pesona dunia tetapi dia masih melihat dirinya di samping Allah s.w.t. Dia masih melihat dirinya yang melakukan amal. Dia gembira kerana menjadi hamba Allah s.w.t yang beramal kerana Allah s.w.t. Sifat kemanusiaan biasa masih mempengaruhi hatinya.

Setelah kerohaniannya meningkat hatinya dikuasai sepenuhnya oleh lakuan Allah s.w.t, menjadi orang arif yang tidak lagi melihat kepada dirinya dan amalnya tetapi melihat Allah s.w.t, Sifat-sifat-Nya dan perbuatan-Nya. Apa sahaja yang ada dengannya adalah anugerah Allah s.w.t. Sabar, reda, tawakal dan ikhlas yang ada dengannya semuanya merupakan anugerah Allah s.w.t, bukan amal yang lahir dari kekuatan dirinya.

Tingkat ikhlas yang paling rendah ialah apabila amal perbuatan bersih daripada riak yang jelas dan samar tetapi masih terikat dengan keinginan kepada pahala yang dijanjikan Allah s.w.t. Ikhlas seperti ini dimiliki oleh orang yang masih kuat bersandar kepada amal, iaitu hamba yang mentaati Tuannya kerana mengharapkan upah daripada Tuannya itu.

Di bawah daripada tingkatan ini tidak dinamakan ikhlas lagi. Tanpa ikhlas seseorang beramal kerana sesuatu muslihat keduniaan, mahu dipuji, mahu menutup kejahatannya agar orang percaya kepadanya dan bermacam-macam lagi muslihat yang rendah. Orang dari golongan ini walaupun banyak melakukan amalan namun, amalan mereka adalah umpama tubuh yang tidak bernyawa, tidak dapat menolong tuannya dan di hadapan Tuhan nanti akan menjadi debu yang tidak mensyafaatkan orang yang melakukannya. Setiap orang yang beriman kepada Allah s.w.t mestilah mengusahakan ikhlas pada amalannya kerana tanpa ikhlas syiriklah yang menyertai amalan tersebut, sebanyak ketiadaan ikhlas itu.


(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan-Nya. (Ayat 31 : Surah al-Hajj )

“Serta (diwajibkan kepadaku): ‘Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang musyrik’”. Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan tidak juga dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). ( Ayat 105 & 106 : Surah Yunus )

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. (Ayat 37 : Surah al-Hajj )

Allah s.w.t menyeru sekaligus supaya berbuat ikhlas dan tidak berbuat syirik. Ikhlas adalah lawan kepada syirik. Jika sesuatu amal itu dilakukan dengan anggapan bahawa ada makhluk yang berkuasa mendatangkan manfaat atau mudarat, maka tidak ada ikhlas pada amal tersebut. Bila tidak ada ikhlas akan adalah syirik iaitu sesuatu atau seseorang yang kepadanya amal itu ditujukan. Orang yang beramal tanpa ikhlas itu dipanggil orang yang zalim, walaupun pada zahirnya dia tidak menzalimi sesiapa.

Intisari kepada ikhlas adalah melakukan sesuatu kerana Allah s.w.t semata-mata, tidak ada kepentingan lain. Kepentingan diri sendiri merupakan musuh ikhlas yang paling utama. Kepentingan diri lahir daripada nafsu. Nafsu inginkan kemewahan, keseronokan, kedudukan, kemuliaan, puji-pujian dan sebagainya. Apa yang lahir daripada nafsu itulah yang sering menghalang atau merosakkan ikhlas.

MENGHIDUPKAN 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN

1) Mencari malam al-Qadar (kemuliaan)

Maksud Firman Allah : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Tahukah kamu, apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Malam itu malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehinggalah terbit fajar” (al-Qadr : 1-5)

Daripada Aisyah RA : “Apabila masuk malam 10 terakhir Ramadhan, baginda SAW menghidupkan malam dengan beribadah, mengejutkan ahli keluarganya bersungguh-sungguh dan uzlah (menjauhi) isteri-isterinya”. (HR Bukhari & Muslim)

Sabda Nabi SAW : “Carilah malam al-Qadar pada malam sepuluh terakhir Ramadhan”. (HR Bukhari & Muslim)

Sabda Nabi SAW : “Carilah malam al-Qadar pada malam-malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan” (HR Bukhari)

Aisyah bertanya Nabi SAW : “Wahai Rasulullah, jika aku mengetahui tibanya malam al-Qadar, apakah yang kubaca ketika itu?” Nabi menjawab : Berdoalah :أللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memberi maaf, maka maafkanlah aku” (HR at-Tirmizi, an-Nasa’ie, Ibnu Majah dll)

2) I’tikaf

I’tikaf ertinya mendampingi masjid untuk mentaati Allah SWT. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan i’tikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan sehingga wafat.

Berdasarkan praktik Rasulullah SAW itu, menunjukkan kelebihan dan keutamaannya mengatasi malam-malam yang lain.

Bahkan baginda turut membangunkan ahli keluarganya agar turut beri’tikaf bersama-sama.

Syarat sah i’tikaf :

- Islam, berakal, tidak junub, bersih daripada haid dan nifas;
- Niat – i’tikaf adalah ibadah yang tidak sah melainkan dengan niat;
- Dilakukan di dalam masjid.

Perkara yang membatalkan iktikaf

- Keluar masjid tanpa hajat dengan sengaja;
- Murtad;
- Hilang akal kerana gila atau mabuk;
- Datang haid atau nifas;
- Jimak;

Perkara yang sunnat dilakukan ketika i’tikaf

- Memperbanyakkan ibadah sunnat seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, takbir, istighfar, solawat dan doa.
- Begitu juga menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji kitab hadith, tafsir, sirah Nabi dan sebagainya.

3) Solat-Solat Sunnat

a) Solat Tahajjud
Maksud Firman Allah : Dan pada sebahagian malam, bersolat tahajjudlah kamu, sebagai satu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji”. (al-Isra : 79)

Solat tahajjud ialah solat malam sekurang-kurang 2 rakaat yang didirikan selepas bangun tidur, walaupun tidurnya sebentar.

Masanya selepas solat Isyak sehinggalah masuk waktu subuh. Tetapi waktu paling utama ialah pada akhir malam atau waktu sahur.

b) Solat Tasbih
Ia berdasarkan hadith panjang yang diriwayatkan Ibnu Abbas, berkenaan tawaran Nabi kepada pakciknya Abbas bin Abdul Muttalib, iaitu solat yang memberi keampunan 10 jenis dosa :
- Dosa terdahulu dan terkemudian;
- Dosa lama dan baru;
- Dosa sengaja atau tidak;
- Dosa besar atau kecil;
- Dosa tersembunyi atau kelihatan.

Caranya sama seperti solat biasa. Solat tasbih didirikan pada waktu siang dengan 4 rakaat 1 salam, manakala waktu malam didirikan dengan 4 rakaat 2 salam.

Hanya diselangi dengan tasbih seperti pembahagian berikut :
- Selepas Fatihah dan surah – 15 kali tasbih;
- Ketika rukuk – 10 kali tasbih;
- Setelah bangkit dari rukuk – 10 kali tasbih;
- Dalam sujud pertama – 10 kali tasbih;
- Semasa duduk antara 2 sujud – 10 kali tasbih;
- Dalam sujud kedua – 10 kali tasbih;
- Dalam duduk rehat bangun sujud sebelum berdiri rakaat kedua – 10 kali tasbih

Jumlahnya 75 kali tasbih satu rakaat bersamaan 300 tasbih dalam 4 rakaat. Bacaan tasbihnya ialah :
سبحان الله والحمد لله ولآإله إلا الله والله أكبر

c) Solat Taubat
Apabila seseorang hendak bertaubat, disunnatkan supaya mendirikan solat 2 rakaat ini.

Sabda Nabi SAW : Seorang lelaki yang melakukan satu dosa kemudian ia bangun berwudhu, bersolat 2 rakaat, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, maka Allah akan mengampunkan dosanya”. Lalu baginda membaca ayat dari Surah Ali Imran ayat 135-136.

Kaifiatnya sama seperti solat biasa.

f) Solat Hajat
Solat hajat boleh didirikan pada waktu siang atau malam.

Apabila kita berhajat terhadap sesuatu urusan, bermohonlah kepada Allah SWT, dan yang paling baik melalui solat hajat sekurang-kurangnya dua rakaat.

Tiada had jumlah rakaat untuk melakukannya. Begitu juga tiada kaifiat khusus ditetapkan.

g) Solat Witir
Witir ertinya ganjil. Ia dilakukan sebagai penutup bagi solat malam. Boleh dikerjakan 1, 3, 5, 7, 9, atau 11 rakaat.

Waktunya selepas solat isyak dan berakhir dengan waktu subuh. Witir dalam bulan Ramadhan disunnatkan dengan berjamaah.

Sekiranya solat witir sudah dilakukan pada awal malam, dan kemudian bangun lagi pada akhir malam untuk mendirikan solat sunnat lain, maka tidak perlu lagi mendirikan witir dihujungnya kerana Nabi memerintahkan witir hanya dilakukan sekali sahaja pada setiap malam.

Sabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dengan satu solat yang lebih baik bagi kamu berbanding harta yang banyak, iaitu solat witir. Dirikanla di antara solat isyak sehingga terbit fajar” (HR Abu Daud, Ibnu Majah & at-Tirmizi)

4) Membaca al-Quran

- Membaca al-Quran di dalam solat adalah waktu yang utama;
- Jika membaca di luar solat, waktu paling utama ialah pada waktu malam. Waktu selepas tengah malam menjadi lebih utama berbanding awal malam;
- Jika membaca pada waktu siang, waktu paling utama ialah selepas solat subuh;
- Hari-hari terbaik membaca al-Quran ialah pada hari Jumaat, Isnin dan Khamis, hari arafah, 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan 10 hari terakhir bulan Ramadhan;
- Bulan terbaik membacanya ialah bulan Ramadhan.

Adab Membaca al-Quran
- Ikhlas kerana Allah, bukan kerana yang lain;
- Membersihkan mulut sebelum membaca;
- Khusyuk, tadabbur, dan rendah diri;
- Sunnat pada ayat yang seharusnya menangis;
- Melihat mashaf lebih utama daripada hafalan jika itu lebih mendatangkan khusyuk;
- Menyaringkan suara lebih utama jika tidak menimbulkan riak atau mengganggu orang;
- Memperindahkan suara bacaan;
- Membaca dengan menjaga hukum tajwid;
- Menjaga batas-batas waqaf dan ibtida’;

Kelebihan Membaca al-Quran

Hadith berkenaannya sangat banyak. Antaranya sabda Nabi SAW :Sesiapa yang membaca al-Quran 50 ayat sehari semalam, ia tidak termasuk orang yang lalai. Sesiapa membaca 100 ayat, ia termasuk orang yang patuh kepada Allah. Sesiapa membaca 200 ayat, ia tidak diminta keterangan oleh al-Quran pada hari qiamat. Sesiapa membaca 500 ayat, dicatat baginya pahala yang banyak”. (HR Ibnu Sunni)

5) Solawat keatas Nabi SAW

Maksud Firman Allah : Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersolawat untuk Nabi, Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah solawat dan salam yang sempurna kepadanya.” (al-Ahzab : 56)

Sabda Nabi SAW : “Manusia paling utama bersamaku pada hari kamat ialah orang yang paling banyak bersolawat kepadaku”. (HR at-Tirmizi)

“Seseorang amat hina, jika namaku disebut di sisinya, ia tidak bersolawat kepadaku” (HR at-Tirmizi)

Sekurang-kurang solawat ialah :أللهم صل على محمد

6) Doa dan Zikir

Maksud sabda Nabi SAW : Waktu paling hampir bagi Tuhan kepada seorang hamba ialah pada bahagian malam yang akhir. Jika kamu sanggup berada di antara orang yang berzikir kepada Allah pada saat itu, maka buatlah”. (HR Abu Daud & at-Tirmizi)

Sesungguhnya pada malam itu ada satu saat, tidaklah ditemui oleh seorang muslim yang berdoa kepada Allah memohon kebaikan dunia dan akhirat, melainkan permohonannya diterima. Hal ini berlaku setiap malam” (HR Muslim)

Nabi ditanya : Doa manakah yang paling diperhatikan Allah? Baginda menjawab : “Doa pada tengah malam dan selepas solat fardhu”.

Dua kalimah, ringan di lidah, berat di timbangan dan disukai Tuhan iaitu : Subhanallah wabihamdihi, subhallahil ‘azim”

“…bacaan alhamdulillah memenuhi timbangan amal, subhanallah dan alhamdulilah kebaikannya sepenuh langit dan bumi..” (HR Muslim)

Related Posts with Thumbnails