Bersama Menyemarakkan Spirit Dakwah. Islam Untuk Semua.

Keutamaan puasa 6 di bulan syawal





Daripada Abu Ayub bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari pada Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menjadi dalil puasa enam Syawal adalah sunat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Orang yang berpuasa Ramadan diikuti puasa sunat enam hari pada Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun.

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut.

Puasa Syawal berfungsi sebagai penyempurna daripada kekurangan.Seseorang yang hendak berpuasa sunat pada Syawal adalah lebih lebih baik berturutan seperti puasa Ramadan, tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.

Cara berpuasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara berselang hari asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan tidak pada pertama Syawal dan masih di dalam bulan Syawal.

Walaubagaimana pun puasa enam adalah lebih baik disegerakan pelaksanaannya berdasarkan kepada firman Allah s.w.t.:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Ali Imran 3:133]

Kelebihan puasa enam hari pada Syawal, Ia sebagai tanda diterima puasa Ramadan yang kita laksanakan. Ibadah ini juga sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang diberikan pada Ramadan seperti nikmat kesihatan tubuh badan, ganjaran berlipat kali ganda, Lailatulqadar, ganjaran bersahur, berbuka puasa dan sebagainya.

Oleh itu, antara tanda kesyukuran yang dapat dipamerkan daripada seorang hamba ke atas pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan kepadanya adalah dengan berpuasa enam. Sebaliknya, jika diganti dengan perbuatan maksiat, maka ia termasuk kelompok orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Apabila dia berniat untuk kembali melakukan maksiat lagi, maka puasa radhanya tidak akan terkabul.

Di antara kelebihan-kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal itu ialah :

1. Puasa enam umpama solat sunat sabelum dan selapas sesudah solat fardhu bagi menampung kekurangan puasa fardhu.
2. Puasa enam menjadi tanda diterima puasa Ramadhan yang kita kerjakan.
3. Sebagai tanda bersyukur kepada nikmat yang diberikan di bulan Ramadhan.
4. Mendapat kebaikan berlipat ganda serta diangkat darjatnya.

Oleh yang demikian marilah kita bersungguh-sungguh berpuasa enam dan merebut peluang yang ada demi mendapatkan kelebihan-kelebihan yang ditetapkan Allah padanya serta inginkan keredhaan-Nya.
insyaAllah...

0 comments:

Salam Aidilfitri

DARIPADA Abi Umamah daripada Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu."
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Teruslah beribadat walaupun Ramadhan telah meninggalkan kita.


SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR & BATIN
DARIPADA SAHABAT MASJID (SAHAM)


KULLU 'AM WA ANTUM BIL KHAIR










1 comments:

Ikhlas Adalah Roh Ibadat

AMALAN ZAHIR ADALAH KERANGKA SEDANGKAN ROHNYA ADALAH IKHLAS YANG TERDAPAT DENGAN TERSEMBUNYI DALAM AMALAN ITU.

Amal lahiriah digambarkan sebagai batang tubuh dan ikhlas pula digambarkan sebagai nyawa yang menghidupkan batang tubuh itu. Sekiranya kita kurang mendapat kesan yang baik daripada latihan kerohanian hendaklah kita merenung dengan mendalam tubuh amal apakah ia bernyawa atau tidak.

Ikhlas menjadi persediaan yang penting bagi hati menyambut kedatangan sinaran Nur Ilahi. Apabila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya maka dipancarkan Nur-Nya kepada hati hamba tersebut. Nur yang dipancar kepada hati ini dinamakan Nur Sir atau Nur Rahsia Allah s.w.t. Hati yang diterangi oleh nur akan merasai hal ketuhanan atau mendapat tanda-tanda tentang Tuhan. Setelah mendapat pertandaan dari Tuhan maka hati pun mengenal Tuhan. Hati yang memiliki ciri atau sifat begini dikatakan hati yang mempunyai ikhlas tingkat tertinggi. Tuhan berfirman bagi menggambarkan ikhlas dan hubungannya dengan makrifat:

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami), untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.
( Ayat 24 : Surah Yusuf )

Nabi Yusuf a.s adalah hamba Allah s.w.t yang ikhlas. Hamba yang ikhlas berada dalam pemeliharaan Allah s.w.t. Apabila dia dirangsang untuk melakukan kejahatan dan kekotoran, Nur Rahsia Allah s.w.t akan memancar di dalam hatinya sehingga dia menyaksikan dengan jelas akan tanda-tanda Allah s.w.t dan sekaligus meleburkan rangsangan jahat tadi. Inilah tingkat ikhlas yang tertinggi yang dimiliki oleh orang arif dan hampir dengan Allah s.w.t. Mata hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, tidak pada dirinya dan perbuatannya. Orang yang berada di dalam makam ikhlas yang tertinggi ini sentiasa dalam keredaan Allah s.w.t baik semasa beramal ataupun semasa diam. Allah s.w.t sendiri yang memeliharanya. Allah s.w.t mengajarkan agar hamba-Nya berhubung dengan-Nya dalam keadaan ikhlas.


Dia Yang Tetap Hidup; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. ( Ayat 65 : Surah al-Mu’min )

Allah s.w.t jua Yang Hidup. Dia yang memiliki segala kehidupan. Dia jualah Tuhan sekalian alam. Apa sahaja yang ada dalam alam ini adalah ciptaan-Nya. Apa sahaja yang hidup adalah diperhidupkan oleh-Nya. Jalan dari Allah s.w.t adalah nikmat dan kurniaan sementara jalan dari hamba kepada-Nya pula adalah ikhlas. Hamba dituntut supaya mengikhlaskan segala aspek kehidupan untuk-Nya. Dalam melaksanakan tuntutan mengikhlaskan kehidupan untuk Allah s.w.t ini hamba tidak boleh berasa takut dan gentar kepada sesama makhluk.

Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan yang demikian). ( Ayat 14 : Surah al-Mu’min )

Allah s.w.t telah menetapkan kod etika kehidupan yang perlu dijunjung, dihayati, diamalkan, disebarkan dan diperjuangkan oleh kaum muslimin dengan sepenuh jiwa raga dalam keadaan ikhlas kerana Allah s.w.t, meskipun ada orang-orang yang tidak suka, orang-orang yang menghina, orang-orang yang membangkang dan mengadakan perlawanan. Keikhlasan yang diperjuangkan dalam kehidupan dunia ini akan dibawa bersama apabila menemui Tuhan kelak.

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya)”. ( Ayat 29 : Surah al-A’raaf )

Sekali pun sukar mencapai peringkat ikhlas yang tertinggi namun, haruslah diusahakan agar diperolehi keadaan hati yang ikhlas dalam segala perbuatan sama ada yang lahir mahu pun yang batin. Orang yang telah tumbuh di dalam hatinya rasa kasihkan Allah s.w.t akan berusaha membentuk hati yang ikhlas. Mata hatinya melihat bahawa Allah jualah Tuhan Yang Maha Agung dan dirinya hanyalah hamba yang hina. Hamba berkewajipan tunduk, patuh dan taat kepada Tuhannya. Orang yang di dalam makam ini beramal kerana Allah s.w.t: kerana Allah s.w.t yang memerintahkan supaya beramal, kerana Allah s.w.t berhak ditaati, kerana perintah Allah s.w.t wajib dilaksana, semuanya kerana Allah s.w.t tidak kerana sesuatu yang lain. Golongan ini sudah dapat menawan hawa nafsu yang rendah dan pesona dunia tetapi dia masih melihat dirinya di samping Allah s.w.t. Dia masih melihat dirinya yang melakukan amal. Dia gembira kerana menjadi hamba Allah s.w.t yang beramal kerana Allah s.w.t. Sifat kemanusiaan biasa masih mempengaruhi hatinya.

Setelah kerohaniannya meningkat hatinya dikuasai sepenuhnya oleh lakuan Allah s.w.t, menjadi orang arif yang tidak lagi melihat kepada dirinya dan amalnya tetapi melihat Allah s.w.t, Sifat-sifat-Nya dan perbuatan-Nya. Apa sahaja yang ada dengannya adalah anugerah Allah s.w.t. Sabar, reda, tawakal dan ikhlas yang ada dengannya semuanya merupakan anugerah Allah s.w.t, bukan amal yang lahir dari kekuatan dirinya.

Tingkat ikhlas yang paling rendah ialah apabila amal perbuatan bersih daripada riak yang jelas dan samar tetapi masih terikat dengan keinginan kepada pahala yang dijanjikan Allah s.w.t. Ikhlas seperti ini dimiliki oleh orang yang masih kuat bersandar kepada amal, iaitu hamba yang mentaati Tuannya kerana mengharapkan upah daripada Tuannya itu.

Di bawah daripada tingkatan ini tidak dinamakan ikhlas lagi. Tanpa ikhlas seseorang beramal kerana sesuatu muslihat keduniaan, mahu dipuji, mahu menutup kejahatannya agar orang percaya kepadanya dan bermacam-macam lagi muslihat yang rendah. Orang dari golongan ini walaupun banyak melakukan amalan namun, amalan mereka adalah umpama tubuh yang tidak bernyawa, tidak dapat menolong tuannya dan di hadapan Tuhan nanti akan menjadi debu yang tidak mensyafaatkan orang yang melakukannya. Setiap orang yang beriman kepada Allah s.w.t mestilah mengusahakan ikhlas pada amalannya kerana tanpa ikhlas syiriklah yang menyertai amalan tersebut, sebanyak ketiadaan ikhlas itu.


(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan-Nya. (Ayat 31 : Surah al-Hajj )

“Serta (diwajibkan kepadaku): ‘Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang musyrik’”. Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan tidak juga dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). ( Ayat 105 & 106 : Surah Yunus )

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. (Ayat 37 : Surah al-Hajj )

Allah s.w.t menyeru sekaligus supaya berbuat ikhlas dan tidak berbuat syirik. Ikhlas adalah lawan kepada syirik. Jika sesuatu amal itu dilakukan dengan anggapan bahawa ada makhluk yang berkuasa mendatangkan manfaat atau mudarat, maka tidak ada ikhlas pada amal tersebut. Bila tidak ada ikhlas akan adalah syirik iaitu sesuatu atau seseorang yang kepadanya amal itu ditujukan. Orang yang beramal tanpa ikhlas itu dipanggil orang yang zalim, walaupun pada zahirnya dia tidak menzalimi sesiapa.

Intisari kepada ikhlas adalah melakukan sesuatu kerana Allah s.w.t semata-mata, tidak ada kepentingan lain. Kepentingan diri sendiri merupakan musuh ikhlas yang paling utama. Kepentingan diri lahir daripada nafsu. Nafsu inginkan kemewahan, keseronokan, kedudukan, kemuliaan, puji-pujian dan sebagainya. Apa yang lahir daripada nafsu itulah yang sering menghalang atau merosakkan ikhlas.

0 comments:

JOM HIDUPKAN IBADAH!!

MENGHIDUPKAN 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN

1) Mencari malam al-Qadar (kemuliaan)

Maksud Firman Allah : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Tahukah kamu, apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Malam itu malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehinggalah terbit fajar” (al-Qadr : 1-5)

Daripada Aisyah RA : “Apabila masuk malam 10 terakhir Ramadhan, baginda SAW menghidupkan malam dengan beribadah, mengejutkan ahli keluarganya bersungguh-sungguh dan uzlah (menjauhi) isteri-isterinya”. (HR Bukhari & Muslim)

Sabda Nabi SAW : “Carilah malam al-Qadar pada malam sepuluh terakhir Ramadhan”. (HR Bukhari & Muslim)

Sabda Nabi SAW : “Carilah malam al-Qadar pada malam-malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan” (HR Bukhari)

Aisyah bertanya Nabi SAW : “Wahai Rasulullah, jika aku mengetahui tibanya malam al-Qadar, apakah yang kubaca ketika itu?” Nabi menjawab : Berdoalah :أللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memberi maaf, maka maafkanlah aku” (HR at-Tirmizi, an-Nasa’ie, Ibnu Majah dll)

2) I’tikaf

I’tikaf ertinya mendampingi masjid untuk mentaati Allah SWT. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan i’tikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan sehingga wafat.

Berdasarkan praktik Rasulullah SAW itu, menunjukkan kelebihan dan keutamaannya mengatasi malam-malam yang lain.

Bahkan baginda turut membangunkan ahli keluarganya agar turut beri’tikaf bersama-sama.

Syarat sah i’tikaf :

- Islam, berakal, tidak junub, bersih daripada haid dan nifas;
- Niat – i’tikaf adalah ibadah yang tidak sah melainkan dengan niat;
- Dilakukan di dalam masjid.

Perkara yang membatalkan iktikaf

- Keluar masjid tanpa hajat dengan sengaja;
- Murtad;
- Hilang akal kerana gila atau mabuk;
- Datang haid atau nifas;
- Jimak;

Perkara yang sunnat dilakukan ketika i’tikaf

- Memperbanyakkan ibadah sunnat seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, takbir, istighfar, solawat dan doa.
- Begitu juga menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji kitab hadith, tafsir, sirah Nabi dan sebagainya.

3) Solat-Solat Sunnat

a) Solat Tahajjud
Maksud Firman Allah : Dan pada sebahagian malam, bersolat tahajjudlah kamu, sebagai satu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji”. (al-Isra : 79)

Solat tahajjud ialah solat malam sekurang-kurang 2 rakaat yang didirikan selepas bangun tidur, walaupun tidurnya sebentar.

Masanya selepas solat Isyak sehinggalah masuk waktu subuh. Tetapi waktu paling utama ialah pada akhir malam atau waktu sahur.

b) Solat Tasbih
Ia berdasarkan hadith panjang yang diriwayatkan Ibnu Abbas, berkenaan tawaran Nabi kepada pakciknya Abbas bin Abdul Muttalib, iaitu solat yang memberi keampunan 10 jenis dosa :
- Dosa terdahulu dan terkemudian;
- Dosa lama dan baru;
- Dosa sengaja atau tidak;
- Dosa besar atau kecil;
- Dosa tersembunyi atau kelihatan.

Caranya sama seperti solat biasa. Solat tasbih didirikan pada waktu siang dengan 4 rakaat 1 salam, manakala waktu malam didirikan dengan 4 rakaat 2 salam.

Hanya diselangi dengan tasbih seperti pembahagian berikut :
- Selepas Fatihah dan surah – 15 kali tasbih;
- Ketika rukuk – 10 kali tasbih;
- Setelah bangkit dari rukuk – 10 kali tasbih;
- Dalam sujud pertama – 10 kali tasbih;
- Semasa duduk antara 2 sujud – 10 kali tasbih;
- Dalam sujud kedua – 10 kali tasbih;
- Dalam duduk rehat bangun sujud sebelum berdiri rakaat kedua – 10 kali tasbih

Jumlahnya 75 kali tasbih satu rakaat bersamaan 300 tasbih dalam 4 rakaat. Bacaan tasbihnya ialah :
سبحان الله والحمد لله ولآإله إلا الله والله أكبر

c) Solat Taubat
Apabila seseorang hendak bertaubat, disunnatkan supaya mendirikan solat 2 rakaat ini.

Sabda Nabi SAW : Seorang lelaki yang melakukan satu dosa kemudian ia bangun berwudhu, bersolat 2 rakaat, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, maka Allah akan mengampunkan dosanya”. Lalu baginda membaca ayat dari Surah Ali Imran ayat 135-136.

Kaifiatnya sama seperti solat biasa.

f) Solat Hajat
Solat hajat boleh didirikan pada waktu siang atau malam.

Apabila kita berhajat terhadap sesuatu urusan, bermohonlah kepada Allah SWT, dan yang paling baik melalui solat hajat sekurang-kurangnya dua rakaat.

Tiada had jumlah rakaat untuk melakukannya. Begitu juga tiada kaifiat khusus ditetapkan.

g) Solat Witir
Witir ertinya ganjil. Ia dilakukan sebagai penutup bagi solat malam. Boleh dikerjakan 1, 3, 5, 7, 9, atau 11 rakaat.

Waktunya selepas solat isyak dan berakhir dengan waktu subuh. Witir dalam bulan Ramadhan disunnatkan dengan berjamaah.

Sekiranya solat witir sudah dilakukan pada awal malam, dan kemudian bangun lagi pada akhir malam untuk mendirikan solat sunnat lain, maka tidak perlu lagi mendirikan witir dihujungnya kerana Nabi memerintahkan witir hanya dilakukan sekali sahaja pada setiap malam.

Sabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dengan satu solat yang lebih baik bagi kamu berbanding harta yang banyak, iaitu solat witir. Dirikanla di antara solat isyak sehingga terbit fajar” (HR Abu Daud, Ibnu Majah & at-Tirmizi)

4) Membaca al-Quran

- Membaca al-Quran di dalam solat adalah waktu yang utama;
- Jika membaca di luar solat, waktu paling utama ialah pada waktu malam. Waktu selepas tengah malam menjadi lebih utama berbanding awal malam;
- Jika membaca pada waktu siang, waktu paling utama ialah selepas solat subuh;
- Hari-hari terbaik membaca al-Quran ialah pada hari Jumaat, Isnin dan Khamis, hari arafah, 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan 10 hari terakhir bulan Ramadhan;
- Bulan terbaik membacanya ialah bulan Ramadhan.

Adab Membaca al-Quran
- Ikhlas kerana Allah, bukan kerana yang lain;
- Membersihkan mulut sebelum membaca;
- Khusyuk, tadabbur, dan rendah diri;
- Sunnat pada ayat yang seharusnya menangis;
- Melihat mashaf lebih utama daripada hafalan jika itu lebih mendatangkan khusyuk;
- Menyaringkan suara lebih utama jika tidak menimbulkan riak atau mengganggu orang;
- Memperindahkan suara bacaan;
- Membaca dengan menjaga hukum tajwid;
- Menjaga batas-batas waqaf dan ibtida’;

Kelebihan Membaca al-Quran

Hadith berkenaannya sangat banyak. Antaranya sabda Nabi SAW :Sesiapa yang membaca al-Quran 50 ayat sehari semalam, ia tidak termasuk orang yang lalai. Sesiapa membaca 100 ayat, ia termasuk orang yang patuh kepada Allah. Sesiapa membaca 200 ayat, ia tidak diminta keterangan oleh al-Quran pada hari qiamat. Sesiapa membaca 500 ayat, dicatat baginya pahala yang banyak”. (HR Ibnu Sunni)

5) Solawat keatas Nabi SAW

Maksud Firman Allah : Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersolawat untuk Nabi, Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah solawat dan salam yang sempurna kepadanya.” (al-Ahzab : 56)

Sabda Nabi SAW : “Manusia paling utama bersamaku pada hari kamat ialah orang yang paling banyak bersolawat kepadaku”. (HR at-Tirmizi)

“Seseorang amat hina, jika namaku disebut di sisinya, ia tidak bersolawat kepadaku” (HR at-Tirmizi)

Sekurang-kurang solawat ialah :أللهم صل على محمد

6) Doa dan Zikir

Maksud sabda Nabi SAW : Waktu paling hampir bagi Tuhan kepada seorang hamba ialah pada bahagian malam yang akhir. Jika kamu sanggup berada di antara orang yang berzikir kepada Allah pada saat itu, maka buatlah”. (HR Abu Daud & at-Tirmizi)

Sesungguhnya pada malam itu ada satu saat, tidaklah ditemui oleh seorang muslim yang berdoa kepada Allah memohon kebaikan dunia dan akhirat, melainkan permohonannya diterima. Hal ini berlaku setiap malam” (HR Muslim)

Nabi ditanya : Doa manakah yang paling diperhatikan Allah? Baginda menjawab : “Doa pada tengah malam dan selepas solat fardhu”.

Dua kalimah, ringan di lidah, berat di timbangan dan disukai Tuhan iaitu : Subhanallah wabihamdihi, subhallahil ‘azim”

“…bacaan alhamdulillah memenuhi timbangan amal, subhanallah dan alhamdulilah kebaikannya sepenuh langit dan bumi..” (HR Muslim)

0 comments:

Related Posts with Thumbnails