Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

sibukkan DISPLIN diri



Wahai setiap diri yang Allah kasihi,
Semoga Allah sentiasa memberkati serta merahmati kita.
Sentiasa dianugerahkan taufiq, hidayah dan keimanan mendalam.
Dihiasi ketaqwaan mendalam dan mampu mentaati perintah Allah serentak dengan menjauhi laranganNya.

Dalam berbagai kesibukan dan kegawatan menuju hajat dan cita-cita,
Ambillah sedikit waktu untuk menilai hakikat kejadian insan.
renungi maksud firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 20-21;

"Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?"
Dengan itu Allah memerintahkan supaya kita berfikir berkaitan penciptaan diri kita. Untuk apa kita di ciptakan?

Fikirkanlah juga tentang tanda-tanda kekuasaanNya pada penciptaan makhluk yang lain juga.
Tentang penciptaan bumi dan segala isi yang terkandung di dalamnya.
Tentang lautan yang terkandung di dalamnya khazanah berharga buat manusia.
Tentang penciptaan langit yang menyimpan ribuan rahsia sistem cakerawala.


Sesungguhnya dengan memerhatikan setiap ciptaan Allah akan terbit rasa mengagungkan Allah yang tiada tolok bandingan. Ini akan melahirkan keinsafan di hati seterusnya dapat membentuk kita menjadi insan yang sentiasa menyerah dan taat kepada perintah Allah.

Renungi juga firman Allah berikut;
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata:"Ya Tuhan kami! Tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka." (QS Ali-Imran:191)


Oleh itu kita sentiasa perlu menilai kualiti diri, agar tidak menjadi sia-sia atau membazirkan hayat yang dianugerahkan kepada kita. Usah mengingati Allah hanya sewaktu genting dan terdesak saja...Sentiasalah memikirkan tanggungjawab sebagai hamba Allah;


* Adakah seluruh anggota badan telah digunakan untuk mentaati perintah Allah?
* Gunakan semua kurniaan Allah untuk melaksanakan ketaatan kepadaNya.
* Berazam membaiki diri dan tidak mengulangi kesilapan lampau.

Mari kita merenungi sebuah riwayat yang membentangkan keberuntungan umat Muhammad SAW.

Nabi Adam a.s telah berkata;

"Sesungguhnya Allah kurniakan umat Muhammad empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku:


1. Allah menerima taubatku di Mekah sahaja, tetapi umat Muhammad tetap diterima taubat mereka di mana saja berada.


2. Aku berpakaian,tetapi apabila aku engkar, dijadikanNya aku telanjang. Tetapi umat Muhammad melakukan maksiat dalam bertelanjang, tetapi Allah terus memberi mereka pakaian.


3. Apabila aku melakukan dosa, terpisah aku daripada isteriku.Tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah, tidak dipisahkan mereka daripada isteri mereka.


4. aku melakukan dosa di dalam syurga dan dikeluarkan aku darinya. Tetapi umat Muhammad melakukan maksiat di luar syurga, dimasukkanNya ke dalam syurga setelah bertaubat.

Betapa MahaPengasih dan Maha Penyayang Allah kepada semua hambaNya. DiciptakanNya kita dalam sebaik-baik bentuk dan keadaan. DitundukkanNya pula segala ciptaanNya seisi alam untuk maslahat kehidupan manusia seluruhnya.


Bagaimana pula tindakan kita mensyukuri segala nikmat Allah itu?

Sewajarnyalah kita menyusun langkah mendisiplinkan diri;


* Merasa diri sentiasa diawasi dan diteliti dalam setiap perkataan yang diucapkan maupun yang dibisikkan di dalam hati. Keraan sesungguhnya Allah mengambil kira setiap perbuatan hambaNya.


* Berwaspada dalam berbicara. Elakkan daripada menuturkan sesuatu yang di luar batasan syariat seperti mengumpat dan memfitnah. Gunakan lidah untuk memberi nasihat, berkata benar dan berzikir.


* Hindarkan hati dari bisikan jahat dan sebarang niat buruk terhadap orang lain.


* Banyakkan doa serta bersangka baik terhadap Allah.


* Ikhlas dalam setiap perbuatan dengan hanya mengharapkan keredhaan Allah.

Akhirnya renungilah sebuah syair Arab;
Belajarlah,
Sebab manusia itu tidak dilahirkan terus alim,
Dan tiadalah orang alim itu
dapat disamakan dengan orang jahil.
Sesungguhnya seorang ketua kaum,
yang tidak berilmu
Dipandang kecil apabila dikelilingi orang biasa,
yang berilmu.


Wallahu'alam.

Wassalam.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails