Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Nuzul Al-Quran 1432 Hijrah : Membina Generasi Al-Quran Yang Unik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Alhamdulillah, kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Azza Wajalla, dengan Taufiq dan InayahNya sahajalah, kita dapat sekali lagi bertemu pada kali ini dalam bulan mulia, Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1432 Hijrah. Hari ini sudah pun masuk hari ke-17, iaitu fasa kedua yang dijanjikan sebagai fasa pengampunan buat umat manusia.

Pada kesempatan ini, izinkan saya bagi pihak Saff Kepimpinan Sahabat Masjid (SAHAM) bagi sesi kali ini, dengan rasa penuh kesyukuran dan berbesar hati, mengucapkan selamat menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran amnya buat para muslimin dan muslimat dan khususnya buat masyarakat kampus Universiti Malaysia Pahang pada tahun ini yang disambut pada 17 Ogos 2011 bersamaan 17 Ramadhan 1432 H, hari Rabu.

Allah SWT berfirman,

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Alquran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur (Al-Baqarah [2]: 185).

InsyaAllah, saya bawakan satu analogi untuk kita fikirkan bersama. Andaikan anda dihadiahkan dengan satu telefon bimbit yang baru, apa perkara pertama yang anda akan lakukan? Anda ingin menggunakan telefon tersebut, tapi bagaimana anda ingin tahu cara yang betul untuk menggunakannya? Sudah pasti anda akan merujuk kepada buku panduan yang dibekalkan bersama. Begitu juga penciptaan manusia. Sudah pasti penciptaan manusia ini tidak hanya dibiarkan tanpa sebarang produk dan panduan untuk menggunakannya. Maka produk yang dibekalkan adalah Islam, dan diselitkan bersama buku panduannya, iaitu Al-Quran. 


Sesuai dengan buku panduan yang dibekalkan, bukan soal bila sebenarnya tarikh spesifik turunnya Al-Quran yang kita perdebatkan, soalnya dalam menjadikan kita betul-betul muslim sejati, perlulah untuk kita menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan teman hidup di dunia ini. Sesuai dengan tajuk yang ingin saya bawakan, hari ini perlulah kita mengembalikan generasi Al-Quran yang unik yang disebut oleh Syed Qutb  dalam kitabnya  maa'lim fit-tariq, bab 2, Generasi Al-Quran Yang Unik. 

Syed Qutb mempersoalkan kenapa generasi terbaik Islam tidak muncul pada hari ini?, sedangkan Al-Quran masih berada di tangan umat Islam dan ianya tetap terpelihara seperti zaman sebelumnya?.

Beliau memberikan jawapan bahawa generasi Al-Quran hanya akan dapat dilahirkan kembali apabila umat Islam memiliki dan melaksanakan tiga langkah seperti yang dilakukan oleh Nabi dan di kalangan generasi sahabat terdahulu. Langkah-langkah tersebut ialah:
  1. Umat Islam perlu mencintai Al-Quran dan menjadikannya sebagai satu-satunya sumber rujukan dalam kehidupan. Ini bermakna, Al-Quran harus ditanam dalam hati dan fikiran, serta menjadi roh dalam setiap nafas kehidupan.
  2. Umat Islam hendaklah memiliki ketaatan yang tidak berbelah bagi terhadap perintah-perintah Allah dalam Al-Quran. Al-Quran mestilah dipelajari tidak hanya untuk menjadi bahan kajian dan diperdengarkan bacaan semata-mata, tetapi benar-benar untuk dilaksanakan. Syed Qutb menjelaskan, Al-Quran perlu disatukan dalam jiwa raga umat Islam dan digunakan dalam kehidupan mereka. Al-Quran tidak sepatutnya hanya tersimpan dalam karya-karya ilmiah semata-mata, tetapi ia mesti difahami dan diamalkan.
  3. Syed Qutb turut menegaskan bahawa umat Islam hendaklah meninggalkan jahiliah moden termasuk cara hidup serta pemikirannya.
Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita mencorak dan membina generasi hari ini supaya menjadi generasi Rabbani yang dapat melaksanakan seluruh tuntutan Al-Quran dalam kehidupan. Azamkan dalam diri mulai hari ini, Al-Quran-lah teman di sepanjang perjalanan kehidupan kita sehingga akhirnya kita dijemput Ilahi. Teruskan menambah amal ibadah kita dalam bulan Ramadhan, kerana fasa 3 bakal muncul yang mana kita tahu 10 malam terakhir ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan, ayuh kita cari dan dapatkannya bersama. Wallahua'lam, wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Sumber: Khutbah Jumaat (JAIS) bacaan 12 Ogos 2011

Abdul Basith Abdul Halim
Presiden,
Sahabat Masjid (SAHAM) UMP 2011/2012
“Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah”
17 Ramadhan 1432 H | 17 Ogos 2011 | 7.00 am

0 comments:

Related Posts with Thumbnails