Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Hati Di Sebalik Wajah




Wajah merupakan satu pemberian dari Allah S.W.T. Wajah ini dapat membezakan seseorang insan dengan insan yang lain dalam kehidupan seharian. Manakala hati adalah satu bentuk yang tidak dapat dilihat walaupun dibayar dengan darah kerana hati wujud dalam bentuk "segumpal daging".

Wajah yang cantik atau tampan tidak semestinya hati seseorang itu suci dari melakukan dosa. Wajah yang cantik atau tampan, merupakan salah satu ujian yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang telah dikurniakan pemberian itu, dalam mengatasi perkara-perkara yang dilarang. Manakala, wajah yang kurang cantik atau kurang tampan, tidak semestinya hatinya kotor. Wajah dalam keadaan ini mudah bagi seseorang insan itu dalam mengelakkan masalah perkara-perkara yang terlarang. Ujian Allah tetap ada bagi mereka yang tergolong dalam golongan ini.


Beruntunglah kepada manusia itu, sekiranya wajah yang telah diberikan oleh Allah dalam keadaan cantik atau tampan dijaga dan dipelihara seperti memelihara nyawa sendiri serta hatinya sentiasa bersih dan dibersihkan apabila melakukan dosa. Setiap perkara di dunia ini, ada hikmahnya dan pahalanya.

Orang yang sentiasa dalam mengerjakan ibadat kepada Allah, wajahnya akan sentiasa berseri bagaikan cahaya yang menerangi kegelapan. Ini kerana, hatinya sentiasa ingat kepada Allah dan dipelihara bersungguh-sungguh.

Manakala, wajah orang melakukan perkara yang dilarang tidak berseri bagaikan satu permukaan dinding yang kotor (tidak dibersihkan atau dicuci). Ini kerana, hatinya telah terlekat satu tompok "daging hitam" yang menunjukkan seseorang itu dalam keadaan yang tidak menjaga amal ibadatnya dan melakukan perkara yang dilarang. "Daging hitam" ini, lama kelamaan akan bertukar dari setompok menjadi segumpal dan seterusnya. Ini yang akan membawa manusia yang tergolong dalam golongan ini mudah terjerumus ke dalam api neraka yang tidak terkata kepanasan dan seksaannya.

Oleh yang demikian, marilah muslimin dan muslimat, kita bersihkan hati kita dengan meperbanyakkan amal ibadat dan perkara kebajikan serta menjauhi sebarang perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. Semoga Allah memberikan kita wajah-wajah yang berseri bagaikan cahaya putih menerangi setiap pelusuk kegelapan di dunia dan akhirat kelak. Insya'Allah...

0 comments:

Istiqamah

1.Cita-cita yang murni iaitu mahu menjadi anak yang soleh (orang yang berjaya).

2.Cabaran yang di hadapi iaitu pengaruh hawa nafsu masa muda dan pengaruh rakan-rakan.

3.Prinsip yang menjadi pegangan iaitu kebenaran (ajaran Islam berteraskan ilmu, ibadah, solat, iman dan akhlak mulia).

4.Berjihad melawan pengaruh hawa nafsu dan pengaruh rakan-rakan.

5.Pendirian yang teguh dan tidak terpengaruh dengan pengaruh keseronokan masa muda dan rakan-rakan (Istiqamah).

Ertinya : Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadanyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)."
Surah As-Syura Ayat 15

PENGERTIAN ISTIQAMAH

Istiqamah bererti berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau dalam apa-apa keadaan sekalipun.



Daripada pengertian ini dapat dirumuskan unsur-unsur utama istiqamah:

Berpegang pada akidah yang benar, aqidah ahli As-sunnah Waljamaah.
Melaksanakan tuntutan Syariat Islam berpandukan Al-Quran dan hadis Rasullallah Sallallahu Alaihi Wassalam.
Mempunyai prinsip dan keyakinan yang tidak akan berubah atau goyah.
Tidak terpengaruh dengan dakyah dan godaan hawa nafsu dan syaitan.
Tidak tunduk pada tekanan demi melaksanakan tanggungjawab dan mempertahankan kebenaran.
Istiqamah menjadi tuntutan agama.

Sifat yang mulia ini menjadi tuntutan Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah Taala dan Rasulnya .
Ertinya: Katakanlah ( Wahai Muhammad ): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada Aku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; maka hendaklah kamu teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredhaanya)......
Surah Fusilat Ayat ' 6

Ertinya: Katakanlah: Saya beriman dengan Allah kemudian teguhkan pendirian kamu.
Rawahul Muslim

Ruang lengkap Istiqamah

Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. Jelasnya, segala amalan yang dapat dirumuskan dalam pengertian ibadah samada fardu ain atau fardu kifayah memerlukan istiqamah:

Contoh Istiqamah
Istiqamah dalam Iman dan melaksanakan tuntutan Iman.
Istiqamah dalam solat dan Ibadah-ibadah khusus yang lain.
Istiqamah dalam menegakkan kebenaran dan keadilan serta menentang kebatilan dan kezaliman.
Istiqamah dalam ibadah umum seperti belajar, berniaga dan membuat kerja-kerja yang diizinkan oleh syaraq.

Dengan matlamat untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat serta di redhai Allah Taala.

Tahap-tahap Istiqamah
Ada tiga tahap Istiqamah yang perlu berlaku serentak iaitu:

Istiqamah hati: sentiasa teguh dalam mempertahankan kesucian iman dengan cara menjaga kesucian hati daripada sifat syirik, menjauhi sifat-sifat cela seperti riak dan menyuburkan hati dengan sifat terpuji terutamanya ikhlas. Dengan kata-kata lain Istiqamah hati bermaksud mempunyai keyakinan yang kukuh terhadap kebenaran. Firman Allah Taala.

Ertinya: Dan orang-orang yang kafir berkata : "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali ( dengan sekali gus ) ? diturunkan Al-Quran dengan cara yang demikian kerana hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.
Surah Al-Furqan ' : ayat 32


Istiqamah lisan: memelihara lisan atau tutur kata daripada kata-kata supaya sentiasa berkata benar dan jujur, setepat kata hati yang berpegang pada prinsip kebenaran dan jujur, tidak berpura-pura, tidak bermuka-muka dan tidak berdolak dalik.
Istiqamah lisan terdapat pada orang yang beriman, berani menyatakan dan mempertahankan kebenaran dan hanya takut kepada Allah Taala. Firman Allah Taala:

Ertinya: ....Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.....
(Surah Ibrahim ' Ayat 27)

Istiqamah perbuatan: Tekun berkerja atau melakukan amalan atau
melakukan apa saja usaha untuk mencapai kejayaan yang di redhai

Allah. Dengan kata-kata lain istikamah perbuatan merupakan sikap dedikasi dalam melakukan sesuatu pekerjaan, perusahaan atau perjuangan menegakkan kebenaran, tanpa rasa kecewa, lemah semangat atau putus asa. Sikap ini menjadi begitu rupa kerana dorongan hati yang istiqamah.

Hikmat Istiqamah
Istiqamah merupakan sikap jati diri yang teguh dan tidak luntur oleh apa jua pengaruh dan cabaran. Sikap ini membolehkan seseorang itu terus berusaha untuk mencapai matlamat daripada usaha dan pengorbanannya. Akhirnya sikap inilah yang menjadi faktor utama kejayaan.

Dengan kata lain istiqamah menjadi faktor pencapaian matlamat dalam apa jua bidang sama ada bidang agama, siasah, ekonomi, pendidikan, penyelidikan, perusahaan dan perniagaan. Peribahasa melayu ada menyebutkan, "berpantang maut sebelum ajal."

Kejayaan melaksanakan tuntutan iman dan matlamat amal Soleh dapat dicapai

dengan sikap istiqamah seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran.

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinan dengan berkata : "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah Malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah di janjikan kepada kamu."
"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang kamu ingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari ituapa yang kamu cita-citakan mendapatnya." "(pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani !"
(Surah Fusilat-Ayat 30-32)

Membentuk Sikap Istiqamah
Sikap Istiqamah dapat di bentuk dengan menanamkan unsur-unsur yang berikut ke dalam diri:

1.Matlamat yang unggul iaitu berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

2.Semangat dan daya juang yang tinggi serta tidak mudah mengalah atau berputus asa.

3.Prinsip yang benar berasaskan Al-Quran dan hadis Rasullallahi Sallallahu Alaihi Wassalam.

4.Ilmu dan maklumat yang cukup.

5.Strategi yang kemas dalam perjuangan.

6.Usaha yang berterusan.

7.Yakin kepada takdir dan janji Allah Taala.

8.Berdoa dan bertawakal.

9.Bersyukur dan redha.

Sikap ini dapat diteladani daripada Rasullallah Sallallahu Alaihi Wassalam, para sahabat, para mujahid, syuhada" dan salihin seperti yang tertera di dalam gambaran sejarah.

Manusia dalam perjuangan hidup
Perjuangan dalam hidup manusia amat luas daerahnya. Ada perjuangan yang kecil dan ada perjuangan yang besar. Contoh perjuangan yang kecil ialah apa jua usaha yang dilakukan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan di dunia. Sedangkan perjuangan yang besar ialah segala usaha untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan di dunia. Sedangkan perjuangan yang besar ialah segala usaha untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Asas bagi menentukan kecil atau besar tahap perjuangan itu ialah:

1.Matlamat perjuangan.

2.Halangan atau cabaran terhadap perjuangan.

3.Risiko atau pengorbanan yang diperlukan.

Namun begitu ada orang yang keliru. Mereka meletakkan perjuangan untuk mencapai kejayaan di dunia sebagai perjuangan yang utama dan mengabaikan perjuangan untuk mencapai kejayaan di akhirat. Sebenarnya orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan di dunia sahaja adalah orang yang akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat, sedangkan orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan di akhirat sebenarnya akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah Taala:
Ertinya: Ketahuilah bahawa apa (yang dikatakan) kehidupan di dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah diantara kamu ( dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan ) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan) tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanaman suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan di dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(Surah Al-Hadid" Ayat 20-21)

Berlumba-lumba kamu (mengerjakan ama-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulnya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakinya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar .

Malangnya ada pula orang yang tidak mempunyai perjuangan lansung dalam hidupnya, mereka hanyut bagaikan kiambang di sungai. Mereka diracuni oleh fahaman jabariah iaitu berserah pada takdir tanpa usaha, atau mereka mengikut arus dan perubahan zaman tanpa prinsip dan pendirian, iman mereka rapuh, amal ibadah mereka tidak menetap dan akhlak mereka dicorakkan oleh berbagai-bagai budaya.

Istiqamah dalam perjuangan
Perjuangan yang suci di redhai Allah tidak terlepas daripada cabaran terutamanya perjuangan menegakkan Islam sama ada dalam diri, dalam keluarga dan dalam masyarakat. Cabaran itu hanya akan dapat di atasi oleh semangat jihad yang tinggi, beristiqamah, bersabar dan tidak berputus asa.
Firman Allah Taala:

Ertinya: Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.
(Surah Yusof ' Ayat 87)

0 comments:

Jihad Dengan Ilmu dan Dakwah

Sesungguhnya menuntut dan menyampaikan ilmu itu amat besar manfaatnya kepada individu dan masyarakat umat Islam. Menuntut ilmu agama bermula dari aqidah, fiqh, tafsir, akhlak, sehinggalah kepada pemahaman prinsip-prinsipnya yang tulen adalah merupakan suatu tuntutan yang amat besar lagi tinggi keutamaannya.


Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Mujadilah, 58: 11)

Umar radhiyallahu ‘anhu berkata:
“Ketahuilah bahawa Nabi kamu telah bersabda: “Sesungguhnya Allah akan mengangkat sesuatu kaum dan merendahkan suatu kaum yang lainnya dengan Kitab Suci ini.”(Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Dari sini menunjukkan bahawa menuntut ilmu (mempelajari agama) itu adalah suatu keperluan yang besar yang perlu digalas dan dikuasai oleh setiap muslim. Ini adalah sebagaimana Allah memerintahkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri supaya berdoa agar ditambahkan ilmu.


“Maka Maha Tinggi Allah Raja Yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca al-Qur’an sebelum disempurnakan penyampaiannya kepadamu, dan katakanlah: “Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan”.
(Surah Thoha, 20: 114)

Ayat ini adalah merupakan satu dalil yang sangat jelas yang menunjukkan berkenaan keutamaan ilmu. Kerana Allah sendiri telah memerintahkan kepada Nabi-Nya agar meminta ditambahkan ilmu.

Di antara sebab-sebab keutamaannya adalah kerana dengan ilmu, manusia mampu mengenal Allah. Dengan ilmu, manusia akan mengerti tujuan sebuah kehidupan. Dengan ilmu, manusia akan mengerti pentingnya konsep uluhiyah dan ubudiyah terhadap Tuhannya. Dengan ilmu, pendirian manusia boleh sama ada berubah atau semakin teguh. Dengan ilmu, manusia mampu memahami agama dari asasnya sehingga ke cabang-cabangnya. Dengan ilmu jugalah, umat Islam akan mampu beramal dengan sempurna. Dengan ilmu juga umat Islam akan memahami perintah dan pesanan Nabi serta para ulamanya.

Di atas kesan-kesan tersebut, manusia menjadi tunduk disebabkan dia mengenal betapa rendahnya diri di hadapan Tuhannya.

Oleh kerana itulah, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah yang paling takut (tunduk) kepada-Nya adalah para ulama (orang yang berilmu).”
(Surah Fathir, 35: 28)

Dengan sikap itu juga, umat Islam akan diangkat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke suatu darjat yang tinggi berbanding dengan kaum yang selainnya.
“...nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Mujadilah, 58: 11)

Orang-orang yang berilmu adalah mereka yang mampu menghadapi kepelbagaian bentuk ujian, rintangan, musibah, serangan, dan syubhat yang mendatang dengan sikap yang penuh tenang dan sabar. Dengan ilmu yang mereka kuasai, mereka mampu untuk membezakan kepelbagaian bentuk permasalahan yang muncul yang sekaligus mampu menentukan pendirian (sikap) dan jalan keluar yang tepat buat dirinya dan orang lain. Ini adalah sebagaimana yang Allah Subhanahu wa Ta’ala singkapkan berkenaan peristiwa yang terjadi ke atas Qarun:

“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya di atas kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang sangat ingin kepada kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia benar-benar memiliki keuntungan yang besar”. Berkatalah orang-orang yang dikurniakan dengan ilmu: “Kecelakaan besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperolehi pahala itu, melainkan oleh orang-orang yang sabar”.
(Surah al-Qasas, 28: 79-80)

Allah juga turut menjelaskan bahawa orang-orang yang berilmulah yang mampu memahami dan menganalisa hakikat kepelbagaian permasalahan yang terjadi.
“Dan itulah contoh-contoh yang kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.”
(Surah al-Ankabut, 29: 43)
Atas sebab itu jugalah dapat kita fahami bahawa dengannya (ilmu) umat Islam akan pergi berjihad sama ada di medan perperangan mahu pun di medan dakwah. Tanpa ilmu, umat Islam tidak akan mampu memberi sesuatu kepada yang lain, malah Islam itu sendiri tidak akan mampu ditegakkan jika tidak dibawa dengan ilmu. Inilah di antara apa yang ditunjukkan melalui Surah al-Furqon, di ayatnya yang ke-51 dan 52.

Ini jugalah sebagaimana apa yang dimaksudkan oleh para ulama, di antaranya imam Ibnul Qayyim rahimahullah yang telah menjelaskan bahawa menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu itu termasuk berjihad di jalan Allah. Ini adalah berdasarkan perkataan beliau yang terkandung di dalam kitabnya, Miftahu Daris Sa’adah:

Menuntut ilmu disebutkan juga sebagai jihad fi sabilillah kerana dengannya agama Islam ini akan ditegakkan, sebagaimana juga agama Islam yang ditegakkan melalui medan peperangan. Jadi, Islam itu ditegakkan dengan ilmu dan peperangan.

Dengan itulah, jihad ada dua jenis:

Pertama:
Jihad dengan tangan dan senjata. Jihad jenis ini semua orang mampu turut serta di dalamnya.

Kedua:
Jihad dengan hujjah dan bayan (ilmu). Jihad jenis ini merupakan jihad dari kalangan orang-orang yang khusus iaitu dari kalangan ulama. Ini merupakan jihad yang hanya dapat dilaksanakan oleh orang-orang yang menguasai ilmu. Dan jihad kedua ini lebih utama daripada jihad yang pertama. Ini adalah disebabkan oleh betapa besarnya manfaat, tinggi risikonya, dan sangat banyak musuh-musuh yang akan dihadapinya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman di dalam Surah al-Furqon di mana surah ini adalah surah Makkiyyah:
“Dan sekiranya Kami kehendaki, nescaya Kami utus kepada setiap negeri seorang pemberi peringatan (rasul), maka janganlah kamu taati orang-orang kafir dan berjihadlah melawan mereka dengan al-Qur’an dengan jihad yang besar.”
(Surah al-Furqon, 25: 51-52)

Malah jika kita teliti pengertian jihad itu sendiri, iaitu menurut apa yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah di dalam kitabnya yang masyhur, Fathul Bari dan Ibnu Manzur rahimahullah di dalam Lisanul Arab, ia sebenarnya mencakupi perbuatan menegakkan hujah (dengan perkataan atau lisan) terhadap orang-orang kafir dengan cara mendakwahi, menyerang, dan menahan (menangkis hujah) mereka dengan bersungguh-sungguh serta dengan sepenuh tenaga dan usaha. Dengan ini juga bermaksud, jihad itu tidaklah terhad hanya sekadar turun di medan perperangan, tetapi juga adalah dengan penegakkan hujah-hujah ilmiyah kepada kaum yang tidak mengerti dan ingkar.


Berdasarkan surah al-Furqon ayat 51-52 tadi juga sebenarnya ia turut menjelaskan sejak awal-awal lagi bahawa Allah memerintahkan supaya tidak mentaati orang-orang kafir dan supaya berjihad terhadap mereka. Maka, jelaslah di sini bahawa pada fasa tersebut, orang-orang kafir tidak diperangi melainkan dengan hujah dan menyampaikan isi kandungan al-Qur’an itu sendiri dan bukanlah dengan pedang mahu pun ketenteraan semata-mata.
Demikianlah juga dengan persoalan orang-orang munafik yang duduk hidup di bawah kekuasaan umat Islam yang mana Allah turut memerintahkan dengan kalimah jihad kepada umat Islam ke atas mereka.

“Wahai Nabi, berjihadlah melawan orang-orang kafir dan munafiq dan bersikap keraslah terhadap mereka.”
(Surah at-Taubah, 9: 73)

Ini adalah sepertimana yang diketahui bahawa orang-orang munafik itu tidak diperangi dengan pedang, dan mereka juga tidak memerangi umat Islam dengan ketenteraan. Tetapi, mereka (orang-orang munafik) diperangi di atas nama jihad dengan menegakkan hujah-hujah ilmiyah dari al-Qur’an dan perkataan Nabi-Nya.

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah turut menegaskan di dalam kitabnya yang lain, I’lam al-Muwaqqi’in bahawa ketaatan kepada umara’ (pemimpin) itu adalah mengikuti ketaatan kepada ulama. Maka, menuntut ilmu dan mempelajarinya adalah termasuk jihad di atas jalan Allah.

Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu juga pernah berkata bahawa,

“Sesiapa yang mengatakan bahawa pergi berulang-alik mencari ilmu itu bukan sebahagian dari jihad, maka sesungguhnya akal dan fikirannya telah lemah.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdil Barr)

Begitulah dia sebuah hakikat yang kian dipandang remeh, padahal ia adalah sebuah tuntutan besar bagi setiap manusia dari kalangan umat Islam. Menuntut ilmu dari ilmu-ilmu agama semenjak zaman-berzaman sehinggalah ke masa ini bukanlah sebuah usaha yang boleh ditinggalkan, bahkan ia adalah sebuah perjuangan yang dengannya umat Islam akan berjihad menegakkan Tauhid bermula dari dalam diri masing-masing sehinggalah ke setinggi-tinggi kemampuan ke atas segenap manusia umumnya.

Semoga kesarjanaan ilmu di dalam bidang agama ini mampu ditegakkan dan kembali dipandang tinggi oleh umat Islam seluruhnya. Hanya dengan ilmu umat Islam akan kembali dimuliakan, dan dengan ilmu itu jugalah umat Islam bakal kembali berjihad dengan sebesar-besar jihad.

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Sungguh aku mengetahui (menguasai) satu bab dari sesuatu ilmu itu sama ada berkenaan perintah atau pun larangan, ia adalah lebih aku sukai berbanding dengan 70 kali pertempuran di medan jihad.”

0 comments:

Related Posts with Thumbnails